BAB 4

"Cik Hana okey ke? Dengar suara saya tak?"

Hana menoleh ke arah suara itu. Sorang lelaki kacak memakai kot doktor. Dia sentuh kepalanya yang masih lagi berdenyut. Dahi dikerutkan tanda sakit teramat sangat. Perlahan dia bangkit dari baringnya.

"Hana. Hana tak apa-apa sayang."

Hana terdengar suara mamanya. Tiba-tiba dia terasa tubuhnya dipeluk. Mamanya menangis sambil memeluk dia. Di pintu papa berdiri dengan senyuman. Pelik pula melihat mamanya menangis bagai nak rak.

"Mama. Hana sakit kepala sikit aje. Mama nangis macam Hana ni dah koma setahun." Hana membatulkan duduknya.

"Mama risau sayang." Datin Maznah meleraikan pelukannya. Air mata dikesat dengan jari. Hampir gugur jantungnya apabila mendapat berita Hana pengsan. Sekarang dia merasa lega melihat Hana tidak apa-apa.

"Hana mungkin penat sangat sebab tu pengsan."

Hana pandang lelaki tadi. "Awak siapa?"

"Saya Doktor Riaz. Doktor Hana... doktor peribadi keluarga ni?" Doktor itu menjawab pertanyaan Hana. Matanya mencari mata Wazif.

"Doktor Hanif mana?"

"Sayang.... Doktor Riaz ni anak Doktor Hanif. Dia jadi doktor kita sekarang. Doktor Hanif kan dah tua. Nak kena berehat. Hana lupa ke?" Terang Datin Maznah.

Hana hanya mengangguk. Mungkin betul kata mama dia terlupa yang Doktor Hanif sudah bersara. Kali terakhir dia bertemu doktor peribadi keluarga mereka sebelum bertolak ke Jepun untuk melanjutkan pelajaran. Dia tiba-tiba rindukan Doktor Hanif.

Matanya memerhatikan Doktor Riaz lama. Agak kacak juga. Rupa lebih seiras Puan Khatijah, isteri Doktor Hanif. Lebih berwajah Cina. Lama dia memikirkan kata-kata Doktor Riaz tadi. Macam tidak logik pula. Apa pula yang dia penatkan. Semalam dia hanya berehat sahaja selepas keluar dari hospital. Begitu juga kelmarin.

Dia cuma luka ringan sahaja di siku tapi seminggu kena duduk hospital. Menjalani pelbagai rawatan. Mama dengan papa risau tak bertempat. Memang dia mahu mengamuk sahaja kalau bukan kerana dipujuk mama. Dan upah melancong ke Paris hujung tahun ini.

"Tadi Hana mimpi Wazif Amsyar." Hana tiba-tiba bersuara.

"Wazif Amsyar?" Datin Maznah kerut dahi.

"Wazif Amsyar anak Pak Rahmat. Driver kita dulu tu. Dia kan dah berhenti kerja dah balik kampung." Beritahu Hana. Mungkin mamanya sudah lupa. Sudah lima tahun Pak Rahmat berhenti kerja. "Mamakan yang bagitau Hana Pak Rahmat berhenti kerja lepas setahun Hana kat Jepun."

"Kenapa dengan dia?" tanya Datin Maznah lagi.

"Dia kan ketua pengawas sekolah Hana. Tadi Hana mimpi dia tengah baca doa kat perhimpunan. Masa tu Hana borak dengan Tina. Hana cakap kat Tina yang Hana nak paksa Pak Rahmat jadikan Hana menantu dia. Hana nak kahwin dengan Wazif Amsyar." Hana bercerita sambil tersengih-sengih. Dia seolah-olah terlupa ada dua orang lelaki asing bersama mereka. Boleh pula bercerita kisah lama.

"Hana ni buat malu mama aje." Datin Maznah menepuk bahu anak gadisnya. Usia mentah begitu sudah berfikir tentang kahwin.

"Kenapa Hana tiba-tiba ingat dia? Hana kenal dia tak?" tanya Doktor Riaz penuh minat. Sekali lagi matanya memandang Wazif. Lelaki itu juga berminat dengan cerita Hana.

"Manalah saya nak kenal dia. Last jumpa pun sebelum dia STPM. Masa saya form one. Muka dia pun ingat-ingat lupa. Kalau fikir balik lebih sepuluh tahun kot. Dia pun tak pernah balik bila cuti. Tapi saya tau dia handsome." Jawab Hana. Secara automatik dia terpandang Wazif berdiri di sebelah Doktor Riaz.

"Semua sebab dia." Hana menunjuk ke arah Wazif. "Sebab nama dia Wazif saya teringat Wazif Amsyar. Sebab tukang kebun mama tu."

"Tukang kebun?" Sekali lagi Datin Maznah kerut dahi. Dia terus menoleh ke arah Wazif. Lelaki itu kelihatan serba salah.

"Maaf saya keluar dulu banyak kerja lagi." Wazif segera berlalu keluar dari situ. Datuk Hasrul mengekori Wazif keluar.

"Lari pulak dia...hei janganlah lari." Hana hanya mampu memandang pintu. Kalau mama dengan Doktor Riaz tiada memang dia sudah kejar lelaki itu.

"Mungkin sebab nama sama itu yang Hana teringat."

"Mungkin jugak." Hana mengiakan kata-kata Doktor Riaz. Memang dia teringat Wazif Amsyar hanya kerana tukang kebun itu. Sudah bertahun-tahun dia tidak sebut nama itu.

"Hana rehat dulu. Kalau ada apa-apa call saya terus. Kalau sakit apa pun call saya. Ini kad saya." Doktor Riaz menghulurkan kad namanya.

"Memang kebetulan saya tengah sakit ni doktor." Hana tersengih-sengih sambil membelek kad nama itu.

"Sakit... sakit apa?"

"Hati saya dah kena panahan cinta asmara. Hati saya tengah sakit angau." Ucap Hana tanpa segan silu. Dia tidak perdulikan pandangan muka mama yang pelik.

"Tukang kebun mama tu handsome sangat. Hana dah jatuh cinta pandang pertama kat dia."

Spontan jari Datin Maznah mencubit anaknya. Hana mengaduh sakit.

Doktor Riaz ketawa. "Kalau sakit kepala atau sakit sebab sakit saya boleh bantu. Sakit sebab cinta, saya tak boleh bantu. Good luck untuk cinta awak Cik Hana. Tukang kebun tu memang handsome. Kalau saya perempuan... pasti saya tak akal lepaskan dia."

"Hah... Betul tu. High five sikit doktor." Hana angkat tangan. Namun Doktor Riaz hanya menggeleng sambil mengangkat tangan tanda tidak mahu.

"Opps sorry doktor." Hana turunkan tangannya. Mungkin Doktor Riaz tidak mahu bersentuhan kerana mereka bukan muhrim.

"Takpe." Doktor Riaz tidak suka menyentuh pesakitnya sesuka hati. Dia hanya akan sentuh jika perlu sahaja dan semata-mata untuk rawatan.

"Tapi dia memang handsome kan. Kenapalah dia jadi tukang kebun."

Doktor Riaz senyum.

"Hana... jaga sikit kelakuan tu."

"Tak apalah datin. Gadis zaman sekarang suka cari jodoh sendiri. Hana tak ada apa-apa jadi saya balik klinik dulu."

"Babai doktor kacak." Hana lambai tangan. Doktor Riaz membalas lambaian gadis itu.

"Hana rehat dulu. Mama nak hantar Doktor Riaz keluar."

"Ok ma..." Hana baringkan tubuhnya dan tarik selimut. Dia menghantar mama dan Doktor Riaz keluar dari bilik dengan pandangan mata. Selepas ditinggal keseorangan Hana terfikir sesuatu.

"Tadi aku pengsan depan Wazif..." Hana kerutkan dahi. Selepas seketika matanya bersinar-sinar kerana teruja.

"Mesti aku terpeluk Wazif lepas tu dia peluk aku... lepas dia..." Hana melonjak keriangan. Membayangkan dia memeluk Wazif sahaja sudah teruja.

"Mesti dia yang angkat aku... gagahnya dia." Kepalanya membayangkan otot pejal lengan lelaki itu. Pasti tampak lebih perkasa semasa mencempung dia.

"Sayangnya aku pengsan. Tak dapat nak tengok dia. Tapi kalau aku tak pengsan tak adalah dia dukung aku... haish!" Hana ambil bantal dan tutup mukanya. Dia menjerit sekuat hati. Dia tidak tahu apa yang patut dirasakan sekarang. Seronok sebab dicempung oleh Wazif atau tidak.

"Uit anak dara."

Hana alihkan bantalnya. "Niza!"

"Hana!"

Terus Hana bangun dan memeluk sahabatnya itu. Sudah lama dia tidak bertemu Shaniza atau nama panggilannya Niza. Kali terakhir mereka bertemu semasa di Jepun. Mereka melanjutkan pelajaran ke negara matahari terbit itu bersama-sama tetapi di berlainan tempat.

"Bila kau balik?" tanya Hana sebaik sahaja melepaskan pelukannya.

"Balik?"

"Balik dari Australia lah. Kau kata nak melacong dulu lepas habis belajar. Lupa ke?"

"Oohh... baru je...." Niza garu kepala.

"Baruuu.... baru tadi ke? Kau tak jetleg ke babe?"

"Baru dua hari lepaslah. Kau ni... aku tak habis cakap lagi."

"Aku excited sangat jumpa kau. Tadi baru je aku borak dengan Tina. Sekarang kau pulak muncul. Seronoknya." Sekali lagi Hana peluk Niza. Dia sangat-sangat teruja melihat sahabatnya.

"Nanti kita buat mini reunion. Tak sabar nak lepak dengan korang." Ucap Hana sambil memeluk Niza erat.

"Ok..." Ringkas sahaja jawapan Niza.

"Babe kau ingat tak Wazif Amsyar... oh ya. Kau ada tak majalah sekolah kita masa form one?" tanya Hana sebaik sahaja dia leraikan pelukannya. Alang-alang sudah berjumpa dengan Niza baik dia tanya. Dia dengan Niza berlainan kelas semasa tingkatan satu.

"Wazif Amsyar? Majalah?" Niza kerut dahi.

"Head prefect kita masa form onelah. Takkan kau tak ingat." Hana rasa agak terkilan. Kenapa semua orang terlupakan Wazif Amsyar? Lelaki kacak begitu sepatutnya tidak mudah luput dari ingatan.

"Berbelas or berpuluh tahun babe. Kau fikir aku ada masa nak ingat? Pakwe Korea lagi handsome tau. Kau tau kan taste aku stok apek. Macam lelaki aku jumpa kat luar tadi. Dia doktor kan?"

"Doktor Riaz... dia memang handsome tapi bukan taste aku. Taste aku tukang kebun baru mama aku. Nama dia Wazif. Abang chocolate bar. Seksi babe." Kening Hana turun naik berkali-kali. Memang sejak dulu dia sukakan lelaki yang maskulin.

"Not my taste." Tiba-tiba telefon Niza berbunyi. Dia terus selongkar beg tangan dan keluarkan telefon bimbit. Ada pesanan WhatsApp baru masuk. Setelah membaca pesanan itu dia simpan kembali telefon.

"Babe aku kena balik dulu. Abang aku dah ajak balik. Dia ada hal pulak katanya."

"Alah cepatnya." Hana berlaga pipi dengan Niza. Tidak puas rasanya berborak hanya sekejap.

"Aku cuma nak singah kejap je. Nak hantar pendrive album gambar kita masa tengok konsert Exo tu." Niza menyerahkan pendrive kepada Hana.

"Eh... aku ada mintak ke?" Hana garu kepala. Bila pula dia mintak gambar mereka dari Niza. Gambar mereka masih selamat di dalam laptop dia.

"Bukan kau ke... Aku silap kot." Niza mengambil kembali pendrive dan simpan ke dalam beg. "Tina mintak kot."

"Kau ni belum apa-apa dah nyanyuk."

"My bad. Okey bye. See you next time." Niza terus bangun dan keluar dari bilik.

"Eh lajunya... kejar kereta api ke?" Hana geleng kepala. Sudahlah nyanyuk. Tergesa-gesa pula tinggalkan dia.

"Majalah..." Baru Hana teringat yang Niza tidak menjawab soalan dia berkaitan majalah sekolah tadi. Mungkin tiada rezekinya untuk melihat rupa Wazif Amsyar. Dia kembali baring dan pejamkan mata.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top