Bab 2

SUASANA di rumah banglo ini sunyi sepi sahaja. Hari hujung begini pun ada sahaja aktiviti penghuni di rumah ini. Hajah Mashitah mengeluh perlahan. Dia teringin mendengar rumah ini riuh dengan suara kanak-kanak.

“Mana yang lain? Senyap aje rumah ni…”

Puan Zawiyah mengerling sekilas ke arah ibu mentuanya. Walaupun sudah berumur hampir 65 tahun, wanita itu masih kelihatan sihat dan berseri.

“Macam biasalah mak, Abang Nan pergi main golf. Afiq pula keluar dengan kawan. Si Aidil tu pula memang ke resort ajelah kerja dia…”

Hajah Mashitah menggeleng perlahan. Risau memikirkan keadaan sikap Aidil yang terlalu gila kerja. Keluar di awal pagi dan pulang pula hampir tengah malam. Hujung minggu pula Aidil lebih suka menghabiskan masa di resort.

“Mak risau dengan Aidil. Tahun depan umur dia dah 30 tahun. Lepas habis belajar, mak perasan dia tu terlalu gila kerja…”

Puan Zawiyah turut bersetuju. Dia perasan sikap anaknya yang pernah ceria dulu terus berubah 360 darjah sebaik sahaja tamat belajar di universiti. Malah, Aidil terus bersetuju bekerja menggantikan tempat suaminya untuk mengendalikan Resort Bayu.

“Mungkin dia suka dengan kerja dia…” Puan Zawiyah cuba bersangka baik. Jauh di sudut hatinya, dia dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi ke atas Aidil.

“Mak bukannya apa… kerja tu, kerja juga tapi kenalah cari pasangan hidup. Kalau asyik bekerja aje, bilanya nak fikir tentang masa depan…”

Puan Zawiyah tersenyum kelat. Sudah beberapa kali perkara ini diungkit. Bukan dia tidak tahu ibu mentuanya mahu Aidil berkahwin. Afiq pula walaupun ramai teman wanita, tidak pernah setia pada yang satu. Perkara itulah yang merunsingkan fikiran Puan Zawiyah.

“Mak jangan risaulah. Lelaki zaman sekarang ni, dah berumur pun orang tak kisah…”

“Masalahnya mak ni makin tua. Sebelum mak ni tutup mata, mak nak tengok cucu sulung mak tu berkahwin…”

Terkulat-kulat Puan Zawiyah mendengar alasan Hajah Mashitah. Dia sendiri sudah kehilangan idea untuk menjawab. Bunyi enjin kereta di luar rumah mematikan perbualan mereka. Mereka saling berpandangan.

Tidak lama kemudian, Aidil yang hanya berpakaian ringkas masuk ke dalam rumah. Dia masih belum sedar ada ahli keluarganya di ruang tamu.

“Aidil Wafie…”

Mati langkah Aidil sebaik sahaja namanya dipanggil. Langsung dia tidak perasan kelibat dua wanita itu ada di ruang tamu. Dia berjalan mendekati dua wanita kesayangannya itu sambil tersenyum manis.

“Nenda, umi…”

“Dari resort?” Sengaja Hajah Mashitah bertanya.

“Ehmmm… ada kerja sikit.” Punggung dihempas lembut di sebelah Hajah Mashitah.

“Nenda ingatkan pergi keluar dating…”

Tergelak Aidil.

“Mengarutlah. Aidil mana ada teman wanita…” Laju Aidil memberikan jawapan.

Puan Zawiyah sekadar memerhati sahaja. Pasti perkara tadi akan diusulkan oleh Hajah Mashitah. Risau pula memikirkan tentang permintaan ibu mentuanya tadi.

“Kalau tak ada, cepatlah cari. Ke nak nenda carikan?” Makin bersinar mata Hajah Mashitah memberikan cadangan.

Terus tegak tubuh Aidil. Dia tidak sedap hati mendengar rancangan Hajah Mashitah. Jujur dia masih belum bersedia untuk berkahwin. Lebih-lebih lagi hatinya masih belum sembuh sepenuhnya.

“Tak payahlah, nenda. Aidil malas lagi nak fikir semua tu. Ada jodoh, adalah…” Terpaksa dia memberikan jawapan selamat. Malas hendak memanjangkan isu ini.

Wajah Hajah Mashitah berubah kecewa. Tangan Aidil dicapai dan digenggam erat.

“Tak salah kalau Aidil fikir tentang masa depan sendiri. Nenda teringin nak dengar suara budak dalam rumah ni. Kalau cucu nenda ni malu nak mencari, biar nenda yang carikan…”

Aidil memandang wajah Puan Zawiyah. Cuba meminta bantuan daripada wanita itu. Namun Puan Zawiyah sekadar mengangkat bahu tanda tidak mahu masuk campur. Tahulah Aidil yang dia perlu menyelesaikan masalah ini dengan sendiri.

“Nenda…"

“Nenda dah tua… sekurang-kurangnya, sebelum nenda pergi… nenda nak tengok Aidil berkahwin,” celah Hajah Mashitah.

Tersentak Aidil. Dia tidak suka mendengar neneknya bercakap begitu. Sejak dari kecil lagi nenda sudah tinggal bersama keluarganya. Dia masih belum bersedia kehilangan wanita yang sangat rapat dengannya.

“Janganlah cakap macam tu, nenda. Kalau nenda nak cicit, suruhlah Afiq berkahwin. Dia tu kan dah ada kekasih…”

“Hishh… budak tu tak matang lagi. Umur baru 24 tahun. Kerja asyik nak bertukar perempuan aje. Nenda nak Aidil yang kahwin!” Agak tegas suara Hajah Mashitah ketika ini.

Aidil garu kepala yang tidak gatal. Pening memikirkan tentang permintaan neneknya. Kasihan pula Puan Zawiyah melihat keadaan Aidil. Terpaksalah dia masuk campur.

“Err… macam nilah mak. Kalau dalam masa tiga bulan Aidil tak ada calon, kita sendiri carikan calon isteri untuk Aidil,” celah Zawiyah.

Bulat mata Aidil. Sempat dia membuat muka kepada Puan Zawiyah tanda tidak mahu.

“Umi…” Meleret nada suara Aidil.

“Nenda setuju. Dalam masa tiga bulan ni, Aidil carikan nenda cucu menantu. Kalau tak ada, nenda yang akan carikan. Dah, nenda nak berehat dalam bilik. Ingat, jangan lupa permintaan nenda tadi…”

Tak sempat Aidil ingin membantah, Hajah Mashitah terus berlalu pergi.

“Kenapa umi bagi cadangan mengarut tu?” Aidil bersandar lemah di sofa.

“Kalau umi tak cakap macam tu, sampai bila pun nenda asyik mendesak,” balas Puan Zawiyah tanpa rasa bersalah.

“Aidil tak bersedia lagi nak kahwin…”

Puan Zawiyah bangun dan duduk di sebelah Aidil.

“Anak umi ni pernah kecewa ke?” Duga Puan Zawiyah.

Terhenyak Aidil dengan serkap jarang si ibu. Lekas dia berdeham menghilangkan rasa gugup. Tentang kisah lama, biarlah ia menjadi sejarah.

“Err… tak adalah.” Aidil cuba berlagak tenang.

“Jangan nak berbohong. Umi perasan Aidil dah banyak berubah lepas habis belajar. Kalau stress disebabkan kerja, memang umi tak percaya…”

Aidil kehilangan ayat. Tidak dinafikan dia pernah kecewa kerana cintanya berakhir hanya disebabkan gadis itu ingin mengejar cita-cita. Mereka berpisah kerana gadis itu tidak mahu memberi harapan dengan percintaan jarak jauh. Sehingga ke hari ini, Aidil masih lagi sukar melupakan cinta pertamanya.

“Demi umi dan nenda, tak salah Aidil fikirkan tentang masa depan Aidil. Umi pun nak sangat anak umi ni berkahwin.”

Aidil tersenyum kelat.

“Tengoklah dulu. Nanti Aidil fikirkan. Aidil nak masuk bilik…”

Aidil terus bangun dan naik ke tingkat atas. Permintaan umi dan nenda betul-betul membuatkan dia semakin tertekan. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik, baju t-shirt  dan seluar jeans yang tersarung di tubuhnya ditanggalkan. Dia mahu segera membersihkan badan.

Setelah membersihkan diri, dia memandang wajahnya di cermin. Tidak dinafikan dengan penampilannya sekarang, ramai gadis di luar sana cuba mendekati dia. Namun tiada seorang gadis pun yang mampu menggetarkan hati Aidil.

Laci di tepi meja katil ditarik perlahan. Gambar ketika dia bersama gadis itu ditatap dengan perasaan bercampur baur. Rindu dan marah menjadi satu.

“Ayu…”

😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍😍

HAMPIR tersembur air yang diminum oleh Anita. Terkejut juga dia mendengar rancangan Eryna yang ingin berkahwin.

“Kau serius ke?” Anita mengesat bibirnya dengan tisu.

“Aku tak berguraulah. Memang aku nak kahwin dengan dia…”

Gambar yang berada di dalam telefon bimbitnya dilihat sekali lagi. Dia telah menceritakan tentang rancangannya kepada Anita. Mereka berdua sudah lama berkawan baik sejak di sekolah menengah lagi. Memang tiada rahsia di antara mereka berdua.

“Sebab hal kahwinlah aku tanya kau serius ke tak! Kahwin ni bukan untuk sehari dua. Kalau kau dah jadi isteri dia, kau kena hidup dengan lelaki ni sampai bila-bila…”

“Ya, betullah. Bila dah jadi isteri, dah tentulah aku kena hidup dengan dia…”

Anita menepuk dahinya dengan kuat. Geram kerana Eryna masih belum faham.

“Masalahnya kau ni jenis cepat bosan. Paling lama pun kau bercinta, lepas tiga bulan kau akan tinggalkan dia. Kalau kau dah kahwin, mana boleh tarik diri…”

Eryna tergelak kecil. Langsung tidak gentar dengan nasihat Anita.

“Lelaki yang aku nak kahwin ni, lubuk duit. Dia ada banyak harta. Kau rasa aku nak tinggalkan dia ke? Selama ni lelaki yang dekat dengan aku, jenis lelaki yang tak guna. Banyak duit pun disebabkan harta keluarga aje…” terang Eryna.

Terdiam Anita. Dia tidak menafikan ramai lelaki dari keluarga kaya yang ingin mendekati Eryna. Bagi Eryna, mereka semua sekadar tempat untuk berhibur semata-mata. Malah, Eryna mengambil kesempatan dengan mendapatkan wang dari mereka.

“Kenapa kau nak kahwin dengan dia? Ini kali pertama aku dengar pasal Aidil Wafie,” soal Anita dengan rasa curiga. Tak mudah kawan baiknya ini ingin berkahwin.

Eryna bersandar di kerusi sambil memeluk tubuh. Kakinya disilang sehingga menampakkan lagi kulit pehanya yang cerah. Skirt pendek yang dikenakan di tubuh, menjadi semakin singkat.

“Sebab harta…”

Berkerut dahi Anita. Dia mula berasa tidak sedap hati. Tak mungkin Eryna sudah terdesak untuk mendapatkan wang dengan cara berkahwin.

“Maksud kau?”

“Aku nak dapat kekayaan dia demi keluarga aku. Hidup kita ni tak akan bermakna tanpa duit…”

Makin berkerut dahi Anita. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

“Tapi kau kan dah kaya. Keluarga kau sendiri pun orang senang…”

Wajah Eryna terus berubah. Matanya dipejam rapat memikirkan keadaan masalah kewangan keluarganya. Kad kredit dia juga terpaksa disekat gara-gara masalah itu.

“Perniagaan papa aku ada masalah…”

Tercengang Anita. Kini barulah dia faham punca Eryna ingin berkahwin dengan lelaki itu.

“Jadi sebab tu…”

“Ya, aku perlu pastikan yang dia akan jadi suami aku. Kau kena tolong aku,” celah Eryna tanpa sempat Anita menghabiskan ayatnya.

Terkebil-kebil mata Anita memandang Eryna.

“Errr… tolong apa?” Tertelan air liur Anita dengan permintaan Eryna.

Eryna tersenyum penuh makna. Air yang masih berbaki di gelas, disedut perlahan. Dia akan memastikan rancangannya akan berjaya. Langkah pertama, dia perlu muncul di hadapan lelaki itu sebelum pertemuan keluarga mereka diaturkan oleh Encik Nasran.

👏👏👏👏👏👏👏👏👏👏👏👏👏

SINGLE rm 38 termsk pos ke sm. Hanya jualan online shj. Berminat wasap 0129284568. Preorder sehingga 25/10. Tq💕



Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top