BAB 8


MENUNGGU Abang Afeeq berjam-jam di lapangan terbang tanpa buat apa-apa membuat aku sedikit penat. Hampir empat jam aku tercegat di lapangan terbang tapi dia tak juga muncul-muncul. Walhal kapal terbang dia landing sejak dua jam yang lepas. Aku datang terlebih awal ni sebab tak ada yang beritahu flight Abang Afeeq delay. Apa salahnya family dia WhatsApp aku beritahu flight delay, kan?

Tak tahu kenapa tiba-tiba Aunty Meera minta tolong aku untuk jemput anak bujang bertuahnya balik dari Australia. Sepatutnya mereka sekeluargalah yang menjemput Abang Afeeq, kenapa aku pula yang jadi kambing hitam? Lagi pun, grab car bersepah-sepah di KLIA ni. Tinggal tempah aje.

Setahu aku dah setahun lebih Abang Afeeq tak balik ke Malaysia, tak rindu ke dia orang ni? Kalau tak hati kayu, sah-sah hati batu! Abang Afeeq anak Aunty Meera dan Uncle Zafran, keluarga sebelah ma. Aunty Meera dan ma sepupu, jadi aku dan Abang Afeeq kira dua pupulah.

Ma mesej sama ada Afeeq Khalish dah sampai ke belum, jadi aku jawab dengan selambanya yang mamat tu sah-sah nak kena tinggal kat lapangan terbang. Dia buat apa lama-lama kat dalam tu? Ingat nak suruh dia pakai teksi ajelah, lagi mudah kerja. Buat penat aje aku memandu dekat sejam untuk sampai ke KLIA ni. Bertambah-tambah penat kerana sejak dari tadi menunggu di ruang international arrival hall.

"Hai Rian!"

Langkahku terhenti. Laju-laju aku toleh ke tepi dan nampak seorang lelaki sedang duduk santai bersilang kaki di kerusi, bersebelahan dengan tempat aku berdiri. Baru nak jalan, tiba-tiba dia muncul. Siap pakai mask lagi acah misteri. Memang aku tak perasan dia duduk di situ.

"Abang Afeeq!" Aku terus tegakkan kepala yang hampir nak berasap. Punya lama aku tunggu dia, rupa-rupanya dia duduk di situ entah berapa lama.

"Garangnya Rian..." Dia berdiri dan mendekati diriku. Spontan aku tercebik kecil. Menyampah pun ada, sakit hati pun ada, selebihnya gembira sebab dah lama tak nampak wajah nakal milik Abang Afeeq tu.

Kalau Tija ada mesti dia gusti sampai Abang Afeeq pecut lari. Teringat dulu-dulu waktu Tija tergila-gilakan Abang Afeeq. Tapi cerita tu dah lama, Tija dah ada bakal suami. Tak ada lah Abang Afeeq duk pening kepala cari alasan mengelak lagi. Yelah, selama ni dia anggap kami ni dah macam adik beradik dia aje. Sememangnya Abang Afeeq agak rapat denganku selain Tija.

"Punyalah lama Rian tunggu, dia boleh duduk-duduk kat sini tak tegur kita!" Aku luahkan rasa geramku kepadanya. Abang Afeeq tersengih sambil melirik jam di tangannya sekilas. Mask ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam tong sampah.

"Baru setengah jam Abang Afeeq duduk kat sini, tengok muka Rian yang makin ayu ni." Dia mengusik aku. Aku menjulingkan mata tanda malas nak layan rapuan Abang Afeeq yang tak habis-habis tu. Tak pernah aku terjumpa orang yang sengal macam Abang Afeeq ni. Da nampak aku sedang menunggu tapi dia pilih untuk duduk kat sini diam-diam sambil memerhatikan aku. Tak gila ke namanya tu?

"Jom balik, lama Aunty Meera tunggu Abang Afeeq balik."

"Abang Afeeq tak suruh pun mama tunggu. Abang Afeeq dah cakap kat mama nak bawa Rian jalan-jalan hari ni."

"Apa?" Aku kerutkan dahi tanda tidak faham. Abang Afeeq tersenyum sampai ke pipi.

"Rian temankan Abang Afeeq hari ni, boleh?" Dia tanya sambil menarik hujung baju lenganku. Aku tak sempat nak cakap apa-apa, terus terikut langkahnya. Di bibir asyik merapu-rapu sebab kena paksa macam ni oleh orang yang baru balik dari berkelana! Nasib baik dia baru balik jadi tak kesahlah walaupun aku ingat nak berehat je hujung minggu seperti ini.

"Abang Afeeq saja minta mama tak jemput sebab nak jalan-jalan dengan si cantik manis ni." Dia tersengih-sengih gatal. Aku pun jatuhkan rahang spontan.

"Abang Afeeq sakit otak ke apa?" ejekku sambil bergegas menuju ke kereta. Biar betul dia ni? Ingatkan Aunty Meera yang tak nak jemput dia, rupa-rupanya dia saja suruh Aunty Meera hantar aku untuk menjemput dirinya. Erm...Tapi tak apa la, kita orangkan sekeluarga...

Rasa tak sedap hati yang baru aje datang menyelinap aku lontarkan jauh-jauh. Aku ni adik dia aje, lagi pula Abang Afeeq ni kan dah ada makwe.

Masa aku masuk ke dalam kereta selepas memasukkan beg Abang Afeeq ke dalam bonet belakang, aku perasan seperti ada mata memerhati. Aku cuba mencari mata itu tapi tak jumpa-jumpa juga. Perasaan aku aje kut?

"Lepas ni kita ke shopping complex nak? Kita ke Time Square." Abang Afeeq selamba merampas kunci kereta dari tanganku. Aku bulatkan mata. Baru aje sampai ke Malaysia bukan nak balik jumpa family, tapi nak menjelajah ke shopping mall terus.

"Ma ada kat rumah la Abang Afeeq. Kita balik rumah aje la... Jom..." Aku dah separa merayu.

Tak sempat aku mengambil balik kunci kereta, dia dah duduk di tempat memandu. Nak tak nak, terpaksa juga aku duduk di sebelah dia dengan perasaan sebal. Kalau si Adif tu bossy, Abang Afeeq ni kira syok sendiri!

Apabila aje duduk di dalam kereta, Abang Afeeq mula menyanyi-nyanyi kecil lagu Hey There Delilah sambil melirik wajahku dengan ekor matanya.

"Time Square can't shine as bright as you, I swear it's true..."

Tersungging senyuman di hujung bibirku. Aku dah cukup dewasa untuk mengerti cara layanan dan renungan Abang Afeeq kepadaku. Tapi mungkin juga tafsiranku meleset jauh.

Ma pernah kata, jatuh hati dan mempunyai perasaan suka terhadap seseorang itu kerap berlaku pada sesiapa juga. Ia berada di mana-mana. Cuma aku harap tak akan jadi apa-apa antara kami. Sebab aku tak mahu ada hati yang kecewa nanti. Sikap romeo Abang Afeeq tak pernah menarik minatku. Andai jodoh yang mengikat kami, pasti sukar untuk aku terima hakikat itu.

AKU rasa Abang Afeeq dah banyak berubah. Dia dah tak macam dulu lagi. Apabila keluar berjalan dengannya aku tak rasa yang aku bersama dengan Abang Afeeq sebab dia layan aku dengan baik. Dulu selalu sangat mengenakan aku tapi sekarang ni dia tunjuk macho depan aku pula. Dia tak tahu agaknya aku betul-betul rasa tak selesa. Ke... selama ni aku tak sedar perangai Afeeq Khalish memang begitu?

Sejak balik dari Australia ni, hari-hari dia ke rumah kediaman kami sekeluarga. Ada aje aktiviti dia. Ajak aku tengok wayanglah, main bolinglah, karaokelah... yang penting semuanya dia sponsor. Mungkin dia tersangat free tak ada kerja sehingga membuatkan dia tersangat rajin hendak mengganggu aku saban hari sampai aku tak sempat berfikir masalah lain.

"Afeeq tak datang hari ni?" soal ma ketika aku sedang duduk bersantai di tepi kolam. Sekali pintas aku lihat wajah ma sedang khusyuk menjahit manik-manik di lengan baju pengantin.

"Datang je. Kacau Rian kat kedai tadi sambil tolong sikit-sikit."

"Rajin pula dia tolong Rian kat kedai," komen ma tanpa nada. Aku jongketkan bahu tanda turut tidak tahu angin apa yang melanda Afeeq Khalish itu.

"Adif ada contact Rian?" soal ma beralih kepada Adif. Sekali lagi aku menjongket bahu. Ma melemparkan pandangan ke wajahku.

"Dia tak contact?" soal ma lagi meminta kepastian.

Aku diam tidak menjawab. Pertemuan kali terakhir, dia meminta aku menghubunginya. Kehadiran Abang Afeeq, ketiadaan Khairi di butik dan ajakan kahwinnya yang tiba-tiba sebenarnya buatku terkaku untuk menyentuh namanya di skrin telefon. Aku ternanti-nanti juga berita daripadanya, bila dia nak ke Sabah tapi dia senyap begitu aje. Nak tanya pa, aku segan.

"Kalau dia serius mesti dia contact Rian..." Ma cakap sambil buat muka sedang berfikir panjang. Senyuman terukir sedikit di bibirku.

"Ma suka kat dia?" Aku tanya sebab nak tahu kenapa ma beria-ia fasal lelaki seorang tu. Ma senyum kecil dan mengangkat keningnya sedikit.

"Rian tak suka?"

Wah! Jenis soalan apa ma lempar kepada aku ni? Kira soalan perangkap ke apa? Aku terus pandang ke arah lain, takut ma berjaya menghidu segala rentak hatiku saat ini.

"Ma, kalau boleh nak dia serius dengan Rian. Ma suka budak tu. Lagi cepat nikah lagi bagus sebab Rian pun dah sesuai umur menikah."

"Ma, tak cepat sangat ke ma fikir fasal nikah? Rian belum bersedia lagi la," ucapku separuh menggelabah.

Dari dulu kalau nak berbincang soal hati dan perasaan malah soal nikah kahwin ni, aku memang tak akan berbincang dengan ma. Dengan kawan-kawan baik aku pun, aku segan apatah lagi dengan ma dan pa.

"Rian malu tapi mahu kan?" usik ma sambil tersengih menampakkan barisan giginya. Aku terus menggeleng laju.

"Taklah..." Aku pandang ma semula. "Cuma Rian belum sedia kahwin lagi."

"Adif tak ajak kahwin?"

Err...

"Ma ingat dia dah ajak Rian kahwin?" sambung ma.

Ma ni macam tahu-tahu aje. Aku capai cawan air teh dan meneguknya lambat-lambat. "Dia ajak..." Terasa seluruh sarafku jadi kaku setelah mengeluarkan kenyataan itu.

Ma memandang wajahku penuh makna.

"Alhamdulillah..."

"Ma rasa dia serius ke?" Aku mahu pendapat ma.

"Hmmm... Rian tak rasa Adif serius ke? Sekarang yang penting hati Rian. Kalau Rian selesa dengan dia, apa salahnya?"

Ma... rintih jiwaku yang semakin libang-libu. "Dia macam serius. Tapi Rian susah nak percaya sebab benda ni berlaku tiba-tiba. Terlalu cepat ma... Rian tak siap proses perasaan dan hati sendiri," luahku dari sudut hati yang paling dalam. Betul sekarang aku mula tersentuh tetapi jika dikira-kira lamaran itu terlalu singkat bila dikenang pertemuan kami yang baru beberapa kali.

"Ma faham. Rian tak yakin pada Adif?"

"Err..." Aku pandang wajah ma sekilas.

Ma ketawa kecil. "Rian nak dia tapi Rian tak yakin dengan hati dia pada Rian ke?" Ma mengusik lagi.

"Ma ni... Janganlah cakap macam tu. Rian belum lagi terdesak sampai nak sangat kat dia tu." Rungutanku tergetus jua tatkala hati tersentuh kecil. Rian nak dia tapi Rian tak yakin dengan hati dia? Kut pun tak ada ayat lain tapi dengar ayat macam tu terasa aku tersangatlah desperate mahukan Adif.

Dengarlah ma, walaupun anak ma ni pemalu dan agak kurang bersosial tapi tidaklah sampai langsung tak laku di pasaran.

Adif tu pun satu, memang nak makan pelempang kut main-mainkan perasaan aku. Bila jumpa macam nak aje dengan aku ni tapi tak pernah ambil inisiatif untuk mendekati aku. Kalau tak nak cakap je la terus-terang, tak payah berdolak-dalih begini sampai membuat orang-orang di sekelilingku salah faham.

"Ma tak cakap Rian terdesak..." uji ma dengan tawa yang semakin berentak. Aku memuncungkan bibir tanda berjauh hati.

"Sekarang ni anak ma siapa? Rian ke Adif, cuba cakap?" Aku tarik muka masam kononnya sedang geram.

"Ma usik sikit pun dah merajuk. Rian... Rian... Tapi ma cakap kat Rian, ma suka kat Adif. Kalau Rian dan Adif menikah awal pun ma tak ada bantahan. Lagi ma suka sebab ma tengok Adif tu lelaki yang bertanggungjawab untuk anak ma. Lelaki kalau sudah bersungguh-sungguh tandanya dia serius. Ma terus teringat pa Rian bila tengok Adif. Dia orang sebiji je. Dulu pa Rian pun workaholic tapi bila jumpa ma dia punya kerja entah terbang ke mana, ma la orang yang paling dia puja." Ma cakap sambil tersenyum lebar.

Oh, itu sebabnya ma beria-ia nak kan aku dengan Ahmad Adif Rayqal. Sedikit sebanyak perasaanku jadi lega. Ingatkan dia sudah dapat menghidu perasaanku, tentang rasa yang aku ada untuk Adif.

Tapi betul ke Adif mirip pa? Kenapa aku tak rasa mirip pun?

ADA orang tu diberi cuti tapi dia cuti lebih daripada hari yang ditetapkan. Hendak dimarah tapi kasihan. Aku tak pasti apa masalah Khairi ni. Mengeluh sekejap sebab tak pernah aku kerja sorang-sorang macam ni. Kak Ha pun ma dah ambil balik untuk tolong di butik cawangan baharu tu sebab di sana dah mula sibuk dan ramai pelanggan.

"Apasal tayang muka empat belas sen?"

Aku terperanjat dengan teguran itu. Cepat-cepat menoleh ke belakang apabila aje bahuku menjadi sasaran tepukan insan bertuah seperti Afeeq Khalish.

"Tak reti bagi salam, ke?" soalku geram. Abang Afeeq tersengih lebar seperti tidak memahami gelodak hatiku yang sedang berapi saat ini.

"Garangnya. Marah siapa ni?" Abang Afeeq berlalu menjauhiku dan selamba mengambil tempat dudukku di kaunter pembayaran. Tangannya disilang ke belakang kepala lagak seperti bos besar.

"Marah Abang Afeeq la! Orang tengah elok-elok kemas stok dia pergi kejutkan pula," marahku walaupun suara sudah mula jatuh rendah. Abang Afeeq angkat keningnya seraya tersenyum kecil.

"Sebelum Abang Afeeq kejutkan Rian, Rian dah buat muka tau? Jangan tipulah..."

"Hah, pandai-pandai aje Abang Afeeq buat kesimpulan. Rian okey mana ada marah kat sesiapa."

"Rian ni sejak Abang Afeeq balik dari oversea, kuat marah-marah ya. Sejak bila Rian jadi pemarah, cuba cerita pada abang."

Aku mencebik kecil melihat Abang Afeeq seperti cuba menyebarkan aura mengayat dia tu. Bukan aku tak tahu lelaki seperti Abang Afeeq ni jenis bergantung handsome dan kaya dia aje untuk menebar sayap merata-rata bagai dunia dia yang punya. Tapi apabila dia tunjuk sikap romeo kat depan aku ni, agak-agak kalau aku rakam dan bagi kepada mak bapak dia, boleh dibuang ke Kemboja tak ya?

"Abang Afeeq balik dari luar negara perangai semakin hampeh dan miang tak agak-agak, kenapa ya?" soalku tanpa riak. Pecah tawa Abang Afeeq memenuhi satu ruangan kedai ini. Lama dia tertawa sehingga membuahkan senyuman kecil di hatiku.

"Rian nampak Abang Afeeq miang ke?"

"Lebih kuranglah..." jawabku memalingkan muka untuk menghadap semula patung yang sedang aku kemaskan saat ini.

"Abang Afeeq miang kat Rian sorang je..." Dia cakap dengan nada main-main.

"Hah! Gelilah!" Aku nak muntah dengar ayat pick up line buaya Malaysia tu. Ingatkan dah lama duduk oversea, perangai buaya Malaysia dah pupus!

"Yalah, Abang Afeeq kan belum ada buah hati, jadi pinjam kasih Rian Aulia tak boleh ke?" Dia menuju ke arahku lalu meletakkan dagunya ke bahuku tiba-tiba. Aku terkejut dan spontan menolak tubuh Abang Afeeq. Okey, ini gila! Gila pun tak macam ni!

Mendengar tawa Abang Afeeq untuk kali kedua tidak bisa menghilangkan gusar di hatiku. Aku memandang wajah Abang Afeeq penuh tanda tanya. Kenapa mesti dia lakukan benda-benda pelik macam ni kepada aku? Kenapa selalu sangat dia ke butik ma sejak akhir-akhir ini? Dia nak try test market dia kat aku bukan boleh dapat apa pun. Tolonglah, tolong jangan bermain api denganku sebab aku betul-betul tak boleh nak terima Abang Afeeq yang macam ni!

"Abang gurau je la..." Serentak itu dia mencubit kedua-dua belah pipiku sehingga menyebabkan aku menepis tangannya spontan.

Abang? Hilang mana Afeeqnya? Kalau dia suruh aku panggil dia abang je memang ke lautlah jawabnya. Malam ni juga aku buat report kat Aunty Meera!

"Tapi abang memang sayangkan Rian selama ni." Dia mengaku! Aku tercengang sebentar. Naik bulu roma apabila dia cakap macam tu.

"Abang Afeeq dah gila ke?" Aku memarahi dirinya. Abang Afeeq memandang wajahku dengan renungan seakan-akan cuba membaca hatiku. Janganlah jadi apa-apa dengan hati Abang Afeeq sebab aku takkan mampu bertanggungjawab. Abang Afeeq aku anggap seperti abang aku sendiri, tak kurang dan tak lebih.

"Assalamualaikum..."

Aku dan Abang Afeeq menoleh serentak ke pintu utama kedai. Saat itu aku rasa nak buat-buat pengsan terus sebab muka Adif walaupun bersahaja tapi benda ni yang paling aku takuti terjadi. Takut Adif nampak betapa rapatnya aku dengan Abang Afeeq. Dan aku tak sangka cepatnya masa dua minggu berlalu.

Cepat-cepat aku mengundur beberapa langkah menjauhi Abang Afeeq. Dan mungkin Abang Afeeq perasan dengan tingkahku, terus dia memandang wajah Adif dengan tajam. Merah wajahku menahan amarah dan malu yang menjadi satu.

"Mengganggu ke?" soal Adif melihat kami terpaku tanpa menjawab salamnya. Abang Afeeq menggaru kepala sebelum memandang wajahku.

"Kenalan Rian? Atau customer?" soal Abang Afeeq. Aku tunduk aje, tak ada hati nak menjawab.

"Saya pergi dulu. Rian nanti saya mesej awak." Adif cakap sebelum merenung tepat ke wajah Abang Afeeq. Abang Afeeq diam aje seolah-olah hilang dari realiti. Aku pula, terkaku lagi dengan olah bersahaja Ahmad Adif Rayqal!

Melihat Adif sudah pergi, Abang Afeeq memandang wajahku dalam-dalam.

"Pakwe?"

Aku diam aje sambil berpura-pura sibuk dengan kerjaku.

"Pakwe ke peminat?" tanya Abang Afeeq lagi, mencerlung ke wajahku.

"Bukanlah. Dah la, Abang Afeeq pergi balik jangan kacau Rian lagi."

"Rian tak suka Abang Afeeq datang?" Dia bertanya seolah-olah tersinggung dengan apa yang telah aku katakan.

"Bukan tak suka, mood Rian tak best hari ni. Esok-esok kalau Abang Afeeq datang kita keluarlah sama-sama. Tapi hari ni Rian nak duduk sorang-sorang," ucapku cuba mengambil hatinya.

"Kalau tak suka cakap je Rian, Abang Afeeq faham. Abang Afeeq tak tahu Rian dah ada buah hati, kalau tahu mesti tak kacau Rian."

Dan tiba-tiba aje Abang Afeeq keluar dari kedai tanpa memandang ke arahku lagi. Keluhan terlepas dari bibirku. Bukan kerana Abang Afeeq yang merajuk setelah berkali-kali aku beri layanan buruk, tapi fikiranku lebih jatuh kepada Adif. Adif menyaksikan apa yang terjadi antara kami, dia tak marah ke? Atau dia cemburu?

Aku ketuk dahi sendiri. Jangan nak perasanlah Rian oi. Dia akan mesej, bukan bermakna dia jatuh cinta. Ya, dia memang ada mengajak kahwin tapi... macam tak serius aje? Mungkin juga dia ajak aku kahwin sebab memang dia nak cari isteri. Tak bermakna dia jatuh cinta dalam masa sesingkat ini!

Selepas waktu tengah hari, barulah aku ada ruang untuk membuka telefon pintarku. Satu mesej daripada Adif aku baca di kotak whatsApp.

'I'm here.'

Apabila aku semak masa pesanan itu dihantar, . Maknanya sebelum dia singgah ke butik ni tadi. Dan maknanya juga, aku harus menyesal sebab tidak menyemak telefon bimbitku sejak pagi tadi.

Yang pasti malam itu aku jadi gelisah merenung mesej yang dihantar oleh Adif. Berkali-kali aku merenung mesej pada pagi tadi daripadanya. Janjinya mahu menghantar mesej kepadaku langsung tiada. Tak pasal-pasal muncul seribu tanda tanya dalam kepala.

Aku cuba call Adif tapi telefon dia tak berangkat. Tak tahulah dia marah atau sedang sibuk. Apabila kali ketiga dia tak juga angkat panggilan, aku ambil keputusan untuk biarkan aje perkara ni dulu. Kut-kut dia dah tidur, mana dia nak sedar aku telefon, kan?

Fasal Abang Afeeq, aku bersyukur sangat sebab dia dah sedar yang aku ni 'adik' dia. Dia hantar mesej, katanya minta maaf kepada aku dan aku balas, lupakan ajelah sebab benda yang jadi kadangkala di luar kawalan. Harap-harap dia tak terluka teruk. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top