Teaser 1
AIDIL menghabiskan minuman yang masih berbaki di dalam cawan. Dia baru sahaja selesai berjumpa dengan seseorang atas urusan kerja di sebuah kafe. Komputer riba dan fail dimasukkan ke dalam beg. Dia perlu ke resort kembali selepas ini.
Ketika dia melangkah keluar dari kafe, kepalanya tiba-tiba terasa pening. Tali leher dilongkarkan sedikit. Dia terus berjalan menuju ke kereta tanpa sedar ada seseorang sedang mengekori dirinya.
Belum sempat dia ingin membuka pintu kereta, tubuhnya ditolak dengan kasar. Aidil jatuh tersungkur ke atas jalan tar menyebabkan komputer riba dan beg kerjanya turut terjatuh. Perkara yang berlaku ketika itu terlalu pantas.
Perasaan Aidil semakin cemas saat melihat lelaki yang menolaknya tadi mengambil komputer riba miliknya. Dia tidak boleh kehilangan barang berharga itu lantas cuba untuk mengejar lelaki itu.
“Berhenti!” Sekuat hati Aidil menjerit. Silapnya juga kerana meletak kereta di kawasan yang agak sunyi.
Kepala yang semakin sakit menyebabkan pandangan Aidil agak kabur. Terhuyung-hayang tubuhnya ketika dia cuba mengejar lelaki itu. Dari jauh dia ternampak ada seorang gadis sedang memukul lelaki itu dengan menggunakan beg tangan. Aidil menarik nafas lega. Lekas dia mendekati lelaki itu.
Sebaik sahaja Aidil semakin mendekati mereka, Eryna lekas memberi isyarat mata kepada lelaki yang diupahnya itu, untuk menolak tubuhnya. Eryna berpura-pura menjerit kesakitan apabila dia terjatuh di atas jalan raya.
“Arghhh…” Perit kedua-dua tapak tangannya akibat terjatuh di atas jalan tar. Di dalam hati Eryna sudah menyumpah seranah kepada lelaki itu.
‘Tak guna. Boleh pula dia tolak aku betul-betul. Kuat pula tu…’
Aidil segera meluru ke arah gadis itu. Dia tidak jadi mengejar lelaki itu.
“Cik tak apa-apa?” Aidil duduk mencangkung di hadapan Eryna.
Eryna memandang wajah Aidil. Terpaku mata Eryna melihat wajah kacak milik Aidil. Tidak sangka lelaki itu kelihatan sangat berbeza jika dilihat secara berhadapan.
“Err… tak ada apa-apa. Luka sikit aje. Ni laptop encik…”
Aidil menarik nafas lega. Jika dia kehilangan komputer riba ini, pasti segala usaha kerasnya selama seminggu untuk menyiapkan kertas kerja, menjadi sia-sia.
“Terima kasih dan minta maaf sebab dah menyusahkan awak…”
Malu juga Aidil kerana dia seorang lelaki tetapi tidak mampu mengejar lelaki tadi. Dia sendiri pelik dengan keadaan dirinya yang tiba-tiba sahaja berasa lemah.
“Eh, tak apa. Kebetulan dia lalu di hadapan saya. Bila encik jerit, saya tahu lelaki tu ada curi barang encik. Sebab tu saya terus pukul dia dengan beg tangan saya…” Eryna memulakan lakonannya.
Dia bernasib baik kerana Aidil masih tidak mengecam dirinya. Mustahil Aidil akan ingat tentang dirinya kerana sudah hampir 10 tahun mereka tidak berjumpa.
“Mari saya tolong…”
Aidil membantu Eryna untuk berdiri. Tiba-tiba kepala Aidil semakin pening. Dia nyaris terjatuh tetapi sempat pinggangnya dirangkul oleh Eryna. Mereka saling memandang di antara satu sama lain.
Tergerak halkum Aidil kerana wajahnya begitu hampir dengan wajah gadis itu. Malah dia dapat merasai setiap lekuk di tubuh gadis itu.
“Encik tak sihat ke?” Eryna memberanikan diri menyentuh dahi Aidil.
Aidil lekas menjarakkan wajahnya. Dia cuba berdiri dengan stabil dengan memegang bahu gadis itu. Malu juga kerana hampir pitam.
“Saya… saya pening…”
Eryna sembunyi senyum. Tak sangka ubat itu sangat berkesan. Tidak sia-sialah dia mengupah pekerja di kafe tadi untuk meletakkan sesuatu di dalam air minuman Aidil.
“Biar saya bawa encik balik. Bahaya kalau encik memandu dalam keadaan tak sihat,” tawar Eryna.
“Err… tak apa. Saya masih boleh…”
“Encik jangan degil. Nak berdiri pun tak boleh… macam mana encik nak drive dengan selamat? Mana kereta encik? Saya tolong papahkan encik ke sana…”
Aidil terpaksa mengalah. Buat masa ini dia sangat memerlukan bantuan seseorang. Dia menunjukkan arah kedudukan keretanya. Eryna meletakkan tangan kiri Aidil di atas bahunya. Tangan sebelah lagi merangkul erat pinggang Aidil.
Perasaan Aidil semakin gemuruh. Pertama kali dia berada dalam keadaan seperti ini dengan wanita lain. Ketika dia bercinta dengan Ayu, dia tidak pernah menyentuh kulit gadis itu. Sudah lama dia tidak berasa berdebar seperti ini. Sama seperti dulu saat pertama kali dia jatuh cinta.
Eryna segera membuka pintu kereta di sebelah pemandu. Selepas menutup pintu kereta, lekas dia berjalan ke bahagian tempat duduk pemandu. Belum sempat Eryna ingin memandu, Aidil segera menghalang.
“Cik tak perlulah hantar saya. Bagi saya rehat. Nanti saya akan okey…”
“Alang-alang saya dah masuk dalam kereta encik ni, tak salah saya tolong encik. Nah, taip alamat rumah encik. Saya hantarkan…” Telefon miliknya diserahkan kepada Aidil.
Aidil semakin serba salah.
“Nanti cik nak balik macam mana?”
“Kalau pasal tu, jangan risau. Nanti saya suruh kawan saya ambilkan…”
Aidil mengangguk perlahan. Telefon bimbit Eryna disambut juga. Dia menaip alamat rumahnya dengan menggunakan aplikasi waze. Eryna segera memandu dalam keadaan tenang.
“Encik rehatlah dulu. Dah sampai, saya kejutkan…”
“Tak perlu berencik dengan saya. Saya Aidil… cik?”
“Panggil Ryna aje…”
Berkerut dahi Aidil. Dia seperti pernah mendengar nama itu. Malah, wajah Eryna mengingatkan dia kepada seseorang.
“Eryna…”
Tegak terus tubuh Eryna. Dadanya berdebar kencang. Tak mungkin Aidil sudah mengenali dia. Mustahil!
“Kenapa?” Soal Eryna berpura-pura tidak faham.
“Err… tak ada apa. Saya rasa macam pernah dengar nama awak sebelum ni…”
Eryna cuba berlagak tenang sambil tersenyum nipis. Dia perlu berlakon tidak mengenali Aidil. Rancangannya perlu berjaya supaya mudah dia mendekati Aidil selepas ini.
Hampir 15 minit kemudian, mereka sampai di kediaman Aidil. Tergamam Eryna melihat keadaan rumah Aidil yang sangat mewah. Ternyata sudah banyak yang berubah dalam kehidupan keluarga Aidil.
Di dalam hati, dia sudah memasang angan-angan. Suatu hari nanti rumah ini akan menjadi miliknya. Wajah tampan Aidil ditatap dengan senyuman penuh makna. Lelaki itu masih lagi tertidur di sebelahnya.
Dia tidak mahu mengejutkan Aidil. Lebih baik dia keluar dari kereta itu untuk berjumpa dengan ahli keluarga Aidil terlebih dahulu. Dia perlu memastikan ahli keluarga Aidil turut terhutang budi dengannya.
Eryna bernasib baik apabila dia berdiri di hadapan pagar rumah itu, ada seorang wanita anggun sedang menyiram pokok bunga. Dia yakin wanita itu adalah ibu Aidil.
“Assalamualaikum…”
Puan Zawiyah memandang ke arah pagar rumah. Dia terus menutup pili air dan mendekati gadis manis itu.
“Waalaikumussalam… cari Afiq ke?”
Berkerut dahi Eryna. Baru dia teringat yang Aidil mempunyai seorang adik lelaki yang sebaya dengan umurnya. Tak sangka pula dia dianggap sebagai kawan Afiq.
“Err… bukan. Saya Eryna. Panggil Ryna…” Tangan dihulurkan kepada Puan Zawiyah.
Puan Zawiyah menyambut huluran tangan itu dengan kerutan di dahi. Pelik juga dia jika gadis itu bukan kenalan Afiq.
“Ryna nak jumpa dengan siapa?”
“Sebenarnya Aidil tak sihat. Dia ada dalam kereta. Saya tolong bawakan dia pulang ke sini,” ramah Eryna bercerita.
Terus wajah Puan Zawiyah berubah riak. Tergesa-gesa dia membuka pagar rumahnya.
“Tak sihat? Teruk ke?” Puan Zawiyah semakin risau. Jarang Aidil jatuh sakit.
“Dia pening kepala mak cik. Dia masih tertidur dalam kereta…”
Puan Zawiyah melangkah laju ke arah kereta anaknya. Pintu kereta terus dibuka. Wajah pucat si anak ditatap dengan perasaan risau. Pipi Aidil disentuh perlahan.
“Aidil…” Lembut Puan Zawiyah menepuk pipi Aidil.
Aidil yang terasa pipinya disentuh, cuba membuka matanya dengan perlahan-lahan. Terkejut Aidil melihat umi sudah ada di sebelahnya.
“Umi, kenapa… arghh…” Aidil mengerang kesakitan apabila kepalanya kembali berdenyut.
“Kawan Aidil cakap, Aidil tak sihat. Tulah, kerja kuat lagi. Kalau nenda tahu ni, mesti dia membebel.” Makin risau Puan Zawiyah melihat keadaan si anak. Teruk juga sakit Aidil kali ini.
Eryna sekadar memasang telinga. Sesekali dia melihat di sekeliling kawasan rumah mewah ini.
“Mana Ryna?” Aidil baru tersedar yang dia pulang ke rumah bersama Eryna.
Puan Zawiyah tersenyum kecil. Pertama kali Aidil pulang ke rumah dengan seorang wanita.
“Ada dekat luar. Mari umi tolong papah Aidil masuk ke dalam…” Tubuh Aidil ditarik perlahan.
Aidil keluar dari kereta sambil dibantu oleh Puan Zawiyah. Lekas Eryna mendekati dua beranak itu.
“Masuklah dulu,” tawar Zawiyah.
“Tak apalah, saya ada kerja. Nanti kawan saya datang ambil…”
“Sementara nak tunggu kawan tu, masuklah dulu…” Tidak senang hati pula Puan Zawiyah membiarkan Eryna balik begitu sahaja.
“Betul cakap umi saya. Masuklah dulu… suruh kawan awak call bila dia dah sampai…” Aidil tidak sanggup juga membiarkan Eryna pulang tanpa ditemani sesiapa. Eryna ke sini pun disebabkan dia.
“Okey. Saya ambil beg tangan saya dulu…”
Eryna segera masuk ke dalam kereta Aidil. Beg tangan yang terletak di atas kerusi pemandu diambil. Setelah dia memastikan kelibat dua beranak itu masuk ke dalam rumah, Eryna meletakkan beg dompet miliknya di bawah kerusi pemandu.
Pintu kereta segera ditutup. Dia masuk ke dalam rumah sambil tersenyum penuh makna. Tak sangka lelaki seperti Aidil mudah sahaja masuk ke dalam perangkapnya.
Untuk order boleh Klik 📲
www.wasap.my/60129284568/dosa
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top