| 6 |
ELEMENTAL SLAYER
-------------------------
"Kuasa kau bukan terletak pada senjata kau, tapi ia terletak pada keberanian kau dan rasa tanggungjawab."
.
.
.
DITINGGALKAN kedua-dua makhluk sendiri, kucing itu membawa dirinya masuk ke kawasan perkuburan. Kucing itu berjalan menuju ke arah sebuah kubur tanpa memerlukan peta mahupun petunjuk arah. Seolah-olah sudah berhari-hari melawat ke sini!
Ochobot dan Gentar saling berpandangan. "Kita kena ikut dialah kan?" Pertanyaan Ochobot memecahkan kesunyian yang cuma dipenuhi daun terbang dari tadi. Gentar serta-merta mengiyakan. Yalah, sudah diajak... kita ikut sahajalah kan?
Gentar menghampiri kucing tersebut yang sudah merengkok di sebelah batang kayu dibaluti kain. Hampir semua kubur di sini hanya menggunakan batang kayu sebagai batu nisan. Gentar menyapa kucing tersebut. "Err... kau bawa kita orang dekat sini kenapa? Tak akan nak ajak mengingati kematian kot."
Wajah Gentar memenuhi mata kucing itu. Kucing itu kelihatan ragu-ragu pada mulanya tetapi akhirnya dia bersuara juga. "Awak anak murid Tok Sah, kan? Jangan menyampuk dulu. Saya salah satu power sphera dari bekas anak murid Tok Sah."
"Bekas anak murid Tok Sah?" Gentar terdiam seketika. Pandangannya jatuh pada kubur di hadapannya.
"Awak nak belah surat khabar tu kan? Saya ada caranya."
Kini, tangannya mengaut air sungai menggunakan baldi. Ochobot laju mengelak apabila air yang diangkut Gentar hampir sahaja mengenai bulu-bulunya. Ochobot melihat Gentar bersusah-payah mengangkat baldi itu. "Kau pasti ke rancangan dia ni berjaya?"
"Heh, kalau belum cuba... belum tahu!" Gentar menyeringai penuh semangat. Gentar meletakkan baldi ke tanah lalu berlari setempat. "Okey, Ochobot..."
Pemegang baldi itu digapai semula.
"Siapa kalah kena basuh pinggan hari ini!"
Serentak itu, Gentar berdesup berlari melalui lorong itu. Kalah pelumba basikal Le Tour De Langkawi! Ochobot menyedarinya pantas mengekori Gentar. "Hei, tak aci! Mana boleh suruh aku basuh pinggan! Aku kan kucing!" Hendak dekati air pun dia tidak selesa, apatah lagi mahu merendamkan tangannya untuk mencuci bekas sisa orang. Ergh, tolonglah!
"Eh, tapi kau ada tangan juga kan! Boleh basuh pinggan!"
"Kau pun sama juga!"
Walaupun selaju mana Gentar berlari, si kucing Ochobot juga yang menang. Maklumlah, kalau berlari laju sangat, risau baldi itu pula yang terbalik. Tidak fasal-fasal terpaksa patah balik untuk mengangkut air kembali. Biarlah Ochobot melompat-lompat gembira bagaikan kucing mendapat whiskas. Menang atau tidak, dia juga yang kena basuh pinggan nanti.
"Yay! Aku menang! Eh, Gentar?" Ochobot berpusing-pusing setelah tersedar Gentar tiada lagi di situ. Dia terus ke tepi rumah Tok Sah, di mana Gentar pasti berada.
Sampai sahaja, Gentar sudah menuang sebaldi air ke atas surat khabar yang berkeping-keping itu. Tulisan-tulisan yang ada pada surat khabar itu mulai pudar dan bercampur-campur warnanya. Tangannya memeluk batang kayu yang disandarkan pada dinding.
Batang kayu dibawa ke hadapan mata. Dalam masa yang sama, otaknya mengulang kembali nasihat kucing itu semalam.
"Untuk latihan awak... awak bukannya kena guna tangan awak... tapi guna ini." Kucing itu menunding kepalanya sendiri menggunakan tangan gebunya. Terkelip-kelip mata Gentar mendengarnya bersama senyuman tidak mengerti. "Kena hantukkan kepala dekat surat khabar tu ke?"
"Bukanlah!' Kucing itu dan Ochobot seia membantah.
"Biasanya Tok Sah akan latih seseorang yang tak ada kuasa dan tak ada guna dengan latihan macam ni. Latihan yang sama RamenMan pernah lalui. Tetapi tidak bagi tuan saya, sebab dia ada saya." Nasihat kucing itu umpama serampang dua mata! Rasa macam dia dan RamenMan dikutuk pula sementara tuannya diagung-agungkan.
"Jadi macam mana nak belahkan surat khabar tu?" Gentar menghentikan sengihan sombong si kucing itu. Campak mandi sungai baru tahu!
"Awak gunalah otak awak sendiri. Surat khabar itu kan kertas dan... pandai-pandailah fikir." Huh, seperti tidak ikhlas sahaja beri penjelasan. Perasan reaksi tidak puas hati dari pihak sebelah, kucing itu mengeluh paksa. "Pasti kertas ada kelemahan walaupun banyak jumlahnya. Macam... senang koyak bila basah? Senang hancur bila terbakar?"
Ochobot menatap Gentar sedang dia juga teringat kata-kata kucing tadi. Bila difikirkan, nasib baik Gentar tidak cuba membakar surat-surat khabar itu. Kalau tidak, tidak fasal-fasal Tok Sah merempat di kaki lima. Gentar mengeratkan pegangannya.
"Bismillah..."
Batang kayu itu dihayun laju menghempap surat khabar itu. Gentar kemudian menggahar kuat surat khabar itu hingga terkoyak permukaannya. Dari halaman pertama sampailah halaman seterusnya Gentar kerjakan. Dalam masa yang sama, Gentar sudah tersenyum ke telinga sambil tertawa seperti penjahat. Mungkin usaha dalam balas dendam atas kelenguhan tangannya selama ini.
PAK!
Buku lima itu bertembung sama batang kayu. Tok Sah menggoyang-goyangkan tangannya, menghilangkan rasa perit terkena batang kayu tadi. "Nampaknya kamu dah boleh elak serangan tok."
"Tok, saya dah boleh belah surat-surat khabar ini! Tok tak kata kan belah berapa? Kira terbelah juga kan sebab dah terkoyak jadi dua? Saya luluslah, kan?" Gentar meluahkan kemenangannya kepada Tok Sah. Wajahnya pun ceria ibarat budak-budak mendapat gula-gula! Bukan setakat Gentar, Ochobot pun tumpang teruja!
"Betul..." Tok Sah sekali lagi cuba membuat serangan sepintas lalu, menyebabkan Gentar pantas melindungi dirinya. Tok Sah kemudian mengangkat tangan dan mengetuk lembut topi Gentar. "Dan kamu juga dah pandai mengelak."
"Jadi... latihan ni untuk latih Gentar supaya makin bijaklah kan?"
"Hoi!"
"Nak tewaskan syaitan kamu perlukan ini dan ini." Tok Sah menunding ke arah dada Gentar lantas dialih ke kepala Gentar. "Kalau kamu betul-betul nak lawan syaitan tu... kamu kena kuat. Kalau kamu tak kuat, kamu kena pandai. Begitu juga sebaliknya."
"Tapi yang paling penting... semangat kamu nak berjuang. Kerana apa?"
Gentar terkedu seketika. Hatinya mula mengumpulkan pelbagai rasa yang bercampur-baur, namun dia cuba tolaknya ke tepi... tidak mahu rasa itu menguasainya. Sengihannya diangkat kembali ke wajah. "Kira dah selesailah latihan saya? Saya dah boleh dapat pedang ke?"
"Tak..."
Gentar berubah monyok. Ochobot ternganga, terkejut.
"Kamu masih kena berlatih dengan Tok, sebelum pemilihan tu sebulan sahaja lagi. Masa itulah baru kamu boleh dapat pedang." Bicara Tok Sah membuatkan Gentar dan Ochobot melompat riang. Gentar segera menghampiri Ochobot dan kedua-dua mereka melompat dalam bulatan. Paling lucu, Gentar meloncat-loncat seperti katak kerana ingin menyamai ketinggian Ochobot yang hanya kucing itu.
"Terbaiklah Gentar!"
"Hehehe... terbaik!"
Tok Sah mampu menggeleng kecil. Dia sebenarnya tidak menyangka Gentar mendapat idea untuk menggunakan cara itu untuk menyelesaikan latihannya. Sama macam...
Fikirannya kelam.
"Tok nak buatkan air Milo. Rehat-rehat dulu sebelum latihan seterusnya," ujar Tok Sah.
Gentar berhenti terkinja-kinja. Ada sesuatu yang belum selesai lagi. Dia bingkas bangun menuju ke arah Tok Sah yang memanjat anak tangga. "Tok Sah... saya ada sesuatu nak tanya."
Ochobot memandang Tok Sah menoleh ke arah mereka.
"Ezra... bekas anak murid tok, kan?"
"Dan... siapa Amat?"
✨✨✨
Ha, ayo!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top