Bab 4 (part 1)

BUKAN main ketawa sakan lagi Eryna di hadapan Anita. Selepas sahaja dia beramah mesra dengan ibu dan nenek Aidil, dia terus mengikut Anita pulang ke rumah sewa sahabat baiknya itu. Tidak sangka kehadirannya disambut sangat baik di sana, lebih-lebih lagi layanan dari Hajah Mashitah.

“Kau ni memang betul-betul buat aku sakit jantung. Macam mana pula kau boleh masuk dalam rumah dia pula?”

Terkejut juga Anita apabila Eryna masuk ke dalam rumah besar itu. Dia sebenarnya sudah lama mengekori Eryna atas arahan gadis itu. Lama jugalah dia menunggu Eryna keluar dari rumah itu.

“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya aku dapat yakinkan lakonan aku tu berkesan. Sempatlah aku beramah mesra dengan bakal keluarga mentua aku tu,” seloroh Eryna.

“Sebelum kau balik tadi, Aidil ada cakap apa-apa?” soal Anita dengan penuh minat.

Eryna menggeleng perlahan. Dia meneguk air yang disediakan oleh Anita.

“Habis tu, macam mana dia nak hubungi kau pula?” Anita semakin bingung. Menurut Eryna, dia akan memastikan Aidil memberikan nombor telefon kepadanya. Dari situlah Eryna akan cuba menghubungi Aidil.

“Aku pasti dia sendiri akan hubungi aku. Kau jangan risaulah…”

Berkerut dahi Anita. Makin pening pula dia hendak memahami rancangan Eryna.

“Maksud kau?”

Akhirnya Eryna menceritakan yang dia sengaja meninggalkan beg duitnya di dalam kereta Aidil. Di dalam beg duitnya, ada tertera kad nama dan nombor telefonnya. Hampir ternganga Anita. Kagum juga dia dengan rancangan yang disusun rapi oleh Eryna.

“Tapi kalau dia tak call kau juga, macam mana?” Duga Anita.

“Dia bukan lelaki yang tak mengenang budi. Kita tunggu dan lihat…”

Eryna yakin yang Aidil akan menghubunginya selepas sedar beg duitnya tertinggal di dalam kereta. Tak mungkin Aidil seorang yang tidak bertanggungjawab. Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Lekas Eryna mencapai telefonnya. Anita tayang wajah teruja.

Senyuman Eryna mati sebaik sahaja melihat nama yang muncul di skrin telefonnya. Selamba sahaja dia mencampakkan telefon itu di atas meja kopi.

“Siapa?”

“Izz…”

Tercengang Anita. Dia hampir terlupa yang Eryna masih belum memutuskan hubungannya dengan Izz Haikal. Habislah Eryna jika lelaki itu tahu tentang rancangan perkahwinannya.

“Kau dengan dia…”

“Belum,” celah Eryna tanpa sempat Anita menghabiskan ayatnya. Matanya dipejam rapat.

“Ishh… kau jangan buat pasal. Aku dengar… Izz tu lain sikit.”

Sejak dari awal lagi, Anita tidak bersetuju Eryna menerima Izz sebagai teman lelaki. Hal ini disebabkan dia ada terdengar Izz bukan lelaki yang mudah dipermainkan. Malah, lelaki itu sangat serius menjalinkan hubungan dengan Eryna.

“Aku tak takut pun dengan dia. Dari awal aku berkawan dengan dia, aku dah bagi amaran yang aku tak akan letakkan hubungan kami ke tahap serius,” kata Eryna sambil menilik kukunya yang berwarna merah terang itu.

Anita mengeluh perlahan. Sudah dia jangka Eryna tidak akan pernah serius dalam menjalinkan sebarang hubungan dengan seorang lelaki. Bagaimanalah hubungan Eryna dan Aidil nanti? Telefon Eryna masih berbunyi.

“Jawablah…” Bingit pula telinga Anita mendengar bunyi telefon Eryna.

Eryna masih lagi tidak menghiraukan panggilan itu. Geram dengan sikap Eryna, Anita terus mencapai telefon itu dan menjawab panggilan tersebut. Mencerlung mata Eryna memandang wajah Anita.

“Sayang… kenapa susah sangat Izz nak dengar suara Ryna ni?”

Hampir nak termuntah Anita mendengar suara manja lelaki itu. Pelik pula Eryna melihat wajah Anita berubah riak.

“Ehem… ni Anita. Bukan  sayang kau.”

Eryna ketawa lucu. Dia sendiri pun hampir meluat dengan cara panggilan lelaki itu. Sudah dilarang tetapi lelaki itu masih tetap berdegil.

“Ooo… sorry. Ryna ada?”

“Ada. Sekejap…”

Anita menghulurkan telefon itu kepada Eryna. Jelas wajah Eryna tidak berpuas hati dengan tindakan Anita. Telefon itu diambil dengan kasar. Dia berdeham sedikit.

“Hello…”

“Sayang dekat mana?”

“Rumah Nita. Kenapa Izz cari Ryna?”

“Kita jumpa. Dah dua hari kita tak berjumpa. I miss you so much…”

Eryna julingkan biji matanya. Tergelak Anita dengan reaksi Eryna.

“Sorry. Hari ni, Ryna tak sihat. Maybe lain kali ye kita jumpa…”

Terdengar keluhan di hujung talian. Eryna tidak peduli tentang perasaan lelaki itu. Sudah lebih dua bulan mereka menjalinkan hubungan. Rasanya dia sudah boleh angkat kaki dari lelaki itu.

“Okey tapi janji dengan Izz, bila Ryna dah sihat, kita jumpa…”

“Okey, Ryna janji…” Sengaja Ryna merengek dengan suara yang manja. Hanya itulah kelemahan Izz. Pantang Eryna menunjukkan sisi manja, pasti lelaki itu akan tewas.

“Sayang rehatlah. Nanti Izz call lagi. Bye…”

“Okey sayang. Bye…” Cepat Eryna mematikan panggilan itu. Telefon dicampak di sebelah tempat duduknya. Mengeliat kegelian dia dibuatnya apabila menyebut perkataan sayang.

Makin kuat Anita ketawa. Lucu dengan telatah Eryna. Makin bengang Eryna apabila diketawakan oleh Anita.

“Wow… sayang,” sindir Anita.

“Diamlah…” Bantal yang ada di sofa, dicampak ke arah Anita. Selamba sahaja Anita menyambut bantal itu sambil ketawa.

“Aku rasa, lebih baik kau cepat berterus-terang dengan Izz. Kau kata nak kahwin dengan Aidil tak lama lagi. Teruk nanti kalau Izz dapat tahu dari orang lain,” kata Anita dengan sisa ketawa yang masih ada.

“Tengoklah dulu. Malam ni, aku tumpang tidur rumah kau. Malas nak dengar mama aku membebel.”

Anita menggeleng perlahan. Rumah ini sudah menjadi rumah kedua Eryna jika gadis itu tidak mahu bersemuka dengan kedua ibu bapanya. Dia tidak kisah kerana sudah banyak dia terhutang budi dengan Eryna. Jauh di sudut hatinya, dia tidak mahu Eryna terlalu hanyut dengan nikmat dunia.

💕💕💕💕💕💕💕💕💕

Alhamdulillah, ramai yg dh tempah novel ni. Masih ada masa lagi. Preorder akan tamat pada 25/10. Utk yg beli dgn akak 200 pembeli terawal, insyaAllah, akan dapat hadiah istimewa dari akak.😘

Yg berminat utk tahu kisah Eryna dan Aidil, blh wasap 0129284568.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top