XIV : Usai Selinap Keluar

"AKU pelik kenapa tak ada sensor kecemasan yang berfungsi kat kompartmen Pentadbiran tadi?" aku memulakan bicara sambil berbisik selepas berjaya menyelinap masuk ke dalam dewan makan bersama Æezzul.

"Barangkali, banyak sensor yang sudah rosak ataupun uzur. Usia stesen angkasa ni pun dah nak dekat tujuh puluh tahun. Jadi, logiklah banyak sensor yang dah tak berfungsi dengan baik." ujar Æezzul perlahan dengan muka selamba tanpa rasa bersalah sambil mencedok makan malam berserta lauk-pauk yang tersedia.

     Aku hanya menganggukkan sahaja kepalaku. Ianya sebagai tanda bersetuju dengan setiap bait-bait kata Æezzul itu walaupun sebenarnya aku tidaklah berapa mengerti dengan apa yang sebenarnya sedang berlaku. Usai sahaja kami berdua mengambil makanan dan minuman, kami terus mencari satu sudut yang paling terlindung daripada warga koloni lain untuk makan malam. Dari situ, kami mula mengatur langkah yang seterusnya.

     "So, apa rancangan kita yang seterusnya? Nak mula membedah laporan ni? Atau nak tunggu hari besok je?" Æezzul berbisik perlahan sambil menyuakan makanan ke dalam mulutnya. Dia tampak sudah teruja untuk membaca siri laporan berkenaan rancangan Komander Æzarnoush yang seterusnya. Namun, matanya meliar ke sekitar kawasan kompartmen kantin berkenaan. Takut-takut ada mata-mata yang sedang memerhatikan sebarang gerak-geri pelik kami berdua ini.

"Aku rasa, lebih baik kita bedah laporan ni cepat-cepat. Lepas settle semuanya, kita pulangkan balik ke tempat asalnya." ujarku dengan nada yang rendah tetapi masih didengari oleh Æezzul.

"Kau nak pulangkan laporan ni hari ini jugak ke? Apa kata kita buat salinan terus laporan ni. Sekurang-kurangnya, kita boleh baca selengkap yang boleh." Æezzul melontarkan ideanya.

"Aku rasa, tak sempat nak hantar laporan ni malam ni jugak. Agak berisiko tinggi. Boleh tertangkap dengan pihak mata-mata jikalau terkantoi. Pukul 10 malam dah kena berkurung ke dalam kompartmen kediaman masing-masing."

"Aku cadangkan kita pulangkan laporan ini besok sahaja, waktu yang sama, selepas pukul 5 petang, sela waktu di antara selepas orang pulang kerja dan sebelum waktu makan malam." aku memberikan buah fikiranku pula.

"Alright. Cun. Harap-harap, takde apa-apalah yang berlaku nanti." mimik muka Æezzul sedikit gusar, namun perasaan ketakutannya masih terkawal.

     Walau bagaimanapun, tidak banyak yang dapat bincangkan oleh kami berdua oleh kerana penampakan pegawal dan mata-mata yang lalu-lalang disekitar kompartmen dewan makan terbabit. Ianya ditambah dengan keberadaan lokasi kamera litar tertutup yang berada di pelbagai lokasi, lebih menyulitkan lagi proses perbincangan lanjut di kompartmen dewan makan terbabit. Kamera litar tertutup pula berperanan sebagai alat perakam setiap gerak geri warga koloni dan juga pengenalan di beberapa lokasi utama tumpuan terutamanya di kompartmen dewan makan. Ini bagi mendisiplinkan warga koloni supaya sentiasa mengikut setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pentadbir koloni Cakerawala ini.

Oh, lupa untuk diceritakan mengenai kamera litar tertutup ini. Selain berperanan sebagai alat perakam setiap gerak geri warga koloni di stesen angkasa Athria-Gemilang ini, kamera ini juga digunakan oleh pihak pentadbir koloni untuk memberikan penilaian dan markah kepada setiap individu yang berdaftar dengan pentadbiran Athria-Gemilang ini secara tahunan. Pokoknya, setiap tindak-tanduk, perlakuan bermoral atau apa sahaja perbuatan dan prestasi yang baik mahupun tidak baik yang berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup ini akan diberikan pemarkahan dan dinilai melalui indakator-indikator tertentu dalam indeks petunjuk prestasi utama setiap anggota koloni. Sesiapa sahaja yang memperolehi penilaian markah tertinggi dalam tempoh setahun itu, mereka akan mendapat ganjaran berupa makanan yang lebih enak, posisi pekerjaan yang lebih baik dan mempunyai kehidupan yang lebih selesa dalam stesen angkasa ini.

     Bagi mereka yang memperolehi pemarkahan terendah ataupun tidak memenuhi kriteria dan indikator petunjuk prestasi utama stesen angkasa Athria-Gemilang, kemungkinan besar individu terbabit tidak akan memperolehi pekerjaan idaman mereka, akan diletakkan pada kasta terendah dan mereka bakal membuat kerja-kerja yang kotor dan menjijikkan dalam stesen angkasa ini. Antara kerja-kerja yang menjijikkan pada pandangan warga koloni termasuklah membersihkan tangki najis, mencuci tandas, menggaul cengkerik-cengkerik untuk dijadikan hidangan koloni dan juga apa jua pekerjaan yang melibatkan kerja-kerja pembersihan dan kumbahan sisa sampah. Walaupun stesen angkasa ini pada kebanyakkan waktu akan diuruskan dan dibersihkan oleh robot perayap, tetapi ada kalanya juga kerja yang sukar untuk dilakukan oleh jentera bergerak itu akan tetap dilaksanakan oleh manusia disini.

Namun, undang-undang ini hanyalah terpakai kepada warga koloni yang berusia enam belas tahun dan ke atas. Warga koloni yang lebih muda tidak akan dinilai melalui kamera litar tertutup. Penilaian mereka tertakluk kepada indikator-indikator utama penentu kepada indeks penilaian prestasi ibu bapa mereka ketika berada di stesen angkasa ini. Daripada kefahaman aku, perkara ini dilakukan bukanlah bertujuan untuk intipan setiap tingkah laku anggota koloni, tetapi pihak pentadbir Athria-Gemilang mahu setiap warga koloni untuk kekal berdisiplin tinggi, berdaya saing dan berintegriti dalam apa jua perkara yang dilakukan mereka.

Seusai selesai sahaja menyudahkan makan malam bar cengkerik di kompartmen dewan makan, kami berdua terus sahaja meluru keluar daripada kompartmen dewan makan terbabit dan terus menuju ke arah kompartmen bilikku. Sampai sahaja ke kompartmen bilikku, kami terus sahaja membuka beg galas yang terkandung di dalamnya buku Laporan "Misi Episiklus Cakerawala LXX" itu. Buku laporan berkenaan kelihatan sedikit usang dan berhabuk. Secara fizikalnya, buku laporan berkenaan seakan-akan sebuah kitab lama yang dicetak halaman dalamannya dengan menggunakan kertas bulky yang berwarna kekuning-kuningan luntur. Pada halaman kulitnya pula adalah kulit buku tebal yang berwarna biru nilakandi dan terpapar perkataan 'Misi Episiklus Cakerawala LXX' yang berwarna keemas-emasan lusuh.

     Pada muka surat pertama buku laporan itu menjelaskan tentang ringkasan eksekutif berkenaan ramalan saintis terdahulu yang menyatakan bahawa tahap kepekatan cemaran radiasi di permukaan bumi dijangkakan semakin pulih menjelang tahun ke tujuh puluh  manusia berkoloni di angkasaraya. Ini berdasarkan kepada maklumat analisis, cerapan data-data lapangan, pembuktian model yang telah diunjurkan dan juga ramalan yang telah dikira dan dikaji secara tepat dengan menggunakan teknologi kecerdasan pintar termaju pada waktu itu. Ringkasan eksekutif itu juga memberi amaran tentang kemungkinan hidupan dan makhluk di bumi yang telah termutasi secara genetiknya, tidak kiralah samada manusia, haiwan mahupun tumbuhan yang dapat mandiri daripada kejadian 'Letupan Besar'. Perubahan genetik kepada hidupan ini adalah sebagai akibat daripada dedahan kadar sinaran radiasi yang terlampau tinggi, tujuh puluh tahun yang lalu.

     Oleh itu, dalam perenggan terakhir ringkasan eksekutif pada muka surat pertama laporan 'Episiklus Cakerawala LXX' itu mencadangkan bahawa koloni Cakerawala ini seharusnya menghantar sepuluh orang dahulu ke permukaan bumi. Ini bagi melihat, mentafsir, mengkaji, mencerap, dan akhirnya membuat kesimpulan samada warga koloni yang di hantar itu dapat kekal mandiri dalam persekitaran baharu itu ataupun tidak.

     Seusai sahaja aku dan Æezzul selesai membaca ringkasan eksekutif itu, kami berpandangan sesama sendiri sambil menelan air liur masing-masing. Rasa gerun sedikit mengganggu dihati apatah lagi mereka yang bakal terpilih kelak perlu berkorban untuk kemaslahatan anggota koloni yang lainnya. Aku baru sahaja ingin tampil ke hadapan dengan rela hati untuk menjadi sukarelawan antara mereka yang terpilih untuk dihantar ke permukaan bumi yang telah tercemar. Nampaknya, niat itu perlu dibatalkan jikalau beginilah gayanya.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top