2: Burung Besi Tiba

Penerbangan yang makan masa hampir dua jam meriah bila empat wanita dapat berpisah sekejap dengan dua jejaka.

Di tempat duduk, Raha dan Jelita terpisah dengan Ellie dan Edayu dek laluan penumpang. Pramugari hidangkan makanan.

"Eh, kami tak pesan makanan ni," kata Jelita.

"Ini kiriman daripada dua orang lelaki di Row 16, untuk cik-cik berempat, Meggi Tomyam dan Shepherd's Pie," pramugari yang bernama Grace itu.

Jelita jenguk ke hadapan. Norman yang memang sedang menunggu dia itu layangkan pandangan bermakna. Jelita senyum, teringat memori di sebalik Meggi Tomyam.

"Lain macam kau senyum," usik Edayu.

Meggi Tomyam mereka makan kongsi-kongsi sambil Jelita ceritakan Insiden Meggi Tomyam yang berlaku waktu dia kena trick dek Norman di awal hubungan mereka dahulu.

Shepherd's Pie juga mereka makan. Sandwich yang mereka pesan sebelum penerbangan juga dijamah.

"Kenyangnya!" Edayu gembira. Sekarang baru ada mood nak tengok pesanan Fairul Bengs. Setelah dia periksa sama ada kakaknya dapat atau tidak mesej tentang kelewatan penerbangan, dia padamkan saja perantinya tanpa periksa mesej lain.

{Awak pergi mana sebenarnya ni? Vietnam ke Viettakngam?}

{Tak roaming ke? Banyak negara ketiga sekarang ada Wi-Fi. Telefon pun tak dapat ni.}

{Saya tukar fikiran. Baru-baru ini ada nelayan jumpa mutiara besar di Palawan, dekat 40kg beratnya, tapi hodoh! Sesuai dimasukkan dalam rekaan cincin.}

{Dah tengok mutiara Palawan tu?}

{Tengoklah siang-siang. Malam-malam nanti, takut awak termimpikan mutiara hodoh tu, ngeri pula!}

Edayu mengeluh. Di Hotel Renaissance Riverside Saigon semalam, berita mengenai mutiara yang pecah rekod dunia besarnya itu memang ada disiarkan di TV.

Huh, lagi ngeri kalau aku termimpikan Fairul Bengs! Kutuknya sendiri.

Teringat dulu waktu di Tingkatan Satu, kali pertama Fairul muncul sebagai pelajar terpandai di tingkatan, memang Edayu terkena mimpi ngeri bermusim. Sepanjang sekolah rendah, Edayu terbiasa dengan 'title' 'top student'. Naik sekolah menengah, tiba-tiba dicabar. Lepas dapat keputusan tahun itu, tiap malam waktu peperiksaan Edayu mimpi Fairul ketawakan dia, evil macam Mumra dalam kartun Thundercats. Sejak itu dia tak puas hati dengan mamat tu.

Dia dapat kalahkan Fairul di hujung Tingkatan Dua, berkat bakatnya dalam Pendidikan Seni di mana Fairul yang lukis kereta pun jadi kotak sabun itu tak mampu beri saingan. Rasa Edayu, sejak itu Fairul pula mula tak puas hati dengannya.

Masuk Tingkatan Tiga, oh... Tingkatan Tiga! Dah umur 15 tahun tapi bergaduh pijak kaki, berdendam sorok beg, tarik kerusi sampai mangsa jatuh, uh.. Macam budak sekolah rendah. Malulah Edayu nak cerita!

Tapi rakan-rakan di atas penerbangan yang sama mendesak suruh cerita pula. Edayu pilih satu daripada seribu sorotan pergaduhan mereka.

"Masa tu lepas PMR. Aku memang dah sakit hati sebab masa percubaan, markah dia lebih daripada aku. Kebetulan guru besar minta kami wakilkan sekolah ke program perkhemahan integrasi. Seminggu! Masa di camp, aku dapat hadiah misteri daripada seseorang. Dalamnya ada cacing, banyak! Aku nampak dia ketawa tengok aku terjerit, geram! Aku baling kotak tu ke badan dia," cerita Edayu.

Jelita, Ellie dan Raha tergelak-gelak perlahan, cuba untuk tidak ganggu penumpang lain.

"Lepas tu dia marah aku balik sebab kotorkan baju Melayu dia. Kononnya dia kena bertugas di surau dan tak bawa baju lain yang sesuai untuk bersolat. Aku marah dia sebab berlagak alim sangat.." sambung Edayu.

"Lah, daripada cerita cacing boleh gaduh pasal alim? Melalutlah," komen Jelita.

"Memang. Lepas tu aku tenyeh lagi daun kering pada dia supaya lagi kotor bajunya. Bodoh kan. Sejak tu macam-macam lagi jadi sampai habis kem gara-gara dendam kami. Dia sembur aku dengan air lah, aku letak sabun Dynamo dalam kasut dia lah. Kalau gaduh dengan Fairul yang bukan-bukan semuanya keluar. He brings out the worst in me!" keluh Edayu.

****

Raha tak nampak aura hitam, kelabu atau merah, warna-warni yang selalu beri implikasi negatif, pada Edayu. Gerak hatinya juga tak berdenting dalam nada minor bila Edayu cerita kisahnya.

Malah hatinya rasa senang saja bila Edayu mengutuk kebodohan waktu muda dia dan Fairul. Hmm.. Kalau aku cakap hubungan dia dan kawan sekolahnya itu bakal berbunga-bunga, melenting pula dia karang.

Jadi Raha diamkan saja dan doakan yang terbaik untuk rakannya itu.

Tapi ada perasaan yang mencucuk dalam dadanya. Ia bukan negatif. Apa ya?

Mendarat saja burung besi ke Bumi Malaya pada pukul 6 petang, enam sahabat berkumpul di Balai Ketibaan klia2.

Edayu tersengih gembira kerana abang-abang dan kakak-kakak yang bertugas di bahagian Kastam Malaysia lepaskan saja mereka berenam dengan beg-beg besar mereka.

Ellie dan Jelita akan pulang dengan Izzat dan Norman kerana rumah mereka dekat, Ellie, Jelita dan Norman di Cheras manakala Izzat di Seputeh. Pemandu Izzat akan jemput mereka.

Raha akan tumpang kakak Edayu yang sepatutnya sampai dari Shah Alam untuk ambil adiknya itu.

"Geng! Terima kasih tolong bawakan beg. Nanti kita agihkan sama-sama di Rumah Keluarga Besar Jumaat ni, ya? Izzat nanti ikut Ellie tau. Norman dah tahu kat mana tempatnya kan?" pok pek Edayu sambil sorong troli beg.

Raha baru nak membalas bila tiba-tiba Edayu terhenti, nasib baik Raha tak langgar!

Edayu sedang memandang seseorang. Raha ikut pandangan matanya.

Ada seorang lelaki pegang kad putih besar yang bertulis, Mutiara Palawan. Raha terus nampak aura ungu pada lelaki itu.

Hmm. Interesting.. Desis hatinya. "Edayu, siapa tu?"

"Beng.. F.. Fairul Bengs. Um.. Maksud aku, Fairul, klien aku yang lain macam tu.." katanya.

Raha dapat lihat aura kuning pekat berpusar di keliling Edayu. Kuning tanda takut. Haih, nak lari la tu!

Belum sempat Raha beri isyarat pada teman-temannya yang lain, Edayu dah menyelinap ke belakangnya, cuba sembunyikan dirinya yang berketinggian 161cm itu di belakang Raha yang cuma 3cm lagi tinggi daripada dia!

Ellie dan Jelita sampai di sisi mereka. "Apa kena dengan kau Edayu?" tanya mereka.

"Tu.. Lelaki yang pegang kad bertulis 'Mutiara Palawan' tu. Itulah Fairul," kata Raha.

"Eh, macam mana dia ada di sini? Dia tahu ke kau akan sampai pada waktu ni?" tanya Jelita.

Ellie pula hairan, "Dia tunggu siapa, Mutiara Palawan tu nama kawan dia ya?"

Edayu tak menjawab sebab sedang sibuk dengan telefon, cuba hubungi kakaknya. Gagal nampaknya.

Edayu terus memeriksa mesej.

"Geng. Tengok ni!" tunjuk Edayu panik yang tak dibuat-buat. Empat sahabat berteleku tengok pesanan Whatsapp di skrin telefon.

{Flight Adik lambat sangat delay nya ni. Tak sempat nak ambil Misha di kelas muzik. Dah minta ayah ambil. Nanti sampai klia2 adik call ayah, OK?}

Mesej seterusnya datang 10 minit selepas mesej pertama.

{Adik! Ibu kata nanti kawan adik yang nama Fairul tu boleh ambil. Adik dan Raha balik dengan Fairul ya.}

Raha tersengih-sengih sebab deria perasanya beri dia petunjuk: Enjoy this ride!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top