Sebelum segalanya bermula-part 1

Sebelum segalanya bermula-PART 1

Enam tahun yang lalu

"Mak, Kay pergi dulu!" jerit seorang remaja lelaki setelah selesai mengikat tali kasutnya. Langkahnya laju menuju ke arah basikal miliknya yang diletakkan di tepi tiang garaj di halaman rumah. Seperti biasa, dia akan berbasikal ke sekolah kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapanya untuk menghantar dan mengambilnya.

"Eh, tunggu! Bekal kamu ni nak tinggal kat mana?" kedengaran suara seorang wanita memanggil namanya. Dia berpaling sambil tersenyum ke arah ibunya.

"Sorry, mak, lupa pulak. Kay pergi dulu ya." Dia segera menyalami ibunya. Wanita yang telah melahirkannya itu sempat berbisik sesuatu di telinganya. Kata-kata ibu selalu menguatkan semangatnya untuk ke sekolah setiap hari.

"Kay, pedulikan apa yang orang kata. Kamu lebih tahu tentang diri kamu sendiri." Satu tepukan di bahu dihadiahkan.

Khairul Ierza bin Khalid. Berusia 15 tahun dan mempunyai memori yang sangat kuat. Hmm, menarik, getus hati seorang lelaki sambil tersenyum sinis. Dia hanya memerhatikan sahaja Kay mengayuh basikalnya keluar daripada kawasan rumah dari dalam kereta bercermin gelapnya. Sudah lama dia memasang matanya terhadap remaja itu. Sejak usianya tujuh tahun lagi.

Budak genius itu pernah menjadi kebanggaan kawasan perumahan itu suatu masa dahulu. Kemampuannya mengingati apa sahaja yang dilihat menyebabkan dia tidak terkecuali daripada tersenarai dalam kalangan pelajar terbijak di situ. Namun, semakin lama, perasaan bangga itu bertukar menjadi suatu kebencian apabila dia dianggap sebagai 'unfair genius'. Kelebihan 'photographic memory' yang dimilikinya dicemuh. Malah, setiap keputusan peperiksaan Kay tidak diambil kira kerana mereka menganggap Kay hanya bertuah untuk memiliki kelebihan tersebut. Tidak seperti orang lain yang terpaksa berkerja keras untuk mendapatkan kejayaan.

Lamunannya terhenti apabila melihat Kay berhenti mengayuh basikal. Budak lelaki itu berdiri benar-benar di hadapan keretanya. Pandangan tajam remaja itu seolah-olah menembusi cermin gelap kereta itu. Tanpa membuang masa, dia segera menghidupkan kereta dan memandu pergi dari situ. Melalui cermin sisi dia dapat lihat Kay masih lagi memerhatikan keretanya berlalu. Dia tertawa kecil. 'Budak tu nampak aku kah?' dia bertanya pada diri sendiri. Topi putih di atas kepalanya dibetulkan lantas kakinya memijak kuat pemecut di kaki. Tidak mengapa, esok dia datang lagi.

Kay mencapai kembali basikalnya. Dia curiga dengan kewujudan kereta bercermin gelap tersebut. Namun, dia tidak mahu berfikir panjang dan terus mengayuh ke sekolah. Dalam perjalanan ke sekolah dia terlihat seorang remaja perempuan sedang duduk di tempat perhentian bas. Kalau dia tidak silap, itu ialah adiknya, Nur Khaira.

"Ira!" dia menjerit memanggil nama adiknya yang muda setahun daripadanya. Tidak seperti dirinya, adiknya ditempatkan di sekolah biasa sahaja kerana keputusan peperiksaan semasa sekolah rendahnya tidak berapa baik. Adiknya akan ke sana dengan menaiki bas setiap hari.

Ira mulai perasan akan kehadirannya. Gadis itu berdiri dan melambai-lambai ke arahnya dengan perasaan teruja. Kay memberhentikan kayuhan. Tangannya diangkat memanggil adiknya supaya menyeberangi jalan. Hanya bahasa isyarat yang menjadi medan komunikasi antara mereka. Ira mengerti. Dia berlari menyeberangi jalan seperti yang diarahkan oleh abangnya.

"Jom, abang hantarkan." Ira hanya menurut kata-kata Kay dan dia duduk di tempat duduk belakang abangnya. Lalu, bermulalah perjalanan mereka.

"Abang, tak apa ke lewat ke sekolah?" Kay tersenyum mendengar soalan adiknya.

"Tak apa. Jangan risaulah." Ujar Kay sambil melihat ke hadapan. Dia membiarkan bayu pagi menghembus rambutnya yang sedikit panjang pada bahagian dahi hingga ke telinga.

Sesampainya di sekolah Ira, gadis itu disambut oleh kawan-kawannya. Kay hanya tersenyum melihat kehidupan adiknya yang ceria. Dia sebenarnya iri hati dengan adiknya yang mempunyai ramai kawan dan hidupnya yang tidak pernah kelihatan bosan.

"Ira, abang pergi dulu ya?" Ira hanya mengangguk sambil melambai-lambai ke arah Kay.

"Eh, siapa tu? Boyfriend ke? Hensemnya!" ujar salah seorang rakan Ira. Mereka mula tergedik-gedik di sisi Ira. Ira hanya mampu mengeleng sambil sambil mengeluh. Dia segera berlalu kerana tidak mahu menjawab soalan tersebut.

"Ira, boyfriend kau ke tu?" soal mereka lagi. Ira hanya mengeleng.

"Tu, abang aku." Kedengaran rakan-rakannya terjerit-jerit kegedikan.

"Wah, ada peluang ni. Dia sekolah kat mana?"

"Private Prince School." Jujur Ira menjawab.

"Tipulah. Takkan kot. Sekolah tu hanya orang kaya je yang masuk. Lainlah kalau dia bijak." Ira hanya terdiam sambil tersenyum nipis.

 "Eh, tak mungkinlah abang kau sebijak tu?" sekali lagi mereka menjerit tidak percaya.

"Ya... aku pun tak tahulah, hehe." Ira hanya tersengih kerana tidak tahu bagaimana handak menjelaskan lagi. Mereka mungkin tidak percaya kerana dia sendiri tidak sebijak abangnya untuk masuk ke sekolah swasta. Abangnya ditaja oleh sebuah restoran Francis yang mahukan seorang pengganti syarikat. Sememangnya masa depan abangnya sudah pun ditetapkan. Namun, selebihnya dia sendiri tidak pernah ambil tahu.

***

Setibanya di perkarangan Private Prince School, Suasana sekolah itu sunyi sekali seolah-olah hari itu sekolah ditutup. Dia sudah biasa datang selewat itu ke sekolah. Pastinya sekarang sesi pembelajaran telah pun bermula. Jam ditangan dikerling sepintas lalu.

Sudah pukul sembilan pagi. Selalunya, guru kelas akan masuk lima minit lewat daripada waktu yang sepatutnya. Kay segera berlari sambil menyusup di celah-celah bangunan sebagai jalan pintas untuk menuju ke kelas. Terasa berat pula beg sekolahnya. Begnya penuh dengan buku-buku yang diambil secara senyap-senyap daripada perpustakaan.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi tapak kaki seseorang sedang menuju ke kelas. Tanpa berfikir panjang, dia melompat ke beranda blok kelasnya dan membuka tingkap kelas dengan berhati-hati. Pelajar lain nampaknya masih belum menyedari mengenai tingkap yang terbuka dengan sendirinya.

Baru sahaja hendak melompat ke dalam, pintu kelasnya dibuka kasar dari luar. Nampaknya cikgunya sudah sampai. Dia tidak sempat masuk ke dalam kelas. Selesai ketua kelas memberi salam dan penghormatan buat guru, maka sesi menanda kehadiran pun bermula. Kay menyandar di luar kelas dengan perasaan berdebar. Dia tidak boleh lari ke mana lagi.

"Khairul Ierza bin Khalid!" kedengaran namanya dipanggil. Suasana senyap seketika.

"Cikgu dia tak..." ketua kelas mula menjawab bagi pihak Kay yang disangka tidak hadir.

"Sa,saya! Saya kat sini!" semua mata memandang ke arah tingkap kelas yang terbuka luas. Guru kelasnya memandang dengan mata yang terbuntang luas.

"Khairul! Kanapa awak kat luar? Eh, kejap macam mana awak boleh kat situ?" Kay tersengih kemudian wajahnya kembali serius. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan situasinya sekarang. Masing-masing tertanya-tanya bagaimana Kay melompat ke beranda luar kelas. Tempat tersebut agak bahaya kerana jika tersilap langkah, dia boleh terjatuh dan maut.

Perlahan-lahan Kay melompat masuk. Suasana kelas kembali senyap. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Tidak ada sesiapa pun yang sudi membela Kay. Rakan sekelasnya hanya memandang dengan penuh kebencian. Senyuman Kay mati. Dia teringat akan kata-kata ibunya supaya tidak mempedulikan apa yang mereka katakan.

"Maaf cikgu. Saya lewat hari ini."

"Err, ehem. Tak mengapa. Awak boleh duduk kat tempat awak sekarang." Puan Rachel tidak mampu katakan apa-apa apabila melihat keadaan Kay yang serius. Baru tadi dia fikir, dia sedang melihat personaliti Kay yang lain. Kay kelihatan lebih gembira tadi, getus hatinya. Selesai mengambil kehadiran, sesi pengajarannya dimulakan. Dia mencuri-curi pandang ke arah tempat duduk Kay. Lelaki itu nampaknya sudah tertidur.

"Tak guna!" marker papan putih dibaling tepat mengenai kepala Kay. Lelaki itu tersentak. Dia tersenyum kecil sambil menundukkan kepalanya. Puan Rachel geram melihat senyuman sinis pemuda itu.

Kay menggosok sedikit kepalanya yang pedih terkena balingan marker tadi.

"Cikgu, saya rasa sakit kepala. Boleh saya ke bilik rehat?" Puan Rachel terkedu. Itu helah Kay rupanya.

"Kay, awak ingat saya tak tahu yang awak tidur tadi? Huh, kalau awak dapat jawab soalan ni, barulah saya benarkan." Dengan penuh yakin Puan Rachel melontarkan cabaran kepada Kay.

Dia yakin Kay tidak akan mampu menjawab soalan yang diambil daripada universiti negara itu. Arasnya cukup tinggi untuk pelajar berusia15 tahun. Lagipun Kay hanya mempunyai photographic memory. Jika dia tidak pernah melihat soalan ini, bagaimana dia hendak menjawab dengan tepat?

Kay bangun daripada tempat duduknya. Tidak sampai lima minit, papan putih tersebut penuh dengan jalan penyelesaian yang dibuatnya.

"Macam mana cikgu? Boleh saya pergi?" Puan Rachel terkedu melihat jawapan Kay yang tepat seperti skema jawapan. Tidak mungkin, soalan ini bocor.

"Ma,macam mana kamu boleh..."

"Cikgu, biar saya jelaskan salah faham kat sini. Memang betul saya ada kelebihan photographic memory. Tapi, cikgu jangan lupa, saya bukan sekadar ingat bahkan saya juga faham. Jadi, saya gunakan konsep yang sama untuk jawab soalan ini. Lagipun, soalan ini, mirip dengan soalan yang pernah saya baca sebulan yang lalu pada hari Sabtu, 13 hari bulan di perpustakaan. Maafkan saya. Saya rasa penatlah, jadi boleh saya pergi?" Puan Rachel hanya mengangguk tanpa membalas lagi kata-kata Kay.

Sungguh tepat dan detail jawapan anak muda ini. Dalam hatinya masih mengagumi kecerdikan Kay sedangkan pelajar lain hanya menggumam dengan perasaan menyampah. Huh, Kay hanya bertuah, getus hati mereka.

Kay berlalu. Dia langsung tidak gembira selepas menjawab soalan itu tadi. Dadanya terasa seperti hendak pecah kerana menahan perasaan marah bercampur sedih.

Kenapa mereka buat aku begini? Kelebihan ini, bukan permintaan aku!

Kakinya laju menuju ke perpustakaan. Dia gemar menghabiskan masanya di sini. Membaca buku-buku di situ lebih berfaedah daripada duduk di dalam kelas yang mempunyai suasana yang menyakitkan hati. Kalau boleh dia ingin menjerit kepada mereka dan menjelaskan mengenai dirinya yang sebenar agar mereka tidak terus-terusan menganggapnya menipu dan tidak adil.

Dia juga seperti orang lain, belajar, membaca, cuma apa yang tidak dapat dielakkan ialah dia akan ingat apa sahaja yang dibaca. Justeru itu, sewaktu menjawab soalan peperiksaan, soalan-soalan tahun-tahun lepas sudah pun dihafal dan dijawab dengan mudah.

Kadang-kadang dia terasa benci terhadap kelebihan yang dimilikinya. Buku yang sudah pun dipilih dibaca dengan tekun, membuang segala perasaan benci yang menyinggah di benak pemikirannya.

Pap!

Hampir terlepas buku itu daripada tangannya apabila belakangnya ditepuk secara tiba-tiba. Wajahnya diangkat. Kelihatan seorang lelaki tersengih di hadapannya. Tanpa dijemput, lelaki itu melabuhkan punggungnya di kerusi yang berhadapan dengan dirinya.

"Yo, boleh aku duduk sini?" lelaki itu bertanya dengan ramah.

Kay hanya mendengus. Malas mahu mempedulikan lelaki itu. 'Nak duduk, duduk jelah!' soalan itu dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Lelaki itu tersenyum hambar sebelum mengambil tempat tersebut.

Suasana senyap seketika. Kelihatan lelaki yang memakai tanda nama Shahrul itu sedang tekun membaca buku. Eh, itu buku yang dia baru ambil daripada rak! Tekun sekali lelaki itu membaca. Mungkin dia tidak patut menegurnya. Biarlah jika dia ingin membaca buku tersebut. Dan hari tersebut berlalu dengan senyap sekali.

Kay mempunyai pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya namun egonya menghalang dirinya daripada bertanya. Melihat jam di tangan, dia bingkas bangun dan mengaut semua buku di atas meja lalu dimasukkan ke dalam beg. Semua buku itu akan dipinjam biarpun bukan secara sah. Hal ini kerana, perpustakaan sekolahnya hanya menghadkan pinjaman sebanyak empat buah buku sahaja selama dua minggu bagi setiap individu sedangkan untuk seseorang sepertinya, empat buah buku mampu dihabiskan sebelum hari ketiga dia meminjamnya.

Saat langkahnya mula menapak, barulah lelaki tadi bersuara.

"Kay, buku ni tak nak bawa sekali?" Shah menegur. Kay berpaling sambil tersenyum.

"Kau bacalah dulu." Kay terus berlalu sebaik sahaja berkata-kata. Kedengaran tawa kecil daripada Shah dari kejauhan. Kay malas hendak bertanya.

Sesampainya di rumah, dia melihat ayahnya sedang berbual-bual dengan seorang lelaki berpakaian pejabat. Perbualan mereka nampak begitu serius sekali.

"Ayah!" dia memanggil ayahnya. Kedua-dua lelaki dewasa itu terkejut dengan kehadiran Kay. Lelaki yang sibuk berbual dengan ayahnya kelihatan cemas lalu terus pergi daripada situ.

"Siapa tu ayah?" ayahnya merenung dalam-dalam wajah Kay. Belum masanya untuk dia tahu, fikir Khalid.

metalheadmitch

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top