Bab 7

BILIK kerja itu bergema dengan gelak ketawa Encik Nasran. Baru beberapa hari lepas dia mencadangkan Eryna untuk masuk ke dalam keluarga Encik Adnan. Tidak sangka begitu cepat Eryna memulakan rancangan mereka.

“Bagus. Papa tak sangka, Ryna mampu perangkap Aidil dengan mudah. Nasib kita sangat baik. Disebabkan gambar ni, Ryna bakal menjadi tunang Aidil...”

Eryna tersenyum lebar. Sebaik saja dia pulang dari rumah Aidil, dia terus berjumpa dengan Encik Nasran. Segala yang berlaku selama dua hari yang lepas, telah diceritakan kepada orang tua itu.

“Tapi papa jangan terlalu gembira sangat. Ryna kena pastikan yang Abang Aidil betul-betul setuju berkahwin dengan Ryna. Buat masa ni, dia terima Ryna disebabkan gambar tu aje...”

Perkara itulah yang membuatkan hati Eryna masih tidak senang. Dia perlu memastikan pertunangan mereka berjalan dengan lancar dan diakhiri dengan perkahwinan. Selagi Aidil tidak bersetuju untuk berkahwin, selagi itulah rancangan mereka  belum dianggap berjaya.

“Papa yakin Ryna boleh yakinkan Aidil. Inilah masanya Ryna gunakan kelemahan seorang lelaki...”

Eryna tergelak lucu. Memang itulah kepakarannya dalam memikat lelaki. Setakat ini, tiada seorang lelaki pun yang mampu menolak setiap godaannya.

“Tapi ingat, jangan buat sesuatu perkara yang menjatuhkan maruah papa. Lagi satu, kurangkan aktiviti ke kelab malam. Papa tak nak mereka tahu Ryna suka ke sana...”

Mencebik bibir Eryna. Belum apa-apa lagi dia telah disekat melakukan aktiviti kegemarannya. Bagi Eryna, selagi dia belum bergelar isteri, dia akan tetap ke sana untuk berhibur. Pandai-pandailah dia nanti menyembunyikan aktiviti itu dari pengetahuan papa.

“Dia dah tahu pasal kegiatan Ryna. Tak jadi masalah pun kalau Ryna nak ke sana...” Ada baiknya juga Aidil tahu yang dia pernah ke sana. Tak perlulah dia berpura-pura sangat berlakon seperti gadis yang baik.

Bulat mata Encik Nasran memandang wajah anaknya. Geram kerana Eryna masih berani mendedahkan kegiatan tak bermoralnya kepada Aidil.

“Ryna dah hilang akal ke? Kalau betul pun Aidil tu terima, keluarga dia boleh ke terima? Papa kenal dengan keluarga Aidil. Mereka tak suka kalau ada ahli keluarga mereka pergi ke tempat macam tu...”

Eryna merengus kasar. Dia memang tidak suka dikongkong.

“Okey, Ryna akan hati-hati.” Terpaksalah Eryna berbohong dari terus mendengar leteran Encik Nasran.

Hanya itu sahaja yang mampu Eryna berikan jawapan. Dia tidak mahu berjanji kerana tahu dirinya akan ke sana juga untuk berhibur. Lagipun malam esok dia akan ke sana untuk berjumpa dengan Anita. Meraikan hari kebahagiaannya sempena berjaya mendapatkan Aidil.

“Bagus. Ingat pesan papa. Bila keluarga dia nak datang ke sini?”

“Hujung minggu ni. Betul bukan papa yang upah orang untuk ambil gambar ni?” Ada rasa curiga juga di hati Eryna. Mustahil perkara itu hanya satu kebetulan.

“Memang papa tak terlibat dalam hal gambar ni. Pedulikanlah siapa yang sebar gambar Ryna tu. Yang penting, orang tu dah bantu rancangan kita secara tidak langsung...” Makin lebar senyuman Encik Nasran.

Eryna mengangguk setuju. Betul juga kata papanya. Bukan mereka yang menyebarkan gambar tersebut. Pasti orang yang menyebarkan gambar itu ialah musuh perniagaan keluarga Aidil.

“Sebelum papa terlupa, pastikan Ryna pura-pura tak kenal dengan mereka. Papa akan pastikan mereka terkejut sebaik sahaja kaki mereka melangkah ke rumah kita...”

Encik Nasran sudah tersenyum penuh makna. Dia memang sudah lama ingin membalas dendam terhadap keluarga sepupunya terutamanya terhadap Hajah Mashitah, ibu saudaranya.

Sepatutnya harta kekayaaan milik arwah atok diserahkan kepada arwah ayahnya. Disebabkan ayahnya berkahwin tanpa restu keluarga, seluruh harta milik arwah atok diserahkan kepada Hajah Mashitah, iaitu kakak kepada ayahnya.

“Papa akan rampas apa yang sepatutnya jadi milik kita...”
Berkerut dahi Eryna. Wajah Encik Nasran dipandang dengan riak keliru.

“Papa nak rampas semua harta mereka. Bukan apa cuma nak mereka bantu perniagaan keluarga kita ke?” Setahu Eryna, itu bukan rancangan asal mereka.

“Sambil menyelam, tak salah kita minum airnya sekali...”

Terpinga-pinga Eryna mendengar kenyataan itu. Encik Nasran terus keluar dari bilik  dengan perasaan gembira. Hati Eryna menjadi serba salah setelah mendengar rancangan itu. Tak mungkin papanya ingin memusnahkan keluarga Aidil. Bagaimana dengan nasib dia setelah bergelar isteri Aidil nanti?

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

TERSEDAK Afiq ketika berada di meja makan. Wajah abang sulungnya dipandang dengan rasa tidak percaya. Tiba-tiba sahaja dia diberitahu yang Aidil akan bertunang. Malah hujung minggu ini mereka akan ke rumah bakal isteri Aidil untuk majlis merisik.

“Siapa gadis yang malang tu?” Perli Afiq tanpa rasa bersalah.

Aidil mencerlung ke arah Afiq.  Afiq tayang wajah selamba.

“Afiq, tak baik cakap macam tu,” bisik Puan Zawiyah yang duduk di sebelah Afiq.

“Betullah kata Afiq, umi. Selama ni dia mana ada kekasih. Tiba-tiba nak bertunang. Ni sah kes tangkap muat...”

Bukan dia tidak tahu ugutan yang diberi oleh nenda kepada Aidil. Dia yang terdengar secara tidak sengaja tempoh hari, turut berasa lucu. Umur sudah mencecah 30 tahun tapi telah dipaksa berkahwin.

“Nenda kenal budak tu. Baik dan cantik orangnya. Afiq jangan nak merendahkan Abang Afiq,” tegur Hajah Mashitah kurang senang dengan kata-kata Afiq.

Afiq mengangkat kedua tangannya ke atas tanda menyerah. Jika Hajah Mashitah sudah bersuara, terpaksalah dia berdiam diri. Silap kata, merajuk pula orang tua itu.

“Sekurang-kurangnya aku serius nak berkawan. Bukan macam kau... kerja nak permainkan perempuan aje. Kali ni, teman wanita yang ke berapa pula kau angkut?”

Aidil yang sejak dari tadi hanya berdiam diri, memulangkan paku buah. Geram kerana Afiq langsung tidak menghormatinya sebagai abang.
Tajam mata Afiq memandang wajah Aidil. Sejak dari dulu lagi mereka tidak sebulu. Hubungan mereka bertambah teruk apabila dia enggan bekerja di resort milik keluarga mereka.

“Tak kisahlah berapa orang pun. Kenapa? Kau nak aku masukkan bakal isteri kau dalam list aku ke?”
Pap!

Kuat Aidil menepuk meja makan. Bengang kerana Afiq tergamak mempersendakan bakal tunangnya. Walaupun dia masih belum ada perasaan terhadap Eryna, dia tidak suka maruah gadis itu dipermainkan.

“Cukup! Kamu berdua ni sampai bila nak bergaduh? Afiq... tolong hormat dengan keputusan abang kamu. Dan Aidil, tak boleh ke bersabar. Kita ada di depan rezeki ni…” Encik Adnan terpaksa bersikap tegas. Jika dibiarkan, makin melarat pula jadinya nanti.

Afiq terus berdiri tegak. Seleranya sudah mati disebabkan sindiran Aidil.

“Betulkan niat kau tu dulu sebelum nak mengata orang.” Afiq terus berlalu pergi meninggalkan meja makan.

“Afiq nak pergi mana tu?” Panggil Puan Zawiyah.

Afiq terus keluar dari rumah tanpa menghiraukan panggilan itu. Dia perlu bersendirian kerana masih bengang dengan kata-kata Aidil.

“Sudahlah. Kita makan dulu...” Hajah Mashitah segera menenangkan keadaan.

Encik Adnan menatap wajah anak sulungnya. Pasti Aidil terkesan dengan pesanan Afiq tadi. Walaupun kedua-dua anaknya tidak mesra tapi Afiq sangat memahami Aidil. Dia turut merasakan pertunangan ini sekadar untuk menutup kejadian tempoh hari.

“Aidil dah kenyang...”

Aidil turut meninggalkan meja makan dengan perasaan bercampur baur. Menyesal kerana bersetuju dengan permintaan Hajah Mashitah tempoh hari. Paling teruk, boleh pula dia bersetuju dengan permintaan Eryna.
Tubuhnya direbahkan di atas katil sebaik saja masuk ke dalam bilik tidur. Matanya terpejam rapat. Bayangan wajah seseorang muncul dalam fikirannya.

“Ayu... awak dekat mana sekarang?”
Kalaulah gadis itu masih ada di sisinya, sudah tentu dia tidak perlu bertunang dengan Eryna. Dia juga sama seperti Afiq yang sekadar berniat untuk mempermainkan hati Eryna sahaja. Bunyi ketukan pintu membuatkan Aidil lekas bangun dari terus berbaring.

“Masuklah…”

Pintu bilik di buka oleh Encik Adnan. Aidil tahu pasti ada perkara penting yang ingin dibincangkan oleh orang tua itu.

“Boleh walid berbincang dengan Aidil?” Soal Encik Adnan sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di sebelah Aidil.

Aidil sekadar mengangguk. Sebenarnya, dia sudah dapat mengagak hala tuju perbualan mereka selepas ini.

“Aidil yakin ke nak teruskan majlis tu?”

Aidil menarik nafas dengan agak berat. Teringatkan wajah ceria Hajah Mashitah semalam, dia tidak sampai hati untuk membatalkan rancangan itu. Lebih-lebih lagi, dia sudah berjanji dengan Eryna untuk memberi peluang dalam hubungan mereka.

“Insya-Allah, Aidil yakin dengan keputusan Aidil…”

“Walid bukan apa… walid tak nak Aidil buat semua ni demi kebahagiaan orang lain. Perkahwinan ni bukan perkara yang boleh dibuat main. Saat Aidil dah lafazkan akad, Eryna akan jadi tanggungjawab Aidil sehingga ke akhir hayat. Nak jadi ketua keluarga, Aidil perlu bersedia dari sekarang.”

Mendengar nasihat Encik Adnan, membuatkan Aidil semakin tertekan. Dia tidak pasti samaada dia sudah bersedia atau tidak untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Disebabkan itu, dia mahu hubungan mereka diikat dengan tali pertunangan terlebih dahulu.

“Doakan untuk Aidil, walid. Mungkin dah tiba masanya Aidil fikirkan soal masa depan Aidil. Kalau kami serasi, kami akan berkahwin."

Encik Adnan tersenyum nipis. Dia akan sentiasa mendoakan kebahagian anak-anaknya.

“Tentang Afiq, Aidil jangan ambil hati sangat. Walid akan nasihatkan dia supaya lebih bertanggungjawab lepas ni…”

“Aidil pun nak minta maaf. Aidil tak patut berkeras dengan dia tadi…”

“Walid keluar dulu tapi sebelum tu walid harap Aidil buat istikharah. Minta petunjuk dari Dia dengan keputusan yang Aidil buat sekarang...” Bahu Aidil ditepuk perlahan.

Aidil mengangguk perlahan. Memang itulah yang dia perlu lakukan. Lebih-lebih lagi, dia tidak mahu merosakkan kehidupan Eryna jika berkahwin dengannya tanpa rasa cinta kelak.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top