PROLOG


Trigger warning

Unstable marriage, suicide, self-harm, violence, defamation, grudge, past trauma, imperfect and toxic character.



Kau kata kau akan terbang...

Biarkan aku jatuh di sini.

Kau ajar aku berdendam,

Dan aku simpan sampai ke mati...


TIBA-TIBA saja aku rasa tak sedap hati. Entah kenapa sedangkan tadi aku sudah memaklumkan kepada ma dan pa yang aku akan membawa Farhan ke City One untuk membeli-belah pakaian harian anakku itu.

Aku melemparkan pandangan ke arah Farhan yang sedang khusyuk memilih mainan di satu sudut sambil mengeluh kecil. Kenapa dengan aku ni? Kenapa tiba-tiba hati jadi berdebar-debar begini? Kedua-dua tanganku juga terasa sejuk tanpa sebab. Tangan kugenggam dan kuletakkan ke atas dada untuk menenangkan perasaan yang sedang bercelaru. Melihat Farhan semakin jauh dari pandangan, cepat-cepat aku memanggilnya.

"Han, sini kejap sayang..."

Farhan masih juga leka dengan mainan yang ada di atas rak-rak di sudut hujung sana.

"Han, sudahlah tu. Mama tak nak beli lagi dah, minggu lepas kan dah beli kapal terbang tu?" Aku berjalan menuju ke arah Farhan sambil mengomel.

Anak ni bila sukakan sesuatu benda, tiap kali diajak pergi shopping mesti benda tu juga yang dia capai walaupun hampir 20 biji mainan kapal terbang ada di bilik tidur dia. Perangai sama saja dengan papa dia.

Ya Allah, kenapa tiba-tiba terfikir semula wajah lelaki itu dalam mindaku? Sudah berkali-kali aku mengingatkan diri sendiri agar tidak mengingati lelaki itu lagi. Lelaki yang membawa barah dalam keluargaku sehingga kami menderita dan jatuh tanpa rasa belas di hatinya!

"Han, mama dah cakap mama tak nak Han ambil benda ni lagi." Aku tarik tangan kecil Farhan, marah apabila Farhan mula menarik muka sambil memeluk replika kapal terbang di dalam plastik.

"Han nak yang ni jugak. Han tak nak yang lain," balas Farhan tegas. Aku menggeleng kepala berkali-kali sambil menarik kapal terbang itu dan meletakkan di tempatnya semula. Segera aku tarik bahu Farhan bila dia mula menggapai ingin mengambil semula kapal terbang tersebut.

"Han tak boleh dengar cakap mama ke, sayang? Kan mama dah belikan hari tu. Kalau Han degil jugak nanti esok-esok mama tak nak bawak Han pergi shopping tahu!" ucapku separuh mengugutnya. Hanya itu aje satu-satunya cara untuk Farhan menjauhi kapal terbang.

"Mama tak sayang Han?" Dia tenung dalam ke mataku. Aku balas tenungan dia lembut. Mata anak ini agak sepet, kelopak matanya agak nipis membuatkan renungan Farhan agak berbeza daripada orang kebanyakan.

Kadang-kadang pandangan mata Farhan menyamai dengan renungan papanya. Sangat tajam sehingga membuatkan orang lain terpaku apatah lagi ketika Farhan sedang marah. Mata yang juga membawa kesan di hati apabila dia mula menangis dan sakit.

"Mama sayang Han tapi mama tak nak kapal terbang lagi. Bilik Han dah penuh dengan kapal terbang, sayang." Aku cuba memujuk,

"Han nak kapal terbang. Han nak terbang sebab nak cari papa..."

Aku terkesima mendengar kata-kata yang keluar dari bibir Farhan. Bibirku terasa digam, tidak mampu mengungkapkan sepatah kata walaupun jauh di sudut hati ingin saja kukatakan kepada Farhan supaya melupakan insan yang telah melukai perasaan ramai orang. Papa dia bukan orang yang baik. Dia bukan lelaki yang mampu menjaga Farhan dan dia tidak akan mampu untuk menyayangi kami berdua sampai bila-bila.

"Han, papa Han dah tak ada. Han dah lupa?" Aku tanya dengan suara yang bergetar. Menyembunyikan perasaan sebak yang merasuk ke dalam jiwa secara tiba-tiba.

"Orang lain ada papa!" Farhan menolak tanganku dan berlari menjauhiku. Aku mula panik melihat Farhan yang tiba-tiba menuju ke arah pintu keluar masuk kedai. Risau andainya dia menghilang daripada pandanganku tetapi belum sempat aku mengejar, Farhan berlari ke arah lain pula.

"Han!" panggilku geram. Sejak akhir-akhir ini tingkah Farhan sering saja membuat aku jadi hilang sabar.

Aku bergegas mencarinya di rak yang berdekatan tetapi Farhan sudah pun berlari ke arah gantungan tempat pakaian orang dewasa.

"Han! Berhenti!"

Farhan berhenti berlari dan menoleh ke arahku di antara gantungan baju yang ada di situ. Cepat-cepat aku menuju ke arahnya dengan wajah yang sengaja digarangkan.

"Han tak nak dengar cakap mama, lepas ni tak boleh ikut mama shopping lagi!" Aku marah dia. Farhan terpinga-pinga memandang wajahku sambil berundur dua langkah apabila aku sudah berada di hadapannya.

"Degil Farhan ni. Sama dengan papa dia!" marahku lagi tanpa menyedari berpasang-pasang mata melemparkan pandangan ke arah kami berdua. Tidak sedar juga akan apa yang telah meniti di bibir setelah lama dulu aku sendiri yang beria-ia mengisytiharkan lelaki itu mati dari hatiku.

"Han nak sangat kapal terbang tu, kan? Mama belikan tapi mama tak akan bawak Han shopping lagi." Aku mencapai tangan Farhan agak kasar namun langkahku terhenti apabila terhalang oleh satu tubuh. Aku mendongak mencari wajah lelaki yang berani menghalang laluan kami dengan hati yang panas.

"Rian..."

Namaku disebut perlahan. Aku termangu beberapa saat sebelum berundur beberapa langkah. Terkejut bercampur takut menjadi satu. Tangan kecil Farhan kugenggam kuat sehingga anak itu menyeringai kesakitan.

"Long time no see..." sambung lelaki itu sambil mengukir senyuman segaris. Senyuman yang mampu membunuh jiwaku bila-bila masa yang dia mahu. Senyuman yang mampu menggegarkan dadaku kerana senyuman itu yang dulu pernah menghantuiku!

"A... Abang?" luahku tersekat-sekat. Inikah sebabnya mengapa jantungku terasa berdebar-debar dari tadi? Mata jatuh ke wajah lelaki yang amat lama tidak kupandang. Perasaan terkejut dan takut menjadi satu di dalam jiwa ini.

"Rian Aulia, so this is... Farhan, my one and only son?"

"Don't touch him." Aku telan air liur kelat. Menggigil tubuhku melihat dia menghampiri Farhan yang sedaya upaya aku tarik ke belakang tubuhku.

Melihat aku tegang, lelaki itu melemparkan tenungan sinisnya kepadaku. Mata yang sama dengan Farhan tetapi mata ini merenungku dengan tenungan penuh dendam, bukan seperti tenungan marah Farhan.

"Why are you doing this, Rian? Because I'm his father?"

Lelaki itu menghampiri wajahku dan menyentuh pipiku dengan kasar. "Bukan! Abang bukan papa Farhan, bukan untuk selama-lamanya!" Aku jerit sambil menolak tubuh lelaki itu kuat. Terasa seluruh urat sarafku dikerat-kerat melihat wajah kurang ajar lelaki itu.

Lelaki itu tertawa lepas sebelum menghampiriku, mendekati wajahku semula dan berbisik perlahan, "Abang cari Rian empat tahun. Empat tahun Rian tinggalkan abang tanpa jejak. Sebagai hukumannya abang nak Farhan," ucap lelaki itu sinis.

Berderau darahku mendengar permintaannya. Sesak rasanya dadaku saat ini. Air mata yang bertakung hampir-hampir jatuh ke pipi dan rasa benciku kepadanya semakin memuncak tinggi. Tidak mungkin untuk aku membiarkan dia merampas Farhan daripada sisiku. Tak mungkin sama sekali!

"Hai Farhan. Nama uncle, Adif. Farhan nak apa, biar uncle belikan." Lelaki itu langsung tidak menghiraukanku, sebaliknya dia tunduk, tersenyum mesra kepada Farhan yang sedang tercengang-cengang. Sangat yakin Farhan itu anaknya.

Aku menahan gelora yang menghempas jiwa melihat pertemuan Farhan bersama papanya buat kali pertama. Papa yang pernah menghancurkan hati mamanya sehingga jatuh berkecai tanpa sempat meniti janji-janji lama yang pernah dia ungkapkan dulu.

Dan benci itu semakin menyala di hati tatkala Farhan mencapai pipi Adif dengan wajah yang sarat dengan pertanyaan. Aku tahan nafas yang menyesak sambil menarik Farhan menjauh daripada Adif.

"Don't touch him!" Aku terjerit kecil. Wajah lelaki itu berubah serta-merta sambil merenung diriku dengan tajam. Aku menelan air liur berkali-kali sebelum mengundur beberapa langkah, menjauh daripada lelaki itu.

"Don't hurt him..." ucapku perlahan. Mataku terarah lurus ke anak mata milik lelaki itu. Lelaki yang pernah menjadikan hidupku huru-hara seperti layang-layang putus talinya. "...like what you did to me."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top