Teaser💕
Dosa
Teaser 9 ( versi belum edit)
“Siapa gadis yang malang tu?” Perli Afiq tanpa rasa bersalah.
Aidil mencerlung ke arah Afiq. Afiq tayang wajah selamba.
“Afiq, tak baik cakap macam tu,” bisik Puan Zawiyah yang duduk di sebelah Afiq.
“Betullah kata Afiq, umi. Selama ni dia mana ada kekasih. Tiba-tiba nak bertunang. Ni sah kes tangkap muat...”
Bukan dia tidak tahu ugutan yang diberi oleh nenda kepada Aidil. Dia yang terdengar secara tidak sengaja tempoh hari, turut berasa lucu. Umur sudah mencecah 30 tahun tapi masih dipaksa berkahwin.
“Nenda kenal budak tu. Baik dan cantik orangnya. Afiq jangan nak merendahkan Abang Aidil,” tegur Hajah Mashitah kurang senang dengan kata-kata Afiq.
Afiq mengangkat kedua tangannya ke atas tanda menyerah. Jika Hajah Mashitah sudah bersuara, terpaksalah dia berdiam diri. Silap kata, merajuk pula orang tua itu.
“Sekurang-kurangnya aku serius nak berkawan. Bukan macam kau... kerja nak permainkan perempuan aje. Kali ni, teman wanita yang ke berapa pula kau angkut?”
Aidil yang sejak dari tadi hanya berdiam diri, memulangkan paku buah. Geram kerana Afiq langsung tidak menghormatinya sebagai abang.
Tajam mata Afiq memandang wajah Aidil. Sejak dari dulu lagi mereka tidak sebulu. Hubungan mereka bertambah teruk apabila dia enggan bekerja di resort milik keluarga mereka.
“Tak kisahlah berapa orang pun. Kenapa? Kau nak aku masukkan bakal isteri kau dalam list aku ke?”
Pap!
Kuat Aidil menepuk meja makan. Bengang kerana Afiq tergamak mempersendakan bakal tunangnya. Walaupun dia masih belum ada perasaan terhadap Eryna, dia tidak suka maruah gadis itu dipermainkan.
“Cukup! Kamu berdua ni sampai bila nak bergaduh? Afiq... tolong hormat dengan keputusan abang kamu. Dan Aidil, tak boleh ke bersabar. Kita ada di depan rezeki ni…” Encik Adnan terpaksa bersikap tegas. Jika dibiarkan, makin melarat pula jadinya nanti.
Afiq terus berdiri tegak. Seleranya sudah mati disebabkan sindiran Aidil.
“Betulkan niat kau tu dulu sebelum nak mengata orang.” Afiq terus berlalu pergi meninggalkan meja makan.
“Afiq nak pergi mana tu?” Panggil Puan Zawiyah.
Afiq terus keluar dari rumah tanpa menghiraukan panggilan umi. Dia perlu bersendirian kerana masih bengang dengan kata-kata Aidil.
“Sudahlah. Kita makan dulu...” Hajah Mashitah segera menenangkan keadaan.
Encik Adnan menatap wajah anak sulungnya. Pasti Aidil terkesan dengan pesanan Afiq tadi. Walaupun kedua-dua anaknya tidak mesra tapi Afiq sangat memahami Aidil. Dia turut merasakan pertunangan ini sekadar untuk menutup kejadian tempoh hari.
💕
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top