BAB 9
HABIS kisah aku dengan Adif yang tak berpenghujung malam tadi, hari ni aku sibuk dengan kehadiran pasangan bakal pengantin. Langsung tiada masa untuk memikir hal Ahmad Adif Rayqal yang memberikan aku silent treatment.
"I want this one!"
"No... no... Bo, I don't want you wearing this."
Dia gelar bakal isteri dia tu, Bo. Aku menahan gelak yang nak pecah dengan mimik muka yang serius.
"But it's beautiful, Carl. Tengok ni, ini sutera tahu. Silk!"
Lah, macamlah pakwe dia tu tak dapat beza kain silk dengan kain cotton, kan? Aku pun terkebil-kebil tak tahu hendak menyampuk part mana. Diam aje sudah.
"Ni kain ni melekat kat body you, tahu!"
"Tahulah tapi cantik sangat. I want to wear this one for our wedding. Please Carl..."
"I nak kahwin bukan nak buat you jadi bahan tontonan lelaki lain, Bo!"
Nah, dah keluar aura naga Carl. Seorang naga seorang singa, patutlah secocok sangat digandingkan bersama. Tapi tabiklah kat Carl sebab dia tak beri makwe dia tayang body padahal kalau lelaki lain, kebanyakannya lagi suka tunjuk badan awek dia orang yang hot-hot kalah Christina Aguilera.
"Please... please Carl... I nak jadi yang paling cantik malam tu. I tak nak kena gelakkan oleh girlfriend girlfriend you sebelum ni."
Lah rupanya Carl ni pun buaya darat, patutlah Bo beria-ia nak kelihatan super cantik. Tapi dengan badan dia yang ada 'spare tyre', boleh ke muat baju pengantin yang diperbuat daripada silk charmeuse? Memang silk charmeuse cantik, berkilau dan designnya pun superb macam nak sapu satu dewan dengan kain yang terlebih di bawah bahagian belakang tapi singkat di bahagian depan. Tapi kain ni juga kalau dipakai, sah melekat di kulit dan nampak segala lekuk. Kalau Bo ni yang pakai... erm... memang dia kurus kering tapi aku perhatikan perut dia tu agak sedikit terkedepan. Erm... macam tak molek je kan?
"You pilih ni, kita tak akan kahwin sampai bila-bila, Bo! You choose!" Sang lelaki sudah naik angin. Bo tarik muka merajuk dia dan aku pula siap garu kepala yang tak gatal. Ingatkan nak pilih pakaian tapi rupa-rupanya nak bergaduh dalam kedai aku pula.
"Berani you Carl!" Berair mata Bo menahan sebak. Aku pula yang pening kepala jadinya, menonton tayangan sebabak marah-marah manja dia orang berdua ni.
"Err... kalau encik tak suka potongan baju ni, apa kata kita lihat baju pengantin yang diperbuat daripada silk tafetta. Designnya agak sopan dan Muslimah." Hentam ajelah Rian. Rasa nak gelak pun ada ketika tengok muka Carl berubah apabila aku menyebut perkataan Muslimah tadi. Tapi aku maintain buat muka innocent baik punya walaupun tertera wajah bengang Carl dan Bo ni.
"Cuba encik dan cik lihat dulu designnya. Di atas simple dan bawah kembang, sesuai dengan cita rasa orang zaman sekarang kalau nak buat acara-acara potong kek."
Aku lihat wajah Bo mula tertarik dengan kata-kataku tadi. Dia membelek-belek kain yang aku tunjukkan sambil memandang wajah Carl. Tak jauh beza dengan silk charmeuse tadi cuma designnya yang bahagian bawah kain silk tafetta berpotongan kembang manakala silk charmeuse tadi singkat di bahagian depan manakala belakang kain bawahnya macam yang aku kata tadi, umpama nak sapu satu dewan pengantin!
Lagipun design silk tafetta agak tak mengikat perut Bo yang sedikit besar. Walaupun kalau dilihat memanglah silk charmeuse lebih menyerlah berbanding daripada silk tafetta yang kelihatan berserat dan nipis. Tapi, kainnya lembut dan tidaklah seperti silk charmeuse yang melekat di badan. Memang patutlah Carl kata dia bukan nak jadikan isteri dia bahan tontonan lelaki lain.
"I think this one is a lot better for the ceremony."
Aku pun tersenyum lebar sambil mengangguk mengeyakan kata-kata Carl tadi. Bo diam aje sambil mengeluh dalam. Mesti dia nak guna juga silk charmeuse tadi. Kira okeylah daripada Carl suruh dia pilih kain organza penuh manik. Boleh pengsan Bo kepanasan masa bersanding agaknya. Bo bersetuju untuk mengambil baju pengantin berwarna hijau cair tersebut.
Lepas tu Carl pilih baju Melayu, katanya untuk akad nikah. Panjang muncung Bo sebab dia belum habis pilih bajunya dan Carl dah sibuk-sibuk cari baju Melayu. Aku rasa Bo ni memang jenis yang nakkan perhatian lebih.
"You know men nowadays. Lebih daripada perempuan cerewetnya." Keluhan Bo aku sahut dengan segaris senyuman. Ya ke dia ni? Aku tengok sama aje cerewet dia orang tadi.
"Kain ni pun cantiklah untuk akad nikah kita nanti. Nak?" kata Bo kepada Carl.
"Memang sesuai untuk akad nikah ni, cik." Aku terus mengangkat baju kurung berkain chiffon dan georgetta yang Bo acukan ke tubuhnya. Carl pandang sekilas sebelum mengacukan ibu jarinya, tanda setuju.
"Warna you kena pilih macam warna ni tahu. I tak nak you pakai baju Melayu warna lain."
Dekat dua jam aku menunggu dia orang 'bergaduh' memilih kain. Nasib baik tak secerewet mak datin kawan ma yang datang beli kain untuk menantu dia. Bukan kahwin pun, takat menghadirkan diri untuk dinner company siap pakai kain macam orang nak bernikah.
"Kalau nak cari pakwe kena cari yang macam I ni, Rian." Sempat Carl berpesan sebelum Bo angkat tangan mencubit Carl dengan kuat. Aku hanya tertawa melihat betapa Carl tak sudah-sudah mengusik Bo. Kasihan pula aku lihat tapi di sudut lain aku nampak mereka sebagai pasangan yang ideal.
"I will Carl," ucapku membalas usikan Carl. Carl mengangkat kening bangga sambil memegang tangan Bo erat. Walaupun Bo sudah buat muncung itik, Carl masih tak lepas-lepas tertawa.
"You kalau jumpa lelaki macam Carl, sila bagi penyepak okey? Menyakitkan hati tak sudah-sudah!" Bo mengambil baju-bajunya di atas meja sebelum menyerahkan kepada Carl.
"But you love him," ujarku sambil mengangkat bahu.
"Are you kidding, Bo? Of course she loves me, Rian." Carl menjawab pantas. Tampak mesra menyentuh ubun-ubun Bo di hadapanku. Aku hanya mampu tersengih tanpa kata.
Menghilang sahaja pasangan bahagia itu dari depan mata, aku menghela nafas lega. Segera aku mengemaskan baju-baju yang masih belum beratur di atas gantungan. Selesai sahaja aku mengemaskan baju-baju itu dan membetulkan pin-pin yang berada di baju patung peraga, aku terus bercekak pinggang selesa.
Mendengar pintu butik dibuka aku menghela nafas lega. Gantian kau Khai! Tiga jam Khai pergi ambil stok membiarkan aku seorang terkial-kial di dalam butik. Aku rasa dia bukan mengambil stok tapi sedang jahit baju pengantin di kilang agaknya!
"Khai, are you there?" soalku apabila tidak mendengar suara Khairi menegur. Pin aku sematkan berhati-hati di atas lipatan leher supaya lebih kukuh dan tidak terburai. Tubuhku berpaling ketika mendengar suara dehaman lelaki dan aku terus tersentak melihat Adif sedang berdiri berhadapan denganku.
"Saya bukan Khai."
"Err..." Kelu lidahku sebentar mendengar kata-kata lelaki itu. Dia nampak segak dengan sut kerjanya.
"Saya tahu awak bukan Khai," ucapku perlahan. Aku menghela nafas dalam menghilangkan rasa cuak di dada.
"Awak datang, Adif," sapaku lambat-lambat. Adif memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar.
"Awak mengharap kedatangan saya?"Adif menduga barangkali. Aku mengangkat bahu.
"Awak dah lama tak contact saya, Adif. Jadi untuk apa saya meletakkan harapan." Aku balas berterus-terang sambil tersenyum kecil. Adif menghela nafas dalam-dalam.
"Saya takut ternampak adegan lain pula kalau melawat ke sini lagi."
Dalam suara dia yang perlahan, aku rasa cukup tersindir sangat-sangat. Aku mengetap bibir dan kembali membelakanginya. Mengambil air minuman di dalam botol sebelum menghadap Adif semula.
"Yang awak lihat tempoh hari tu, dia abang sepupu saya."
"Rapat sangat ke?"
Aku mengangguk.
"Saya ingatkan kekasih," ucap Adif bersahaja. Aku menghalakan pandangan ke arah lain sebelum menggumam kecil. "Dia ingat awak kekasih saya," ucapku tanpa sedar.
"Oh, jadi kami berdua ni sama nasiblah ya?"
Aku mengerut dahi tidak faham. "Apa dia?"
"Tak ada apalah." Adif tersenyum kecil. Aku tiba-tiba jadi gelisah apabila tiada topik yang hendak dibualkan.
"So, how's life?"
"Biasa aje." Aku menjawab.
"Papa Rian tak kata apa-apa ke?"
Aku memandang wajahnya semula. "Tentang apa?"
"Tentang awak dan saya."
"Maksud awak?"
"Hala tuju hidup kita. Yang dia nak saya jadi menantu keluarga dia."
Wajahku berubah merah serta-merta. "Dia cakap macam tu?"
"Dia tak cakap secara terus-terang tapi saya tahu maksud kiasan Encik Idris tu, Rian. Saya ada fikir juga perkara tu tapi bila tengok awak dan lelaki hari tu mesra sangat, saya fikir tak ada sebab untuk saya pertimbangkan hal itu, bukan?"
Aku mengetap bibir. "Kalau awak rasa macam tu saya tak boleh buat apa."
Lepas tu aku senyap balik. Kalau bukan berjodoh dengannya, tak mengapa juga. Asalkan aku tak malukan nama ma dan pa, sudahlah. Tak perlu rasa rugi sebab dalam dunia ni bukan Adif seorang sahaja lelaki.
Adif merenung diriku lagi. "Awak ni memang jenis yang terbuka dengan semua orang ke?"
Aku tersentak dalam. Terbuka? "Maksud awak?" Bersama mataku yang tajam menentang matanya.
"Maksud saya dengan semua lelaki."
Aku dah mula faham dengan apa yang dia cuba katakan. Terhiris hati ini mendengar penghinaan Adif.
"Get out Adif." Suaraku, walaupun kecil tapi tidak bernada apa-apa lagi. Mata kupaku dalam ke pandangannya.
"Rian..." Adif terpaku melihat diriku.
"Get out!" Air mata menitik di pipi, cepat-cepat aku sekat dengan belakang tangan. Ya Allah! Kenapalah aku jadi sensitif tiba-tiba ni?
Adif merenung wajahku lama. Redup renungan wajahnya seakan-akan cuba untuk membaca fikiranku.
"I'm sorry, Rian." Air mukanya yang kelihatan bersalah tidak mampu menenangkan perasaanku setelah dia menuduhku sejauh itu.
"Just get out!" Aku palingkan wajahku daripada menghadap mukanya. Jujur aku benci apabila Adif mengumpamakan diriku seperti aku ini wanita yang tidak punya maruah dan harga diri.
"Saya minta maaf. Saya terlanjur kata. Saya tak bermaksud jahat, Rian."
"Dah la Adif, saya tahu saya tak la bagus sangat tapi saya tak suka kalau orang anggap saya murah."
"Maaf, saya terlepas cakap yang bukan-bukan. Saya tahu awak bukan perempuan murah."
"Jangan sebab saya baik dengan awak, keluarga saya baik dengan awak, awak boleh pandang rendah pada saya." Aku kembali tatap mata dia.
Berubah wajah Adif mendengar kata-kataku. "Rian..."
"Mulai hari ni kita dah tak ada apa-apa. Tak perlu datang ke sini atau datang ke rumah saya sebab saya tahu awak bukannya ikhlas pun jumpa dengan saya."
Adif menghadapi diriku dengan lebih dekat malah tidak disangka-sangka dia menarik lenganku sehingga aku terdorong ke meja. Kedudukan kami hanya dipisahkan dengan meja sahaja. Kalau tak ada meja tu aku rasa aku dah masuk ke dalam pelukannya. Air liur rasa tak tertelan di kerongkong.
"Lepaslah, saya tak ingin pun awak. Jadi tak perlu menghakimi saya! Awak tu setakat pekerja pa saya aje!" Kerana terperanjat dengan tindakannya, tiba-tiba sahaja mulut ini jadi kurang ajar.
Adif cepat-cepat melepaskan tanganku dari pegangannya mungkin kerana terkejut dengan perkataan bodoh yang baru aje keluar dari mulut aku.
"Saya minta maaf, tak berniat nak bertindak kasar kat awak. Semuanya di luar kawalan saya."
Aku bekukan diri kerana terkejut juga dengan apa yang telah terjadi antara kami.
"Kalau saya cakap saya cintakan awak, belum tentu lagi awak percayakan saya." Tiba-tiba Adif membuat pengakuan.
"Saya dah bincang dengan papa awak yang saya akan hantar rombongan meminang awak minggu depan. Saya harap awak terima. Maafkan saya dah buat awak menangis, Rian."
Spontan tanganku menyentuh pipi membuang sisa air mata yang tertinggal. Rasa menyesal kerana terlalu mengikut perasaan sehingga membiarkan Adif menyaksikan aku menitiskan air mata buat julung-julung kalinya.
"Saya cuma menduga hati awak sebab saya rasa awak masih ada hati dengan lelaki yang bersama dengan awak hari tu. Kalau awak betul-betul sayangkan dia tak ada sebab saya nak teruskan semua ni tetapi saya tak nampak lagi cara lain, Rian. Sebab saya betul-betul ikhlas nak mengikat hati awak. Tentang kata-kata saya tadi tu saya betul-betul minta maaf. Tak terlintas langsung untuk merendahkan maruah awak."
"Awak terpaksa meminang saya, kan? Sebab pangkat atau sebab harta?" soalku sinis menyindir.
Wajah Adif berubah serta-merta.
"Jaga kata-kata awak, Rian! Takut nanti awak sendiri yang bakal terluka."
Pertama kalinya aku melihat dia naik darah di depanku sebelum dia melangkah kaki keluar dari Butik Puteri. Memang patut pun dia rasa tercabar. Sepatutnya awal-awal lagi dia sedar siapa Rian Aulia. Sepatutnya dia tahu aku bukan gadis sembarangan seperti sesetengah yang ada di luar sana.
"Bagaimana rasanya bila orang tuduh kita dengan perkara yang kita tak pernah buat? Sakitkan? Itu perasaan saya tadi." Aku menguatkan suara sementelah dia belum menghilang dari pandangan mata. Aku amat pasti Adif mendengar dan aku harap itu jadi pengajaran buat dirinya.
Aku tak tahu sejauh mana seriusnya Adif untuk melamarku sebagai isteri seperti yang dia katakan tadi. Common sense dia memang ke laut. Orang tengah marah tiba-tiba mengaku jatuh cinta. Bagaimana untuk aku percaya?
"Selama ni awak biasa-biasa aje. Endah tak endah, kaku tentang rasa..." gumamku melampiaskan rasa sakit dalam hati walau pun hanya seorang diri.
Tak tentu rasa dibuatnya hari ini...
"Kau terlalu emosional. Bulan merah nak mengambang ke? Rian... Rian... Kut ya pun emosi, jangan tunjuk taring kau awal-awal ke dia. Kalau dia takut memang hari ni hari terakhirlah kau jumpa dengan dia. Tapi kalau dia datang betul-betul hantar rombongan, kau terima ajelah. Itu tandanya dia betul-betul sukakan kau..."
Ucapan Nur selepas aku menceritakan kejadian itu sewaktu kami membuat video call pada malam harinya menyebabkan aku bertambah semakin keliru.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top