BAB 1: KEHIDUPAN SEHARIAN PART 1
Langit masih gelap. Lampu-lampu neon masih menerangi jalan raya yang sunyi dengan cahaya yang malap. Tiada satu kelibat manusia pun kelihatan di sekitar jalan raya tersebut. Jalan yang lurus itu menuju ke sebuah taman permainan yang senyap sunyi.
Di sekitar kawasan taman permainan itu pula terdapat banyak perumahan yang gelap. Hari masih lagi pagi, namun subuh pula masih jauh. Selalunya, ramai budak motor yang melepak di taman itu, tetapi pada hari ini tiada seorang pun berada di situ.
Jam loceng kedengaran dari jauh.
Bunyinya agak samar-samar.
Namun, sesiapa yang mendengarnya pasti mengenali bunyi itu. Bunyi jam loceng.
Seorang remaja terjaga apabila mendengar bunyi jam loceng tersebut. Bunyi itu agak kuat memandangkan jam itu berada di dalam biliknya.
Dia masih lagi mamai pada ketika itu. Dia meraba-raba meja yang berada di tepi katilnya untuk mencari dan menghentikan bunyi jam loceng yang bising itu.
TAPP!!!
Jam loceng yang dicarinya jatuh ke lantai. Dia menoleh ke lantai untuk mengambil jam loceng itu. Bunyi jam loceng dihentikan. Dia mengamati jam loceng tersebut.
" Baru pukul 3.00 pagi," keluhnya.
Dia cuba melelapkan kembali matanya.
Tak boleh.
Tekaknya berasa haus.
Lalu dia bangun dari katilnya dan terus ke dapur untuk minum air. Dia mengambil air dari peti sejuk dan menuangkan ke dalam cawan. Lalu dia terus menuju ke sofa di ruang tamu rumahnya. Sofa lebih selesa.
" Ni mesti kerja Maisarah," keluhnya lagi. Dia mengeluh mengenai jam locengnya.
Dia mula termenung ke arah televisyen yang masih tutup. Banyak perkara yang bermain di fikirannya. Dahinya berkerut-kerut memikirkan segala hal yang berada di fikirannya. Setelah sekian lama, baru dia tersedar sesuatu.
Tiada bunyi motor.
Tiada gelak-tawa dan hilaian perempuan yang sangat menjengkelkan.
Suasana tenang. Sejak sekian lama, kawasan perumahan itu tenang. Pada hari-hari lain, suasana agak bising. Lelaki ini turut memasang span kalis bunyi di tingkap biliknya. Itu pun masih lagi kedengaran bunyi bising dari luar rumahnya.
Bukanlah pihak ahli rukun tetangga tidak pernah melakukan sebarang tindakan. Akan tetapi ramai yang memilih untuk berdiam diri daripada mengambil tindakan. Sibuk, kata mereka. Pada masa yang sama, mereka yang sibuk ini juga masih lagi merungut mengenai budak-budak motor ini.
Budak-budak motor ini sebenarnya suka berlumba di jalan yang lurus yang bersambung dengan taman permainan. Siapa saja yang tidak suka bila dapat menunggang motosikal dengan kelajuan maksimum apabila menunggang di jalan yang lurus?
Remaja ini mengintai ke taman dari balik tingkap ruang tamu rumahnya.
Tiada siapa pun yang berada di taman. Hatinya melonjak gembira. Dia sudah lama berkeinginan untuk melepak di taman pada dinihari.
Dia menuju ke biliknya untuk mengambil kunci rumah. Dia ingin keluar dari rumah untuk melepak di taman. Dengan pakaian tidurnya, dia terus ke taman dan duduk di buaian sambil membelakangi rumahnya.
Ha, nyaman.
Sesiapa yang pernah melakukannya pasti pernah merasai ketenangan yang tidak dapat digambarkan. Udara segar, sunyi sepi, sejuk, dan keindahan langit yang dipenuhi bintang-bintang yang bersinar terang. Sungguh, indahnya ciptaan Tuhan ini tidak dapat digambarkan.
Remaja ini terus tersenyum bersendirian melihat langit cerah. Ha, tenang, sungguh. Dia dapat bertenang daripada memikirkan kesemua masalah yang berlaku kepada dirinya. Dalam kenikmatan melihat ciptaan Tuhan, dia langsung tidak menyedari bahawa seseorang sedang menuju ke arahnya.
Lelaki yang kedua in sedang berjalan dengan senyap-senyap dan berhati-hati. Kemudian, dia terpijak botol plastik yang sudah leper. Remaja yang sedang duduk di buaian segera bangun dan memandang ke belakang. Mukanya sedikit terkejut. Lelaki yang terpijak sampah itu pula serta-merta kaku.
Dia kemudiannya segera menoleh ke arah remaja yang berada di buaian. Riak wajah lelaki yang memijak botol plastik itu menunjukkan reaksi kecewa apabila remaja tersebut menyedari kehadirannya. Dia melepaskan keluhannya.
" Ayah?" remaja itu bersuara ke arah lelaki yang sedang kaku itu.
Lelaki yang ditegurnya itu kemudiannya mengangkat kedua belah tangannya.
" You got me," lelaki tersebut membalas.
Remaja tersebut melepaskan nafasnya. Dia agak takut juga jika lelaki yang sedang menuju ke arahnya ialah seorang penjenayah.
" Apa yang kamu buat di sini pada malam-malam buta ni?" tanya ayah sambil menuju ke arah anaknya.
Anak lelakinya itu tidak terus menjawab. Dia kembali duduk di atas buaiannya dan memandang ke langit.
" Ha, mestilah melihat bintang, hmm?" ayah menambah.
Anaknya masih senyap.
Ayah terus duduk di atas buaian di sebelah anaknya. Dia merenung anaknya itu setelah duduk di atas buaian. Anaknya masih lagi tidak menjawab soalan ayahnya. Dia masih merenung ke langit.
Setelah beberapa ketika, anak lelakinya melepaskan nafas dengan agak panjang.
" Ya, melihat langit, " balas remaja tersebut.
Kini, giliran ayahnya pula berdiam diri. Tetapi, dia masih merenung anaknya. Si anak kemudiannya berasa sangat tidak selesa dan terus membalas pandangan ayahnya.
" What?" tambah anaknya lagi.
Ayah menundukkan kepala sambil melepaskan nafasnya. Kemudian, dia memandang kembali wajah anaknya.
" Ayah sebenarnya tertanya-tanya sama ada kamu ada sebarang masalah di sekolah, atau apa-apa sahaja," kata ayah sambil merenung ke mata anaknya.
Anaknya tidak terus menjawab. Dia kembali memandang ke bawah. Dia menarik nafas yang panjang. Kemudian melepaskan nafasnya dengan perlahan-lahan. Jauh dari sudut hatinya, dia sememangnya ingin seseorang bertanyakan masalah yang dihadapi olehnya.
" Ya, Sid ada masalah dekat sekolah," katanya.
" Sekolah sangat membosankan. Sid bencikan situasi di sekolah. You know what, dad? People always looked down on me and thinks that I am stupid," tambahnya lagi.
Si ayah hanya mendengar. Dia sebenarnya bukanlah ingin sangat nak dengar apa yang dikatakan oleh anaknya. Dia hanya ingin menunjukkan dirinya seolah-olah dia betul-betul mengambil berat apa yang dihadapi oleh anaknya.
Bagi ayah, situasi ini agak normal. Hampir semua pelajar mempunyai masalah begitu. Lagipun, anak lelakinya ini bukan lagi sekolah rendah. Sebaliknya, dia sudah berumur 17 tahun. Dia sepatutnya sudah boleh menghadapi dan mengadaptasikan situasi yang dilalui olehnya dengan mudah.
Namun, pada masa yang sama, dia juga memahami sesuatu. Apabila seseorang itu tengah bercerita, orang yang mendengarnya pula harus mendiamkan diri dan tidak mencelah. Lagipun, apabila seseorang itu selesai bercerita, mereka selalunya akan lebih tenang dan perasaan tertekan akan berkurangan. Itulah kuasa mendengar.
" Siddiq, kamu sudah 17 tahun. You are old enough. Kenapa kamu masih peduli dengan apa yang orang lain fikir dan katakan?" ayahnya bertanya.
Siddiq mendiamkan diri.
" Apa yang orang lain fikirkan sebenarnya bukan masalah kamu pun. Mereka ada persepsi sendiri. Sementara kamu pula adalah sesuatu yang realiti, bukan persepsi. Kamu tahu kamu siapa dan kamu tahu apa yang kamu nak dalam dunia ni. Itu sahaja yang penting. Lantaklah apa orang lain nak fikir fasal kamu, sebab belum tentu mereka itu betul,"
Siddiq terus menundukkan kepala. Bila difikirkan kembali, ada betulnya apa yang ayahnya katakan. Tapi, pada masa yang sama, dia masih tidak dapat mengendalikan situasi ini dengan baik.
Hidup sebagai orang yang selalu dibuli, bukanlah senang. Semua orang hanya mampu berkata " bertenanglah, ianya hanyalah gurauan. Nanti kau akan rindu juga situasi ni," tanpa sebarang rasa empati.
Persoalannya, betul ke apa yang mereka semua ini katakan? Sesetengah manusia yang kerap mengalami kejadian dibuli selalunya mempunyai kesan psikologi yang boleh dikatakan tinggi.
Rasa rendah diri hingga tahap menghina dan membenci diri sendiri, terperap di dalam bilik dan kurang bergaul dengan orang sekeliling serta tidak mahir berkomunikasi dengan orang sekeliling adalah antara kesan-kesan teruk yang dialami mangsa buli.
Siddiq menarik nafas yang panjang. Padanya, dia dapat merasakan bahawa tiada seorang pun yang mampu menolong dirinya sebenarnya, termasuklah ayahnya sendiri. Lagipun, dia sudah banyak kali memerhati kehidupan mangsa-mangsa buli, dengar cerita-cerita mahupun berita mengenai kehidupan mereka, kebanyakan orang-orang di sekeliling mereka langsung tidak kisah mengenai kejadian yang menimpa diri mereka ini.
Kebanyakan manusia di sekeliling mereka ini lebih berlagak daripada manusia yang suka membuli orang lain. Sebab itulah bagi Siddiq, dia tidak begitu berminat untuk menceritakan masalahnya. Sebabnya dia sudah tahu, bahawa orang-orang di sekelilingnya tidak akan mengambil tindakan yang tegas pun. Malah, dia bakal diketawakan atau dikutuk pula oleh orang yang diminta tolong.
Remaja ini mendongak ke langit untuk melihat bintang. Di dalam kepalanya ligat berfikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah yang melanda dirinya. Dia tidak langsung membalas semula kata-kata bapanya kerana dia tahu bagaimana ayahnya berfikir. Tidak membantu sepenuhnya.
Setelah menunggu anaknya membalas namun tidak berkata apa-apa, dia mendiamkan diri dan melakukan hal yang sama seperti anaknya. Melihat bintang. Lagipun dia juga sedang memikirkan masalah yang dia sendiri kena hadapi.
Setelah mendiamkan diri dengan agak lama, Siddiq memandang semula ayahnya.
" Ayah tak marah ke Siddiq keluar malam-malam ni?"
Ayah menguap. Dia tidak terus menjawab.
" tak," balasnya pendek.
Siddiq faham. Dia malas nak bertanya dengan lebih-lebih. Takut ayahnya melenting pula. Maklumlah, ayahnya ini boleh tahan juga barannya.
" bila nak masuk tidur?" tanya ayahnya.
" kejap lagi,"
Situasi senyap seketika.
" Lusa lepas sekolah, ayah nak kamu dan adik-beradik kamu datang ke makmal ayah. Ayah nak tunjukkan sesuatu,"
" Tunjukkan apa? Mesin masa ayah tu ke,"
" Mana kamu tahu?"
" Dua bulan lepas, Sid ada baca dokumen ayah. Ayah letak merata dokumen-dokumen kerja ayah tu,"
" Eh, bila masa?"
" Adalah, satu hari tu. Ayah letak dokumen ayah dekat atas meja makan. Bila difikirkan balik, projek ayah ni dikira bahaya juga letak merata-rata. Kalau hilang macam mana?"
Ayah senyap.
" Lagi satu, bila Sid habis sekolah, bukan ke Saleh dan Maisarah masuk sekolah sesi petang?"
" Budak dua tu tak payah la pergi sekolah. Ayah ada benda lain selain daripada mesin masa tu ayah nak tunjuk,"
" Kenapa tak esok? Ataupun pagi lusa tu?"
" Besok pagi ayah ada meeting dan petang serta pagi lusa pula ayah nak buat final check up sebelum tunjuk dekat kamu semua,"
Siddiq termenung ke depan. Dia sebenarnya tertanya-tanya kenapa ayah nak tunjukkan projek-projek sainsnya kepada mereka. Bukan apa, projek-projek ini berkait rapat dengan kerajaan. Silap langkah, semua ke lokap.
" Kenapa ayah nak tunjukkan projek ayah tu? Bukan confidential ke? Bukan dah langgar hak perjanjian ayah dengan pihak kerajaan ke?" tanya Siddiq bertubi-tubi.
Tiba-tiba sahaja Siddiq banyak bertanya. Ayah seperti sudah mengagak soalan-soalan seperti ini akan bercambah di minda anak lelakinya. Namun, ayah memilih untuk diam.
Siddiq menunggu dengan agak lama. Tiada sebarang jawapan. Dia tidak bertanya sekali lagi sebab dia tahu ayahnya pasti melenting. Sebab itu dia juga memilih untuk mendiamkan diri daripada bertanya walaupun sifat ingin tahunya membuak-buak.
Ayah bangun dari buaiannya. Dia terus menuju pulang ke rumah. Dia menoleh ke belakang menghadap anak lelakinya.
" Siddiq, balik," perintah ayahnya dengan nada separa tinggi.
Siddiq menoleh ke arah ayahnya. Dia kemudiannya bangun menuju ke rumah bersama ayahnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top