9: Indahnya Date Pertama
Blaus jingga muda. Jeans biru tua. Anting-anting perak. Kasut kulit perang.
Kalau diatas kertas macam tak cantik bunyinya, tapi bila diatas badan Raha, kesannya mengagumkan. Kulit Raha yang tidak putih melepak tu terserlah kuning langsatnya. Rambutnya yang separas bahu dibiarkan tidak diikat.
"OK ke ni Ellie?" tanya Raha sekali lagi walaupun Jelita dan Edayu sudah berkali-kali kata OK.
"Raha, kau boleh pikat Orlando Bloom dah ni, sweet sangat pilihan Edayu ni," kata Ellie.
Dari segi fesyen Ellie dan Raha berkongsi kelemahan. Mereka takut nak bergaya berlebihan.
Tak macam Jelita yang tak perlu bergaya sebab kejelitaannya memang terserlah biarpun guni bawang yang disarungkan. Tak macam Edayu yang memang pandai padankan pakaian sampai ramai minta nasihat fesyen dengannya.
Mujurlah muka Raha yang bermata sebesar piring itu memang sedia comel bersahaja, tak bermekap pun ada saja yang berpaling dua kali nak melihat. Ellie pun sama.
Hati Raha berdebar. Dia tak pernah keluar dengan sesiapa yang tak boleh dibaca perasaannya. Selalunya senang saja dia nampak aura lelaki yang minat padanya jadi mudah sangat untuk dia jaga keselamatan dirinya.
"Huh.. Nervous.." Raha berpusing-pusing di dalam biliknya. Ellie, Edayu dan Jelita memang datang ke rumah keluarganya itu khas untuk beri sokongan bila Edayu cerita yang akhirnya Emry ajak juga Raha keluar setelah hampir setengah tahun Nora perangkapkan mereka di Bengkel E.
Teringat pesanan Nora yang tak dapat ikut berkumpul sama sebab anaknya Mukhriz mahu tengok wayang malam itu juga:
"Emry tu dah nampak Raha sejak kenduri kahwin aku lagi tau. Aku tahu dia suka Raha sebab itu kali pertama dia tanya aku tentang perempuan. Kau semua pastikan Raha nampak sama comel macam hari perkahwinan aku dulu!"
Walaupun hari perkahwinan Nora sebenarnya berlaku lebih 7 tahun yang lalu, Edayu ingat yang mereka semua berpakaian tema jingga mengikut permintaan keluarga pengantin perempuan.
Jadi Raha terpaksa pakai warna itu. Satu lawan empat memang kalah.
Tiba-tiba ibu Raha, Puan Noriah terpacul di biliknya.
"Raha, kawannya dah sampai," kata Puan Noriah. "Ingatkan tak pandai cakap Melayu, rupanya bapanya orang Kuala Kangsar," ketawa ibunya cerita.
"OK have fun!"
"Turun cepat!"
"Cepat nanti Auntie Norizah goreng dia di bawah tu!"
Dengar suruhan kawan-kawan Raha segera turun sambil bawa kasut di tangan.
Dalam tergesa-gesa nak turun tangga, terlepas pula sebelah kasutnya!
Thud! Bunyi kasut kanannya mendarat di lantai tingkat pertama rumahnya.
Kelam-kabutnya kau ni Raha! Marah Raha sendiri.
Sampai di anak tangga terakhir dilihatnya Emry sudah berdiri memegang sebelah kasutnya.
"Nasib baik kasut kulit. Kalau kasut Cinderella tadi, dah pecah ni," guraunya.
Raha hilang kata-kata melihat Prince Charming.. Ops, bukan, Iddin Emry yang berbaju kemeja flannel dan jeans kelabu. Macam Tom Welling waktu dia berlakon jadi Superman..
"Saya bukan Cinderella lah.." katanya cuba untuk tidak nampak gugup.
"Oh, jadi tak perlulah balik sebelum pukul 12 malam?" balas Emry.
"Nak tengok midnight show pergilah!" Puan Norizah, ibu saudara Raha yang memang remaja di zaman Flower Power itu menggalakkan. Puan Noriah geleng kepala tengok kakaknya.
Puan Norizah yang pernah menempuh hidup bersama seorang neutral itu dapat getaran yang sama dialaminya sewaktu bertemu dengan suaminya dulu. Orangnya baik. Mesej itu Puan Norizah hantar pada Raha melalui jelingan manjanya.
"OK, kami pergi dulu ya," Raha yang memang lapar mahu segera lepas daripada pandangan ibu dan ibu saudaranya serta tiga orang rakannya yang dia tahu sedang skodeng dari tingkat dua.
****
Ting! Ting!
"Ish diamlah! Huh, nasib baik Emry tak dengar dan pandang atas tadi," Edayu marah telefonnya sebab dia tahu siapa yang gatal-gatal hantar mesej padanya.
"Ah, tak apa. Raha dah keluar pun tu," balas Ellie.
"Jom, kita ke Zawara Coffee," ajak Jelita.
Mereka bertiga berlepas ke Zawara Coffee yang dekat dengan rumah Edayu setelah ucapkan salam kepada orang tua Raha.
Oleh kerana Jelita yang memandu, Edayu sempat periksa pesanan teks di telefon. Dan dia menyesal buat demikian.
Fairul Bengs, Fairul Bengs, Fairul Bengs. Tak ada orang lain ke dalam hidup aku?
Malam semalam Fairul muncul dengan sekotak buku rujukan Matematik khas untuk anak-anak di Rumah Keluarga Besar. Bulat mata si kecil Anis memandang Fairul.
"Kenapa Anis pandang Uncle Fairul tu macam marah je?" tanya Edayu pada Anis.
"Taklah. Anis suka dia. Dia cantik," kata si kecil yang terlupa dia sepatutnya melukis.
Anak Nora, Melissa juga suka Fairul. "Kalau lelaki, kita kata kacak, bukan cantik," katanya. Jelita, Ellie, Nora dan kanak-kanak lain yang lebih tua daripada Anis, ketawa.
Mereka beramai-ramai memandang Fairul mengajar anak-anak yang bakal menduduki UPSR; Wirda, Mohsein, Q, Damia dan Ray diberi tunjuk ajar. Entah apa yang mereka suka sangat. Asyik tergelak-gelak saja.
"Kaum Hawa, jangan tenung lama-lama ya," usik Norman yang entah bila sampai. Sekejapnya main futsal dengan kawan-kawan. Di belakangnya, Izzat dan Firdaus suami Nora pun ketawakan mereka.
"Seronok tengok budak-budak tu gembiralah," balas Jelita. Norman angkat kening tak percaya.
"Tengok tak apa," usik Izzat lalu duduk dekat dengan Ellie. "Tapi tengok sini lagi bagus," katanya.
Ellie cepat-cepat hulurkan kertas dan alat melukis pada Izzat. Izzat ajak seorang peserta cilik, Ishaq terus melukis.
Edayu tak tahu kenapa mukanya pula rasa panas saja.
Teringat detik semalam itu, Edayu yang sekarang sedang duduk di kerusi belakang kereta Jelita yang meluncur keluar dari kawasan Seksyen 2 rasa pelik.
Raha sedang first date dengan Emry. Edayu rasa tinggal dia yang terhegeh-hegeh dengan kawan-kawan yang semuanya akan kahwin sebelum tahun ni berakhir. Tapi, takkanlah aku desperate sangat sampai bakal tunang orang pun aku tengok macam tak puas? Relax Edayu..
"Edayu. Kenapa senyap je di belakang tu?" panggil Jelita.
"Aku tahu muka tu. Muka geramkan Fairul, betul?" teka Ellie.
"Sikitlah.." makin geram pula Edayu bila difikir-fikir semula. Memanglah Fairul kacak, tapi dia off-limits, orang punya. Dari sekolah Edayu tak mahu dekat dengan species lelaki kacak sebab ramai kawan-kawannya yang menangis sebab lelaki. Edayu tak mahu masuk kategori itu!
"Sebab apa dia asyik kacau kau hari ni? Nak tukar rekaan lagi?" tanya Ellie menyentap fikiran Edayu yang menerawang.
"Agaknya. Aku hantar lukisan CAD rekaan tu kelmarin lepas dia janji yang itu pembetulan terakhir," keluh Edayu. Benci dia bila lelaki itu masih pandai buat dia mengeluh. Macam di sekolah waktu dah dekat peperiksaan.
Edayu lihat tiga panggilan lelaki itu yang tidak sempat dia angkat gara-gara uruskan pakaian Raha dan mesej-mesej yang paling mutakhir daripada lelaki itu.
{Edayu. It's important. Pick up your phone?}
{Edayu, telefon saya? Ada hal penting.}
Itu mesej-mesej sepanjang siang tadi. Edayu sudah balas minta dia beritahu saja melalui Whatsapp. Petang tadi ada lagi.
{OK awak sibuk. Saya faham. Tapi telefon saya balik secepat mungkin?}
{Frieda Fried Chicken!}
Itulah dua lagi mesej datang sewaktu Edayu bersama Jelita dan Ellie sedang sibuk mengendap Raha dan Emry tadi.
Haih, terpaksalah..
"Geng. Fairul kata ada hal penting. Kalau dia tak mahu cakap di telefon dan ajak jumpa, boleh aku ajak saja dia ke Zawara?" mohon Edayu tak mahu berdua-duaan lagi dengan bakal tunang orang itu.
Jelita segera setuju. "Boleh! Aku nak juga tanya dia kenapa suka sangat bagi kau stress tak tentu hala," katanya.
"Kita rebus dia nanti bagi pihak kau, nak?" tawar Ellie saja bergurau.
"Yes please! Tolonglah buat dia serik cari aku malam-malam begini," setuju Edayu.
****
Raha suka lihat Emry ketawa dengar sebutan French sumbang yang keluar dari mulutnya. Lesung pipit Emry makin dalam setiap kali dia ketawa. Matanya coklat kehijauan menawan.
Suasana di Carnaval Churrascaria agak romantik. Berdekatan dengan seorang neutral, Raha si perasa dengan mudah dapat tumpulkan deria sixth sense dan fokus pada date mereka sahaja.
Kalau tadi dia gugup, setelah makanan sampai Raha makin tenang. Selesa rupanya bersembang dengan seseorang yang tak mengeluarkan aura atau lintasan hati yang dapat ditangkap deria perasa.
Emry buat Raha rasa seperti seorang wanita normal!
"Jadi awak cuma belajar French setahun, masa sebilik dengan rakan kursus yang memang orang Perancis?" tanya Emry. Raha rasa ramah betul lelaki itu malam ini.
"Ya, dan sampai sekarang dia selalu telefon saya guna aplikasi Viber. Dia tak pandai English jadi dia pastikan saya latih berbahasa Perancis. Awak memang sepanjang persekolahan, di Paris?" tanya Raha pula.
"Ya. Tapi kami ada juga cakap Melayu dan English di rumah. Rojak," kata Emry.
"Jadi bila awak masuk ke SEGI College untuk ambil automotive engineering, masih janggallah sebab English awak sama 'bagus' dengan Bahasa Melayu ya?"
"Ya, teruk juga gred saya. Hmm, waktu tu saya marah ibu bapa saya sebab pindah ke sini. Saya tak tahu yang waktu tu, Mommie dah sakit dan mahu dapatkan rawatan di sini," cerita Emry.
Raha angguk dan suakan makanan lagi pada Emry bila petugas restoren letakkan terlalu banyak daging barbecue di pinggannya.
"Mommie bertahan lapan tahun, doktor kata bonus, sebab sepatutnya dia cuma ada setahun dua saja selepas disahkan ada pneumonia," tambah Emry. Nadanya biasa, tapi Raha yang juga pernah kehilangan ayahnya tahu bisanya tak pernah hilang.
"Jadi Mommie awak, Claire. Madeleine?" Raha beranikan diri tanya.
"Adiknya. Rupanya Daddy murung sebab dia rasa ibu saudara saya tu salahkan kami kerana bawa kakaknya jauh dan menderita sakit di Malaysia, tapi Mommie happy di sini."
"Tiara, macam mana boleh bercakap tentang Madeleine dengan ayah saya semalam?" tambah Emry.
"Sebenarnya ayah awak yang tiba-tiba sebut tentang dia, saya dengarkan saja," Raha bengkokkan sedikit kebenaran.
Tiba-tiba instinct Raha bawa satu mesej padanya: cepat cari Madeleine untuk Emry dan ayahnya.
"Dah hubungi makcik awak tu?"
"Dah email dia dan sepupu. Hey, enough about me. Ceritalah macam mana awak tukar kerjaya daripada artis grafik langsung buka salon pula," gesa Emry sambil panggil petugas restoren untuk pesan kopi.
Raha kembali nikmati date pertamanya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top