Teaser 2

Meh belanja lagi random bab drpd novel DOSA..

TUBUH Eryna bergoyang mengikut rentak muzik yang semakin rancak. Dia menari sambil ditemani Anita. Bukan main gembira lagi Eryna meraikan berita tentang hari pertunangannya itu bersama Anita.

Hampir setengah jam menari, Eryna sudah mula keletihan. Dia menarik tangan Anita untuk duduk berehat. Terasa kering tekaknya akibat terlalu banyak menjerit semasa menari tadi.
Eryna bersandar keletihan di kerusi. Air coke diteguk dengan rakus. Pelik Anita kerana hari ini Eryna tidak memesan air minuman kegemarannya seperti biasa.

“Hebat juga ye penangan si Aidil tu...”
Ternaik kening Eryna dengan kenyataan Anita.

“Kenapa kau cakap macam tu?”
Anita ketawa kecil.

“Biasanya kau kalau dah jejak kaki ke sini, tak lengkap kalau tak minum...” Sengaja Anita tidak menghabiskan ayatnya.

Eryna tersenyum senget. Fahamlah dia yang Anita sengaja menyindir dia.

“Kalau aku minum, memang kantoilah nanti. Papa aku dah larang aku ke sini. Lepas ni, aku mungkin susah nak datang ke sini. So boring…” Meleret nada suara Eryna sambil menaikkan kedua-dua anak matanya ke atas.

Tercengang Anita.

“Habis tu, kita nak lepak dekat mana lagi lepas ni?” Kecewa juga Anita kerana mereka tidak dapat berhibur di sini. Hanya tempat inilah yang selalu mereka datang untuk melepaskan tekanan.

Eryna mengeluh perlahan. Dia sebenarnya tidak suka dengan permintaan Encik Nasran tapi jika dia ingin berkahwin dengan Aidil, terpaksalah dia menurut arahan orang tua itu.

“Aku kena hati-hati sekarang. Kalau keluarga Aidil tahu aku ni suka ke sini, kau rasa mereka akan terima aku ke?”

Anita mengangguk perlahan. Ada benarnya juga kata-kata Eryna.

“Tak apalah. Banyak lagi tempat kita boleh lepak. Manalah tahu, lepas ni kau boleh berubah ke jalan yang lebih baik,” sakat Anita.

Sakit pula hati Eryna dengan sindiran Anita. Dia sendiri tidak pasti perjalanan hidupnya jika sudah bergelar isteri Aidil nanti. Teringatkan perbualannya dengan papa semalam, membuatkan dia tidak senang duduk.

“Kau ada dengan berita pasal Izz?” soal Eryna.

Tertanya-tanya juga Eryna tentang keadaan Izz Haikal sekarang. Selepas kejadian Izz dipukul oleh Aidil, Eryna sudah menyekat nombor lelaki itu. Dia ke sini pun selepas yakin Izz tidak berada di kelab ini.

“Entah. Aku pun tak tahu keadaan dia sekarang. Nasiblah malam ni dia tak ada. Kau tu berani sangat nak permainkan dia. Aku cuma risau kalau dia balas dendam aje nanti...”

Eryna tayang wajah tidak bersalah. Dia tidak peduli dengan perasaan Izz. Lagipun lelaki seperti Izz memang layak menerima hukuman seperti itu. Sudah banyak maklumat yang dia terima tentang sikap buruk lelaki itu. Terbaru dia ada mendapat berita yang lelaki itu sudah mengandungkan seseorang.

“Aku tak takut kalau dia nak ugut aku. Semua rahsia kotor dia ada dalam genggaman aku...”

Kecut perut pula Anita dibuatnya dengan sikap berani Eryna. Dia hanya risaukan dengan keselamatan Eryna sahaja. Izz Haikal bukan calang-calang juga orangnya.

“Hai, boleh saya duduk di sini?”

Tiba-tiba muncul seorang lelaki kacak datang menegur mereka. Eryna sekadar memaniskan wajah dan mengangguk perlahan. Bulat mata Anita dengan persetujuan Eryna.
Lelaki kacak itu duduk di sebelah Eryna. Tangan dihulurkan kepada Eryna. Tanpa rasa ragu-ragu, Eryna menyambut huluran tangan lelaki itu.

“Saya Afiq. Awak yang manis ni, nama apa pula?”

Sejak dari awal dia datang ke sini lagi matanya sudah terpaku melihat wajah gadis manis ini. Dia dapat merasakan aura gadis di hadapannya sekarang sangat berbeza dengan kebanyakkan gadis yang dia kenal sebelum ini.

“Eryna tapi saya lebih selesa dipanggil Ryna...”

“Ryna. Cantik nama awak. Awak pula?”

“Err.. Anita...”

Afiq menghadiahkan senyuman manis kepada Anita. Terpaku mata Anita menatap wajah kacak Afiq. Lekas Anita mengalihkan anak matanya ke arah lain kerana takut hatinya mudah terpaut. Lagipun sudah terang lelaki ini lebih berminat dengan Eryna.

“Selalu datang ke sini?” Ramah Afiq bertanya.

“Selalu juga tapi lepas ni, mungkin susah sikitlah saya ke sini. Mungkin juga tak akan datang lagi.” Tenang Eryna memberikan jawapan.

Wajah Afiq jelas berubah. Dia baru sahaja bercadang untuk lebih mengenali Eryna dengan lebih rapat.

“Kenapa pula? Awak kena pindah ke tempat lain?”

Anita dan Eryna sama-sama tergelak lucu. Kerja? Seumur hidup Eryna, dia tidak pernah lagi bekerja. Disebabkan itu dia lebih suka mencari lelaki dari keluarga yang kaya untuk mendapatkan barang yang dia idamkan. Tak perlulah bersusah payah untuk bekerja.

“Ehmm... boleh dikatakan sebab kerja juga.”

Anita sembunyi senyum. Lucu dengan jawapan Eryna. Mahu sahaja Anita menyambung jawapan Eryna iaitu bekerja menghabiskan duit keluarga.

“Kalau awak tak keberatan, boleh bagi saya nombor telefona awak. Mungkin lepas ni, kita boleh berjumpa lagi.” Afiq memulakan langkah untuk memikat.

Dia yakin Eryna akan jatuh hati dengannya. Dengan pakej rupanya yang kacak, ditambah pula dengan kekayaan milik keluarganya, pasti Eryna tidak akan melepaskan peluang keemasan ini untuk berdamping dengannya.

Ternaik kening Eryna dengan permintaan Afiq. Gelojoh juga lelaki ini rupanya. Eryna sengaja mendekatkan tubuhnya ke arah Afiq.
Terbuntang biji mata Anita melihat adegan itu. Dia segera memandang di sekelilingnya. Risau juga kalau ada yang mengintip pergerakan Eryna. Suka sangat kawan baiknya itu bertindak sesuka hati.

“Awak nak pikat saya ke?” Lengan Afiq dielus lembut.

Afiq turut mendekatkan bibirnya ke telinga Eryna.

“Boleh ke?” Bisik Afiq penuh menggoda. Bau wangian Eryna menggetarkan naluri lelakinya. Pertama kali dia betul-betul terpesona dengan wajah manis Eryna.

“Bukan tak boleh tapi sayang... saya dah nak bertunang. Awak cuma terlambat sikit saja untuk berkenalan dengan saya.”

Eryna tersenyum senget. Wajah Afiq terus berubah. Kecewa dengan berita yang disampaikan oleh Eryna.

“Dah lewat. Kami balik dulu ye...”

Eryna bangun dan memberi isyarat kepada Anita untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu pulang lewat malam kerana risau Encik Nasran akan tahu dia ada datang ke sini. Tiba-tiba tangannya dicengkam lembut oleh Afiq.

“Saya nak berkawan dengan awak. Sebagai kawan biasa…” Afiq masih tidak mahu berputus asa mendapatkan nombor telefon Eryna. Entah kenapa, dia begitu ingin berkenalan dengan gadis itu.
Perlahan-lahan jari halus Eryna menolak tangan Afiq. Wajahnya masih dimaniskan.

“Maaf, saya tak berminat dengan lelaki lain setakat ni. Kenapa awak tak pilih Anita? Dia pun cantik juga...”
Terbatuk Anita dibuatnya. Malu pun ada. Boleh pula Eryna mengenakan dia. Tanpa menunggu balasan Afiq, Eryna segera beredar dari situ. Tergesa-gesa Anita mengikut langkah Eryna ke kereta.

Ada rasa kagum di hati Anita kerana pertama kali Eryna menolak dari didekati oleh lelaki kaya. Dari gaya lelaki itu tadi, dia yakin Afiq datang dari keluarga yang berpengaruh.

“Sah kau dah lain,” sindir Anita sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta.

“Kau nak sindir aku lagi ke?” Pintu kereta dihempas dengan kasar.

“Woi... rosaklah kereta aku.” Terkejut juga Anita dengan reaksi Eryna. Kereta dia bukanlah mahal sangat pun. Sesuka hati aje nak menjahanamkan kereta kesayangannya ini.

“Kalau kau tak nak aku rosakkan kereta kau ni lagi, cepat hantar aku balik. Dah nak pukul 12 ni...”

Anita mencebik tanda tidak puas hati. Setelah dia menghidupkan enjin kereta, Anita mengerling sekilas ke arah Eryna.

“Kenapa kau tolak budak Afiq tu? Tak rasa rugi ke tolak durian runtuh?”
Eryna memejam matanya dengan rapat. Malam ini, dia sudah melakukan kesalahan yang besar. Jujur dia tidak senang hati selepas berjumpa dengan Afiq.

“Keluarga dia yang kaya, bukan dia…”

“Mana kau tahu? Kita kan baru kenal dia hari ni…” Ada rasa curiga di hati Anita. Dia memberhentikan keretanya sebaik sahaja lampu isyarat bertukar menjadi merah.

“Dia Afiq Waiz, adik Aidil…”

“Ooo...” Anita mengangguk perlahan. Dia seperti pernah mendengar nama itu sebelum ini. Aidil…

“Hah! A... adik?” Terjerit Anita kerana terlalu terkejut. Mujurlah dia tidak memandu ketika ini. Mahu terbabas mereka nanti disebabkan pengakuan Eryna.

Eryna hanya berdiam diri sahaja. Semasa Afiq memperkenalkan diri, Eryna sudah mengecam wajah lelaki itu. Dia pernah melihat gambar ahli keluarga Aidil yang tergantung di ruang tamu ketika pernah ke sana tempoh hari.

Fikiran Eryna semakin kusut memikirkan tanggapan Afiq setelah mengetahui dirinya bakal menjadi tunang Aidil nanti. Harap-harap Afiq tidak mendedahkan tentang hal malam ini kepada kedua ibu bapa Aidil.

💕💕

pratempahan sehingga 25/10/2020
Rm38 sm/ rm43 ss. Harga dh termasuk pos. Berminat wasap 0129284568.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top