VII : Mesyuarat Agung

HARI yang dinanti-nantikan telahpun tiba. Aku bangkit daripada tidur seawal jam enam pagi sebelum menunaikan solat subuh dan bersarapan. Ibu bapaku telah lama keluar untuk meneruskan tugas di stesen angkasa ini. Beginilah rutin harianku. Namun awal pagi ini, ada satu misi yang perlu aku lunaskan sebelum memulakan apa-apa aktiviti. Hari ini merupakan hari mesyuarat agung tahunan bagi seluruh kepimpinan tertinggi stesen angkasa Athria-Gemilang ini.

     Hari ini juga, Komander Æzarnoush akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai langkah selanjutnya dan seterusnya membuat penilaian risiko tentang rancangan 'Misi Cakerawala LXX' ini. Oleh itu, sebelum mesyuarat ini bermula tepat pukul sembilan pagi, aku perlu meletakkan peranti ini di ruangan lohong udara yang memisahkan antara kompartmen Pentadbiran dengan kompartmen Pertanian. Seperti biasa, aku akan menyusup masuk melalui lohong udara di kompartmen Pertanian dan perlahan-lahan menyusup ke kawasan kompartmen Pentadbiran.

Misi ini harus aku selesaikan dengan pantas dan tuntas namun penuhlah dipasang dengan penuh berhati-hati dan cermat, sepertimana menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Selepas bersarapan, aku mengambil peranti berkenaan dan di letakkan ke dalam beg sekolahku dengan cermat. Kemudian, aku akan ke kompartmen Pertanian di mana tempat ibuku bekerja. Lalu, ketika berada di kompartmen Pertanian, aku akan menyusup perlahan-lahan ke kawasan lohong pengudaraan yang menghubungkan antara kompartmen Pentadbiran dengan bahagian bilik mesyuarat.

Pada ketika itu, aku akan meletakkan peranti yang telah dihidupkan dengan dikuasakan bateri bersaiz AAA lalu menyambungkannya dengan komputerku yang telah dihidupkan pada awal pagi tadi melalui teknologi Near Field Communication (NFC). Peranti berkenaan pula diletakkan di dalam lohong pengudaraan dan diletakkan menghadap ke kawasan meja mesyuarat supaya aku mendapat visual dan audio yang jelas. Selepas peranti berkenaan berjaya di sambungkan dengan komputer milikku, aku akan kembali ke bilikku untuk mempersiapkan diri dan merakamkan segala maklumat-maklumat penting yang dibangkitkan dalam mesyuarat ini. Selepas peranti berkenaan berjaya disambungkan, segalanya akan dikawal secara atas talian sahaja melalui komputer berkenaan. 

     Tepat pukul sembilan pagi, mesyuarat agung tahunan yang melibatkan jawatankuasa tertinggi koloni Cakerawala mula bersidang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Komander Æzarnoush dan turut dihadiri oleh kesemua wakil bahagian operasi di stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Madam Ælicia yang menderaf minit mesyuarat ini turut hadir. Daripada bahagian pentadbiran sehinggalah ke bahagian selenggaraan, kesemuanya hadir bagi mengemukakan laporan, cadangan, jangkaan mahupun kritikan terhadap sistem yang ada di stesen angkasa Athria-Gemilang ini.

"Assalamualaikum w.b.t semua..." Komander Æzarnoush memulakan mesyuarat agung tahunan dengan ungkapan salam kepada seluruh perwakilan yang hadir ke mesyuarat berkenaan.

"Tujuan saya mengadakan mesyuarat agung tahunan ini adalah kerana ingin mengetahui kemaskini terbaharu mengenai seluruh kompartmen yang berfungsi di dalam stesen angkasa ini. Selain itu, saya ingin meminta pandangan daripada setiap perwakilan yang hadir tentang apa-apa isu yang berbangkit, tidak kiralah sepanjang kita berada di dalam kapal angkasa ini ataupun isu-isu yang kelihatan remeh-temeh. Berdirinya saya disini, kerana ingin membincangkan juga mengenai sebarang hal berkenaan buah fikiran kalian dan saya sendiri, untuk kita perbincangkan secara mendalam dan kritis supaya tiap kegusaran dapat dipadamkan serta cakap-cakap belakang mengenai kepimpinan yang ada kini."

"Kita mulakan dengan kemaskini isu-isu teknikal daripada saudara Æcharl, pegawai turus tadbir bahagian penyelenggaraan." Komander Æzarnoush memulakan mesyuarat dengan isu-isu teknikal terlebih dahulu.

     "Baiklah. Terkait dengan isu-isu teknikal, pada tahun ini sahaja, kami di bahagian penyelenggaraan telah melakukan pelbagai aktiviti selenggaraan berkaitan panel solar, alatan penujah dan juga bahagian tangki oksigen yang membekalkan oksigen untuk stesen angkasa ini sebanyak dua belas kali. Kebanyakannya berpunca daripada masalah dihentam oleh sampah angkasa dan juga satelit kuno yang menerawang di angkasaraya. Ahli-ahli teknikal kami terpaksa melakukan EVA yakni berjalan ke luar badan stesen angkasa dengan sut angkasawan Orlan khas sebanyak sepuluh kali bagi menyelenggara, menukar dan menampal samada bahagian yang rosak, bocor mahupun alatan yang sudah lusuh."

     "Baki lagi dua aktiviti penyelenggaraan tertumpu pada bahagian penujah dan juga bahagian enjin utama stesen angkasa ini, Komander." ujar Æcharl lagi.

     "Bagus. Untuk bahagian tangki oksigen dan engin, berapa lama lagikah kita boleh bertahan? Cukupkah bahan api yang kita ada untuk kuasakan enjin ini sehingga ke satu-satu masa tertentu?" Komander Æzarnoush ingin mengetahui jangka hayat enjin dan bahan api yang ada.

     "Untuk tangki oksigen, jikalau dikira bersama dengan inventori didalam stor yang kita ada termasuklah digunakan saat-saat kontigensi kelak, kita mempunyai bekalan tambahan selama enam bulan. Namun, tangki oksigen ini merupakan jenis isian semula dan menggunapakai teknik penukaran gas karbon dioksida yang dilepaskan oleh penduduk koloni. Oleh itu saya kira, bekalan oksigen kita cukup dan boleh bertahan sehingga menjangkau ke satu tempoh yakni lebih kurang satu tahun daripada sekarang."

   "Komander, dari segi bahan api pula, kita menggunapakai bahan api berkuasa solar yang dijana melalui panel-panel solar yang ada. Jadi, bahan api bukanlah masalah besar di stesen angkasa ini. Oh ya, saya mencadangkan untuk mendapatkan serapan tenaga solar yang maksimum, kita perlu lakukan proses pembersihan pada solar panel di bahagian luar badan stesen angkasa ini secara berkala, Tuan."

    "Baiklah. Mengenai bekalan oksigen, saya akan fikirkan bagaimanakah caranya kita mahu bertahan dalam situasi ini. Saya ingin tanya, bilakah kali terakhir kita mengelap bahagian solar panel ini ya?" Komander Æzarnoush menyoal kembali Æcharl. Æcharl berdiri lalu memberikan penjelasan.

     "Tuan, untuk rekod. Kali terakhir kita melakukan kerja-kerja pembersihan besar-besaran pada panel solar ini adalah pada dua tahun yang lepas, yakni ketika majlis gotong-royong perdana." Madam Ælicia mencelah.

     Komander Æzarnoush hanya mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham dengan penjelasan yang diberikan oleh Æcharl dan juga Madam Ælicia.

   "Baiklah. Ælicia, bolehkah kamu aturkan untuk pesalah-pesalah juvana kita untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dibahagian luar dan dalam stesen ini, termasuklah proses pembersihan pada bahagian panel solar ini?"Komander Æzarnoush mengarahkan kepada Madam Ælicia untuk mengaturkan banduan-banduan melakukan kerja-kerja pembersihan.

     "Tetapi tuan, kerja pembersihan panel solar memerlukan seseorang yang mahir dalam EVA..." Æcharl mencelah.

     "Itu saya tidak mahu ambil tahu. Yang penting, panel solar kita dapat dibersihkan dan beroperasi dengan baik." Komander Æzarnoush memberikan kata putus.

"Baiklah, Komander. Saya akan pastikan segalanya berjalan lancar." Æcharl kembali duduk.

     "Okay, kita bergerak ke bahagian sumber bekalan makanan dan bekalan air. Æylen, silakan." Komander Æzarnoush memberikan laluan kepada Puan Æylen selaku ketua bahagian bekalan makanan. Puan Æylen berdiri lalu memberikan penjelasan ringkas mengenai bahagian yang berada di bawah tanggungjawabnya itu.

"Terima kasih, Komander Æzarnoush. Untuk bahagian logistik dan bekalan makanan, setakat ini bekalan makanan kita masih pada tahap optima kecuali beberapa makanan ruji seperti beras dan juga bijirin. Untuk haiwan dan sumber protein pula, kita sudah mencatu beberapa sumber makanan supaya boleh bertahan lebih lama..."

"Æylen, berapa lama kesemua bekalan kita boleh bertahan?" Komander Æzarnoush menyoal kembali Puan Æylen.

"Kalau menurut perkiraan musim menuai yang akan datang, bekalan makanan kita boleh bertahan sehingga tempoh tiga bulan sahaja daripada sekarang. Tempoh tiga bulan ini termasuklah unjuran pertambahan populasi penduduk untuk jangka masa tempoh tiga bulan ini." terang Puan Æylen lagi.

"Tuan Komander. Penduduk Athria-Gemilang sudah semakin sedar yang bahagian  makanan mereka menjadi semakin berkurangan sabah hari. Jika perkara ini berterusan, saya risau akan berlaku satu lagi revolusi besar-besaran oleh seluruh koloni..." Madam Ælicia mencelah.

"Æylen, haiwan apakah yang paling banyak di bahagian kompartmen Pertanian dan boleh digunakan untuk membekalkan sumber protein yang cukup kepada seluruh koloni Athria-Gemilang ini?" Komander Æzarnoush tidak mengendahkan celahahan Madam Ælicia dan terus bertanyakan soalan kepada Puan Æylen.

"Kalau ikutkan, serangga cengkerik lah yang paling banyak hidup di bahagian pertanian dan cengkerik juga membekalkan sumber protein yang cukup untuk..." belum sempat lagi Puan Æylen menghabiskan justifikasinya. Namun, masing-masing sudah berpandangan antara satu sama lain.

"Cengkerik? Menarik juga idea tu." ujar Komander Æzarnoush sambil mengusap-usap janggutnya itu.

     Aku yang ketika itu sedang tekun menonton visual dan mendengar patah demi patah isi kandungan mesyuarat terbabit melalui paparan skrin komputer ini hampir-hampir sahaja tersedak tika mendengarkan secara teliti akan bait-bait kata tersebut. Itu merupakan satu idea gila yang pernah diungkapkan oleh Komander Æzarnoush.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top