Bab 5

ERYNA sempat menilik penampilan dirinya di hadapan cermin kereta. Sebentar lagi dia akan berjumpa dengan Aidil. Rambut panjangnya sengaja dibiarkan lepas. Skirt pendek separas lutut dibetulkan sedikit. Sengaja dia memilih blouse berlengan panjang untuk kelihatan agak sopan.

Setelah yakin dengan penampilan dirinya, barulah dia keluar dari kereta. Berdebar juga perasaan Eryna kerana hari ini dia akan memulakan misi memikat Aidil. Dari jauh lagi dia sudah ternampak kelibat Aidil yang sedang melihat sesuatu di skrin ipad.

“Assalamualaikum, dah lama tunggu?”

Aidil terus mendongak memandang Eryna. Dia meletakkan ipad miliknya di atas meja.

“Waalaikumussalam. Tak adalah. Saya baru sampai. Kita order dulu…”

Eryna mengangguk setuju. Setelah mereka berdua membuat pesanan makanan, Aidil menyerahkan beg duit yang ditemuinya tadi kepada Eryna.

“Ini beg awak…”

“Maaf sangat sebab dah menyusahkan awak,” kata Eryna dengan mimik muka bersalah.

“Saya yang patut cakap macam tu. Kalau awak tak tolong saya semalam, awak tak akan tercicir beg tu…”

Eryna sekadar tersenyum manis. Sementara menunggu makanan, mereka sempat berbual-bual.

“Sayang…”

Keras kejung tubuh Eryna mendengar suara itu. Saat dia berpaling ke arah suara itu, dia terkejut melihat Izz ada di sini. Wajah Eryna bertambah pucat apabila lelaki itu semakin mendekati mereka. Aidil sekadar memerhati sahaja tanpa rasa curiga.

“Sayang… you kata tak sihat. Ni siapa?”

Eryna menggigit bibirnya perlahan. Dia perlu fikirkan sesuatu sekarang jika tidak, segala rancangannya akan musnah. Kenapalah lelaki tak guna ni boleh muncul di sini? Aidil tidak boleh tahu yang dia masih bersama dengan Izz.

“Ini tunang Ryna…”

Tercengang Aidil dengan pengakuan Eryna. Wajah Izz jelas terkejut. Perasaannya semakin tercabar kerana Eryna berani mempermainkan dirinya. Baru semalam mereka berbual seperti biasa tiba-tiba hari ini lain pula yang jadi.

“Sayang jangan nak bergurau?” Izz tergelak kecil. Jelas ketawanya kelihatan agak dibuat-buat.

“Ryna tak bergurau. Ini memang tunang Ryna…”

Aidil semakin keliru. Wajah kedua-dua pasangan itu dipandang dengan riak wajah yang bingung. Hendak menyampuk, dia berasa serba salah.

“Eryna!”

Dek terlalu marah, tangan Eryna ditarik kasar sehingga gadis itu terbangun. Menyeringai wajah Eryna menahan rasa perit di lengan. Aidil turut berasa kurang senang dengan layanan lelaki itu terhadap Eryna.

“Bro… jangan berkasar…”

“Kau diam! Ini antara aku dengan kekasih aku…”

“Lepaslah! Kita dah lama putuslah…”

“What? Sejak bila…”

“Jangan ingat Ryna tak tahu yang Izz keluar dengan perempuan lain di belakang Ryna sebelum ni…” Ternaik suara Eryna. Mujurlah selama ini dia sudah mengorek segala keburukan lelaki itu.

Tertelan air liur Izz saat Eryna sudah dapat menghidu kecurangannya.

“Ryna… sebenarnya Izz…”

“Tak perlu jelaskan apa-apa. Ryna dah bertunang dan kami akan berkahwin. Memang sengaja Ryna rahsiakan hal ni. Jangan ganggu Ryna lagi. Lepaslah!” Eryna cuba menarik tangannya.

Menyirap darah Izz mendengar pengakuan Eryna. Dia tidak mahu kehilangan Eryna. Memang benar dia curang tetapi hatinya hanya cintakan Eryna.

“No! Izz tak akan benarkan Ryna berkahwin dengan dia…” Makin kuat cengkaman di lengan Eryna.

“Sakitlah…”

Aidil yang tidak sanggup melihat situasi itu, terus menarik bahu Izz dan menumbuk wajah itu. Tubuh Izz jatuh tersembam di atas lantai. Eryna mengambil peluang ini dengan memeluk erat pinggang Aidil. Dia berpura-pura kelihatan takut.

Tergamam Aidil dengan tindakan Eryna. Hendak menolak tubuh Eryna, dia tidak sampai hati. Dia cuba menenangkan Eryna dengan menepuk perlahan belakang tubuh gadis itu.

“Tak guna!” Tidak sempat Izz cuba menyerang, ada beberapa pekerja di kafe itu segera memegang kedua-dua tangan Izz.

“Encik tak boleh buat kecoh dekat sini…” Marah salah seorang pekerja di kafe itu.

“Jangan ganggu Eryna lagi. Sekali lagi kau kacau tunang aku, aku akan sumbat kau ke dalam lokap.”

Aidil lekas mengambil beg tangan Eryna dan membawa gadis itu keluar dari kafe. Tidak jadi mereka makan di situ gara-gara kejadian memalukan tadi.

Izz semakin bengang. Dia yakin Eryna dan lelaki itu tiada sebarang hubungan. Kali ini Izz tekad akan memastikan Eryna tetap menjadi miliknya. Jika tidak, dia sendiri akan memusnahkan kehidupan Eryna.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

MEREKA berdua masih berdiam diri. Selepas mereka keluar dari kafe, Aidil membawa Eryna masuk ke dalam kereta. Dia risau dengan keselamatan gadis itu jika membiarkan Eryna bersendirian.

“Maaf. Saya tak sangka perkara tadi boleh terjadi…” Terpaksalah Eryna berlakon lagi. Dia perlu menyakinkan Aidil yang dia adalah mangsa.

“Dia teman lelaki awak?”

Aidil sebenarnya tidak mahu masuk campur dalam hubungan peribadi Eryna. Namun selepas dia mengaku menjadi ‘tunang’ Eryna, dia perlu mendapatkan penjelasan.

Eryna menggigit bibirnya perlahan. Terpaksalah dia mencipta alasan yang munasabah.

“Kami dah lama putus. Punca kami putus sebab dia curang. Saya dah cuba beritahu dia untuk lupakan saya tapi dia tetap tak boleh terima keputusan saya…” Air mata palsu turut dijadikan bahan lakonan. Eryna mengeluarkan tisu dari beg tangan. Dia berpura-pura sedih di hadapan Aidil.

“Awak yakin ke dia curang? Manalah tahu, kalau awak dah salah faham…”

Eryna semakin tidak senang duduk. Susah juga nak yakinkan Aidil tentang kecurangan Izz. Tiba-tiba Eryna teringatkan sesuatu. Lekas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mencari sesuatu.

“Ni buktinya. Saya sendiri yang tangkap gambar ni…”

Aidil melihat gambar yang ditunjukkan oleh Eryna. Gambar lelaki tadi sedang berpelukan sambil bercium di dalam kelab malam. Aidil memandang wajah Eryna dengan perasaan ingin tahu.

“Kelab malam?”

“Ya. Saya tangkap dia di sini.”

“Awak masuk ke kelab malam juga?”

Tertelan air liur Eryna kerana dia sudah kantoi menjejakkan kaki ke sana. Alang-alang Aidil sudah tahu, lebih baik dia teruskan lakonan saja.

“Kenapa? Awak nak pandang rendah kepada saya sebab saya suka ke sana?” Sengaja Eryna mengajukan soalan itu.

Terkulat-kulat Aidil dibuatnya.

“Err… bukan. Awak dah salah faham…”

Eryna tersenyum sinis. Bukan dia tidak perasan dengan riak wajah lelaki itu tadi. Nampak sangat Aidil kurang senang dengan gaya kehidupannya yang agak bebas.

“Saya mengaku diri saya agak sosial dulu. Disebabkan itu juga saya nak berubah. Lepas saya dapat tahu dia curang, saya dah tak ke sana lagi. Saya nak mulakan hidup baru. Cukuplah saya pernah menyusahkan mama dan papa saya…”

Aidil semakin serba salah. Bukan niat dia untuk memperlekehkan Eryna. Dia cuma terlalu jujur bertanya sehingga tidak sedar tindakannya itu hanya mengecilkan hati gadis itu.

“Baguslah kalau awak nak berubah. Saya yakin awak mampu mulakan hidup  baru dengan lebih baik. Saya tak bermaksud untuk pandang rendah tentang diri awak…”

Eryna sembunyi senyum. Di dalam hati dia sudah bersorak kerana berjaya membuatkan Aidil percayakan dirinya.

“Tentang kejadian tadi, saya minta maaf. Saya terpaksa berbohong yang awak tunang saya. Saya cuma harap, dengan cara itu dia tak ganggu saya lagi…”

Aidil mengangguk perlahan. Dia tidak kisah jika perkara itu dapat membantu Eryna. Nampak sangat lelaki tadi bukan lelaki yang baik. Berani betul lelaki itu cuba mencederakan  Eryna.

Tiba-tiba telefon Aidil berbunyi. Lekas dia menjawab panggilan itu tanpa melihat nama di skrin telefonnya.

“Hello…”

“Hello, kau dekat mana sekarang?”

Berkerut dahi Aidil mendengar nada suara Khalid yang agak tegang. Risau juga jika resort mereka mengalami masalah.

“Kenapa ni?” Aidil tidak menjawab soalan Khalid.

“Kau tengok WhatsApp sekarang. Ada ada send gambar tak senonoh kau dekat kafe. Aku pun tak tahu siapa yang cuba nak aniaya kau…”

Pucat wajah Aidil. Dia terus menoleh memandang Eryna di sebelah. Talian terus dimatikan. Dia membuka kiriman WhatsApp yang dikirimkan oleh Khalid. Hampir ternganga Aidil melihat gambar dia sedang berpelukan dengan Eryna. Malah, gambar dia menumbuk wajah Izz turut dirakam.

Matanya dipejam rapat. Geram kerana ada seseorang yang telah mengambil kesempatan terhadap kejadian tadi

“Aidil…” Panggil Eryna perlahan. Pelik juga dia melihat wajah lelaki itu berubah tegang.

Tak sempat Aidil ingin menjelaskan kepada Eryna, telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Dadanya semakin berdebar melihat nama walid muncul di skrin telefonnya. Pasti perkara tadi sudah sampai ke pengetahuan orang tuanya. Dalam keadaan gementar, panggilan itu dijawab juga.

“Assalamualaikum, walid…” Hampir tak terkeluar suara Aidil.

“Waalaikumussalam. Balik ke rumah sekarang!” Panggilan terus ditamatkan sebaik saja arahan diberi.

Aidil mengeluh perlahan. Mendengar suara tegas Encik Adnan, dia cukup yakin yang orang tua itu sangat marah. Sudah pasti apa yang berlaku hari ini akan menjejaskan nama baik keluarga mereka.

“Awak kena ikut saya ke rumah.”

“Hah!” Tercengang Eryna. Tiba-tiba sahaja diajak ke sana sekali lagi.

“Saya nak awak jelaskan keadaan kita kepada keluarga saya. Tentang gambar ni…”

Telefon bimbitnya diserahkan kepada Eryna. Bulat mata Eryna melihat gambar itu. Namun perasaan teruja mulai hadir. Tidak sangka nasib akan menyebelahi dirinya hari ini. Gambar ini pasti akan memberi kelebihan kepada dia untuk masuk ke dalam keluarga Aidil.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕💕

Tinggal 7 hr lg utk tempahan. Hanya jualan online shj ya. Rm38 termsk pos ke sm. Nk jimat, blh kombo dgn buku kayla rm68sm/ rm73ss termsk pos atau dgn buku cinta yang tersembunyi dgn harga rm64 sm/rm68 ss👏

Wasap 0129284568. Tq.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top