| 2 |

ELEMENTAL SLAYER
-------------------------
"Kuasa kau bukan terletak pada senjata kau, tapi ia terletak pada keberanian kau dan rasa tanggungjawab. "

.
.
.

                                            "DEY, bila budak ini mahu bangun?"

  "Sabarlah... kau yang ketuk dia guna gayung jamban tadi kan? Dah, dah, mana ramen aku?"

   "Tak habis-habis makan ramen. Rambut pun dah macam ramen. Makanlah makanan berkhasiat juga macam Putumayam, Idli!"

   "Itu makanan berkhasiat kau? Tu pun kau pesan dekat kedai."

   Berdenyut-denyut kepalanya saat mendapat semula kesedarannya. Ditambah pula dengan suara yang tidak berhenti-henti berbalah. "Ergh...." Badannya cuba digerakkan.

   "Aku dekat mana ni?" Gentar mengangkat tangan, namun pergerakannya terbantut. Dia cuba menggerak-gerakkan tubuhnya hingga menyedari, dia telah terikat pada sebatang tiang kayu! "Kenapa badan aku terikat ni? Tolong! Tolong!"

   "Eh, bisinglah kau ni! Kau yang gigit tangan aku tadi, kan?" Lelaki bertopeng pelik itu menunjukkan lengannya yang mempunyai bekas gigitan.

  "Gentar!" Ochobot yang baring di atas pangkin segera turun untuk mendapatkannya.

  "Ochobot, siapa dia orang ni? Syaitan juga ke? Ke orang jahat nak minta hutang." Gentar panik bertanya soalan. "Tapi... aku tak hutang sesiapa. Ke kau orang yang berhutang dengan bos aku, dan culik aku? Tak sangka aku ni berharga orangnya."

  "Eh, kau jangan nak perasan, en." Kata-kata rakan lelaki itu dipintas Ochobot. "Dialah yang  selamatkan kau dari syaitan tu semalam. Aku yang minta bantuan dia."

  Gentar tergamam. "Huh! Kau... kau minta bantuan dia untuk ikat aku?"

  "Bukanlah!"

  Rakan lelaki itu berdehem kecil. Sudahlah berambut perang dan kerinting seperti ramen. "Aku dan kawan aku yang ikat kau tadi. Siapa suruh tak duduk diam sangat masa tidur. Habis dipukul dan diteranjang kami semua. Hingga ke pedang aku pun kau teranjangkan sampai patah!" Si rambut ramen itu sudah berteriak panjang. Hrm... baru perasan ada kesan lebam dan kesan calar pada muka masing-masing.

  "Aaaa... bila masa saya patahkan pedang pak cik?" Gelaran Gentar terhadap rakan lelaki itu membuatkan lelaki itu sudah tergelak terbahak-bahak. Siap dicucuk-cucuk pipi rakannya yang sudah menarik muka tidak puas hati. "HAHAHAHA, dia panggil kau pak cik. Dah tualah kau nampaknya!"

  "Panggil je aku RamenMan. Dan ni pula baru kau panggil pak cik." RamenMan menendang kawannya sehingga senak lelaki itu. "Aku selamatkan kau dekat rumah bos kau tadi. Tapi, masa aku tegur kau.. tidak fasal-fasal kau meronta dalam tidur, 'Lari! Lari, Ochobot, Probe, Adudu!' sampai satu keturunan kau sebut."

  "Lepas tu kau pergi teranjang pemegang pedang aku. Tercampak terus bilah pedang aku!" Gentar merapatkan kepalanya ke tiang kayu itu apabila merasakan aura gelap sekeliling RamenMan. Pantas dia menoleh Ochobot di bawah. "Dia melawak je kan, Ochobot?"

  Melihat gelengan dari Ochobot, bersama riaknya yang ketakutan, menyebabkan Gentar menelan air liur sendiri. Habislah dia... ah, tak apa! Dia kena berani! Walaupun dia tidak sedar fasal perkara itu... patutlah termimpi main bola sepak. "Saya minta maaf sebab patahkan pedang pak cik... eh, pedang encik RamenMan. Tapi... apa kata encik RamenMan beli je pedang baru?"

  "Kau ingat tu pedang mainan yang kau beli dekat kedai runcit? Itu pedang hikmah yang dapat membelah kepala semua syaitan Elemental. Hatta kalau pakai pedang biasa pun belum mampu untuk tewaskan semua syaitan itu," jelas Ramenman. Gentar sudah terkulat-kulat mendengarnya. Ah... sudah. Hendak buat macam mana ini?

  "Sebab itulah aku, Deep! Dipanggil untuk siapkan pedang dia." Ayat itu terhenti dengan Deep yang terbatuk-batuk. Mungkin senak sangat perut itu. Bertabahlah, bang. "Tetapi ambil masa beberapa hari juga. Sebab aku kena balik kampung aku lagi... lepas tu kena siapkan pedang lagi... lepas tu datang sini balik lagi..."

  "Jadi... saya boleh baliklah kan?" Gentar bertanya bersama muka polos ditayangkan. Sudahnya, nampak seperti dia tiada urusan di sini... bolehlah dia balik bekerja tanpa gaji lagi.

  "Tak." Ringkas sahaja jawapan RamenMan, tetapi cukup membuatkan Gentar tidak keruan.

  "Apa? Tak boleh balik? Lepas tu apa encik RamenMan nak dengan saya? Takkan kerja saya nak buat Ramen banyak-banyak? Cukuplah saya buat nasi lemak hari-hari. Bagilah saya balik!" Gentar mula tidak duduk diam di dalam ikatan itu. Kalau dibiarkan tidak terikat, pasti dia sudah merengek di lantai seperti budak kecil.

  "Eh, dah! Dah! Diam! Nanti aku ketuk kepala kau pakai batang penyapu, pengsan pula kau nanti. Aku dah minta kau dari bos kau, atas sebab kau berHUTANG dengan aku." RamenMan menekankan perkataan hutang itu dengan nada tidak puas hati. Nampak sangat berdendam lama. "Aku juga ada kata untuk beritahu rakan sekerja kau yang kau... masuk kem tentera macam tu."

  "Itu berbohong namanya!" tempelak Gentar. Ochobot pun turut mengangguk-angguk bersetuju.

  "Mana ada bohong. Kira suruh kau berlatih untuk tewaskan syaitan tu kira kem tenteralah namanya." RamenMan lekas menutup telinganya apabila Gentar berteriak lagi. Suka sangatlah menjerit budak ini!

  "Kenapa pula Gentar kena ikut tewaskan syaitan? Semalam nak bunuh syaitan tu bukan kemain susah. Macam mana kalau Gentar terbunuh masa nak lawan?" Ochobot sedaya-upaya mempertahankan Gentar.

  "Hei, ingat aku kejam sangat ke nak  campak kau berlawan dengan syaitan macam tu je? Kenalah ada latihan terlebih dahulu, sebelum lawan dengan syaitan tu semua. Sementara aku tak ada pedang dan tak leh buat apa-apa, baik aku uruskan kau."  RamenMan menerangkan dengan penerangan yang panjang lebar. Hrm... dengar niatnya pun seakan berlurah di sebalik pendakian.

  Deep mencelah. "Ataupun kau cemburu orang lain ada anak murid, kau tak ada."

  "Eh, diam!"

  Gentar menggeleng laju. "Tak ada, tak ada! Itu peras ugut!"

  "Jangan takut. Kau cuma perlu tewaskan sebanyak yang mungkin syaitan elemental dekat pemilihan Elemental Slayer nanti. Lepas tu kau nak balik, baliklah." RamenMan menambah lagi. "Dan aku tak adalah kedekut sangat, kau masih boleh berbalas pena dengan kawan-kawan kau... kalau kau ada kawanlah."

  "Eh, tak naklah." Gentar menolak awal-awal. Gila ke apa? Syaitan yang satu itu pun sudah berlebat peluh dia melawannya.

  "Gaji kau dibayar."

  "Sampai pemilihan Elemental Slayer je kan?" Gentar serta-merta berubah fikiran. Ochobot mengerling ke arah Gentar bersama matanya yang terbeliak. Biar betul Gentar ini!

  RamenMan terdiam sebentar. Sebenarnya dia pun terkejut melihat Gentar tiba-tiba bersetuju. Terpaksalah buang ayat-ayat berbunga bagi memujuk Gentar. "Oh, betul. Sampai pemilihan Elemental Slayer beberapa bulan sahaja lagi. Oh, Deep. Tolong."

  Sekelip mata, ikatannya terlerai. Deep pantas memegang leher baju Gentar saat Gentar cuba melarikan diri. Gentar menghembus nafas berat. Ingatkan dia bolehlah lari. Tetapi itulah, dia mahu lari ke mana?

  Kawasan rumah itu terletak tengah-tengah seberang sawah padi yang terbentang luas. Bersama beberapa rumah yang disusun secara rawak. Haih, jauh benar rambut Ramen ini menculiknya. Kepalanya dialihkan pada rumah kayu RamenMan. Aduhai... maknanya dia akan tinggal sinilah pula?

  "Gentar, kau okey ke?" Ochobot mendongak ke arah Gentar, risau. Gentar kemudian menunduk lalu membelai kucing oren itu. "Jangan risaulah, aku akan okey punya. Lagipun dapat gaji."

  Haih... mata duitan betul!

  "Kalau macam tu, kau berehatlah dulu sebelum latihan. Aku nak beli ikan untuk kucing ini pula." RamenMan bergerak keluar ke jalan. Mata Ochobot pun sudah bersinar-sinar memikirkan lauk yang bakal dimakannya. Hrm... dia dan Gentar, dua kali lima sahaja sebenarnya.

  "Ramen aku mana? Buat untuk budak ni sekali."

  "Eh, ingat kau lupa!"

  Hangat pipinya terkena bahang matahari yang baru menembusi setiap lapisan daun-daun pokok kanopi itu. Burung-burung pun bercicipan petanda tiba masanya untuk mencari rezeki. Hembusan angin yang menampar pipi mereka sungguh menyejukkan, namun ia tidaklah menyamai sederas pertarungan yang dihadapinya sekarang.

  "DUSH!" Gentar menendang pinggang lelaki tua itu. Fikirnya, tendangan itu mengena juga pada akhirnya, sebaliknya pergelangan kakinya dipegang lelaki tua itu. Tubuhnya terus diterbalikkan menghempas tanah. Sakit betul urat-urat belakangnya!

  Gentar pantas bangun sementara pihak lawan dalam posisi bersedia. Baru sahaja Gentar ingin mengambil nafas, Dia terpaksa mengelak lagi saat kaki tua itu hampir terkena pada dadanya. Lelaki tua itu menurunkan kakinya seraya senyumannya ditampilkan. "Boleh tahan."

  "Meow?" Ochobot sudah resah memerhati pertarungan itu silih berganti. Sesekali Gentar menghantar serangan dan ada sesekali tok guru itu yang membalas. Akan tetapi, tiada satu serangan Gentar yang dapat menyentuh tok guru itu!

  Gentar menahan penumbuk tok guru itu menggunakan tangannya. Melihat peluang itu, tok guru pantas menendang kaki Gentar, menyebabkan anak muda itu rebah sekali ke tanah. Nasib baik dia berjaya mendarat menggunakan tangan, kalau tidak, mesti dagunya akan terima akibat.

  "Bangun, Gentar." Tok Guru itu membuka bunga silatnya. "Latihan masih belum tamat."

  "Ergh..." Gentar lambat-lambat bangun. Disapu-sapu tangannya yang calar tergeser batu-batu tadi. Seluar lututnya juga sudah berwarna putih dan perang disebabkan asyik terjatuh beberapa kali.

  Aduh... sejauh mana kehebatan Tok Sah ini?


















✨✨✨

Rasanya kena buat BoBoiBoy dan Mechamato sekalilah. Sebab ada je banyak watak Mechamato aku akan masukkan dalam cerita ni...

Dan buat pengetahuan kau orang, zaman dia orang ni zaman telefon tak ada lagi. Tapi masih ada keretalah. Nak ringkaskan, ini zaman kegemilangan Melayu Melaka sebelum British gila kuasa.

Okeylah, jumpa kau orang di episod akan datang!

( Hrm, patut ke aku buat Taisho Secret macam dalam Demon Slayer tu? Takut Gentar tak maulah sebab tak kasi gaji. )

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top