V. Misi Rekayasa

PALING menarik, stesen angkasa milik China iaitu YOUSHÉNG yang mempunyai satu tujuan iaitu mahu mengubah planet berdekatan yakni planet Marikh menjadi 'bumi' ataupun disebut sebagai 'Terraformasi'. Cita-cita negara China ini bertujuan mahu mengubah keadaan atmosfera, suhu, permukaan dan habitat ekologi sesebuah planet supaya mirip menjadi seperti bumi ketika waktu sebelum episod pencemaran radiasi besar-besaran sehinggalah boleh dihuni oleh koloni manusia. Saintis China menjadikan planet Marikh sebagai planet yang sesuai untuk di lakukan proses 'Terraformasi'.

Namun, semua ini masih dalam fasa awal dan proses ini memakan masa selama berpuluh-puluh tahun lagi untuk planet Marikh ini boleh didiami oleh manusia. Ia digambarkan seperti menghijaukan kawasan padang pasir yang gersang dan tandus tetapi mempunyai kawasan oasis dan sumber air yang amat terhad. Sebelum ini, banyak robot perayau yang dilancarkan di permukaan Marikh termasuklah robot Curiosity, robot perayau HOPE, robot perayau Zhurong dan juga robot perayau Perseverance yang bertujuan untuk mencari bukti kehidupan di planet misteri itu.

Kadar graviti di planet Marikh adalah sebanyak 0.38 kali berbanding graviti di bumi manakala kepadatan atmosferanya hanya sebesar 0.6% berbanding kepadatan atmosfera di bumi. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kepadatan atmosfera planet Marikh adalah amat sedikit selain mempunyai tekanan udara yang cukup rendah. Tanpa menggunakan peralatan dan juga sut angkasawan yang bersesuaian dengan keadaan atmosferanya, kulit manusia akan terbakar dalam masa beberapa minit oleh pancaran sinaran matahari sehingga boleh menyebabkan darah manusia menggelembung. Keseluruhan komposisi udara planet Marikh terdiri daripada karbon dioksida. Oleh itu, manusia memerlukan tangki bantuan oksigen ketika bernafas di kawasan permukaannya. Namun, negara China telah berjaya mencipta sebuah bangunan di planet Marikh yang mana bahan binaan bangunan terbabit terdiri daripada bahan nanotube yang di ekstrak pada sumber bahan-bahan buangan satelit yang sudah tidak digunakan lagi.

Waima negara Malaysia pula? Ya. Stesen Athria-Gemilang hanya menunggu sahaja  selama 70 tahun ini di sekitar orbit bumi ini. Kami tidak pernah mengembara ke mana-mana lokasi ataupun bergerak diluar orbit bumi. Kami hanya menerawang di orbit sekitar bumi sahaja dengan keterbatasan jumlah bekalan makanan dan oksigen yang ada, dengan harapan planet bumi akan pulih dalam masa beberapa tahun lagi. Dengan kata lain, kami hanya berputar-putar sahaja, sambil memantau sebarang perkembangan dan perubahan fizikal yang berlaku di planet bumi. Sesekali, kami dapat memerhatikan letusan gunung berapi yang amat besar yang ditandai dengan kemunculan kepulan asap berwarna kelabu kecoklatan yang tebal sehingga boleh diperhatikan sejauh beberapa ratus kilometer di stesen angkasa Athria-Gemilang ini.

Pada masa-masa tertentu pula, kami dapat menyaksikan episod riak air yang begitu besar seakan-akan ombak besar di bahagian lautan, dipercayai terjadi akibat kejadian tsunami yang dicetuskan oleh aktiviti seismik ataupun gempa bumi bawah laut. Di sepanjang masa, hanya litupan awan berwarna putih yang kelihatan menyelubungi kawasan lautan dan juga benua. Pada penglihatan mata kasar kami, permukaan bumi kelihatan seakan-akan berwarna kemerah-merahan pudar.

Warna ini dipercayai akibat berleluasanya cemaran radiasi yang bertebaran ke seluruh pelusuk dunia yang telah mengubah atmosfera asal planet bumi. Kadangkala, ribut radiasi yang ditandai dengan pusaran besar awan berwarna kelabu gelap dan juga hujan asid turut dapat dicerap daripada stesen angkasa Athria-Gemilang ini sehingga menyebabkan tiada lagi kehijauan tumbuhan khususnya di benua Amozonia dan juga Borneo. Namun tahun demi tahun beralih, bumi seakan-akan sudah semakin 'pulih daripada sakit' dan warnanya kian menghijau khususnya dibahagian benua-benua utama. Warna air lautan pula yang pada asalnya berwarna keperang-perangan, kini semakin bertukar menjadi warna kebiru-biruan gelap dan ada kalanya berwarna biru-kebiruan cair.

Lapisan ais di kawasan kutub utara dan kutub selatan juga kembali melitupi kawasan daratan yang dahulunya berwarna keperang-perangan pekat. Litupan ais ditandai dengan warna keputih-putihan yang memantulkan cahaya matahari. Kami di stesen angkasa ini, hanya mengenali bumi dengan melihat kepada rupa bentuk dan perbezaan ketara pada warna sahaja. Ada jugalah kami belajar tentang perkara asas berkenaan bumi seperti benua, hutan, lautan dan pelbagai lagi geografi berkenaan bumi, namun hakikatnya kami langsung tidak dapat melihat, menyentuh, merasai dan menghirup udara segar dengan organ kami sendiri. Kami hanya dapat melihat melalui gambar yang diambil oleh penduduk bumi yang terdahulu sebelum bermulanya episod pandemik 'Awanama Kosmos' dan tragedi 'Letupan Besar' itu dahulu.

***

Ketika sedang ralat mencerap keadaan permukaan bumi yang memukau itu, aku tiba-tiba sahaja mendapat satu idea yang cukup gila tetapi agak bernas jikalau difikirkan kembali. Untuk mendapatkan maklumat mengenai perincian 'Misi Episiklus LXX' yang bakal dibahaskan pada mesyuarat agung tahunan minggu depan, aku perlu melakukan satu rekayasa elektronik terpasang. Rekayasa bermaksud satu tindakan terhadap penerapan unsur-unsur ilmu, budaya, dan sebagainya dalam perancangan, meka­nis­­­me kerja, dan lain-lain sebagai asas dalam melaksanakan se­suatu perkara. Oleh itu, aku perlu pergi ke jabatan penyelenggaraan untuk menyelesaikan misi rekayasa ini.

Di Jabatan Penyelenggaraan ini, terdapat seorang kenalanku yang bernama Æzart. Æzart merupakan seorang remaja genius berpangkat juruteknik, mempunyai rambut yang sedikit kerinting, mempunyai alis mata seakan-akan orang Cina serta berumur tiga tahun lebih tua berbanding umurku. Di jabatan inilah, segala jenis aktiviti selenggaraan terutamanya berkaitan tangki oksigen yang rosak, mesin penyulingan air yang tidak berfungsi, panel solar yang dilanggar serpihan sampah angkasa, pokoknya segala urusan berkaitan dengan isu teknikal di sekitar stesen angkasa Athria-Gemilang ini akan dihantar ke sini. Kadangkala, Æzart berpeluang untuk melakukan aktiviti EVA apalagi apabila melibatkan kerja-kerja selenggaraan di luar stesen angkasa ini. Jikalau dia melakukan aktiviti EVA, dia akan dipantau oleh jurutera bertugas, iaitu Æman. Secara peribadi, aku tak berapa kenal sangat dengan Æman. Mungkin sebab pangkatnya yang terlalu tinggi dan jurang usia yang agak jauh denganku, yakni sepuluh tahun membuatkan aku jarang berkomunikasi dengan dia.

Namun, jauh di lubuk hatiku, aku teringin juga untuk menimba ilmu dan pengalaman khususnya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa ini daripada Æman. Lagipula, kerjaya jurutera aeroangkasa amat dipandang tinggi oleh seluruh koloni Cakerawala ini kerana mereka sanggup merisikokan nyawa mereka untuk kemaslahatan seluruh penduduk koloni disini. Tapi memandangkan cakap-cakap Æzart bahawa si Æman ini agak pendiam dan tidak suka bersosia , aku melupakan hasrat untuk proses mengenali insan seorang ini.

Berbalik kepada pertemuan aku dengan Æzart di kompartmen penyelenggaraan itu, aku menyatakan hasrat kepada Æzart untuk merekayasa satu alat telekomunikasi yang boleh merakam suara pada satu jangka masa tertentu dan boleh di koordinasi pada satu jarak tertentu tanpa dapat dikesan oleh alatan di stesen angkasa ini. Pada mulanya, Æzart menolak cadangan aku mentah-mentah dengan alasan, dia tidak mahu bersekongkol dengan budak nakal seperti aku. Takutnya dia boleh dikenakan hukuman penjara ataupun lebih teruk, diapungkan dari stesen angkasa ini . Tapi, selepas proses 'rundingan damai' yang memakan masa selama sejam berlangsung, akhirnya Æzart bersetuju untuk merekayasa alatan tersebut dengan menetapkan beberapa syarat yang luar biasa. Perangai Æzart tak pernah berubah sejak daripada dahulu lagi.

Syarat pertama adalah, dia mahukan beberapa jenis buah-buahan seperti strawberi, epal, limau dan oren yang berada di kompartmen Pertanian sebagai syarat bayaran kepada tugas bahaya yang bakal dia laksanakan kelak. Buah-buahan teramatlah mahal harganya disini dan hanya individu-individu tertentu sahaja yang dapat menikmati makanan 'kayangan' ini. Syarat kedua pula adalah, dia mahu aku sendiri yang memasang alatan tersebut tanpa campur tangan daripadanya. Syarat ketiga pula, segala rakaman dan dedahan maklumat haruslah dipadam sejuruh selepas mereka mendengar isi kandungan mesyuarat tersebut bagi menghalang sebarang kebocoran maklumat. Stesen angkasa ini bukalah satu tempat yang luas, jadi sebarang penyebaran maklumat amatlah pantas tersebar. Syarat terakhir adalah jika apa-apa sahaja perkara buruk yang bakal berlaku kelak, dia tidak mahu namanya terkait dengan segala perancangan dan komplot ini. Pada saat ini, terlintas difikiranku, adakah aku sebenarnya sedang merancang untuk merampas kuasa daripada Kapten Æzarnoush? Rasanya tidak.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top