Bab 9
ERYNA lekas berpaling memandang wajah mama. Terkejut juga dia dengan permintaan Puan Fauziah. Hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi keluarga Aidil akan datang ke sini.
“Mama cakap apa tadi?” Eryna inginkan kepastian. Takut juga kalau dia tersalah dengar.
Puan Fauziah mendekati si anak. Tangan Eryna diraih dan digenggam kemas. Hanya dengan cara ini sahaja yang dia mampu lakukan untuk hentikan rancangan suaminya.
“Hentikan semua ni. Mama tak nak Ryna terima Aidil disebabkan rancangan papa…”
Lekas Eryna menarik tangannya. Dia berdiri membelakangi Puan Fauziah. Eryna terus menyambung menyolek wajahnya tanpa rasa bersalah.
“Mama jangan merepeklah. Ryna setuju dengan papa sebab perkara ni untuk kebaikan keluarga kita juga. Tak akan mama nak hidup susah. Ryna tak nak…”
“Tapi bukan dengan cara macam ni…”
Eryna merengus perlahan. Berus pemerah pipi ditangannya dihempas kasar.
“Mama jangan nak rosakkan hari bahagia Ryna. Tak lama lagi mereka dah nak sampai. Sekarang ni boleh pula mama nak Ryna batalkan rancangan mereka. No! Ryna tak akan buat semua tu…”
Bergenang tubir mata Puan Fauziah. Dia cuba memujuk anaknya untuk menolak rancangan Encik Nasran. Bukan ini yang dia mahu dalam kehidupan satu-satu zuriat yang dia lahir ke dunia ini.
“Ryna…”
Sekali lagi tangan Eryna digenggam kemas. Wajah anak tunggalnya ditatap dengan penuh kasih.
“Mama sayangkan Ryna. Mama pun nak tengok anak mama bahagia tapi bukan dengan cara macam ni. Banyak risiko yang Ryna akan hadap. Kalau ditakdirkan mereka dapat tahu tentang rancangan papa, Ryna sanggup ke dikecam dan dihina oleh mereka terutamanya Aidil? Mama tak sanggup…” Sayu nada suara Puan Fauziah.
Terdiam seketika Eryna. Melihat wajah mama yang keruh itu membuatkan hati Eryna semakin serba salah. Sejak dari awal lagi dia sudah bersedia dengan perkara yang dikatakan oleh Puan Fauziah. Bagi Eryna, selagi dia berhati-hati, rahsia dia bersama papa akan selamat.
“Mama jangan fikirkan sangatlah. Ryna tahu apa yang Ryna buat...” Tangan Puan Fauziah digosok perlahan.
“Tapi…” Bunyi ketukan pintu mematikan perbualan mereka. Puan Fauziah lekas membuka pintu bilik.
“Kenapa Mak Kiah?” Tanya Puan Fauziah kepada pembantu rumahnya itu.
“Tetamu dah sampai, puan…”
“Err… jemput mereka masuk. Nanti saya turun…”
Sebaik saja orang gajinya turun, Puan Fauziah toleh ke arah anaknya.
“Mama turun dulu. Nanti, Ryna datang ke ruang tamu. Mereka semua dah sampai…” Terpaksalah Puan Fauziah mengalah.
Makin berdebar dada Eryna. Lekas dia membetulkan solekan di wajahnya. Rambut panjang dibiarkan lepas. Hari ini dia sekadar mengenakan baju kurung moden berwarna biru lembut.
Di ruang tamu, Encik Nasran berpura-pura kelihatan terkejut dengan kemunculan keluarga Encik Adnan. Mereka saling berpelukan kerana hampir 10 tahun tidak berjumpa. Hajah Mashitah turut mengalirkan air mata kerana tidak sangka dapat berjumpa dengan anak saudara tunggalnya.
“Mak long tak sangka Ryna tu cucu saudara mak long selama ni…”
Sungguh mereka terkejut. Aidil dan Afiq sekadar memerhati sahaja. Ketika ini Aidil masih bingung kerana tidak percaya yang Eryna merupakan anak sepupu walid. Fikirannya melayang teringatkan peristiwa lama.
“Itulah… Nan pun tak sangka. Dah lama juga kita tak jumpa. Tak sangka selama ni kau duduk dekat sini. Pindah langsung tak beritahu kami.” Seloroh Encik Adnan.
Tiba-tiba sahaja Encik Nasran menghilangkan diri dan berpindah ke tempat lain. Nombor telefon turut bertukar. Pelik kerana dia tidak dapat menghubungi sepupunya lagi. Pernah juga Encik Adnan cuba mencari Encik Nasran di hotel milik arwah ayah saudaranya tetapi menurut pekerja di sana, pemilik hotel sudah bertukar tangan.
“Hampir lima tahun juga aku menetap dekat sini. Kita lost contact pun sebab aku memang sengaja tak nak ganggu keluarga kau lagi. Keluarga aku dulu dah banyak susahkan mak long.”
Bukan dia tidak tahu Encik Adnan pernah mencarinya selama ini. Sengaja dia menggunakan identiti lain kerana tidak mahu dijejaki oleh lelaki ini. Ada sebab dia berbuat begitu.
Tidak lama kemudian muncul Puan Fauziah bersama orang gaji mereka. Air minuman diletakkan di atas meja. Puan Fauziah bersalaman dengan Puan Zawiyah dan Hajah Mashitah. Mereka saling berpelukan kerana sudah lama tidak bersua. Semakin menebal rasa bersalah di hati Puan Fauziah memikirkan tentang rancangan suaminya.
Setelah hampir 15 minit mereka berbual, barulah Eryna muncul di ruang tamu. Terkedu Afiq dengan kehadiran Eryna. Aidil sekadar tersenyum nipis saat memandang wajah Eryna yang tampak ayu berbaju kurung.
Eryna tidak menghiraukan pandangan Afiq. Dia perlu berlagak seperti biasa di hadapan mereka semua. Eryna turut berlakon seolah-olah tidak menyangka yang mereka sebenarnya adalah bersaudara.
“Mungkin dah jodoh anak-anak kita,” seloroh Nasran.
“Betul tu. Kalau dah kenal, rasanya tak perlulah sampai bertunang. Elok nikah aje terus…” Tambah Hajah Mashitah.
Pucat wajah Aidil. Eryna yang perasan dengan reaksi Aidil segera mencelah.
“Biarlah kami bertunang. Ryna dah berbincang dengan Abang Aidil yang kami akan cuba sesuaikan diri terlebih dulu. Lagipun, Ryna tak bersedia lagi…”
Terkedu Aidil mendengar gelaran yang diberi oleh Eryna. Memang itulah panggilan yang pernah digunakan oleh Eryna ketika dia masih kecil. Patutlah dia seperti pernah mendengar nama Nuha Eryna sebelum ini.
Wajah Afiq semakin kelat. Jujur dia agak cemburu dengan perkara yang berlaku sekarang. Kebetulan pula dia sudah jatuh cinta dengan bakal isteri abang kandungnya sendiri. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu. Mustahil Aidil tidak tahu yang Eryna seorang gadis sosial.
“Yalah, nenda setuju tapi jangan bertunang terlalu lama. Paling lama pun, tiga bulan dah cukup.” Tegas Hajah Mashitah memberikan kata putus.
Encik Nasran tersenyum lebar. Semakin cepat majlis itu berlangsung, semakin cepatlah dia dapat merampas sebahagian harta keluarga itu.
Eryna meminta diri untuk ke dapur. Dia mahu membantu menyediakan makan tengah hari di meja makan. Di hadapan keluarga Aidil, dia perlu berlakon menjadi bakal isteri pilihan.
Ketika di dapur, dia mencedok lauk ke dalam mangkuk. Pembantu rumahnya pula sedang menyusun pinggan dan gelas di meja makan. Tersenyum Eryna memikirkan yang dia akan menjadi tunang pemilik Resort Bayu pada hujung minggu hadapan.
“Ehem…”
Terangkat bahu Eryna. Dia berpaling ke belakang. Afiq sedang memandang ke arahnya sambil memeluk tubuh. Tubuhnya bersandar di kabinet dapur.
“Awak nak air ke?” Eryna cuba berlagak tenang. Dari renungan lelaki itu dia sudah dapat mengagak yang Afiq inginkan penjelasan darinya.
“Abang saya tahu ke siapa diri awak sebenarnya?”
Ternaik kening Eryna. Nafasnya ditarik kasar.
“Awak rasa?” Sengaja Eryna berteka teki. Bagi Eryna, Afiq tiada hak untuk menghakimi dirinya.
“Saya kenal abang saya. Tak mungkin dia akan terima bakal isteri dia yang terlalu sosial…” Afiq melihat tubuh Eryna dari atas hingga ke bawah dengan pandangan penuh nakal.
Eryna tergelak lucu. Mangkuk yang sudah penuh diisi dengan lauk, dibawa bersamanya menuju ke meja makan. Dia memberanikan diri berhadapan dengan Afiq.
“Jadi awak nak cakap yang saya tak layak untuk Aidil?”
Kelu lidah Afiq. Tiba-tiba dia menjadi sukar untuk berlawan kata saat berhadapan dengan Eryna.
“Jangan disebabkan saya tolak awak, awak boleh hina saya sesuka hati…” Sengaja Eryna membisikkan ayat itu di telinga Afiq sebelum menjarakkan tubuhnya kembali.
“Bukan macam tu, saya…”
“Kenapa ni?” Muncul Aidil dengan tiba-tiba di belakang Afiq.
Wajah Afiq berubah riak. Tidak mahu membuat kecoh, Afiq terpaksa berpura-pura tidak mengenali Eryna.
“Tak ada apalah. Afiq tanya Ryna tandas dekat mana. Ryna nak hantar lauk ni dulu ye…”
Eryna lekas meninggalkan dua beradik itu di dapur. Sempat dia memberikan jelingan nakal kepada Afiq. Aidil berasa curiga dengan reaksi Afiq. Semasa dia ke sini, dia nampak dengan jelas seolah-olah Eryna sedang memarahi Afiq.
“Kau buat apa tadi?”
Afiq tergelak sinis.
“Aku cuma nak berkenalan dengan bakal kakak ipar aku. Tak sangka citarasa kau memang dah berubah.”
Merah wajah Aidil menahan marah.
“Aku tak nak bergaduh dengan kau dekat sini…”
Afiq mengangguk sambil tersenyum senget. Dia berjalan sehingga berdiri di sebelah Aidil. Bibirnya sengaja didekatkan dengan telinga Aidil. Cara yang sama yang digunakan oleh Eryna tadi.
“Aku cuma nak bagi pesanan, kalau kau tak nak dia, aku bersedia gantikan tempat kau…” Afiq kenyitkan mata.
Menyirap darah Aidil. Tangannya dikepal kuat. Nyaris sahaja dia menumbuk wajah adiknya di sini. Dia segera beristighfar di dalam hati. Bahu Afiq ditepuk perlahan. Senyuman diukir semanis yang boleh.
“Kau tak perlu susah-susah nak gantiakan tempat aku. Eryna tetap bakal kakak ipar kau tak lama lagi.”
Aidil terus melangkah keluar dari dapur dengan hati yang puas. Dia tidak akan membiarkan Afiq cuba mendekati Eryna. Walaupun dia masih belum ada rasa cinta terhadap gadis itu, dia bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan Eryna. Sikap Afiq yang bermata keranjang tidak pernah berubah. Dengan bakal isterinya juga mahu bermain mata.
😍😍😍😍
Tinggal dua hari lagi ya👏👏
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top