BAB 5


"Ma... Kenapa mama tiba-tiba upah tukang kebun? Setakat pasu bunga ros yang cuma beberapa pasu tu, perlu ke upah tukang kebun."

Kemunculan tukang kebun yang secara tiba-tiba itu buat dia tidak keruan. Tidak boleh bernafas sebenarnya kerana lelaki itu terlalu kacak pada pandangan matanya. Sudah berkali-kali dia tanyakan soalan itu namun mamanya tidak mahu menjawab.

Sejak semalam dia tanyakan soalan itu kepada mama. Tapi mulut mama bagaikan sengaja dikunci rapat. Petang ini dia akan pastikan mama jawab.

"Ada isu ke?" Akhirnya Datin Maznah bersuara. Terus dia palingkan muka melihat anak daranya. Selagi tidak dijawab selagi itu Hana tidak akan biarkan dia. Mahu membaca majalah pun tidak senang. Majalah diletakkan ke atas meja.

"Tak ada." Jawab Hana. Terkejut melihat wajah serius ibunya.

"Ok." Datin Maznah mahu ambil semula majalahnya.

"Ma... Dia tak layak pun jadi tukang kebun kita."

Tangan Datin Maznah tidak jadi mencapai majalah. Dia pandang wajah anak bongsunya lalu bangun dari duduk. "Kenapa dia tak layak?"

Hana diam. Apa pula alasan dia hendak bagi. Mama sudah bercekak pinggang. Sah akan meletup sekejap lagi.

"Salah ke mama tolong orang susah."

"Orang susah apanya kalau dia pakai sependa Hugo Boss. Original lagi." Hana tutup mulutnya.

Datin Maznah sepetkan mata. Pandang Hana dengan tajam.

"Hugo Boss apa tu?" Datin Maznah pura-pura bertanya. Sedangkan dia faham maksud Hana.

"Salah tukang kebun tu ma. Seksi sangat. Ada ke dia sengaja tak pakai baju masa pindah-pindahkan pasu bunga mama. Saja je nak goda Hana suruh tengok ketul-ketul kat badan dia. Masa dia bongkok tu yang Hana nampak...jenama sependa... seluar....dalam...." Hana tidak habiskan ayatnya. Pandangan mata mama seakan seeokor anaconda yang mahu menelan mangsa.

"Mama... Dia tak layak jadi tukang kebun. Sebab dia cuma layak jadi menantu Datin Maznah."

Datin Maznah menganga. Apa kena pula dengan anak gadisnya ini.

"Kalau mama tak nak jadikan dia menantu... lebih baik mama berhentikan dia kerja. Jangan salahkan Hana kalau Hana menggatal kat dia. Dia seksi sangat."

"Mama tak nak Hana kacau Wazif. Dia datang sini sebab nak kerja."

"Tukang kebun teruk sangat tu ma... at least jadikan dia model butik mama. Mana tau dia lebih laku jadi model." Hana memberi cadangan. Tidak sampai hati melihat lelaki sekacak itu bekerja sebagai tukang kebun.

Datin Maznah mencapai majalah tadi. "End of discussion. Jangan kacau Wazif."

"Jangan kacau Wazif." Hana mengajuk kata-kata mamanya sebaik sahaja Datin Maznah berpaling. Nasihat yang sia-sia. Dia tidak akan ikut. Mama atau papa bantah, dia tetap mahukan Wazif. Lelaki itu pasti akan jadi imamnya.

"Tak payah fikir fasal imam kalau solat pun lompong lagi." Datin Maznah bersuara. seakan tahu apa di fikiran anak daranya.

"Dah ada imam tak lompong lagi ma. Ada imam tolong jaga solat nanti." Hana tersengih. Membayangkan Wazif menjadi imam solatnya, dia rasa romantik sangat.

"Yang penting jangan kacau Wazif. Mama tak nak tukang kebun mama lari sebab Hana. Kalau dia lari Hana ganti jaga bunga ros mama." Sempat lagi memberi amaran sebelum masuk ke dalam rumah.

Hana memerhatikan mamanya. "Hana akan pastikan Wazif ada kat rumah ni sampai bila-bila."

Hana sudah bertekad. Dia tahu mama dengan papa pasti akan tunaikan apa sahaja permintaan dia. Selepas kematian arwah kakaknya, jarang permintaan dia tidak tertunai. Kecuali perkara yang bahaya seperti sukan lasak yang dia begitu minat. Kakaknya meninggal semasa dia baru memulakan pengajian di Jepun. Saat itu hanya tinggal setahun lagi arwah kakaknya akan tamat belajar.

"Nak intai Waziflah." Hana tersengih. Dia ayun langkah berjalan menuju ke kuarters pekerja dengan senyuman terukir. Biasanya anak teruna intip anak dara. Kali ini dia biar dia, anak dara intip anak teruna.

Tiga rumah satu tingkat sederhana besar didirikan berderet di belakang rumahnya. Sesuai untuk keluarga kecil tinggal. Ada dua bilik. Dia pasti Wazif tinggal di lot tepi kerana hanya unit itu yang kosong. Dua unit disewa oleh tuan rumah sebelah untuk orang gaji mereka. Mak Piah tidak tinggal di situ kerana rumahnya berhampiran. Mak Piah mula bekerja selepas Subuh dan akan pulang selepas Maghrib.

Dia memulas tombol pintu tapi berkunci. Tangannya beralih pula ke tingkap. Cuba membuka tingkap yang rapat tertutup. Suasana sunyi sepi. Mungkin tiada orang. Hana cuba intip sekali.

"Uit makwe."

Hana terasa bahunya dicuit. Dia terus menoleh.

"Tutty." Hana tersenyum sengih. Malu pula ditangkap mengintip oleh Tutty. Hana buat-buat garu kepala. "Cari kucing saya hilang. Puss meow."

"Cik Hana kan alergik kucing. Bila masa bela meow. Pasti cari meow lain ni." Tutty goyangkan jari telunjuk di hadapan Hana.

"Eh... saya lupalah yang saya ni alergik." Melihat gelagat Tutty dia yakin pembantu rumah Tan Sri Kamil tahu siapa Wazif. Baru sekejap bekerja sudah glamor. Tutty pun tahu.

"Dia keluar pergi manatah tadi. Naik basikal." Terang Tutty.

"Tutty kenal dia?"

"Cowok ganteng banget. Siapa tak kenal." Tutty sudah lama di Malaysia. Percakapan Tutty sudah bercampur Malaysia Indonesia.

"Jangan usik dia tau. Saya punya." Hana memberi amaran. Manalah tau Tutty tiba-tiba tergerak hati hendak jadi warganegara Malaysia. Wazif akan jadi mangsa. Dia tidak akan biarkan Wazif jadi milik perempuan lain.

"Kalau Cik Hana cakap begitu. Saya tak jadi hendak ngorat dia."

"Bagus." Hana gembira. "Kak Marlia macam mana?" Hana tiba-tiba teringatkan anak Tan Sri Kamil. Khabarnya kemalangan bulan lepas.

"Macam tu ajelah." Jawab Tutty lemah.

"Teruk kan dia. Taulah tak suka suami tu kenapa nak ikut pakwe lain. Kan dah accident. Itu pun tak insaf. Sibuk jugak nak mintak cerai. Mujur koma kejap aje. Kalau..." Hana tidak jadi sambung ayatnya melihat muka kurang senang Tutty. Kata mama Kak Marlia amnesia sekejap.

"Itu takdir dia. Salah dia dengan suami dia itu pun urusan dia. Kita jaga kain kita sendiri jangan sampai koyak."

Hana garu kepalanya. Terlampau jauh dia menyibuk. Dia tahu Tutty agak rapat dengan Kak Marlia. Boleh pula dia mengutuk.

"Suami yang dibenci Kak Marlia tak handsome sangat ke?" tanya Hana.

"Saya pun tak tau. Sampai sekarang tak pernah jumpa. Masa dia kahwin kan saya balik kampung. Mak saya sakit."

"Ha... lupalah."

"Okey makwe. Saya mahu masuk dulu. Mahu solat Asar. Makwe sudah solat."

Hana geleng kepala dengan sengihan terukir. Dia terlupa untuk solat padahal baru tadi mama komplen. "Tutty masuk dulu solat. Kejap lagi saya solat."

Tutty hadiahkan senyuman sebelum berpaling dan kembali ke unitnya. Dia mengeluarkan kunci untuk membuka pintu rumah sebelum masuk. Sebelum itu sempat lagi dia memberi isyarat kepada Hana. Bibir dijuihkan menunjukkan sesuatu.

Hana berpaling melihat arah yang ditunjukkan Tutty. Serta-merta bibirnya kuntumkan senyuman. Wazif sedang berbasikal menuju ke arahnya. Mata memerhatikan lelaki itu turun dari basikal. Lelaki itu sandarkan sahaja basikal ke dinding rumah.

"Hai Wazif. Saya rindu awaklah."

"Maaf saya tak rindu pun. Tepi sikit saya nak masuk."

Hana tidak mahu beranjak dari pintu. Sebaliknya dia depakan tangan menghalang Wazif dari masuk. Mata dikelip-kelipkan menggoda lelaki itu.

"Cik Hana. Saya nak solat ni. Tolong jangan buat saya lambat solat." Wazif bersuara lembut.

"Satu syarat." Kepala Hana terfikirkan sesuatu.

"Syarat apa?"

"Saya nak jadi makmum awak."

"No!" Laju sahaja Wazif menjawab.

"Alah bolehlah."

"Tolong tepi Cik Hana. Jangan sampai saya guna kekerasan." Ugut Wazif. Dia terpaksa berbuat begitu kerana kedegilan Hana.

"Saya tak kisah awak guna kekerasan ke apa. Asalkan saya dapat jadi makmun awak." Hana tetap dengan kehendaknya. "Kalau boleh makmum halal."

"Cik Hana tau tak perangai cik ni bukan buat saya suka tapi buat saya tambah benci. Jangan kata nak tambat hati saya, cuit sikit pun takde."

Hana turunkan tangan. Dia tunduk. Wajahnya menunjukkan riak muram. Sampai hati Wazif bencikan dia.

"Awak tau tak. Saya tak akan putus asa. Saya akan dapatkan awak. Kali ni saya lepaskan awak. Babai bread butter puding." Hana selamba sahaja mengelus pipi Wazif sebelum dia beredar dari situ.

"Orang tak betul memang macam ni ke?" Wazif membuka kunci mangga gril rumahnya. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top