BAB 5


SUDAH sebulan berlalu, Adif masih tidak menghubungiku. Tetapi, petang itu lintang pukang jadinya apabila ma tiba-tiba memberitahu yang Adif ada di bawah sewaktu aku sedang bersantai di atas katil. Baru hari ini dia munculkan diri, kenapa agaknya? Panik pun ada, resah pun ada. Aku tak biasa dengan kejutan sedemikian rupa malah tiba-tiba aje aku jadi menggelabah apabila menuruni anak tangga.

Punyalah cemas kerana aku ingatkan dia betul-betul datang ke rumah ni sebab ada hal dengan aku tapi melihat pa pun ada di ruang tamu tahulah aku yang dia datang sekadar hal kerja aje. Hampir-hampir aku melangkah naik semula ke tingkat atas sebelum ma panggil namaku.

"Hidang air ni kat depan." Ma suruh sambil tersenyum penuh makna. Ma berdiri di tepi meja makan sambil meletakkan cawan-cawan ke atas dulang.

"Dia datang untuk jumpa pa, ke ma?"

"Ada kerja sikit agaknya dengan pa."

Terus berubah air mukaku mendengar kata-kata ma.

"Habis, kenapa panggil Rian ke bawah ni?" soalku separuh berbisik.

"Nak minta Rian tolong ma hidang air untuk tetamulah." Ma jawab dengan nada selamba sambil mengisi air ke cawan-cawan kosong di atas dulang.

Aduhai ma... Kenapalah ma buat macam ni? Manalah aku nak letak muka aku ni menghadap Adif tu. Mungkin sampai sekarang ni ma dan pa nak jodohkan aku dengan Adif walhal sebenar-benarnya Adif sedikit pun tak berminat dengan diriku. Kalau dia berminat, mesti awal-awal lagi dia usaha nak berjumpa denganku. Tiba-tiba aku rasa menyesal turun ke tingkat bawah. Kalau tahu, awal-awal lagi aku bertapa aje di dalam bilik. Kecewa apabila terasa lelaki yang aku minati langsung tidak berminat tentang diriku.

"Bibik tak ada ke ma?" soalku perlahan. Ma terus tunjuk pintu dapur.

"Dia buat cucur kat dapur."

"Kenapa ma panggil Rian turun ke bawah tadi?" Aku menyoal ma semula sebelum melarikan anak mata ke wajah Adif yang sedang berbincang sesuatu dengan pa. Serius aje gayanya.

"Ma dah jawab, kan? Nak Rian tolong ma layan tetamu."

"Ma sendiri boleh buat, apa?" soalku agak beremosi. Ma pandang wajahku sekejap sebelum tersenyum kecil.

"Kan nak berkenalan? Ma panggil Rian ke bawah supaya dapat berjumpa dengan Adif," bisik ma dengan wajah yang bercahaya.

Alamak! Double bala dah ni. Kenapa dia orang buat aku macam aku ni desperate sangat nak dapat kekasih? Beria-ia sangat! Malulah ke Adif kalau lelaki tu tak berminat dengan aku tapi terpaksa memenuhi undangan pa kerana pa bos dia. Silap aku juga yang konon setuju dengan perjodohan ni.

"Ma please..." Keningku bertaut tanda tidak senang hati. Ma tarik tanganku dan menggelengkan kepalanya sedikit.

"Dia baiklah Rian. Ma suka dia." Bersungguh-sungguh ma cakap padaku. Ya Allah! Masa ni aku rasa nak melenyapkan diri dari bumi barang sejam dua.

"Ma dan pa suka dia tapi dia suka ke tak dengan Rian ni, ma? Rian tak ada pun mengharap apa-apa dari dia tu. Rian boleh cari sendiri calon suami sebab Rian tak nak jadi hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Kalau dia suka Rian mesti awal-awal lagi dia dah contact Rian, kan? Tapi tak ada, ma..." ucapku cuba menjelaskan. Terkilan sebenarnya ma tak faham dengan situasi yang membuat aku tersepit.

Ma mengeluh perlahan, kecewa mungkin kerana perjalanan jodoh aku dan Adif tidak selancar yang dia mahukan.

"Hantar je air ni kat depan. Anggap dia sebagai tetamu. Kalau Rian tak berkenan dekat Adif, tak apa lah. Tapi sekarang ni air kena hantar kat depan sebab ma nak tolong bibik kat dapur." Ma hulur dulang kepadaku. Lah... Aku cakap Adif tak suka aku, yang ma tiba-tiba pusing fakta kenapa? Aku mengeluh kecil.

Cepat-cepat aku menyambut dulang yang ma hulurkan walaupun di dalam hati sudah berbisik perkara-perkara yang tidak enak. Melihat semula ke arah pa dan Adif membuat darahku menyirap ke kepala. Adif perasan tak yang pa dan ma nakkan dia jadi menantu keluarga ni?

Janganlah tiba-tiba Adif kena kahwin paksa dengan aku, sudah... Sebab kalau aku nak, boleh aje aku minta daripada pa untuk membuat sesuatu yang membolehkan Adif menjadi suami aku sebab pa ada segala-galanya. Imaginasi aku dah seperti drama tv. Rasa nak tergelak pula membayangkan aku guna darjat dan kekayaan untuk kahwin dengan seorang lelaki.

Tapi aku ni tak adalah jahat mana pun sampai nak paksa orang kahwin dengan aku seperti dalam cerita drama TV Filipina.

Lagipun peringkat suka aku kepada Adif tak adalah sampai jatuh cinta sehingga membuatkan aku hilang pertimbangan akal waras dan fikiran. Jadi tak ada sebab kenapa aku perlu minta pertolongan dari ma dan pa untuk mendapatkan Ahmad Adif Rayqal.

Dengan langkah yang berat aku mendekati ruang hadapan. Lambat-lambat aku melangkah ke sisi pa dan terus menghidangkan air untuk mereka. Adif dan pa berhenti daripada perbincangan mereka sambil kedua-duanya memandang tingkahku seketika. Selepas aje aku hidang air, aku pun berdiri dan melemparkan senyuman kelat.

"Jemputlah minum," pelawaku sambil mengelak renungan mata Adif. Berpura-pura cool walhal dalam hati terlalu segan untuk berhadapan dengannya lebih-lebih lagi setelah mengetahui hasrat ma dan pa tadi. Belum apa-apa pun, pa dan ma dah plan benda mengarut sedangkan kami belum merancang apa-apa yang lebih jauh terutamanya untuk bertemu empat mata.

"Adif nak bawa Rian keluar lepas ni, Rian bersiaplah dulu."

"Ha?" Aku terkejut.

"Adif ajak Rian keluar makan, tengok wayang. Pergilah bersiap dulu, jangan kasi Adif tunggu lama," jawab pa bersahaja. Aku terkebil-kebil seketika sebelum melemparkan pandangan ke wajah tenang Adif. Mamat mata sepet ni betul ke dia nak keluar dengan aku? Entah-entah pa paksa dia tak? Adif tunjuk muka tiada perasaan sambil mengambil cawan yang berisi air teh di atas meja.

"Nak keluar ke mana?" Aku bukannya menyoal sesiapa tapi lebih kepada menggumam kepada diri sendiri.

"Keluar makan," jawab Adif bersahaja. Terasa diriku semakin tidak disukai olehnya.

Aku pandang wajah pa penuh tanda tanya. Kalau betul Adif terpaksa keluar denganku baik kita orang tak payah keluar langsung.

"Rian siaplah dulu."

Arahan pa itu membuatkan diriku jadi serba salah. Akhirnya aku melangkah juga ke tingkat atas untuk bersiap-siap ala kadar.

Aku mengenakan blaus berwarna hitam dan seluar slek dipadankan dengan tudung yang juga berwarna hitam. Tiada semangat hendak bergaya kerana tiba-tiba aje aku rasa yang aku pun terpaksa keluar dengan dia.

Pinggan tak retak nasi tak dingin, orang tak hendak aku pun tak ingin. Wajah beku Adif bermain-main di ruang mataku sehingga membuatkan diriku sesak nafas untuk seketika.

"ADIF tunggu kat luar tu," ujar ma sebaik sahaja nampak aku turun dari anak tangga. Pa melemparkan pandangan ke arahku sebelum menyambung semula bacaannya.

"Kenapa guna black dress pula ni Rian, gunalah baju yang ceria-ceria sikit. Sakit mata pa tengok Rian pakai baju hitam satu badan."

Aku menghampiri pa dan menyalami tangannya sambil tersengih panjang. Elok apa black code. Sepadan dengan menantu pilihan pa apa...

"Baju ni pun okey apa, menutup aurat," balasku sejurus menyalami tangan pa.

"Jalan baik-baik," pesan ma pula apabila aku menghampirinya. Tangan ma aku capai dan cium sebelum tersengih kecil.

"Ma, kalau Adif tak suka Rian jangan paksa-paksa dia datang sini boleh tak?" pintaku lembut. Riak wajah ma berubah sedikit sebelum bertukar pandangan dengan pa.

"Yalah-yalah..." ucap ma dengan nada memujuk.

"Mana pula ma paksa dia datang sini. Dia sendiri yang nak datang sini," ujar pa lalu melipat surat khabar di tangannya. Aku terkedu beberapa saat sebelum memandang kembali wajah ma. Tiba-tiba aje terasa bersalah kerana sedikit sebanyak kata-kata aku tadi bertujuan untuk meluahkan rasa tidak puas hatiku terhadap tindakan mereka.

"Adif datang sini bukan sebab pa suruh ke?" tanyaku teragak-agak.

"Dia datang sini nak minta izin bawa Rian keluar. Kebetulan ada pa, terus dia buka kes baharu untuk diselesaikan. Rian jangan fikir ma dan pa paksa dia untuk terima Rian. Kalau dia terima Rian, pa bersyukur sebab dia lelaki yang baik tapi kalau dia tak terima, itu pilihan dia. Pa tahu Rian sukakan Adif, kan?"

Aku menjegilkan mata. Terkejut dengan fakta yang keluar dari bibir pa. Malu terasa apabila pa main serkap jarang menangkap perasaanku ini.

"Eh, mana ada Rian suka dia!" Bersungguh-sungguh aku menafikan kata-kata pa tadi. Sungguh aku malu! Kalau difikir memanglah aku tiada perasaan kepada Adif dengan lebih mendalam lebih-lebih lagi kami tidak pernah berkenalan rapat. Kalau pun aku letakkan sedikit harapan kepada Adif, itu pun sebab Adif boleh dikira sebagai lelaki yang cukup syarat untuk dijadikan suami, terutama penampilan Adif yang kacak dan terpelajar.

Tapi sekadar tertarik sedikit itu aje pa sudah menganggap anak dia ni suka tahap hampir cinta kepada Adif pula dah. Melihat pa tersenyum kecil, semakin membuat hatiku bertambah panas. Nampak sangat ke muka aku ni tertulis perkataan 'Rian berminat dengan Adif'?

"Adif dah tunggu lama kat luar tu Rian," tegur ma sambil menolak bahuku lembut.

Aku melangkah keluar selepas meminta diri daripada ma dan pa. Di dalam hati walaupun terasa segan dengan ma dan pa, terbetik juga perasaan lega kerana apa yang aku sangka selama ini salah belaka. Nasib baik Adif rela hati keluar denganku dan bukannya atas kehendak sesiapa. Manalah tahu pa keluarkan arahan mandatori supaya Adif bersetuju keluar denganku, pasti lain jadinya nanti.

"Hai..." Itu aje yang mampu terkeluar dari bibirku setelah memasuki kereta Adif. Adif melemparkan senyumannya kepadaku.

"Kenapa tak tunggu kat dalam rumah aje tadi?" Aku menyoal lagi untuk mematikan rasa janggal yang ada di antara kami.

"Perut awak dah tak sakit?" Mata Adif jatuh ke tubuhku. Cepat-cepat tanganku memeluk beg tangan ke riba sambil melontarkan pandangan ke arah lain. Banyak-banyak benda dia boleh soal itu? Kenapa dia tanya soalan yang membuat aku malu lima tahun?

"Tak... Dah berbulan takkanlah saya sakit lagi," ucapku dengan nada perlahan sambil bermain dengan jari-jemari.

"Kita nak makan di mana?" Adif melajukan kereta yang dipandunya sebelum membelok ke jalan besar.

"Saya tak tahu," jawabku jujur.

"Nak makan steamboat tak?"

"Ermmm..." Sambil tu aku mengangguk bersetuju.

"Saya harap awak suka keluar dengan saya ni." Tiba-tiba dia cakap macam tu.

Aku yang masih blur terus menganggukkan kepala berkali-kali tanda menghargai walaupun di dalam kepala ni dah cukup berterabur bila dia ada di sisiku. Kenapa terasa benar-benar janggal bersama dengannya ya? Hari tu masa dia hantar aku balik ke rumah, aku rasa okey aje tetapi kenapa hari ni jadi lain sangat perasaan aku ni? Ke... sebab dia tak menjawab pertanyaanku fasal kenapa dia tunggu kat luar tadi membuatkan aku terasa segan hendak berinteraksi dengannya?

"Kenapa senyap aje?" Dia tanya sambil memandang wajahku sekilas sebelum kembali merenung ke atas jalan raya.

"Tak tahu nak cakap apa lagipun dah lama tak jumpa awak." Aku jawab jujur sambil tergelak kecil, cuba menutupi getar di hati.

"Jangan malu dengan saya, saya ni okey aje..." Dia tersenyum cuba membawa suasana selesa di antara kami. Aku menghela nafas kecil untuk membuang rasa sesak di dada. Perlahan-lahan aku memandang wajahnya.

"Awak kerja bahagian mana di bawah papa saya?" soalku lambat-lambat.

"Saya? Papa awak tak ada ceritakan ke saya kerja sebagai apa di syarikat dia?"

"Mmmm..." Aku menggelengkan kepala.

"Saya biasa-biasa aje, peguam syarikat papa awak."

"Oh..."

Sungguh luar biasa sebenarnya kerana aku langsung tidak terfikir dia bekerja sebagai peguam. Ingatku dia pengurus besar syarikat ataupun salah seorang staf kepercayaan pa yang bertanggungjawab untuk membangunkan syarikat.

"Jadi awak uruskan apa di syarikat pa? Oh...maksud saya papa." Aku memanjangkan pertanyaan sekadar berbasa-basi. Sempat pula menjelaskan tentang panggilan singkat papa iaitu 'pa' aje. Yalah, mana tahu dia tidak faham nanti.

Adif tertawa kecil. Sinis bunyinya. Walaupun aku sedikit sangsi bimbang benar-benar dia tidak menyukaiku, namun cepat-cepat aku matikan tanggapan negatif yang datang berbisik di hati. Mungkin memang cara dia gelak begitu kut? Takkanlah dia nak menyinis padaku sedangkan aku tak ada buat apa-apa masalah pun kepada dia.

"Bahagian perjanjian hartanah, kewangan, masalah-masalah yang berlaku melibatkan undang-undang dan banyak lagi. Syarikat awak ada potensi besar dan ada reputasi baik untuk menjalankan projek-projek pemaju..."

Aku blur sekejap. Kenapa nada suara dia tu pelik ya? Kenapa seperti ada aje yang tak kena apabila hal syarikat disebut dari bibirnya? Ke... aku yang terlebih sensitif ni? Tidak mahu memanjangkan isu syarikat, aku terus minta membuka siaran radio untuk menghilangkan kesepian di dalam kereta ini.

"Itu syarikat papa saya, bukan saya. Tak ada kaitan dengan saya." Aku membetulkan tanggapan Adif.

"Ya, syarikat papa awak," ucap Adif dengan nada yang lebih kendur.

"Jadi, kenapa lama sangat awak tak muncul? Selepas dua bulan baru datang ke rumah."

"You expect me to come here for you?"

Aku terus diam selepas itu. Lebih baik agaknya aku diam aje daripada terkena berkali-kali dengan kata-kata Adif yang sedikit-sebanyak menggores perasaanku. Wajahnya yang mempunyai iras Cina itu satu ketika mengundang minat di hatiku tetapi kini rasanya tidak lagi. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top