IX : Idea Gila

"SEPERKARA LAGI, sebelum kamu ingin membentangkan segala rancangan serta idea kamu, laporkan dahulu bahagian yang kamu in-charge tu, yakni bahagian sains, inovasi, bahan kajian dan makmal." Komander Æzarnoush memberikan ruang kepada Ædib, ketua bahagian sains, bahan kajian dan makmal untuk mempersembahkan laporan bahagiannya pula.

Ædib merupakan seorang insan yang amat tidak digemari oleh ramai penduduk koloni di stesen angkasa Athria-Gemilang. Ini kerana perangainya yang suka bersembang lebat, tak semenggah, kuat ber-palatao dan suka menunjuk-nunjuk akan kebolehan dirinya. Itu belum masuk lagi idea-idea gilanya yang telah membuatkan ramai orang merana dan menderita dek kerana ideanya yang tidak masuk akal. Mujur sahajalah tiada santau mahupun sihir yang ada di stesen angkasa ini, jikalau tidak, dialah orang pertama yang akan di santau oleh masyarakat koloni Cakerawala ini.

     Ædib jugalah insan yang bertanggungjawab dalam membawa idea untuk mencatu bekalan makanan di stesen angkasa ini selain hukuman mengapung pesalah sehingga mati dengan alasan mahu mengurangkan populasi penduduk koloni ini. Dia akan menggunakan apa cara sekalipun atas nama sains sebagai justifikasi kepada segala perkara yang dilakukan sehinggalah idea berkenaan diterima oleh Komander Æzarnoush. Matlamat tidak menghalalkan cara.

     "Baiklah, Komander Æzarnoush. Selamat pagi. Hari ini, berdirinya saya disini untuk membentangkan laporan mengenai bahagian di bawah saya yakni bahagian sains, inovasi, teknologi dan makmal. Setakat ini, di bahagian makmal, kami tidak melaporkan sebarang maklumat berkaitan kebocoran bahan-bahan ujikaji dan juga virus-virus yang tersimpan di dalam bahagian makmal kami."

"Selain itu, demi menyokong usaha yang telah disuarakan oleh Komander Æzarnoush mengenai pengenalan cengkerik dalam diet seharian warga koloni, kami selaku unit inovasi akan melakukan beberapa siri eksperimen dan kaedah bersesuaian untuk memastikan bekalan makanan di stesen angkasa ini tidak terjejas. Oleh itu, saya mencadangkan agar cengkerik berkenaan di hancurkan menjadi tepung lalu di tukar bentuknya menjadi bar coklat yang berkhasiat." Ædib memulakan pengucapan awam dengan membuat pembentangan ala-ala debat di Parlimen.

     "Selain itu, bagi mengurangkan populasi penduduk koloni yang berlebihan ini, saya mencadangkan agar kita melepaskan beberapa siri virus seperti 'Spanish Flu' dan 'Covid-19' yang tersimpan dalam koleksi makmal kita. Sekurang-kurangnya, populasi penduduk akan menjadi seimbang kembali dan stesen angkasa ini boleh beroperasi seperti sediakala." ujar Ædib sambil matanya tepat memandang ke arah Komander Æzarnoush dan seterusnya mengakhiri perbahasan ilmiah terbabit.

"Bukankah itu satu cara yang kejam untuk menghapuskan sebahagian populasi penduduk di stesen angkasa ini selain melanggar perjanjian Hak Asasi Manusia di angkasaraya yang telah ditandatangani oleh Persekutuan Cakerawala semua? Sudah tidak ada cara lagikah yang lebih baik dan bermoral tinggi selain daripada kita terus-terusan menghukum individu yang tidak bersalah? Sudah tidak ada lagikah perasaan kemanusiaan yang tertanam didalam sanubari setiap insan disini?" tiba-tiba Puan Æylen bangkit untuk menyampuk serta mempersoalkan kewajaran idea terbabit.

     "Puan Æylen, puan kena faham yang sekarang ini kita sedang menghadapi satu masalah yang sangat besar, yakni masalah krisis kepupusan manusia. Jikalau kita semua mati, populasi manusia khususnya Bangsa Malaysia tidak akan lagi wujud di dalam sistem suria ini. Sifat kemanusiaan ini tidak akan menyelesaikan masalah yang kita sedang hadapi kini. Kami yakin dan percaya, bahawa dengan cara ini sahajalah kita dapat menyeimbangkan kembali populasi penduduk di stesen angkasa ini." Ædib menyanggah sekeras-kerasnya pernyataan yang dibuat oleh Puan Æylen.

     "Baiklah jikalau itulah pendirian En. Ædib. Kalau begitu, saya mahu lihat keluarga En. Ædib dahululah yang didedahkan dengan virus-virus berbahaya ini. Kita juga mahu lihat sejauh manakah En. Ædib boleh merasakan derita yang ditanggung oleh keseluruhan koloni diluar sana atas cadangan En. Ædib sendiri." Puan Æylen mengemukakan cadangannya kembali dengan penuh perasaan geram.

     "Itu adalah sesuatu perkara diluar norma kebiasaan. Kita tidak menguji sesuatu perkara ke atas ahli keluarga mereka yang berada di dalam dewan mesyuarat ini. Selalunya, kita akan mengujinya kepada masyarakat terbawah, yakni golongan hierarki paling bawah di stesen angkasa ini. Lagipun, jikalau kita dedahkan virus-virus ini kepada ahli keluarga mereka yang berada di dalam mesyuarat ini, keadaan akan menjadi buruk dan siapakah yang akan mengemudi pentadbiran stesen Athria-Gemilang? Keluarga Puan Æylen?" Ædib menyanggah pernyataan yang dinyatakan oleh Puan Æylen.

     "Okay baiklah. Cukup! Cukuplah kamu berdua bertengkar. Untuk isu ini, saya sudah ada idea yang lebih baik. Sebab itulah saya mengadakan mesyuarat agung tahunan ini atas kapasiti sebagai seorang Komander stesen angkasa ini." Komander Æzarnoush cuba menenangkan keadaan yang sedang tegang itu.

     "Menurut laporan yang dikeluarkan oleh buku laporan 'Episiklus Cakerawala LXX' ini, kita akan mendarat di permukaan bumi dalam sedikit masa lagi. Laporan ini juga menyatakan bahawa permukaan bumi sudah selamat untuk didiami pada masa kini dan peluang untuk kita kembali adalah amat cerah. Namun, kita masih was-was mengenai hal ini. Oleh sebab itulah saya ingin menyuarakan satu pandangan berkenaan idea ini." Komander Æzarnoush menyambung sambil mengangkat sebuah buku seakan-akan kitab lusuh berwarna biru nilakandi yang tertulis perkataan 'Episiklus Cakerawala LXX'.

     "Jika kita berjaya mendarat di permukaan bumi, Insya-Allah segala permasalahan berkenaan populasi penduduk berlebihan, kekurangan sumber makanan dan bekalan air, dan juga masalah-masalah lain boleh diselesaikan dengan mudah dan pantas. Tidak ada lagi masalah yang kita hadapi seperti waktu ini." Komander Æzarnoush menambah.

"Namun, kita harus sedar dan percaya bahawa dalam usaha untuk mendaratkan stesen angkasa ini di permukaan bumi, kita haruslah meraih keyakinan dahulu yang mana permukaan bumi betul-betul sudah bebas daripada sisa radiasi dan bahan toksik yang berbahaya dan sesuai didiami kembali. Saya tidak mahu mengorbankan seluruh nyawa penduduk koloni ini semata-mata mahu menyempurnakan rancangan yang separuh masak kelak. "

"Oleh sebab itulah, kita perlu mendapatkan maklumat awal secara saintifik, mempunyai data hitam-putih dan kaedah pembuktian dilapangan yang sebenar demi untuk memastikan keselamatan manusia akan terjamin kelak jikalau kita mahu mendaratkan seluruh koloni ini nanti. Saya mahukan segala data berkaitan kadar oksigen, bacaan radiasi latar dan pelbagai lagi bacaan yang membolehkan membuat keputusan untuk kita kembali semula ke bumi."

"Saya mahu laporan secara bertulis yang sahih daripada pelbagai alatan teknologi yang kita ada disini. Saya mahu menghantar manusia daripada warga koloni stesen angkasa ini sendiri ke permukaan bumi kelak. Bukan semua, tetapi beberapa orang sahaja dengan misi untuk mengumpulkan data survival. Kita akan letakkan pelbagai peranti pemantau di seluruh badan mereka untuk memantau kandungan oksigen dalam darah, tahap penerimaan sinaran radiasi, kadar degupan jantung dan sebagainya dan data pemantauan itu akan dipancarkan secara langsung ke stesen angkasa ini secara masa sebenar ataupun real-time monitoring selepas mereka mendarat kelak." Komander Æzarnoush mengakhiri ucapannya dengan secebis senyuman.

"Tetapi tuan, mengapa kita tidak menghantar dahulu robot ke permukaan? Mungkin ini lebih menjimatkan kos dan dapat menyelamatkan nyawa juga?" Æng menyoal kembali cadangan Komander Æzarnoush.

"Ya. Kita akan menghantar robot juga. Kita akan hantar kedua-duanya, robot dan manusia. Sebabnya? Jikalau kita menghantar peralatan robot sahaja yang dilengkapi dengan pelbagai peranti dan sensor, kamu boleh jaminkah kita boleh menghantar seluruh penduduk koloni selepas itu dengan masa terhad yang kita ada ini? Kita sudah kesuntukan masa." terang Komander Æzarnoush lagi.

"Tapi Komander, kita mahu menghantar manusia yang jenis macam mana?" Ædib pula menyoal kembali cadangan yang disuarakan oleh Komander Æzarnoush itu.

"Kita akan menghantar sepuluh orang pesalah dahulu yang sedang menjalani hukuman di penjara. Sebagai timbal balas, pesalah yang akan dihantar ke permukaan nanti akan diampunkan daripada segala perbuatan dan kesalahan yang mereka lakukan di stesen angkasa ini." ujar Komander Æzarnoush sambil mengakhiri perbincangan mesyuarat agung itu dengan bibirnya mengukir senyuman sinis sambil memegang bahagian janggutnya.

Tiba-tiba, kedengaran seakan-akan bunyi 'bep' yakni gema yang halus sahaja namun berturutan selama beberapa saat, seakan-akan seperti bunyi mesin bom jangka yang sedang kira turun angka di dalam bilik mesyuarat terbabit. Seluruh ahli mesyuarat menjadi panik dan mencari-cari sumber bunyi terbabit.

Pada ketika ini jugalah, peranti yang aku pasang sedang dalam proses akhir menghantar visual dan audio sebelum peranti berada dalam mod pemusnahan kendiri atau self-destructive. Peranti akan menjadi debu semasa proses pemusnahan kendiri di kawasan lohong pengudaraan terbabit berlangsung. Selesai sahaja visual dihantar, peranti berkenaan berjaya menghancurkan dirinya sendiri lalu menjadi debu-debu yang halus dan menghilang ditiup angin pengudaraan di lohong terbabit. Dapat didengari kata-kata terakhir di hujung talian tersebut dimana Komander Æzarnoush memberikan arahan kepada Æng sebelum talian terputus.

"Æng, tolong siasat bunyi apakah yang kita dengar itu tadi, sekarang!" arah Komander Æzarnoush dengan tegasnya lalu audio dan visual berakhir.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top