XV : Helaian demi helaian

HELAIAN demi helaian dibelek. Lembaran demi lembaran diselak. Ada bahagian lembaran halaman yang memaparkan gambarajah dan lukisan, ada pula bahagian yang lainnya memaparkan peta dan juga arah lokasi utama. Pada muka surat yang berikutnya pula, lembaran kertas jenis bulky yang berkualiti tinggi itu turut memaparkan gambar-gambar berwarna yang cukup indah yang berjaya dirakam dan dicetak sebelum kejadian 'Letupan Besar'.

     Monumen-monumen bersejarah seperti bangunan pencakar langit, pemandangan kehijauan gunung-ganang, pemandangan kebiru-biruan lautan luas dan juga kecoklatan pasiran pantai , pokoknya laporan 'Episiklus Cakerawala LXX ' ini bukanlah sekadar laporan dengan gambarajah, jadual, peta dan juga ringkasan eksekutif semata-mata. Tetapi laporan ini juga memaparkan pelbagai gambar sebenar lokasi-lokasi yang diperkirakan merupakan kawasan utama untuk berlindung bagi keseluruhan koloni Cakerawala sekiranya tamadun manusia berjaya mendarat di permukaan bumi suatu hari nanti.

     Selain itu, analisis berkaitan ramalan tahap bacaan radiasi nilai ambang di setiap kawasan juga bersama peta kawasan semenanjung Malaysia dan juga kawasan Sabah dan Sarawak juga turut disisipkan. Ramalan bacaan radiasi ini penting kerana saintis terdahulu telah mengambil kira faktor-faktor nilai ambang dan senario kes terburuk mengenai tahap kebocoran radiasi di loji-loji penjanaan tenaga nuklear utama dunia yang sudah usang dan tidak lagi di selenggara selama berpuluh-puluh tahun. Loji-loji penjanaan tenaga nuklear ini terletak di seluruh dunia. Tahap bacaan sinaran radiasi nilai ambang yang terlalu tinggi amatlah tidak sesuai untuk proses pendaratan koloni. Ini kerana perkara ini bakal merisikokan keseluruhan koloni dengan cemaran sinaran radiasi yang masih tinggi lalu mengorbankan seluruh koloni. Pentadbir Koloni Cakerawala akan meletakkan risiko yang tinggi terhadap penduduk seluruhnya sekiranya perkara ini berlaku.

     "Cuba kau baca rangkap ini, Ædrian." Æezzul menunjukkan selembar muka surat yang tertulis perkataan 'PERLINDUNGAN' dengan gambar sebuah gunung yang cukup tinggi, sayup-sayup dan memuncak. Gambar berkenaan memaparkan pemandangan sebuah gunung yang kelihatan cukup tinggi, yang penuh dengan warna kehijau-hijauan dan juga pemandangan hutan belantara dengan di latari seakan-akan asap kabut yang tidak pernah dilihat oleh mata kasar. Selain pemandangan gunung yang kehijauan itu jugalah, terdapat juga pemandangan beberapa lapisan awan kumulonimbus dan juga pancaran matahari yang hampir terbenam di belakang gunung berkenaan.

     "Sebuah gunung yang terletak di tengah-tengah semenanjung Malaysia telah dijadikan pusat penyimpanan rahsia bahan-bahan makanan yang boleh tahan lama, senjata api, biji-biji benih tumbuh-tumbuhan, bekalan perubatan, generator penjanaan elektrik yang dikuasakan tenaga solar, alat penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan juga pelbagai keperluan asas jangka panjang. Pusat penyimpanan rahsia ini juga menempatkan pelbagai jenis kenderaan-kenderaan ketenteraan yang mempunyai pelbagai saiz, kren pembancuh simen dan kren bahan binaan selain bahan-bahan pembinaan yang telah distokkan untuk pembinaan semula tamadun. Tangki simpanan minyak diesel dan minyak petrol juga tersedia untuk jangka masa lima tahun selepas pendaratan dari angkasa." aku membaca perenggan yang dimaksudkan oleh Æezzul sebentar tadi.

Selain menunjukkan tumbuh-tumbuhan yang kebiasaannya ditanam secara hidroponik dan juga aeroponik dalam stesen angkasa Athria-gemilang ini, buku laporan 'Episiklus Cakerawala LXX' ini juga memaparkan gambar dan lukisan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan langka yang boleh dimakan dan masih boleh didapati melata di sekitar kawasan hutan di sekitar negara kita. Tumbuh-tumbuhan ini kebanyakannya tidak ditanam di stesen angkasa ini.

     "Bahan makanan yang telah disteril, diawetkan, diyakini halal dipercayai mampu bertahan sehingga mencecah ke angka 100 tahun telah diletakkan di dalam sebuah ruang kebuk wasap yang berada di dalam stor pusat penyimpanan utama yang terletak di tengah-tengah jasad Gunung Tahan berkenaan. Pusat Penyimpanan ini mengikut rancangan asalnya adalah merupakan sebuah fasiliti ketenteraan dengan terbinanya sebuah bunker mega milik kerajaan yang sulit dan langsung tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali pemimpin kanan kerajaan. Bunker mega ini telah dibina oleh pihak kerajaan ketika itu bagi tujuan untuk menghadapi krisis bekalan makanan berpanjangan, kesan jangka panjang perubahan cuaca ekstrem, situasi kemarau berpanjangan akibat kesan pemanasan global, pusat perlindungan bagi mangsa banjir besar, pusat kuarantin mega bagi pengurusan wabak pandemik yang melanda dunia dan juga ancaman perang nuklear antara negara-negara utama dunia." aku membaca satu persatu perenggan yang seterusnya, yang ditulis dalam bahasa Jawi.

     "Selain itu, bunker yang berada di Gunung Tahan juga mempunyai fasiliti kesihatan yang lengkap, bekalan ubat-ubatan yang boleh menampung sejumlah populasi penduduk dan juga beratus-ratus buah katil yang mampu menampung sejumlah pesakit pada satu-satu masa. Selain itu juga, terdapat juga kelengkapan bilik kuarantin, pusat dialisis dan juga ruangan khas bagi merawat pesakit yang mengalami simptom mabuk radiasi serta mereka yang telah terdedah kepada cemaran sisa radiasi yang terlampau tinggi."

     "Bekalan air bersih pula diperolehi daripada sumber air bawah tanah yang diperkirakan cukup kaya dengan sumber mineral yang diperlukan oleh tubuh badan manusia. Sumber bekalan air bawah tanah yang mengalir pada batuan dasar Gunung Tahan pada asasnya adalah selamat dan diyakini bersih, halal serta berada jauh daripada pencemaran radiasi. Sumber air bawah tanah ini diperolehi daripada rancangan penggerudian paling dalam oleh Jabatan Mineral dan Sumber Air sejauh lima kilometer ke batuan dasar Gunung Tahan sehinggalah menemui poket air pada batuan dasar terbabit."

     "Selepas misi turun ke permukaan bumi ini berjaya tanpa ada apa-apa halangan mahupun kekangan, mereka yang masih hidup perlu mengeluarkan kompas dan seterusnya mencari arah 292.54' darjah utara. Arah ini merupakan penetapan arah kiblat asal di kawasan pendaratan amnya. Penetapan arah kiblat ini perlu bagi memastikan manusia yang berjaya kekal survival di permukaan bumi dapat kembali semula kepada syariat Islam yang sebenar. Kemungkinan, mereka yang sudah hidup berkoloni di permukaan bumi selepas berlindung di dalam bunker yang tertanam jauh dalam perut bumi sudah lagi tidak mengamalkan syariat Islam akibat kekangan persekitaran yang memaksa mereka."

     Aku menghabiskan pembacaanku sehingga ke aksara berkenaan. Terlalu banyak maklumat-maklumat 'santau akal' yang tidak dapat dihadam oleh otak. Segala-galanya diluar akal pemikiran manusiawi yang waras. Terlalu banyak persoalan-persoalan baru yang bermain di minda. Mungkinkah wujud koloni manusia baru yang berjaya menyelamatkan diri daripada peristiwa 'Letupan Besar'? Bagaimanakah rupanya anggota koloni ini? Adakah seperti manusia biasa seperti mereka, koloni Athria-Gemilang di angkasaraya ini? Wujudkah persefahaman andaikata jikalau mereka turun ke permukaan bumi bagi membina peradaban manusia yang baharu? Apakah bahasa yang digunakan olah koloni berkenaan? Adakah sama dengan laras bahasa yang digunakan oleh anggota koloni Athria-Gemilang ini? Terlalu banyak persoalan-persoalan yang menabrak ke ruangan minda.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top