VI : Misi Rahsia Cilik

UNTUK memastikan segalanya berjalan dengan lancar tanpa diketahui oleh sesiapapun, Æzart meminta sela waktu daripadaku untuk melunaskan misi rahsia yang dirangka disamping kerja hakikinya yakni menyelenggara sekitar kawasan stesen angkasa Athria-Gemilang. Dia meminta aku untuk memberikannya satu tempoh masa yang tertentu, yakni dalam anggaran selama kurang seminggu untuknya merekayasa segala peranti terbabit sepertimana rekabentuk yang aku pinta sebelum itu. Æzart juga meminta aku untuk melunaskan sebarang bentuk bayaran kepadanya melalui sistem barter secepat yang mungkin sekiranya peranti itu sudah siap untuk dipasang kelak. Æzart tidak mahu langsung terlibat dengan proses pemasangan itu nanti baik secara langsung mahupun secara tidak langsung. Oleh itu, dia tidak mahu sebarang tanda cap jari atau apa-apa tanda yang boleh menterjebakkan dirinya serta apa-apa kesan penanda yang ada pada alatan terbabit.

     Kata Æzart, dia akan menggabungkan pelbagai elemen sekuriti tertinggi dalam alatan terbabit supaya tidak mudah dikesan oleh sensor-sensor berteknologi tinggi yang ada pada stesen angkasa ini. Selain alatan anti-magnet, dia juga akan memasukkan beberapa unit kapasitor, unit perintang dan beberapa aplikasi terpasang untuk mengelakkan daripada serangan cyber hacktivism berbentuk Distributed Denial of Service (DDoS) yang kebiasaannya datang daripada bahagian deck utama stesen angkasa ini. Æzart turut menerangkan yang dia akan kerap kali menyemak dan mengemaskini sistem pertahanan sedia ada peranti seperti web application firewall (WAF), Intrusion Prevention System (IPS), anti-DDoS protection dan load balancer bagi mencegah sebarang aktiviti serangan siber.

     Apa yang aku faham, Æzart menggabungkan bahan-bahan kitar semula termasuklah sampah angkasa dan bahan-bahan logam lain yang boleh dikitar semula ini lalu dikumpulkan dan dijadikan sebuah peranti yang ringkas namun berkuasa tinggi. Peranti ini juga turut dilengkapi dengan sebuah kamera beresolusi 100 megapixel yang berkemampuan merakam gambar dan audio pada sudut bokeh. Sebenarnya, aku tidaklah faham sangat pun dengan segala penerangan yang dibuat Æzart, tapi aku cuma bersetuju sahajalah dengan setiap tindak tanduk dia itu. Namun, jikalau kantoi busuk-busuk, tak mustahil aku dan Æzart boleh dihukum seberat hukuman diapungkan ke bahagian luar stesen angkasa ini. Matilah kami semua. Ayuhlah sama-sama kita berdoa semoga misi ini tidak gagal dan tidak kantoi.

     Setelah tempoh seminggu masa yang diberikan, peranti yang aku perlukan telahpun siap dan sedia untuk digunakan. Æzart secara rahsia telah menyerahkan peranti terbabit kepada aku untuk dipasangkan berdekatan kawasan dewan mesyuarat utama yang boleh dimasuki melalui ruangan laluan pengudaraan yang terletak diantara laluan utama stesen dengan dewan mesyuarat utama yang terletak di kompartmen pentadbiran. Seperti yang pernah aku ceritakan sebelum ini, ruangan udara ini kecil sahaja dan memerlukan saiz tubuh yang kecil untuk proses pemasangan. Mujur sahajalah saiz badan aku muat-muat sahaja saiznya dengan bahagian ruang pengudaraan terbabit. Jadi, aku tidak memerlukan bantuan daripada sesiapapun untuk melunaskan misi ini. Peranti itu pula hanyalah perlu plug pada bateri yang telah disediakan dan terus boleh disambungkan dengan komputer milikku. Aku gelarkan misi ini sebagai 'Misi Rahsia Cilik'.

     Peranti ini secara umumnya merupakan sebuah peranti perakam suara yang bersifat nirwayar dan menggunakan teknologi Near Field Communication (NFC). Peranti ini dikuasakan oleh sebiji bateri bersaiz triple A dan mampu bertahan untuk tempoh selama empat puluh lapan jam yakni termasuk kadar masa pemindahan data ke peranti lain. Selepas terpadam, bateri ini akan memati dan menghapuskan bukti iaitu peranti rakaman dan menjadikan peranti ini tidak ubah seperti debu-debu halus yang berterbangan disekitar kawasan stesen angkasa Athria-Gemilang. Nampak seperti segala rancangan akan berjalan dengan lancar bukan? Cuma, ada satu masalah berbangkit sahaja berkenaan dengan peranti ini.

     Apabila pemindahan data antara peranti dengan komputer milik aku sedang berlangsung kelak, peranti ini akan mengeluarkan sedikit bunyi-bunyian yang agak bising, sekitar 23 desibel sahaja kekuatannya. Bunyi ini hanyalah bunyi 'beep beep beep' namun sudah cukup kuat untuk didengari di dalam bilik mesyuarat yang kalis bunyi terbabit, jikalau diamati dengan lebih cermat. Proses pemindahan data akan dilakukan secara Near Field Communication (NFC) dengan bantuan antenna yang tersedia. Apa yang merisaukan adalah, penggodam professional yang ada di dalam stesen ini. Ini cukup membimbangkan apalagi jikalau sebarang langkah yang aku aturkan nanti akan menemui jalan buntu ataupun kecundang dek kerana penggodam professional ini.

     Penggodam professional yang ditugaskan oleh pihak pentadbir stesen angkasa Athria-Gemilang telah diberikan tugas dan amanah untuk menjaga sebarang kerahsiaan data rasmi kerajaan di dalam stesen angkasa Athria-Gemilang. Ini bagi memastikan tidak ada walau sekelumit maklumat rahsia dan sulit pun terlepas ke pengetahuan orang awam dan seterusnya akan disebarkan ke serata pelusuk koloni. Antara penggodam professional yang aku kenal di dalam stesen angkasa ini bernama Æng Tan Wah. Dia antara juru godam paling digeruni di dalam stesen angkasa ini.

Tapi, walau bagaimana cara sekalipun, aku tetap akan meneruskan perancangan asal aku untuk mengetahui isi kandungan tentang mesyuarat yang bakal dilaksanakan oleh majlis tertinggi kepimpinan stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Aku ingin benar mengetahui akan isi kandungan serta rancangan-rancangan yang ada di dalam fail sulit 'Misi Cakerawala LXX' yang telah menjadi rahsia terbesar setiap kepimpinan stesen angkasa Athria-Gemilang sejak zaman berzaman lagi.

Fail sulit ini diperkirakan sebagai rancangan  paling sulit pihak kerajaan dan digambarkan sebagai sebuah pelan kontigensi terakhir yang perlu diambil oleh kepimpinan tertinggi stesen angkasa ini sekiranya berlaku masalah pada stesen angkasa ini, sekiranya permukaan bumi sudah dapat ditentu sahkan selamat didiami ataupun mereka sudah mencapai tempoh tertentu yang diperlukan untuk mendarat di permukaan bumi. Walaupun begitu, sehingga kini belum ada maklumat lanjut yang mengatakan bahawa permukaan bumi sudah selamat untuk didiami kembali dan selama ini, mereka hanya menafsir keadaan bumi dengan menggunakan pemerhatian secara langsung tanpa sebarang pembuktian saintifik mahupun sebarang bukti lapangan.

Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa stesen angkasa ini sedang mengalami kecelaruan masalah ataupun apa yang dipanggil sebagai 'masalah dalaman dan luaran' yang bermaksud bahawa segala autonomi dan tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesejahteraan hidup keseluruhan koloni akan bergantung sepenuhnya kepada Komander yang bertugas, yakni Komander Æzarnoush. Namun, Komander Æzarnoush nampaknya seperti hilang arah tuju dan bingung dengan segala episod malang yang sedang menimpa stesen angkasa Athria-Gemilang ini. Mahu tidak mahu, dia terpaksa akur dan membuka kembali fail paling sulit yakni fail 'Misi Cakerawala LXX' untuk mengeluarkan seluruh koloni Athria-Gemilang ini daripada belenggu permasalahan yang berpanjangan kelak.

Kecelaruan masalah dapat dilihat daripada pelbagai sudut termasuklah daripada segi kekurangan sumber bahan makanan, kerosakan teknikal pada badan stesen angkasa ini yang kerap kali terjadi dan episod pelanggaran dengan stesen angkasa milik negara lain yang hampir-hampir sahaja mendatangkan kemudaratan kepada seluruh koloni, masalah kekurangan sumber bekalan air, masalah populasi berlebihan yang membuatkan stesen angkasa ini semakin memberat dan menjadi perlahan ketika mengorbit bumi dan juga masalah-masalah teknikal yang lain.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top