Bab 7-Permulaan


Hari ini-Apartment Gelong Gajah, 8.58 a.m.

Kring! Kring! Tup!

Segera jam loceng itu dimatikan. Dia segera menyambung kembali tidurnya yang tertangguh tadi. Selimut semakin ditarik hingga ke dada.

Kring! Kring!

Sekali lagi jam itu berbunyi. Dengan bernadakan sedikit keluhan, tangannya segera mencapai jam loceng tersebut lalu dicampak ke dinding.

Prang!

Bunyi kaca yang pecah serta merta menyentakkan tidurnya yang baru sahaja hendak bermula. Perlahan-lahan dia bangkit daripada pembaringannya. Dengan wajah yang masih mamai, dia mengerling ke arah jam yang baru sahaja dicampakkan sebentar tadi.

'Huh, kali ni dah masuk 10'.

Benar. Sudah 10 buah jam loceng yang musnah dicampakkannya. Meskipun dia tidak sengaja namun apa yang boleh dia buat. Sememangnya, dia ialah seorang yang agak liat untuk bangun awal. Kadang-kadang dia akan bangun awal andai mimpi-mimpi ngeri itu datang menjelma dalam tidurnya.

Nasib baik dia masih ada jam yang satu lagi. Apabila melihat angka yang ditunjukkan oleh jarum jam tersebut, serta-merta matanya terbeliak. 'What? Dah pukul 9 pagi?'

Wajah yang tadinya mamai berubah menjadi cemas. Dia segera terjun daripada katil bujangnya sambil mencapai tuala yang terhampar di atas lantai. Terhuyung-hayang dia berjalan kerana mamai daripada tidurnya masih lagi tersisa.

Mimpi itu, datang lagi. Dia sudah terbiasa. Untuk berjalan di dalam biliknya, dia terpaksa menolak barang-barang yang bertaburan di lantai dengan menggunakan kaki sahaja.

Dalam kekalutan itu, dia langsung tidak ternampak akan satu timbunan buku-buku yang jelas di hadapannya, lalu dengan penuh dramatik, dia rebah tersembam di hadapan pintu bilik airnya. Sambil menunjukkan riak wajah menahan keperitan, dia mengetap bibirnya. "Aduh!" dia berbisik dengan suara yang tertekan-tekan. Perlahan-lahan dia bangun. Keperitan yang dirasai di bahagian pinggang yang terkena buku-buku semakin perit rasanya.

Dia melihat pinggangnya yang lebam. Bukannya dia tak tahu bahawa terdapat timbunan buku-buku di situ. Dia menyeringai menahan kesakitan. Hendak salahkan siapa lagi?

"Argh!!!" bergema sebentar apartment miliknya dengan jeritannya. Namun, tiada sesiapa yang berani mengetuk pintu apartmentnya walaupun mereka berjiran. Masing-masing sudah tahu yang lelaki itu tidak suka diganggu atau bersosial dengan penyewa-penyewa di situ. Kini, dia sendiri harus menanggung padahnya.

Khairul Ierza b. Khalid. Lebih mudah dipanggil Kay. Seorang yang pendiam namun kadang-kadang banyak cakap. Mampu meniru gaya percakapan orang lain atau mengubah identiti mengikut tugas-tugasnya setiap hari. Tingginya, sedang-sedang sahaja iaitu 170 cm. Tubuhnya tidaklah sasa namun tidak juga kurus. Kalau dilihat dari pandangan kasar, dia jelas kelihatan seperti remaja sekolah menengah biarpun usianya sudah menginjak ke 21 tahun. Wajahnya putih dan keanak-anakkan. Satu sifat dalam dirinya yang paling dia tidak gemari. Dia mengalami kesulitan ketika hendak mengubah identitinya kerana wajah keanak-anakkan yang dimilikinya. Satu kelebihan yang sukar diciplak atau dirampas orang dimilikinya, iaitu IQ yang tinggi serta Photografic Memory.

Dia menjeling kalendar yang tersangkut di luar pintu bilik airnya. Masanya tidak boleh dibuang lagi. Urusan peribadinya harus diselesaikan terlebih dahulu. Selepas itu, ada urusan yang lebih besar perlu dia lakukan.

Dia ialah seorang penipu atau lebih biasa dikenali sebagai swindler. Tugasnya adalah untuk menipu penipu lain. Itu prinsipnya. Mengapa dia lakukan semua itu? Hanya dia yang tahu jawapannya. Sekeping foto keluarga tergantung di cermin mejanya tulisnya. Seorang kanak-kanak lelaki, wajahnya dihitamkan dengan dakwat marker yang kekal. Kay, bagai menyingkirkan dirinya sendiri.

'Semua ini salah dia. Aku tidak mampu buat apa-apa.'

6 tahun yang lalu

Malam itu dia pulang agak lewat kerana menghadiri kelas tambahan wajib yang diadakan untuk pelajar yang bakal menduduki peperikasaan awam menengah rendah hujung tahun nanti.

Dia menekan loceng untuk mengetahui sama ada keluarganya sudah tidur atau tiada di rumah. Apabila melihat tiada sesiapa yang hendak membuka pintu, dia mengagak bahawa ahli keluarganya tiada di rumah.

Pagar rumahnya ditolak. Sekali lagi dia berasa hairan. Mengapa pagar tersebut tidak berkunci sedangkan ibunya merupakan seorang yang berhati-hati dan sentiasa mengunci pintu. Dia cuba untuk menyedapkan hati. Dia cuba untuk meneka. Pasti pintu rumah turut tidak berkunci. Telefon bimbitnya segera dikeluarkan dari kocek bajunya. Segera nombor telefon adiknya, Khaira didail, namun panggilannya tidak berjawab. Dia mencuba sekali lagi.

"Ira, angkatlah telefon ni..." dia berdoa semoga adiknya menjawab panggilan tersebut. Tap! Alhamdulillah! Dia mengucap syukur dalam hatinya apabila adiknya menjawab panggilan.

"Hello! Ira! Ira dekat mana tu? Ira duduk dengan mak ke? Kenapa rumah..." soalan bertubi-tubi itu terhenti apabila mengesan bunyi nafas yang termengah-mengah di corong telefon bimbitnya.

"Ira?" Kay mengeur dengan penuh debaran.

"Ab..abang...to..tolong.." tup! Panggilan tersebut tidak mati namun telefon bimbitnya yang terlepas daripada tangan.

Dum!

Kedengaran pintu bilik airnya dihempas. Bayangan itu datang lagi. Kay, baru sahaja selesai mandi. Bayangan lampau itu sering bermain dalam fikirannya, namun dia sudah terbiasa dengan situasi itu. Langkahnya diatur ke arah bilik persalinannya.

Hari ini dia hanya akan mengenakan T-shirt lengan panjang yang fit berwarna hitam serta seluar jeans hitam. Memandangkan, cuaca sekarang tidak menentu, lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh sebegini.

Dia mencapai jaket labuh berwarna hitam yang dibeli dari United Kingdom lalu dipadankan dengan pakaiannya yang sedikit kasual. Sememangnya dia amat menggemari warna hitam. Oh,ya, payung jangan lupa!

Hari ini, dia akan berjalan-jalan di sekitar kawasan bandar untuk mendapatkan ilham bagi tugasnya yang akan datang. Dalam hatinya dia mula tertanya-tanya, siapakah bakal menjadi mangsa terbaharunya?

"Orang tua tu takkan pernah kehabisan maklumat." Ujarnya perlahan, sambil melurut-lurut rambutnya yang sedikit panjang.

"Yosh! I'm ready! Yeah!" dia menepuk tangannya sekali lalu mencapai kunci rumah. Sebelum keluar, dia membuka salah satu pintu bilik yang menyimpan segala hasil pencariannya.

Di dalam bilik tersebut sudah tersusun begitu banyak peti besi yang menempatkan berjuta-juta wang tunai hasil kerjanya selama enam tahun. Itulah banknya selama ini. Dia tidak akan sesekali menyimpan jumlah wang yang banyak di dalam bank kerana sudah sedia maklum dengan pihak kerajaan yang mudah sahaja curiga andai seseorang yang yang masih muda serta tiada pekerjaan yang tetap sepertinya mempunyai jumlah wang yang sebegini banyak.

Namun, dia juga turut membuat banyak akaun bank tiruan. Ini adalah salah satu kemahirannya. Segala jenis jenayah penipuan bagaikan sudah dihadam. Dia ada kad sim tiruan, identiti tiruan dan semuanya dibuat dengan penuh teliti. Dia seolah-olah hidup dalam identiti orang lain, cuma satu sahaja yang jarang diubah, iaitu namanya. Nama panggilannya akan sentiasa kekal dengan panggilan Kay.

Tangannya mencapai beberapa not wang kertas yang dirasakan perlu sebagai bekalan untuk hari ini. Setelah memastikan keadaannya sudah beres, dia segera membuka pintu untuk keluar daripada apartmentnya. Alangkah terkejutnya dia apabila seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an berdiri dihadapan pintu sambil tersenyum sinis.

"Kay, kau nak pergi buat hal lagi ke hari ni?" Inspektor Ahmad menyoal. Tangannya cuba untuk menolak pintu rumah Kay dan sudah tentulah Kay yang masih di dalam berusaha untuk menutupnya.

"Bukan masalah kaulah! Hah, yang kau datang sini ni kenapa? Tak puas-puas lagi kau nak kacau aku?" Kay menjawab dengan nada suara yang angkuh sambil tangannya melawan tolakan daripada Inspektor Ahmad. Dengan muka kurang berpuas hati, polis itu melepaskan tolakannya. Buat masa ini dia tidak boleh gopoh.

"Dasar polis poyo!" Kay berbisik perlahan. Dengan tenang dia keluar daripada rumahnya lalu mengunci pintu rumahnya. Tanpa menghiraukan Inspektor Ahmad yang sudah mengetap bibir menahan perasaan geramnya terhadap remaja itu, dia terus berlalu sambil menyanyikan beberapa buah lagu hip hop yang diingatinya.

Geramnya terhadap Kay hanya tuhan sahaja yang tahu. Tingkah laku Kay yang langsung tidak menghormati orang yang lebih tua itu semakin menjadi-jadi.

"Kay, kalau pun kau berdendam dengan dia orang, cara kau ni salah." Kata-kata yang diujarkan oleh Inspektor Ahmad serta merta mematikan langkah dan nyanyian kurang merdu daripada Kay.

"Kau ingat aku tak tahu ke kau kerja apa. Lebih baik kau serah diri, kalau kau nak hukuman kau diringankan." Inspektor Ahmad menyambung lagi kata-katanya apabila melihat Kay seolah-olah sudah termakan dengan kata-katanya. Mungkin kali ini dia boleh mengubah fikiran pemuda itu.

Dasar polis! Kau tahu aku siapa tapi langsung tak mampu bawa aku ke muka pengadilan.

"Ceh, cakap memang senang arr..." Kay tiba-tiba bersuara perlahan tanpa melihat wajah inspektor itu. Dia berpaling dengan satu senyuman tanpa perasaan.

"Err, maaflah bro, gua tak kenal sama lu. Err, kita kenal ke?" Kay memulakan dramanya. Wah, macam jadilah aku berlakon. Ehem, bolehlah ni cuba ujibakat jadi pelakon. Huhu. Hati Kay mula bercanda sendiri.

Wajah Inspektor Ahmad serta merta berubah menjadi merah padam. Budak ni..

Kay menambahkan lagi diameter senyumannya. Sambil menunduk hormat dia berpusing ke belakang untuk meneruskan langkah.

"Wei, budak! Kau ingat semuanya boleh selesai ke dengan cara macam ni? Kau ingat mudah je aku nak terima apa yang kau buat? Kay, ingat, aku takkan menyerah kalah!" Inspektor Ahmad menjerit kerana terlalu marah. Bukan dia tidak tahu, marah Kay terhadap apa yang berlaku enam tahun lalu masih lagi bersisa.

"Aku memang jangka yang kau tak akan menyerah kalah pun. Tak seronoklah hidup ni kalau kau pun menyerah kalah." Sinis Kay membalas.

"Apa maksud kau hah?"

"Inspektor Ahmad, apa kata kita buat satu perjanjian? Kalau kau berjaya tangkap aku sebelum aku tangkapkan orang lain untuk kau, kau dikira menang. Kalau tidak, selama itulah, aku akan sentiasa menang." Inspektor Ahmad terdiam sejenak mendengar kata-kata Kay. Berani betul kau cabar aku ya budak!

"Aku setuju..." apabila dia mendongak untuk melihat ke arah Kay, kelibat pemuda itu sudah hilang daripada pandangannya.

Dia segera berlari-lari di sekitar koridor itu untuk mencari Kay namun, lelaki itu benar-benar sudah pergi. Cis, dia memang pantas! Jam di tangan dikerling sekilas. Masa sudah semakin suntuk. Dia harus menyahut cabaran Kay untuk menangkap lelaki itu.

Bukti hanya ada jika aku berjaya menangkapnya ketika dia sedang melakukan jenayah itu. Kay harus segera dicari. Dengan emosi yang kurang stabil, dia kembali ke ibu pejabat. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top