XVI : Tertangkap

TIKA aku dan Æzzul sibuk membelek-belek buku laporan lama itu, bilik yang sedang kami gunakan untuk siri membedah buku laporan "Episiklus Cakerawala LXX" tiba-tiba sahaja memperlihatkan lampu amaran merah berkelip-kelip dan berputar-putar. Lampu amaran merah yang berkelip-kelip itu dinyalakan sehingga ke dalam bilik setiap warga koloni dan laluan utama stesen Athria-Gemilang ini diperkirakan adalah antara amaran tahap tertinggi. Amaran tahap tertinggi termasuklah amaran berlakunya sebuah aktiviti keganasan yang tidak terjangka, amaran hentaman sampah angkasa daripada luar, tahap kandungan oksigen yang semakin berkurangan dan juga beberapa amaran awal mengenai aktiviti yang melanggar peraturan di stesen angkasa Athria-Gemilang ini.

Daripada bahagian dalam kompartmen, kami berdua terdengar berdentum-dentum orang berlari ke sana dan sini seakan-akan bunyi hempasan disusuli dengan bunyi jeritan yang agak kuat dan kasar dan juga bunyi orang berlari dengan derapan yang agak keras. Bunyi itu ditamatkan pula dengan beberapa siri bunyi ketukan pada daun pintu kompartmen yang agak kuat dan keras daripada bahagian pintu. Bunyi ketukan itu cukup kuat sehingga menggegarkan sebahagian pintu bilik berkenaan.

"Ada orang ketuk pintu!" aku yang sedang panik berteriak dengan nada yang perlahan kepada Æezzul. Æezzul yang ketika itu pula sedang kelam-kabut menyembunyikan buku laporan "Episiklus Cakerawala LXX" di bawah tempat pembaringan. Aku pula mengeluarkan buku-buku sekolah untuk mengaburi mata sesiapa sahaja yang sedang mengetuk pintu kompartmen berkenaan.

     Selepas misi menyorokkan buku laporan "Episiklus Cakerawala LXX" selesai, Æezzul membuka pintu kompartmen berkenaan. Kelihatan, lima orang pegawai anggota polis yang lengkap berpakaian uniform dan juga penggari tangan sedang berdiri di hadapan pintu kompartmen itu. Anggota polis itu juga merupakan pengawal keselamatan yang menjaga keamanan bagi seluruh kompartmen koloni Athria-Gemilang ini. Riak muka kelima-lima anggota polis berkenaan kelihatan bengis dan marah.

Anggota polis yang memegang tag nama "Æriz" mula bersuara. Suaranya kedengaran agak garau. Intonasi suaranya yang agak dalam dan tegas. Mukanya bengis berkumis dan memakai kaca mata hitam berbentuk bulat. Topi keselamatan anggota turut dipakai anggota polis terbabit. Tubuh badannya sedikit kurus berbanding anggota lain yang sedang berdiri di belakangnya.

"X Ædrian X-ii dan X Æezzul X-ii, anda berdua telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Khas (Langkah-Langkah Pencegahan) tahun Sol 0070 kerana telah mencuri harta hak milik kerajaan." ujar anggota polis bernama"Æriz" itu dengan nada yang kuat sambil menunjukkan sepucuk surat penahanan yang ditandatangani oleh Komander Æzarnoush beserta cop wax seal berwarna merah magenta.

"Anda juga akan dikenakan tindakan disiplin atas tuduhan menceroboh premis hak milik kerajaan Athria-Gemilang tanpa sebarang kebenaran rasmi bertulis daripada pihak Komander Æzarnoush ataupun pihak berautoriti yang telah dilantik secara sah." anggota polis bernama 'Æriz' itu kemudiannya menunjukkan rakaman kamera litar tertutup yang diambil daripada daripada kompartmen pentadbiran melalui peranti tab miliknya.

     Kelihatan daripada paparan skrin tab itu, adalah rakaman kamera litar tertutup aku dan juga Æezzul sedang bersiap sedia untuk menyusup masuk ke ruangan pengudaraan menuju ke kompartmen Pentadbiran. Tarikh, masa dan tahun juga turut terpapar pada rakaman kamera litar tertutup itu. Kemungkinan, kami tidak perasan akan keberadaan kamera litar tertutup versi moden yang lebih tersorok di kawasan itu.

"Anda juga diminta untuk memulangkan semula segala harta dan hak milik kerajaan yang telah anda dicuri. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatkan barang-barang terbabit akan diselongkar dan disita serta-merta oleh pihak kerajaan Athria-Gemilang." sambil pegawai polis itu menunjukkan surat arahan penahanan dan juga lampiran gambar buku laporan "Episiklus Cakerawala LXX' yang kulitnya berwarna nila kandi dan disimpan di dalam peti besi yang mengandungi kain baldu biru.

    "Anda dan seluruh keluarga anda berpotensi untuk didakwa bersama-sama dengan individu-individu yang berkomplot dalam hal ini. Mereka yang tidak bersalah ini juga akan dijatuhi hukuman mati mandatori yakni hukuman diapungkan ke luar stesen angkasa Athria-Gemilang ini!"

"Anda sedang merisikokan serta membahayakan nyawa insan-insan yang tidak bersalah dalam hal ini." tegas anggota badan beruniform itu lagi dengan nada yang cukup tegas.

"Sila beri kerjasama!" jerit seorang lagi pegawai polis yang memegang tag nama 'Æzman' dengan nada yang cukup kuat.

Jeritan pegawai polis bernama 'Æzman' itu pula sudah cukup untuk membuatkan seluruh kawasan laluan berdekatan kawasan kompartmen bilik koloni Athria-Gemilang itu bergema-gema dengan nada pekik lolong pegawai polis itu. Ada antara anggota koloni yang lalu-lalang di kawasan itu terhenti ketika berjalan dan terus memandang tepat ke arah kawasan bilikku yang dipenuhi anggota polis itu. Ada juga anggota koloni yang sempat mengerling ke arah kompartmen bililku dengan satu pandangan yang pelik.

Aku dan Æezzul menarik nafas panjang. Boleh dilihat, muka Æezzul kelihatan pucat lesi. Bahasa badannya dipenuhi dengan perasaan keresahan dan gemuruh. Dapat dilihat, riak muka Æezzul seakan-akan tidak ada darah yang berjaya dipam oleh organ jantungnya lalu mengalir ke bahagian-bahagian penting. Mujur sahaja Æezzul tidak pengsan diserang dengan serangan jantung. Aku pula hanya redha dan berserah. Setiap tindakan, pasti akan disusuli dengan kesannya samada kesan baik mahupun kesan buruk. Jauh di sudut hati kami berdua tentulah tidak pernah terfikir akan hal ini boleh berlaku.

     Sambil menangguk faham, aku menapak perlahan menuju ke tempat perbaringan yang tersimpan buku laporan "Episiklus Cakerawala LXX". Aku menyelak cadar yang digunakan untuk menyembunyikan buku laporan itu. Terpampang makalah lama yang diletakkan secara menyenget diatas tempat perbaringan. Aku mengambil buku laporan itu lalu menyerahkan kepada anggota polis bernama"Æriz".

Anggota polis itu kemudiannya membelek-belek buku laporan itu bagi menentusahkan keasliannya melalui nombor kod ISBN buku dan juga cop rasmi beserta tandatangan Komander Æzarnoush yang ada di helaian pertama. Lalu, dia terus memasukkan buku laporan itu ke dalam sebuah kotak kecil. Kotak kecil itu mempunyai tulis 'Bahan Bukti' dan 'Sulit'.

     "Gari kedua-duanya!" jerkah anggota yang bernama "Æriz" itu.

     Kemudian, anggota polis yang bernama "Æzman" pula mengeluarkan dua utas gari besi dan juga dua helai plastik hitam serta sellotape daripada beg sandangnya. Tangan kami berdua dia gari secara menyilang ke belakang oleh seorang lagi anggota polis dengan tag nama "Æjan". Anggota polis bernama "Æjan" ini mempunyai tubuh yang sedikit gempal berbanding anggota yang lainnya.

     Terasa sedikit pedih dibahagian pergelangan tangan.

     "Anda berdua akan dihantar ke kompartmen tahanan dan disoal siasat." ujar anggota bernama"Æzman.

     Mulut kami berdua kemudiannya diselotape dengan menggunakan sellotape yang berwarna hitam. Kepala kami berdua pula diserkup dengan plastik hitam. Pandangan di sekelilingku menjadi gelap gelita.

     "Jalan!"

     Aku dapat merasakan bahagian lenganku dipimpin kemas oleh seorang anggota polis yang tidak aku dikenali. Hanya kedengaran bunyi hempasan pintu kompartmen bilikku ditutup. Di sekeliling pula, kedengaran bunyi suara berbisik mereka yang lalu-lalang.

     "Kenapa budak dua orang ini kena tangkap? Kenapa tangan dia bergari dan kepala dia diserkup? Apa kesalahan yang budak dua orang ni dah buat?"

Itu adalah antara bunyi bisikan dan juga petikan perbualan sesama anggota koloni yang tidak aku kenali tetapi sempat aku curi-curi dengar ketika aku berjalan mengikuti arah anggota polis ke destinasi yang aku sendiri tidak tahu.

                               ***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top