5: Elakkan Ribut Rana

Raha rasa bersalah pada Edayu walaupun dia dapat kesan perasaan temannya itu tidak menyalahkan dia.

Entah kenapa bahan bualnya dengan Fairul jadi pencetus dua musuh yang sudah lama tak bergaduh bertekak semula.

Sambil turunkan begnya dia bisik pada Edayu, "Maaf, aku buka cerita Rumah Keluarga Besar tadi. Tak sangka Fairul boleh pusingkan jadi isu," katanya yang masih tak tahu kenapa lelaki itu berkeras mahu Edayu ikut dia ke KB.

"Bukan salah kau. Kau tak cakap apa pun tadi, dia tu memang dapat A+ untuk subjek Buat Orang Mengamuk," getus Edayu sambil alihkan sebuah begnya supaya Raha boleh ambil beg luggagenya yang tersepit di bawah.

Tergelak Raha sampai tak terangkat beg luggage besarnya.

Fairul yang selesai matikan enjin segera bantu mereka.

"Fairul, terima kasih ya hantarkan saya ke rumah. Nak masuk dulu minum? Mak dan ibu saudara saya ada tu," pelawa Raha berbudi-bahasa.

"Tak apa Raha, nanti keluarga Edayu marah pula Edayu lambat sampai rumahnya, lain kali ya? Mungkin saya ke salon awak nanti?" balasnya.

Raha masih mengesan keikhlasan yang tidak dipaksa daripada lelaki itu.

"Hmm, OK juga tu," balasnya.

"Oh, um, tadi saya gunakan awak untuk paksa Edayu ke KB. Maaf ya, tapi memang seronok buat Edayu bengang. Rasa muda balik," ketawa Fairul, dan Raha tak dapat tahan dirinya lalu ikut ketawa sampailah terperasan yang Edayu senyap macam batu saja di sisinya.

Dengan satu lambaian, Fairul masuk semula ke kereta dan Raha ditinggalkan untuk pujuk Edayu.

"Sorry, aku tak tahan," kata Raha.

"Pembelot, aku bungkus kau dan hantarkan kau ke kedai Emry baru tahu!" marah Edayu yang tahu Raha penat diacukan pada sepupu rakan mereka, Nora itu.

"Hey itu main kasar namanya! Macam ni, aku belanja kau makan daging dendeng di Kedai Misai esok?" pujuk Raha cuba alihkan topik agar tak berkisar tentang Emry.

"Hmph. Kau ambil aku di kedai, jangan lambat!" arah Edayu.

Raha tersengih, Edayu kalau marah sekejap saja dan daging dendeng memang kesukaannya.

"Dah, jangan gaduh," pesan Raha sebelum Edayu melangkah malam masuk semula ke kereta.

****
"Jom makan dulu, waktu pun dah hampir 7.30 malam," ajak Fairul.

Edayu mula protes, tapi Fairul pusingkan kereta di bulatan itu dan masuk ke kawasan masjid.

Mereka bertemu semula di kereta selepas selesai tanggungjawab. Kereta dipandu ke arah kawasan Bukit Jelutong.

"Makan di sini, OK?" ajak Fairul tiba-tiba.

"Fairul. Awak tu nak bertunang. Walaupun kita kawan, tak elok lah. Kalau ada Raha tadi, tak kisahlah," kata Edayu.

"Ajaklah Raha," senang saja dia balas.

Takkanlah nak ajak, mesti dia penat, dahlah dia banyak tolong angkat barang di Saigon! Bengong la si Bengs ni.. Edayu geram.

Fairul buka pintu penumpang depan keretanya lepas berhenti di sebuah restoren hipster, KafeKi yang Edayu tak pernah terfikir nak pergi.

"Sekejap je. Saya lapar sebenarnya," pujuk Fairul di tepi pintu kereta. Edayu dengan langkah lesu turun dan ikut dia masuk ke kafe.

Kopi ramuan khas KafeKi segera segarkan Edayu.

"Apa khabar rumah Pak Wan sebenarnya?" tanya Edayu lepas naik bosan dengan small talk tentang makanan.

"Perlu kasih sayang. Perlu sentuhan wanita," jawab Fairul.

"Apa yang awak buat dengan rumah tu, sebenarnya?" tanya Edayu.

Fairul senyum penuh misteri.
"Nak tahu, kena tengok sendiri," katanya.

"Saya tak sanggup tengok rumah tu sebab teringat Pak Wan. Teringat waktu dia meninggal dunia di depan mata saya. Sebab tu saya lega bila keluarga saya pindah ke Shah Alam, kampung ayah saya ni, lepas Ibu bersara," Edayu terus-terang

Fairul diam sebentar. "Saya tahu, Ibu ada cerita pada Mak. Sebab tu selama ni saya tak cari awak. Tapi, hal tu dah lama. Jom lah, pergi tengok rumah tu dan tengok bagaimana saya gunakan duit yang awak hantar pada saya setiap hujung tahun sejak awak mula kerja. Dah sepuluh tahun! Saya.. nak restu awak," balas Fairul.

Edayu fikir dalam-dalam. Harta Pak Wan kebanyakannya mereka masukkan ke tabung yayasan supaya diuruskan oleh peguam. Peguam yang sama itu dari awal lagi sudah uruskan kewangan lelaki yang beroleh kekayaan dek hasil hartanah, tapi tidak punya waris itu.

Tapi rumah banglonya itu memang terpaksa mereka urus sendiri. Itu pesanan lelaki itu sehari sebelum dia meninggalkan mereka. Malah satu-satunya cara untuk melepaskan tanggungjawab mereka ialah kalau rumah itu dijualkan.

Pesanan Pak Wan supaya Edayu dan Fairul sama-sama jaga rumahnya itu, kerana setelah Edayu meluru masuk tanpa pedulikan nyawanya dan Fairul pula datang bantu angkat lelaki tua itu ke tempat selamat, Pak Wan sudah anggap mereka berdua anaknya.

Bila Fairul keluar negara sambung pelajaran, ibu bapanya upahkan orang jaga rumah itu kerana keluarga Edayu pula berpindah ke Shah Alam pada tahun berikutnya.

Edayu mula rasa bersalah kerana tak buat apa-apa untuk jaga banglo warisan itu. Setakat hantar duit, sesiapa pun boleh buat.

"OK, bila awak nak ke sana? Bawa bakal tunang awak sekali, OK?" katanya.

"Hujung bulan ini. Awak nak ajak sesiapa, semua ahli geng awak tadi ke, ajaklah. Saya tak mahu ajak orang lain. Awak seorang ada, cukup," balasnya.

Awkward!

Hoi Mr Bengs. Kau nak bertunang. Ajaklah bakal tunang kau. "Nanti apa pula kata bakal tunang awak tu, fikirlah Fairul, awak dari sekolah memang tak tahu jaga hati perempuan kan, sebab tu banyak masalah," ungkit Edayu.

Ya, kejadian Edayu melepaskan tumbukan padu penuh dendam ke perut Fairul waktu Tingkatan Empat dahulu, memang perempuan lah puncanya!

****

"Raha, kereta Mini tu rosak lagi semalam. Overheated," kata ibunya yang sedang membelek sutera Vietnam bersama ibu saudaranya.

"Kipasnya ada masalah lagi rasanya. Jangan bawa ke kedai di Seksyen 9 tu lagi. Bawa ke kedai di PJ dulu tu. Budak tu yang tahu bagaimana nak selesaikan masalah kipas tu," pesan ibunya lagi.

"Kedai tu jauhlah, overheating ni mana boleh bawa waktu jem," Raha tak mahu ke bengkel Emry di PJ.

"Jalan malam OK, perlahan-lahan boleh sampai, ataupun, bertolak awal pagi," emaknya yakin.

Raha tak membantah. Dia dah banyak kali terkena masalah bila tak dengar nasihat emaknya.

Hmm, terpaksa juga aku jumpa Emry.. keluh Raha lepas masuk ke biliknya malam itu.

Bukannya dia ada masalah dengan Emry.

Raha gementar dengan abang saudara Nora itu, sebab lelaki itu tak mengeluarkan sebarang aura ataupun lintasan hati yang dapat dia kesan!

Dia pernah cerita pada emaknya tentang Emry, dan emaknya rasa Emry mungkin seorang neutral.

Bayangkan begini: Dalam plug tiga pin, ada wayar hidup, wayar bumi dan wayar neutral.

Kalau perasa boleh diibaratkan sebagai wayar hidup dan magnet pula wayar bumi, fungsi seorang neutral dalam dunia seorang perasa ialah, well, meneutralkan.

Bila seorang perasa mendapat tujahan sixth sense yang terlalu kuat, seorang neutral boleh bantu perasa tenangkan dirinya dan kawal kemasukan input sixth sense. Senang cerita, kurangkan sakit mata dan kepala seorang perasa. Tapi bila perasa jadi lemah atau lemas dek sixth sense nya, seorang neutral boleh pulihkan derianya kembali seperti sediakala.

Ibu saudara Raha dahulu berkahwin dengan seorang neutral. Perkahwinan mereka aman damai hinggalah ke akhir hayat bapa saudaranya. Dua orang anak mereka lelaki, mereka mewarisi kebolehan bapa mereka. Kebanyakan orang akan jadi tenang dan sejuk hati bila berinteraksi dengan mereka kerana itu kelebihan seorang neutral.

Masa abang saudaranya terpecahkan sebaris bikar di bilik sains sekolahnya, dia cuma perlu minta maaf dan cikgunya terus lepaskan dia.

Seorang lagi abang saudaranya pernah kemalangan, dia melanggar kereta baru seorang wanita. Dia juga dimaafkan tanpa sepatah kata maki pun setelah berjanji akan bantu uruskan insurans.

Bila sengaja mereka tunggu kepulangannya dia untuk bincang hal Mini, Raha dapat rasakan emaknya juga macam kawan-kawannya, mahu suakan dia pada Emry. Tambah lagi bila Raha macam tak berminat nak jumpa anak sepupu emaknya yang pernah cuba dijodohkan dengannya.

Sejak Nora kenalkan Emry dulu, bukannya Raha tak pernah cuba berkenalan dengan lelaki itu, tapi Emry terlalu pendiam.

Malah dengan deria sixth sense yang ditajamkan sehabis baik pun, tak dapat Raha nak kesan sama ada lelaki itu juga berminat atau tidak padanya, lintasan hatinya tak sampai ke telinga Raha dan auranya pun tak nampak.

Sebab itu sampai sekarang hubungan mereka sekadar pelanggan dan mekanik sahaja.

Raha menghembus natas panjang. Esok terpaksalah dia minta dua pekerjanya, Farah dan Emma supaya terus menggantikannya lagi di salon.

Kereta Mini klasik itu keutamaannya, kerana selain daripada rumah mereka di Shah Alam dan kedai yang Raha gunakan untuk jalankan perniagaan salon itu, kereta kecil itulah peninggalan allahyarham bapanya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top