Bab 6
TAJAM mata Encik Adnan memandang wajah Aidil. Baru pagi tadi Aidil menafikan hubungannya dengan Eryna tetapi lain pula jadinya sekarang. Hajah Mashitah dan Puan Zawiyah turut terkejut kerana tidak sangka perkara seperti ini boleh berlaku.
Eryna sekadar menundukkan wajah. Kecut perut juga dia dibuatnya melihat wajah tegang sepupu papanya itu. Masak dia jika orang tua itu mengenali dia. Semalam, dia masih belum berpeluang berjumpa dengan walid Aidil. Masih terlalu awal lagi untuk dia mendedahkan identitinya.
“Apa maksud gambar ni?”
Aidil melihat skrin telefon milik Encik Adnan. Keluhan nipis terkeluar dari bibirnya. Ternyata cepat benar perkara seperti ini tersebar. Tajuk yang tertulis di ruangan laman sosial itu membuatkan Aidil semakin serba salah.
‘USAHAWAN MUDA BERGADUH KERANA BEREBUT WANITA’
Aidil menarik nafas dalam-dalam. Dia perlu membersihkan namanya dari terus terpalit dengan perkara negatif seperti ini. Belum pernah lagi dia terlibat dengan perkara yang menjatuhkan reputasinya sebagai usahawan berjaya.
“Ini tak betul walid. Semuanya hanya salah faham...” Aidil cuba menerangkan keadaan sebenar.
“Kalau salah faham, macam mana Aidil boleh terpeluk dengan gadis di sebelah Aidil ni?”
Aidil meraut wajahnya dengan perlahan. Malang sungguh nasib dia hari ini. Pasti rakan kongsi yang akan bekerjasama dengan resort mereka, akan memberi tanggapan yang kurang baik terhadap kredibilitinya sebagai pemilik Resort Bayu.
“Saya yang salah uncle. Aidil cuma nak selamatkan saya,” celah Eryna.
Semua mata-mata yang ada di situ memandang ke arah Eryna.
“Maksud Ryna?” Soal Hajah Mashitah.
“Sebenarnya, Aidil berjumpa dengan saya untuk pulangkan barang yang tercicir semalam. Tak sangka saya terserempak dengan bekas teman lelaki saya. Dia cuba berkasar dengan saya jadi...”
“Sebab tu Aidil tolong Ryna?” soal Puan Zawiyah pula.
Eryna mengangguk perlahan. Masing-masing saling berpandangan. Encik Adnan menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia yakin yang Aidil tidak berbohong dengan mereka sekeluarga.
“Walid bukan apa, disebabkan gambar ni, ramai yang call walid untuk dapatkan penjelasan. Imej Aidil perlu dijaga...”
Encik Adnan memicit kepalanya sedikit. Selepas dia menerima berita ini, hampir sahaja dia diserang darah tinggi. Tiba-tiba dia diajukan dengan soalan yang agak panas. Menyirap juga darahnya.
“Aidil janji akan bertanggungjawab dalam hal ni,” kata Aidil dengan riak wajah bersalah.
Dia juga tidak mahu disebabkan perkara di kafe tadi, akan memburukkan nama resort yang dibina oleh keluarganya selama ini. Segala usaha kerasnya selama ini, dia tidak akan sia-siakan sama sekali.
“Nenda ada satu cadangan...” Tiba-tiba Hajah Mashitah bersuara. Semua yang berada di ruang tamu itu memandang ke arahnya.
“Cadangan apa pula ni, mak?” Berkerut dahi Encik Adnan.
Hajah Mashitah tersenyum penuh makna. Alang-alang perkara ini sudah tersebar, biarlah mereka mengambil langkah ini untuk menutup kes Aidil. Dia bangun dan mendekati Aidil. Tangan cucu kesayangannya diraih sebaik sahaja dia sudah duduk di sebelahnya.
“Kahwin dengan Ryna...”
Tercengang Aidil. Encik Adnan dan Puan Zawiyah turut terkejut. Terkebil-kebil mata Eryna memandang ke arah mereka. Tak sangka begitu cepat rancangannya berjaya.
“Nenda cakap apa ni? Aidil dengan Ryna, kami baru aje kenal semalam...” Hampir ternaik suara Aidil.
“Nenda cakap macam ni demi masa depan Aidil. Mungkin ada hikmah semua ni berlaku...”
Aidil semakin tertekan. Belum sempat kes tadi selesai, kini ditambah lagi dengan permintaan tak masuk akal dari neneknya.
“Mak, kita kena fikirkan pendapat Eryna juga. Betul kata Aidil, mereka berdua baru kenal semalam. Tak akanlah kita nak desak mereka untuk berkahwin...”
Bagi Encik Adnan, soal masa depan Aidil sangat penting. Dia tidak mahu anaknya mengambil langkah terburu-buru. Soal kahwin bukan perkara yang boleh diambil ringan.
Hajah Mashitah mengeluh lemah. Kecewa kerana permintaannya tidak diendah. Keras kepala betul cucu kesayangannya itu. Eryna menahan rasa geram dengan kata-kata Encik Adnan. Tidak mahu menunjukkan dirinya terhegeh-hegeh dengan Aidil, Eryna segera bersuara.
“Nenda dan uncle jangan risau. Kalau perkara ni makin melarat, Ryna sendiri yang akan buat penjelasan…”
Aidil mendongak memandang Eryna. Tiba-tiba dia baru teringat tentang kejadian di kafe tadi. Dia ada mengaku yang Eryna adalah tunangnya. Kalau ada yang terdengar, pasti khabar angin itu semakin panas.
Lebih-lebih lagi dia teringatkan ugutan Hajah Mashitah tempoh hari. Melihat wajah keruh neneknya, dia risau jika orang tua itu akan terus mendesak untuk dia menerima calon isteri pilihan orang tua itu. Mungkin lebih baik dia meminta bantuan Eryna untuk melepaskan diri dari isu perkahwinan.
“Bagi Aidil berbual dengan Ryna sekejap...”
Eryna agak terkejut dengan ajakan Aidil. Melihat lelaki itu sudah keluar menuju ke pintu balkoni, Eryna lekas mengikutnya mengikut Aidil. Aidil berdiri membelakangi Eryna sambil berpeluk tubuh.
Belakang tubuh Aidil yang tegap itu ditatap dengan penuh minat. Kali pertama mereka bertemu semalam, jujur Eryna terpesona dengan wajah kacak Aidil. Lebih-lebih lagi ketika mereka terpeluk di kawasan letak kereta semalam.
Aidil berpaling ke belakang. Wajah Eryna dipandang dengan perasaan serba salah. Mungkin permintaannya agak melampau kali ini tetapi dengan hanya cara ini sahaja dia mampu menutup kejadian tadi.
“Tengah hari tadi, saya berlakon jadi tunang awak. Boleh tak untuk kali ni, kita jadi tunang sebenar...”
Tergamam Eryna. Mahu sahaja dia melompat gembira dengan permintaan Aidil. Tak sampai 48 jam, lelaki ini sudah jatuh ke tangannya.
“Tapi untuk sementara waktu saja...”
Terus berubah wajah Eryna. Dia agak keliru dengan permintaan Aidil.
“Maksud awak?”
“Awak tolong saya dan saya tolong awak. Tadi awak cakap, lelaki tu dah lama ganggu awak. Biar saya jadi tunang awak untuk sementara waktu. Saya pun tak nak perkara ni menjatuhkan maruah keluarga saya. Kita bertunang tak sampai setahun dan kemudian...”
“Lepas setahun, kita putus, macam tu?” celah Eryna.
Mahu sahaja Eryna menampar wajah kacak itu. Tetapi dia cuba untuk bersabar. Dia tidak boleh menunjukkan yang dirinya terlalu terdesak untuk berkahwin dengan Aidil.
Aidil dihambat rasa bersalah. Dia sepatutnya tidak mementingkan diri sendiri. Terasa dirinya kejam kerana mempermainkan tentang masa depan Eryna. Perkara ini bukan saja melibatkan maruah keluarganya tetapi juga maruah keluarga Eryna.
“Maaf, saya tak patut...”
“Saya setuju...”
Tersentak Aidil dengan persetujuan Eryna.
“Tapi ada syaratnya...” Eryna akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan Aidil. Jika dia bergelar tunang kepada lelaki ini, hanya selangkah sahaja lagi dia bakal memiliki kekayaan milik Aidil.
“Apa syaratnya?”
“Saya tak nak awak anggap diri saya tunang sekadar nama. Maksud saya, saya nak awak layan saya dengan gelaran yang sepatutnya...”
Berkerut dahi Aidil.
“Awak sendiri dah dengar pengakuan saya di dalam kereta. Saya nak mulakan hidup baru jadi... anggap ini satu langkah untuk saya berubah. Saya nak kita cuba berkawan dan awak perlu setuju dengan permintaan nenda awak...”
Tak berkelip mata Aidil memandang Eryna. Dia faham dengan maksud kata-kata Eryna. Jelas gadis itu mahu hubungan ini sampai ke fasa yang lebih serius.
“Kita baru kenal semalam. Mustahil hubungan kita boleh pergi sejauh itu...”
“Awak bukan Tuhan, Aidil. Tak salah kita mencuba. Kalau betul sepanjang kita bertunang, kita masih tak serasi... saya setuju untuk tarik diri.”
Tak mungkin Eryna akan tarik diri. Dia akan memastikan Aidil jatuh tersungkur di dalam genggamannya. Bukan susah pun untuk dia menggoda lelaki itu.
Terdiam Aidil. Benar yang dia sendiri tidak pasti apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia memberi peluang terhadap diri sendiri dalam soal masa depannya.
“Baiklah, saya setuju.”
Eryna tersenyum lega. Gembira kerana Aidil akhirnya bersetuju dengan syaratnya. Mereka berdua masuk ke dalam rumah menuju ke ruang tamu. Ahli keluarga Aidil masih menunggu dengan perasaan gementar.
“Nenda, umi, walid... Aidil dah buat keputusan untuk bertunang dengan Ryna ...”
Terkejut semua yang ada di situ. Hajah Mashitah meraut wajahnya tanda bersyukur.
“Alhamdulillah, kalau macam tu, nanti Ryna beritahu keluarga Ryna yang kami nak datang berjumpa,” pesan Hajah Mashitah.
Puan Zawiyah turut tersenyum. Hanya Encik Adnan sahaja yang agak berat hati dengan keputusan si anak.
“Insya-Allah, nenda. Nanti Ryna beritahu...”
Balik nanti dia perlu berbincang dengan Encik Nasran. Dia mahu rancangan mereka berjaya. Pasti orang tuanya akan gembira dengan berita ini. Tak sabar rasanya untuk dia menumpang kesenangan Aidil tidak lama lagi.
😘😘😘😘😘😘😘😘😘😘😘😘😘
Aidil pun saja aje nk cari penyakit. Lagi senanglah si Ryna tu nk kenakan si Aidil😩
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top