Bab 4 (part 2)

LEGA hati Aidil apabila keadaan tubuhnya pada pagi ini sudah beransur sihat. Pelik juga Aidil kerana sebelum ini belum pernah dia berkeadaan seperti itu.

Setelah siap berpakaian kemas untuk ke tempat kerja, Aidil segera mengambil beg kerja dan komputer riba. Melihat komputer riba itu, dia teringatkan gadis yang membantunya semalam. Terbayang adegan ketika dia tidak sengaja memeluk erat pinggang gadis itu.

“Ya Allah, apa yang kau ingatkan ni Aidil?” Segera Aidil beristighfar di dalam hati. Dia sepatutnya tidak memikirkan tentang perkara itu lagi.

Lekas dia keluar dari bilik menuju ke meja makan. Seperti biasa, Aidil akan bersarapan bersama ahli keluarganya terlebih dahulu. Semua ahli keluarganya sudah ada di meja makan kecuali Afiq. Pasti lelaki itu masih diulit mimpi. Geram juga Aidil dengan sikap pemalas Afiq. Sudah puas dia memaksa adik lelakinya itu bekerja dengannya tetapi tidak diendahkan.

“Dah sihat ke?” Tanya Hajah Mashitah yang duduk di sebelah Aidil.

“Alhamdulillah, nenda. Lepas makan ubat semalam, Aidil dah rasa sihat pagi ni…”

Encik Adnan yang terdengar perbualan anaknya itu segera melipat suratkhabar dan diletak di atas meja.

“Aidil kerja kuat sangat. Cubalah berehat. Khalid kan ada… biar dia yang uruskan kalau Aidil masih tak sihat,” cadang Adnan.

“Tak apa walid. Khalid pun banyak kerja juga,” kata Aidil tentang orang kanannya, merangkap kawan baiknya juga.

“Nasib baiklah ada Ryna semalam. Tak sangka cucu nenda ni ada kawan perempuan juga…” Hajah Mashitah sudah tersenyum makna.

Puan Zawiyah memandang ke arah anaknya. Dia turut terkejut kerana pertama kali Aidil pulang ke rumah bersama seorang gadis.

“Dia bukan kawan Aidil. Kebetulan dia yang tolong Aidil…” Aidil menyuap bihun goreng ke mulut. Dia berharap sangat isu gadis semalam tidak dipanjangkan.

“Tapi lepas ni, tak salah kan Aidil berkawan dengan dia. Mana tahu, Ryna tu jodoh Aidil…”

Tersedak Aidil dibuatnya dengan cadangan neneknya. Lekas dia meneguk air untuk menghilangkan rasa perit di tekak.

“Nenda… sebenarnya…”

“Ya, nenda tahu. Dia yang tolong Aidil semalam untuk dapatkan komputer riba dari dicuri. Ryna dah cerita dekat nenda,” celah Hajah Mashitah.

Semalam, sementara Eryna menunggu kehadiran kawannya di sini, sempat Hajah Mashitah dan Puan Zawiyah berkenalan dengan Eryna. Pada masa itulah Eryna menceritakan perkara yang berlaku. Tak sangka Aidil nyaris menjadi mangsa rompakan.

“Walid pun terkejut juga. Lain kali, hati-hati…” Pesan Adnan dengan prihatin.

“Sebab tulah nenda nak Aidil cepat-cepat cari isteri. Kalau Aidil sakit, ada isteri yang akan jaga Aidil,” pancing Hajah Mashitah lagi.

“Aidil boleh jaga diri sendiri, nenda…” Aidil sudah tahu arah tuju perbualan mereka selepas ini. Entah sampai bilalah dia akan terus didesak untuk berkahwin?

“Ishh… mana sama. Percayalah cakap nenda ni. Kalau dah ada isteri nanti, hidup Aidil akan lebih sempurna…”

Puan Zawiyah dan Encik Adnan sudah saling berpandangan. Mereka berdua sudah masak dengan perangai Aidil yang susah diajak berbincang. Lebih-lebih lagi tentang perkahwinan.

“Nenda, hidup Aidil dah cukup sempurna sekarang ni.”

Hajah Mashitah mengeluh perlahan. Geram kerana Aidil masih dengan keras kepalanya.

“Yang susah sangat Aidil nak kahwin, kenapa? Jangan cakap, cucu nenda ni…” Hajah Mashitah merenung tubuh Aidil dari atas ke bawah.

Bulat mata Aidil kerana terkejut dengan tekaan neneknya. Dia masih normal dan buktinya semalam dia hampir tergoda dengan gadis yang membantunya semalam.

“Aidil masih normallah…”

Ketawa Encik Adnan dan Puan Zawiyah saling bergabung. Cemberut wajah Aidil kerana dituduh songsang.

“Jangan salahkan nenda. Walid pun kadang-kadang pelik dengan Aidil. Umur dah 30 tahun tapi langsung tak fikirkan masa depan.” Encik Adnan turut memberikan pendapat.

Aidil garu kepala yang tidak gatal. Rasanya dia patut bergerak ke tempat kerja dengan segera. Jika tidak, lagi lamalah perkara ini akan dibualkan.

“Aidil pergi kerja dulu…” Dia segera mencapai bersalaman dengan ahli keluarganya terlebih dahulu.

“Jangan nak mengelak. Ingat janji kita. Kalau dalam masa tiga bulan Aidil tak jumpa calon isteri, nenda yang akan carikan…”

Makin keruh wajah Aidil dengan ugutan Hajah Mashitah. Ternaik kening Encik Adnan. Dia memandang wajah isterinya di sebelah. Puan Zawiyah berbisik ke telinga suaminya yang dia akan menceritakan tentang perkara itu selepas Aidil ke tempat kerja.

Tanpa membuang masa, Aidil lekas keluar dari rumah. Beg kerja dan komputer riba, diletak di tempat duduk sebelah pemandu. Belum sempat dia menghidupkan enjin kereta, Aidil terpijak sesuatu di bawah tempat duduknya. Dia melihat barang yang dipijaknya tadi.

“Beg siapa pula ni?”

Beg duit berwarna merah jambu itu diambil. Dia membuka beg duit itu dengan riak wajah keliru. Terkedu Aidil melihat wajah Eryna di dalam beg duit itu. Mungkin Eryna tercicir beg ini semasa menghantarnya pulang semalam. Aidil menarik nafas lega apabila dia terjumpa kad nama Eryna bersama nombor telefon.

“Nuha Eryna Binti Nasran…”

Hampir bertaut kening Aidil. Nama itu seolah-olah sangat tidak asing dalam hidupnya sebelum ini. Sejak semalam lagi dia dapat merasakan seperti pernah berjumpa dengan Eryana.

Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket seluar. Dia mahu cuba menghubungi Eryna. Beg ini perlu dikembalikan kepada pemilik yang asal.

“Hello…”

Kaku tubuh Aidil mendengar suara Eryna yang kedengaran agak seksi itu. Sah gadis itu baru bangun tidur.

“Hello… siapa ni?” Meleret nada suara Eryna.

Tertelan air liur Aidil saat terdengar suara gadis itu. Dadanya semakin berdebar. Lekas dia tersedar tentang tujuannya untuk menghubungi Eryna.

“Hello… saya Aidil…”

Lama dia menunggu balasan daripada Eryna tetapi gadis itu masih tidak bersuara. Pelik pula kerana Eryna tidak berkata apa-apa.

“Ryna…”

“Err… ye. Saya dengar…”

Aidil tersenyum kecil. Dari cara gadis itu menjawab, pasti Eryna malu kerana bercakap dalam keadaan mamai.

“Maaf sebab ganggu awak. Boleh kita jumpa?”

“Hah! Jumpa? Err… untuk apa ye?”

“Saya nak pulangkan beg duit awak. Tercicir agaknya semalam…”

“Ooo… yeke. Kalau macam tu, kita jumpa tengah hari nanti…”

“Boleh. Nanti saya WhatsApp alamat…”

Setelah berjanji untuk berjumpa, Aidil segera menamatkan panggilan. Dia segera memandu ke tempat kerja. Pada masa yang sama, dia teringatkan pesanan Hajah Mashitah. Takut juga dia jika nenda masih berkeras untuk mencari jodoh untuknya. Makin serabut kepala Aidil sekarang.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top