11: Kumbang Merah Jambu

Hujung minggu seterusnya Ellie masuk ke bilik pejabat Izzat setelah setiausahanya, Abdul kata Izzat sudah selesaikan conference call dengan klien di Manarola.

"Encik Izzat, maaf ganggu. Saya, nak minta cuti sehari atau dua hujung bulan ni, boleh?" tanya Ellie tanpa basa-basi. Dia tahu Izzat sibuk.

Izzat minta dia duduk. "Cuti?"

"Lepas pelancaran Projek Penarik. Oh, kali ni saya tak mahu fly, saya nak drive ya?" katanya lagi.

Izzat nampak tertarik dengan permintaannya.

"Nak ke mana tu? Drive Kancil kesayangan awak tu? Eh, kejap, dah pukul 12? Saya belum sarapan lagi!"

"Tak makan pagi lagi? Bukan ke pergi minum dengan Cik Dahlia masa bincang projek spa tadi?" Ellie terus risaukan Izzat.

"Oh, kami bincang di sini saja lepas saya kata dah minum jus oren yang girlfriend saya bawakan. Dia tak jadi ajak minum pagi," gurau Izzat tersentuh lihat Ellie risaukan dirinya.

Masih susah nak bersikap profesional bila bercinta satu pejabat, tapi Izzat dan Ellie cuba sehabis baik.

"Nanti isi borang, saya luluskan cuti. Beritahu Puan Aishah nanti OK?" kata Izzat kemudian bangun.

Dengan muka comelnya dia hulurkan tangan. "Tolong, bawa boyfriend awak makan, nak pengsan laparnya ni," mintanya.

Siapa tahan tengok Budak Keropok Lekor kesayangan buat muka comel!

(Nota khas untuk pembaca: Sejarah panggilan Budak Keropok Lekor ada dalam Jejaka Jelmaan Jemala. Penulis sedang 'hardsell', maaf ya.)

Ellie segera bangun dan tarik tangan Izzat. Mereka ke kafe hipster yang dekat dengan blok pejabat sebab itu yang paling dekat.

Sebaik saja duduk Izzat terperasan yang mereka pernah duduk di tempat yang sama sebelum ini.

"Awak tahu betapa takutnya saya waktu nampak awak bawa kotak cincin warna hijau tu? Rupa-rupanya cincin lama mak awak.. Ingatkan dah ada orang sambar!" katanya tergelak-gelak.

"Lain kali, terus-terang, senang. Tak tahu, tanya. Saya takkan berahsia dengan awak," nasihat Ellie tergelak-gelak juga.

"Jadi, nak cuti lagi ni, kenapa?" tanya Izzat memancing maklumat. Jarinya mengusik tangan Ellie yang memeluk cawan kopi.

"Dapat sehari pun cukup sebab pelancaran hari Jumaat kan? Lepas selesaikan pelancaran, nak ikut Jelita dan Edayu ke KB," balas Ellie.

"Oh." Izzat kelihatan agak kecewa. Muncung sikit mulutnya.

"Kenapa sedih je tu?" Ellie hulurkan sandwichnya yang baru sampai, pasta Izzat tak muncul-muncul.

"Saya ingat awak nak ajak saya dating di Penarik lagi.." kata Izzat buat muka kasihan. Sandwich yang Ellie hulurkan dia baham.

Tersengih-sengih Ellie. "Kita dating sekejap, malam ni. Tengok wayang. Saya belanja. Nak?" pujuknya.

"OK. Awak tak nak ajak saya ke KB sekali ke?" tanya Izzat.

"Ramai orang perempuan saja nanti.. Lagipun kami nak pastikan Edayu selamat bila ikut Fairul jumpa peguam di KB tu.." dan Ellie ceritakan sedikit kisah Edayu dan Fairul serta kebimbangan mereka tentang tunang misteri Fairul.

Izzat ketawa. "Ellie, saya rasa tunang dia tak wujud. Dia buat itu sebagai alasan nak jumpa Edayu je tu.." kata Izzat yakin dan selamba.

"Takkanlah..." Ellie tak percaya. "Nak buat apa tipu macam tu?"

"If I am as desperately in love with a girl like that, hmm.. Rasanya saya pun sanggup kot buat macam tu.." komen Izzat walaupun menipu ni bukanlah sesuatu yang dia mahu buat. Tapi, waktu dia dan Norman senyap-senyap ikut Ellie, Jelita, Edayu dan Raha ke Vietnam, hampir juga dia terpaksa menipu bila Ellie hantar mesej tanya dia di mana dan sedang buat apa.

Ellie terkejut. Sangkanya Fairul sekadar suka saja pada Edayu, sebab itu walaupun ibunya ada pilihan untuknya, Fairul masih mahu cuba tarik perhatian Edayu. Tapi, in love..

"In love? Biar betul!"

"Betul, saya kenal lah muka tu. Muka dia sama macam muka saya masa nampak rekaan kad kahwin di tablet awak kemudian bekas cincin hijau dulu tu.. Blur..Ingat?" tanya Izzat.

Ellie diam sekejap. "Hmm, entahlah. Pada saya awak handsome je masa tu.. Pucat sikit, tapi handsome betul lah.."

Tangan mereka bersentuhan. "Hmm, awak ni memang pandai ambil hati boyfriend awak. Bila nak bagi saya peluang ambil hati bakal mertua saya ni?" Izzat pusing cerita ke hal yang lebih penting.

"Saya nervous lah nak bawa awak ke rumah Mak. Tak pernah kenalkan kawan lelaki sebelum ni.." kata Ellie. Memang sejak balik Vietnam dia diamkan saja hal nak bawa Izzat jumpa ibu bapanya.

Izzat senyum. "Awak dah banyak kali jumpa mak saya.. Macam tak adil kan.. Tapi tak apa. Saya tunggu awak sedia," balasnya ikhlas.

Ellie terasa beruntung punya teman lelaki yang penyabar. "Beginilah.. Saya tanya Mak dan Ayah, Ahad ni mereka ada di rumah atau tidak, OK?"

Izzat senyum lebar mendengarnya.

****
Petang Jumaat yang sama, di Kedai Mek, Jelita dan Norman bertemu, masing-masing masih memakai pakaian kerja. Jelita baru selesaikan planner untuk kelas semester hadapan.

"Awak kan sibuk, Norman. Tak perlulah ikut.. Ya? Saya ada misi ni. Bahaya! Nanti saya risaukan keselamatan awak," Jelita cuba buat Norman setuju yang dia akan biarkan Jelita pergi ke KT, kemudian KB, tanpa perlu Norman ikut untuk jaga dia.

"Jiji, perli ya? Ish, awak ni macam tak sayang saya je.." Norman pula ubah taktik. Apa guna kerja flexi-hour kalau hal keluarga tak dapat didahulukan. Jelita kan bakal jadi keluarganya?

"Awak janji takkan ikut saya, ya?" minta Jelita tak terpedaya dengan taktik Norman. Maklumlah, mereka kenal sejak zaman universiti lagi, Jelita tahu perangai Norman tu.

"Nanti rindu, macam mana?" Norman pura-pura nak merajuk pula. Sekali lagi Norman rasa yang dalam hubungan dia dan Jelita, dialah awek clingy manakala kekasihnya itu mamat keras hati asal dari Kampung Melayu Asli.

"Saya telefonlah awak. Skype pun boleh," balas Jelita mudah. Dia tercari-cari sesuatu yang mudah untuk suapkan ke mulut Norman yang pandai memujuk tu.

"OK.. Every morning, every night?"

"OK.. I love you!" usik Jelita. Suka tak ingat Norman mendengarnya. Dia harap Jelita tak perasan yang dia tak janji apa-apa padanya tadi. Norman kan memang nakal sikit bab-bab bercinta ni.

Lagipun Jelita dah sumbatkan ke mulutnya kuih koci.

****

Fairul muncul di Muryani Jewels tepat pukul 5.30 petang, pada petang yang sama.

Dari pejabatnya di Subang Empire itu, nak ke Shah Alam dekat saja, tak sampai setengah jam.

"Hi Edayu, saya.."

Edayu terus geleng kepala laju-laju pada Fairul. "Tak boleh. Tak boleh tukar dah. Dah tempa. Cantik sangat ke, tak cukup hodoh ke, terlebih seni ke, apa ke, tak boleh tukar dah," Edayu terus protes.

".. nak selesaikan bayaran," Fairul sambung juga ayatnya.

"Huh? Apa? Ulang balik?" terkejut Edayu.

"Saya kan baru beri deposit. Bakinya.. Bayar hari ni, boleh?" ulang Fairul.

"Maknanya.."

"Maknanya saya dah faham. Berilah awak inspirasi buruk macam mana sekali pun, yang indah saja awak tahu buat. Saya rasa tak patut saya paksa awak buat sesuatu yang buruk sebab dalam hati awak tu, awak cuma ada niat untuk buat yang elok-elok saja, kan?" kata Fairul lagi.

"Tak ada sesiapa pun wajar dianiaya, Fairul. Maaf, sebab tak dapat tunaikan hasrat awak untuk buat cincin yang buruk supaya bakal tunang awak cabut," Edayu ikhlas minta maaf.

"Saya yang patut minta maaf, sebab heret awak begini. Maafkan saya?"

Edayu angguk. Perlahan mereka bergerak ke kaunter.

Bayaran dilangsaikan. Resit bertukar tangan.

"Boleh.. teman saya minum sekejap?" tanya Fairul.

Selepas sejenak terdiam, Edayu balas: "Rasanya bila dah setuju dengan rekaan cincin, awak dah terbuka hati untuk terima pilihan keluarga awak, kan? Jadi elok kalau kita jangan keluar berdua saja, saya tak mahu keruhkan keadaan yang baru nak jernih."

Fairul terdiam.

Edayu pula rasa hatinya sakit sedikit bila tolak ajakan lelaki itu.

****

"Raha! Tolong!"

Raha yang baru selesai mengemas salon tersentak hingga terhantuk troli berus bila terdengar satu suara yang bunyinya amat terdesak.

Di pintu kaca salon terpacul sesusuk tubuh yang sedang bernafas kencang.

"Fairul? Kenapa ni?" tanya Raha. Matanya terus diselimuti aura merah, biru, kuning, merah jambu, kelabu.. Ah, banyak sangat. Tapi mesejnya, kecamuk!

"Saya nak ceritakan semuanya pada Edayu tadi. Tapi.." Fairul baru nak bercerita tapi ada seseorang muncul dan batuk kecil di belakangnya.

"Eh, alamak. Masuk, masuk.." kata Raha pada si dia yang baru sampai ke Cut Tiara.

"Uh, maaf, awak ada pelanggan ke?" tanya Fairul.

"Eh, tak.. Saya sebenarnya ada temujanji.. Kenalkan, ini Iddin Emry.." Raha sentuh sedikit lengan Emry dan aura kecamuk disekeliling Fairul segera menipis.

"Emry," kata Emry sambil hulurkan tangan dan senyuman.

Fairul sambut tangan Emry.

"Ini Fairul Iskandar, kawan sekolah Edayu," Raha kenalkan.

"Edayu's boyfriend?" tanya Emry kembali.

"That, would take a miracle now.." keluh Fairul pada Raha dan Emry.

"Oh? Apa dah jadi?" tanya Emry.

Raha angkat bahu. "La tornade! Dia baru nak mula cerita masa awak sampai, Emry."

Fairul terkebil-kebil tidak faham bila Raha katakan pada Emry yang dia sampai seperti puting beliung, tapi dia tahu dia mengacau rancangan mereka.

"Maaf, ganggu. Awak berdua nak keluar sama? Saya balik dululah.." Dia minta diri.

Raha dan Emry berpandangan.

"Tunggu. Awak nak minta Tiara tolong kan?" Emry tahan Fairul.

Fairul berpusing menghadap mereka. "Rasanya saya dah banyak menyusahkan Raha, tak apalah. Memang salah saya semua ni, saya mesti cuba selesaikan sendiri," katanya mengundur diri.

"Fairul, ceritalah dulu apa dah jadi.." pujuk Raha.

Fairul teragak-agak.

Raha tutup suis peralatan salonnya. "Duduklah, saya buat kopi. Jom Emry, duduk dulu?"

Emry tepuk bahu Fairul untuk ajak dia ikut Raha ke ruang kiri salon yang dekat dengan bar kecil. Itu tempat Raha, Farah dan Emma berehat bila tiada pelanggan.

Fairul ikut duduk. Emma yang muncul dari belakang salon ucapkan selamat tinggal pada Raha dan dua temannya.

"Sorry guys," kata Fairul pada mereka selepas Emma berlalu, tidak nampak pun gadis muda itu cuba bertentang mata dengannya.

"Entah kenapa bila saya dan Edayu bercakap, ada saja wayar tercabut. Lain saya nak cakap, lain yang dia sebut. Dan bila saya nak terangkan hal sebenarnya, semua perkataan tersangkut," adunya.

Edayu letakkan tiga cawan kopi segera di meja dan ikut duduk.

"So.. How long have you been in love with her?" pertanyaan Emry terus ke pangkal masalah.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top