Terawih
2 Jun 2018 ; 11:32 p.m | ☔
—————————————
Sudah beberapa hari aku tinggal di sini. Surau yang jauh sekali dari rumah. Mandi, di tandas surau. Sahur, cukup Nestum yang sudah aku bawa sekali itu saja memandangkan aku sudah kehabisan duit mahu membeli CUP maggi.
Baju ini pun bergilir-gilir. Aku cuma sempat bawa tiga helai persalinan baju saja. Oh, tuala dan berus gigi pun sempat aku capai dalam tangis. Yang lain, langsung aku tidak memikirkannya. Aku juga sempat capai kau. Baca cerita-cerita mama yang dahulu, kadang-kadang mengubat rindu aku pada mereka di rumah.
Adakah mereka sedang mencari aku? Atau mereka bahagia kerana aku sudah tiada disamping mereka untuk membuat onar?
Bagaimana keadaan mama? Sejak akhir-akhir ini, aku asyik bermimpi tentangnya. Hati pun makin gelisah. Aku harap, dia baik-baik sahaja. Aku pergi, kerana aku rasa bersalah. Aku janji aku akan balik. Lagipun, aku rasa tenang di sini. Dekat dengan Allah, dia yang aku perlu selama ini.
Mak Cik Rokiah, mak cik yang selalu ada bersama itupun tidak lokek memberi ilmu. Kadang-kadang, dia datang awal ke masjid semata-mata ingin bersahur bersama aku.
Setiap kali terawih pula, mak cik Rokiah sentiasa di sisiku. Setiap bacaan, dia baca sedikit kuat dari kebiasaan. Tujuannya supaya aku dengar dan ikut. Dia ajar aku zikir-zikir harian untuk aku amalkan. Aku suka dia. Rasa seperti kasih sayang emak yang aku rindukan kini terubat sedikit demi sedikit.
Selepas tarawih, dia akan luangkan masa mengajar aku mengaji. Dia memang mengajar budak-budak di situ. Aku malu sebenarnya. Budak-budak lain sudah juzuk 10, 11... Aku masih merangkak iqra' 1.
Mak cik-mak cik yang bersembahyang tarawih di situ pun, ada saja yang mengumpat. Kata aku itu, kata aku ini. Kadang-kadang mereka lari dari sembahyang di sisi aku. Terasa juga. Tapi kata mak cik Rokiah, itulah yang aku perlu tempuh. Aku sudah berjanji mahu berhijrah. Katanya lagi, berhijrah bukan senang. Bukan sesenang belit tudung atas kepala.
Kerana Islam itu, bukan kerana tudung. Tapi kerana percaya, beriman dan yakin Allah itu satu dan melakukan semua perintah dan menghindari larangan-Nya.
Semua itu, Mak Cik Rokiah yang ajarkan setiap kali dia mahu pulang. Sungguh mulianya hati dia. Sanggup pulang pukul 11 lebih hanya untuk aku.
Setiap malam jadi lebih bermakna. Ya Allah, aku benar-benar ingin berubah. Sesungguhnya setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Aku bersyukur Kau masih berikan aku peluang untuk bertaubat. Aku perlukan sedikit lagi masa. Nanti aku pulang, akan aku bawakan Ayn yang baharu... Walaupun ilmu agamaku masih lagi cetek, sekurang-kurangnya Ayn yang lama sudah aku kunci dari dunia. Aku ingin berubah. Malah aku janji, aku AKAN berubah.
Semoga Allah mempermudahkan semuanya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top