Teaser 3

Mss ni akak dh lama siapkan hujung 2019. Pernah akak up 7 bab di group. Lepas tu akak stop utk siapkan. Bila dh siap, akak blh pula p peram. Sampailah bos mtk br nk edit balik 💕 nama mss asal Demi Kerana Khilafku. Atas persetujuan bersama penerbit, tajuk ni ditukar kepada DOSA😊

Cerita ni mmg 100% cerita baru. Tak ada kena mengena dgn mana2 watak. Sbb ramai sgt yg tanya semalam😂

“Kenapa ni abang? Balik-balik terus nak mengamuk…”

Tajam anak mata Encik Nasran memandang wajah isterinya.

“Abang dah rugi. Rugi!” Punggungnya dihempas dengan kasar di atas katil. Berkerut dahi Puan Fauziah dengan kenyataan Encik Nasran.

“Abang cakap apa ni? Zi tak faham.” Puan Fauziah duduk di sebelah suaminya.

“Sudahlah! Kalau abang jelaskan pun, Zi bukan faham,” kasar Encik Nasran menjawab.

Puan Fauziah mengeluh perlahan. Sudah hampir 25 tahun mereka berkahwin. Dia sudah cukup faham yang suaminya tidak boleh diganggu jika sedang naik angin.

“Kalau macam tu, Zi keluar dulu. Lebih baik abang mandi, sejukkan hati abang tu sekali,” sindir Puan Fauziah. Dia lekas keluar dari bilik itu. Tidak mahu dikatakan sebagai pengganggu pula nanti.

Makin menyirap darah Encik Nasran mendengar sindiran isterinya. Majalah yang ada di atas katil dikerling sekilas. Lama gambar yang menjadi penghias muka hadapan majalah itu ditatap. Tiba-tiba dia teringatkan Eryna iaitu satu-satunya anak yang dia ada.

Anak tunggalnya itu suka sangat menghabiskan masa dengan berhibur tanpa tujuan yang berfaedah. Daripada Eryna melakukan perkara yang tidak menguntungkan, lebih baik dia ‘menawarkan’ sesuatu kepada anaknya.

Dia segera keluar dari bilik untuk mencari isterinya. Kali ini dia perlu mendapatkan bantuan Eryna. Sudah pasti Eryna akan bersetuju dengan rancangannya nanti jika melibatkan wang. Encik Nasran mahu rancangannya berjaya kali ini. Tak sanggup dia hidup susah jika satu hari nanti perniagaannya jatuh muflis.

“Zi…”

Puan Fauziah berpaling ke belakang. Tidak jadi dia ingin membancuh air minuman. Walaupun mereka mempunyai pembantu rumah, dia lebih suka menyediakan keperluan makan minum untuk keluarganya sendiri.

“Ye, kenapa abang?” tanya Puan Fauziah sambil mengambil bekas gula di atas kabinet.

“Mana Ryna?”

Ternaik kening Puan Fauziah dengan soalan itu. Dia sekadar ketawa kecil. Lucu juga kerana suaminya seolah-olah tidak kenal dengan anak mereka.

“Kalau dah tengah hari macam ni, sahlah anak kita tu tidur lagi…”

Encik Nasran memicit kepalanya yang tidak pening. Pening dengan sikap Eryna yang semakin menjadi-jadi sekarang. Umur sudah 24 tahun tetapi masih tidak matang. Hanya tahu menghabiskan duit dia sahaja.

“Dia balik lewat lagi ke semalam?”

“Mak Kiah kata, Ryna balik pukul tiga pagi. Zi dah pening nak nasihatkan anak kita tu. Anak sorang tapi dah macam 10 orang anak aje gayanya,” bebel Puan Fauziah.

Makin menyirap darah Encik Nasran dibuatnya. Dia tidak kisah jika Eryna ingin berhibur asalkan tidak melampau batas. Nama baiknya perlu dijaga. Malu dia nanti jika ada gosip liar tentang Eryna tersebar. Mana hendak diletakkan mukanya nanti?

“Kejutkan Ryna sekarang. Suruh dia jumpa abang di bilik kerja…”

Terus Encik Nasran berlalu pergi tanpa menunggu jawapan isterinya. Makin pelik pula Puan Fauziah dengan sikap si suami. Jarang suaminya ingin berbual dengan Eryna melainkan jika perkara itu terlalu penting.

Tidak mahu membiarkan suaminya menunggu lama, dia segera naik ke tingkat atas menuju ke bilik Eryna. Hanya Eryna sahaja anak yang dia ada selepas dia disahkan tidak mampu mengandung lagi. Dia bersyukur suaminya masih setia dan tidak pernah berniat untuk berkahwin lain walaupun dia pernah memberi keizinan.

Pintu bilik Eryna dibuka perlahan. Kebiasaannya anaknya tidak akan mengunci pintu bilik untuk memudahkan pembantu rumah mereka masuk mengambil pakaian kotor. Ternyata anaknya masih lagi lena dengan pakaian tidak bertukar sejak semalam.

Hampir terbutang biji mata Puan Fauziah melihat pakaian yang dipakai oleh Eryna. Dengan hanya memakai dress pendek atas lutut tanpa lengan sudah cukup menyakitkan mata Puan Fauziah. Dia sendiri malu melihat pakaian yang ada ditubuh Eryna.

“Nuha Eryna!”

Terkejut Eryna sebaik sahaja mendengar suara nyaring Puan Fauziah. Kepalanya masih terasa berat. Semalam hampir jam empat pagi juga baru dia dapat melelapkan mata.

“Baju apa yang Ryna pakai ni?” Puan Fauziah menarik sedikit hujung baju anaknya dengan kasar.

Eryna merengus kasar. Dia bangun dan bersandar di kepala katil. Matanya masih terpejam rapat. Kepala yang terasa pening itu dipicit perlahan.

“Mama ni kacaulah. Ryna mengantuk lagi ni…”

Hampir sahaja Puan Fauziah nak termuntah sebaik sahaja terbau nafas Eryna. Matanya mencerlung tajam. Naluri seorang ibu dapat merasakan Eryna sudah melakukan sesuatu yang tidak baik semalam.

“Ryna mabuk ke semalam?”

Terus cerah biji mata Eryna saat diajukan soalan itu. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Teruk dia dikerjakan jika kedua ibu bapanya tahu tentang kegiatannya semalam. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa gugup.

“Mana adalah. Ryna busuk ni sebab tak mandi lagi…” Eryna cuba berlagak tenang. Rambut panjangnya disanggul kemas. Rimas pula dia membiarkan rambut panjangnya terbiar lepas.

Puan Fauziah masih tidak percaya. Dari cara pemakaian dan bau nafas Eryna, dia yakin anaknya sedang menyembunyikan sesuatu. Jujur dia berasa terkilan dengan sikap Eryna yang semakin melampau itu..

“Sampai bila Ryna nak hidup macam ni? Tak kesian ke dekat mama dan papa?” Lemah Puan Fauziah menyoal.

Eryna tayang wajah meluat. Dia tidak suka hidupnya dikawal oleh seseorang.

“Hisshh… kalau mama nak membebel, boleh tak tunggu tengah hari nanti. Ryna nak tidur…”

Belum sempat Eryna ingin berbaring semula, tangannya ditarik kasar.

“Ini dah tengah hari Ryna. Bangun sekarang sebelum papa yang datang tengok keadaan Ryna macam ni…”

Terkebil-kebil mata Eryna memandang wajah mama. Terkejut juga mendengar papa sudah pulang. Dia melihat jam di sebelah katil. Sudah pukul 12.20 tengah hari.

“Papa dah balik? Awalnya…” Perlahan saja suara Eryna.

“Ye dan papa nak jumpa dengan Ryna sekarang. Cepat pergi mandi!”

Eryna menghela nafas dengan kasar. Dalam keadaan terpaksa, dia bangun dan mencapai tuala di penyidal. Pintu bilik air dihempas kuat. Puan Fauziah menggeleng perlahan melihat sikap si anak. Semuanya berpunca dari dia dan suaminya kerana terlalu memanjakan Eryna. Hendak menyesal pun sudah tidak berguna lagi.

💕

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top