BAB 3


USAI mengemas bilik tidur, aku terus bersiap untuk ke butik ma. Padanan baju kurung berwarna merah jambu lembut dengan tudung berwarna merah jambu diadunkan dengan dua tona warna putih di tengah-tengahnya membuat diriku tampak lebih ringkas dan matang daripada biasa. Biasanyakan aku selalu mengenakan seluar jean dan blaus aje tapi hari ini berbaju kurung pula, macam pelik je tiba-tiba jadi sopan begini.

Sebaik aje aku melangkah ke ruang tamu, aku lihat ma dan pa sedang duduk di ruang meja makan. Jarang-jarang pa sarapan pagi di rumah sebab selalunya dia akan terus pergi ke pejabat untuk makan di sana dengan staf-staf rapatnya. Aku pun terus mengambil tempat duduk di sebelah pa sambil mengenyit mataku kepada pa. Pa terus mencemikkan muka apabila aje aku buat begitu. Ma dah tergelak-gelak melihat reaksi pa dan menepuk bahuku lembut.

"Kerja okey?" soal pa memandang wajahku sekilas sebelum mencicipi secawan teh sambil berdeham kecil.

"Okey je, pa. Lagipun kerja kat butik ma bukan susah mana pun." Aku bagi komen selamat sebab kalau aku cakap tak okey karang ada pula dia buat keputusan untuk paksa aku masuk ke syarikat dia tu. Pa, kalau dia dah nak paksa memang dia paksa punya sampai kita ikut cakap dia. Tapi nasib baik juga aku ni pun perangai ala-ala pa. Pakatan degil sedunia kata ma.

"Mana tak okeynya saya kasi dia elaun lebih, bang oi." Ma back-up aku. Siap banggakan diri sendiri sebab beri aku elaun lebih pula tu.

Aku pun sengih aje, malas nak balas kata-kata ma sebab ma cakap dengan pa, lainlah kalau ma cakap dengan aku. Aku memang begitu orangnya. Selagi orang lain tak cakap dengan aku, terasa berat sikit nak menyampuk risau dikatakan sebagai penyibuk. Tak gitu?

Aku ambil roti kahwin yang ada di pinggan dan terus ambil teh susu yang ma hulur kat aku. Aku sorang je yang minum teh susu dalam keluarga ni sebab pa dan ma suka teh O panas tak ada gula. Dia orang kata bila kita dah tua kena jaga makan, tak boleh manis sangat risau nanti terkena kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan adik-beradik penyakit-penyakit tu. Setelah cawan di tangan, aku terus meminumnya.

"Pakai baju ni nak pergi kenduri kahwin ke?" Pa tanya.

Ha kan dah cakap, memang pelik kut aku pakai baju kurung ni.

"Apa salahnya pakai baju kurung tu?" Ma bela aku. Aku senyum aje menahan malu sebab aku tahu pa mesti tak biasa tengok aku sopan macam ni.

"Dah ada pakwe belum?"

Hampir-hampir aku nak tersembur air teh apabila aje mendengar pertanyaan pa tu. Ma dah tepuk bahu pa kuat.

"Abang ni, kecik hati Rian nanti." Ma jeling pa.

Aku membulatkan mata sebab tak percaya pa boleh beri soalan maut macam tu sekali kat aku. Kalau orang lain yang bertanya tak apa lagi tapi ni pa yang tanya, mana aku nak letak muka lepas ni? Malulah bercerita fasal pakwe-pakwe ni kat pa sendiri. Takkan nak cakap yang hari tu aku tertarik dengan seorang lelaki ni tapi tak ada nombor contact dia pula, kan? Teringat ekspresi wajah lelaki yang aku temui beberapa hari lepas di shopping complex, butik ma tiba-tiba.

"Dah tu sampai sekarang tak ada kekasih lagi? Nak kahwin dengan siapa pula budak ni nanti? Bukan boleh bagi muka kat dia. Tiba-tiba aje dia bawa lelaki entah apa-apa dalam rumah ni, kan masa depan dia sendiri yang rosak," ucap pa selamba dengan nada bergurau.

Aku menggigit bibir sebab sedih pa cakap macam tu. Macam la taste aku ni teruk sangat. Kalau pa nak carikan calon untuk aku pun aku okey aje bukannya ada masalah pun. Lagi aku suka tak perlu bersusah-payah mencari calon.

"Abang ni, kecik hati Rian. Kalau abang ada calon abang kahwinkan ajelah Rian dengan dia. Rian tu dengar cakap kita bila masuk part jodoh ni. Hari tu kan abang ada cakap kat saya yang abang berkenan dengan seorang budak lelaki di syarikat abang tu."

Ni yang aku sayangkan ma lebih ni, ma seperti memahami aku dari segala segi. Topik lelaki yang nak dijodohkan dengan aku tu memang patut ma isukan. Lagi cepat aku kenal dan tahu tentang lelaki itu, lebih baik.

Roti yang masih tertinggal terus aku suap ke dalam mulut.

"Betul ke Rian tak kesah?" soal pa tenang.

Aku terkedu. Tersengih kecil. Kemudian tersipu-sipu.

"Naklah tu... Abang kenalkan ajelah kat Rian. Kalau secocok bolehlah kita teruskan plan." Ma pula penuh semangat menyampuk tanpa menunggu balasan dari aku.

Aku pandang mereka berdua silih berganti. Malu ada, segan pun ada. Jadi, sebelum ni ma belum lagi berbincang fasal hal yang kita orang bincang di laman luar hari tu pada pa eh? Nasib baik aku tak tanya terus pada pa fasal bila boleh aku keluar blind date dengan lelaki yang ma ceritakan hari tu. Kalau tak, malu sekampung dengan bibik kat dapur.

"Ma, pa, Rian nak pergi kerja ni. Nanti-nanti kita lepak lagi, ya." Bergegas aku menghabiskan air di cawan dan roti tapi pa jeling aku pula. Buat tanda isyarat suruh aku duduk sampai ma habis cakap dengannya.

"Budak Adif tu yang abang cadang nak jadi menantu. Betul ke Rian nak?" Suara pa sudah naik sedikit. Aku pun menggelabah tak tentu fasal apabila ditanya begitu. Aku tahu pa tanya aku, bukan ma sebab matanya menuju ke arah aku ketika soalan tu diajukan.

"Rian dah lambat ni." Sebenarnya aku nak cakap 'Rian nak aje,' tapi tak boleh... Suara bagai tertelan di anak tekak aje rasanya! Mendengar nama Adif disebut oleh pa dah cukup membuat bulu romaku menaik kerana terasa sesuatu yang misteri mengalir di seluruh adrenalina.

Biar betul kau Rian, desperate nak kahwin sangat ke sampai belum bertemu empat mata pun sudah terasa berdebar-debar? Isy, bukan desperate. Tapi peluang seperti ni jarang-jarang berlaku. Aku pula bukannya pandai berkawan dengan lelaki. Apa salahnya aku buka ruang untuk berkenalan, kan? Bukan nak kahwin terus...

Aku sedapkan hati sendiri.

"Kalau nak jumpa, pa boleh aturkan dengan dia. Esok lusa, kalau nak hari ini pun boleh. Lagipun baju Rian hari ni sempurna untuk dijadikan sebagai calon isteri."

Biar betul pa ni? Persoalannya lelaki tu nak kat aku ke tak? Macam boleh je hari ini jumpa, esok lusa dah happy ending.

Melihat aku yang menggaru hujung kepala dengan rasa serba salah sudah membuahkan senyuman kecil di bibir ma.

"Dia naklah tu. Siapa yang tak nak kahwin kan, bang? Tengok muka dia pun dah merah menyala." Sengaja ma usik aku.

"Kalau dia free, bolehlah kalau nak jumpa Rian. Rian dah lambat nanti kita berbual lagi, ya. Okey pa, bak tangan Rian nak salam." Bersungguh-sungguh aku tarik tangan pa untuk menyalaminya dan bergegas menyalami ma yang duduk di sebelah aku.

"Rian jalan elok-elok," pesan pa lembut. Aku pun angguk kepala sambil menoleh ke arah ma sekilas, kenyit mata lagi dan disambut oleh gelengan kepala ma.

"Nakal betul Rian ni, macam budak-budak..." komen ma setelah aku berada jauh daripada mereka. Aku yang mendengar terus tersengih kecil. Kalau bukan anak tunggal ma dan pa yang memeriahkan rumah, siapa lagi yang mampu membawa senyuman di bibir mereka, ya tak? Lagi pula aku ni memang suka kalau dia orang happy.

PA kata lelaki itu Adif namanya. Mulalah aku fikir yang bukan-bukan lepas tu. Siap nak call Tija aje tanya fasal 'Adif'. Adik-beradik pakwe dia atau tak, tapi berapa banyak orang la di dunia ni nama Adif. Pakwe dia nama Wan Adree, sah-sah 'Adif' yang tu nama Wan Adif juga.

Nak call pa segan pula, jadi terpaksalah aku hidup sehari suntuk ni dengan persoalan-persoalan yang tidak berjawab. Nasib baik Khairi ada, jadi taklah aku terus hanyut duk berfikir fasal bakal suami aku tu. Nak cerita kat kawan-kawan pun tak boleh. Kalau tak jadi karang kecoh satu dunia, buat malu keturunan aje nanti.

"Sakit perutlah Khai..." Aku mengadu sambil memicit hujung dahi kuat. Tiba-tiba aje sakit perut dan rasa nak muntah-muntah. Khairi pun pandang aku semacam.

"Sakit perut ke sakit kepala?" soal Khairi telus. Aku mengetap bibir menahan geram dengan kata-kata Khairi tu tadi.

"Sakit perut..." jawabku lemas sebab tiba-tiba aje perut terasa senak semacam.

"La... Rian! You mengandung ke?"

Aku tersengih kecil. Tak memasal aje Khairi cakap aku mengandung. Bukannya dia tak tahu yang aku ni belum berkahwin plus single lagi...

"La, Khai... you tak tahu ke I dah mengandung lima bulan," usikku selamba.

"Biar betul you ni Rian?"

Spontan aje mata Khairi jatuh ke bahagian perut aku.

"Dahlah, I sakit perut betul tak ada masa nak bergurau," tegurku sambil berjalan menuju ke arah tempat dudukku. Kepala aku letakkan di atas meja dengan dahi yang berkerut-kerut. Tiba-tiba aje terasa memulas ni apa kena pula?

"Yalah you kata sakit perut tapi you picit dahi... Buat suspens I aje." Khairi mencebikkan bibirnya.

Rasa nak jawab je yang sakit aku ni bukan sekadar sakit perut, tapi rasa nak muntah dan pening kepala pun tiba-tiba datang juga. Tak larat nak bercakap, aku terus gigit bibir dan pejam mata cuba menenangkan diri sendiri.

"Masuk angin kut..."

"Tak tahu," jawabku ringkas sambil menelan air liur apabila merasakan perut seolah-olah dipulas-pulas.

"Nak buang air besar ke?"

"Tak jugak."

"Nak pergi hospital ke?" soal Khairi cemas. Mungkin juga sebab dia nampak muka aku bertukar pucat jadi dia pun sibuk nak menggelabah.

Baru je aku nak cakap 'tak' , tiba-tiba ada bunyi orang buka pintu tapi aku dah tak larat hendak menoleh untuk melihat siapa yang datang.

"Assalamualaikum!" Satu suara menegur dari arah belakang. Oleh sebab aku tak larat nak buka mata jadi aku biarkan Khairi yang jawab salam tu sambil buat isyarat tangan menghalau Khairi supaya Khairi boleh melayan pelanggan yang datang.

"Waalaikumussalam. Ya encik nak apa?"

Aku dengar suara Khairi dah ala-ala bini dia nak terberanak pulak. Cemas semacam.

"Kenapa dengan dia?"

"Oh, bos sakit."

Sipi-sipi aje aku dengar tapi aku cukup sedar dia orang sedang berbual fasal aku. Perlahan-lahan aku tukar posisi kepala ke dinding, risau kalau-kalau orang tu ambil gambar aku ke masa aku sedang darurat ni, tak ke bawa malu di kemudian hari? Sebenarnya bukan takut fasal diambil gambar, cuma aku takut orang yang tak dikenali tengok muka aku yang sedang dalam keadaan senak begini. Malu!

"Ya ke? Sakit apa?"

La dia pergi sibuk fasal aku kenapa? Pergilah cari baju yang dia nak, bukannya dia kenal aku pun.

"Sakit perut." Khairi ni pun satu yang dia pergi bagi tahu masalah aku kepada pelanggan, apa bijak punya staf la...

Aku pun sedaya upaya angkat kepala cuba melemparkan pandangan ke arah dia orang. Sudahlah aku sakit, Khairi pula tak reti buat macam biasa. Kalau macam ni baik pergi halau aje pelanggan tu.

"Khai, I balik dulu you jaga butik ya." Aku terus angkat beg tanganku tanpa menunggu lagi.

"Hai, saya Adif. Encik Idris suruh saya jumpa awak. Sakit ke?"

Ha! Sesaat aku tercengang sekejap. Pandang lelaki tu dari atas ke bawah dan tiba-tiba aje aku rasa nak menyorok di bawah meja. Kenapalah pa tak bersimpati dengan aku, hantar Adif secara tiba-tiba begini? Sekurang-kurangnya kalau pa telefon dulu bolehlah aku buat persediaan mental dan fizikal. Tapi ni dia datang masa aku sedang duduk dalam alam lain, jadi aku pun terus blank tak tahu nak cakap apa.

"Kalau sakit biar saya hantar ke klinik."

"Eh, tak apa..." Aku terus mengelak. Baru kenal berapa minit aje takkan aku terus ikut dia, kan? Lagipun betul ke dia ni Adif, kalau dibuatnya orang jahat bagaimana? La Rian, dah sah-sah dia kata Encik Idris yang hantar dia ke sini untuk berjumpa dengan aku, takkan pa hantar orang jahat kut untuk jadi menantu?

"Saya hantar awak lagipun pekerja awak seorang aje di sini jadi dia tak boleh nak hantar awak ke klinik, kan?"

Pandai aje dia bercakap. Aku pun tenung ke mata Adif tu. Macam pernah aje jumpa mata sepet tu. Tiba-tiba aje aku teringat lelaki yang duduk di Restoran Ayam Penyet kat bawah ni beberapa hari yang lepas. Dia ke tu? Dialah tu sebab aku masih ingat dengan jelas wajah lelaki itu. Lelaki yang meninggalkan impak ke atas diriku kerana cara renungan dia yang menusuk jiwa.

Melihat dia mengambil beg tanganku dengan selamba menjadikan aku tidak punya pilihan lain selain daripada mengikut langkahnya.

"Jom cepat. Nanti awak pengsan ke apa ke, susah saya nak jawab pada papa awak."

Dia tahu aku panggil pa tu 'papa'? Walaupun sebenarnya aku singkatkan je papa jadi pa, pentingnya dia memang tahu. Dia memang rapat dengan pa agaknya. Aku pandang ke arah Khairi yang sedang tunjuk muka blur.

"You jaga kedai macam biasa. Nanti petang kalau dah elok sikit I datang balik." Aku pesan kepadanya. Khairi angguk kecil sebelum memberi ruang untuk aku melangkah bersama-sama dengan Adif yang baru aku kenali. Sempat aku mengambil telefon bimbit di atas meja. Aku lihat ada mesej masuk daripada pa.

Dah jumpa Adif? He is the best man yang pernah pa jumpa. Pa beri dia cuti dan suruh dia jumpa dengan Rian untuk berkenal-kenalan. Dia setuju. Maknanya dia berminat untuk berkenalan dengan anak pa ni. Atau mungkin dia memang sedang mencari calon isteri.

Aku terus tekan butang delete mesej. Rasa kaki ni dah tak pijak bumi. Kenapa mesti dia muncul sewaktu aku sedang emergency!

DUDUK di dalam kereta dia rasa seksa aje. Nak matikan aircond pun segan. Menyesal ikut aje dia tadi walhal kan lebih elok kalau terus naik kereta aku sendiri? Mungkin dia nampak aku menggigil jadi dia ambil blazer kat belakang kerusi dia dan diberikannya kat aku. Teragak-agak aku nak sambut. Yalah baru aje kenal tiba-tiba berkongsi pakaian, rasa pelik pula.

"Pakailah..." Dia cakap dengan nada mendatar. Aku pun ambil blazer tu dan meletakkannya di atas tubuhku.

Perlahan aku memalingkan muka. Sakit sangat perut ni terpaksa kutahan aje walaupun sebenarnya betul-betul nak pergi toilet. Masa ni pula perut aku 'mengajak' nak pergi toilet. Tadi, tak nak!

"Boleh awak berhenti kat stesen minyak depan tu, saya nak pergi tandas sekejap." Akhirnya aku cakap juga apabila ternampak lambang stesen isi minyak di tepi jalan. Langsung tak masuk ke otak aku dah apa ke bendanya... Petronas ke, Petron ke, Shell ke...

"Sekejap ya." Dia pun belokkan kereta ke stesen tu. Sampai aje di tepi kedai, aku terus buka pintu kereta dan pecut ke toilet.

Sebaik aje buang hajat aku dah blur balik. Aku rasa nak basuh muka puas-puas sebelum keluar dari bilik kecil tu. Malu sangat-sangat kat Adif. Pertama kali berjumpa dah jadi macam ni, habislah saham aku jatuh.

"Sorry," ucapku sepatah sebaik sahaja masuk ke dalam perut keretanya. Adif pun angguk kecil sebelum membuang senyuman bergula dia tu. Sikit lagi aku terlepas pandang tapi sebab aku tertengok dia senyum tu jadinya jantung aku terus berdegup dan berentak laju. Menyesal aku curi pandang kat dia.

"Tak apa, awak tengah sakit." Dia jawab dengan nada datar seperti tadi juga. Agaknya dia tak suka aku kut? Yalah, lelaki mana nak suka dengan perempuan yang pertama kali jumpa buat muka toya macam aku ni. Patutnya kena berlagak ayu tapi oleh sebab masa tu aku gagal buat muka ayu jadi kena reda ajelah kalau dia reject aku nanti.

"Boleh terus hantar ke rumah saya?" pintaku kepadanya. Adif menoleh ke arahku sekilas seakan-akan tidak bersetuju. Yalah, tujuan asal kan nak ke klinik.

"Tak apa, kat rumah lebih selesa. Lagipun masuk angin aje, doktor bukan boleh keluarkan angin kat perut saya pun." Aku menolak lagi. Tapi lepas tu aku nampak Adif dah tersengih menampakkan giginya. Sakit ke dia ni? Boleh masa aku tengah serius dia senyum tiba-tiba.

"Memang doktor tak boleh keluarkan angin awak tapi dia boleh beri ubat atau suntikan pada awak supaya lekas lega."

Lagilah aku tak nak kena suntik. "Tak apa housemaid saya pandai mengurut. Awak hantar saya balik rumah ajelah ya. Awak tahu tak alamat saya?" Orang gaji ma pandai mengurut tang bila pun aku tak tahu. Yang pastinya aku tak pernah nampak bibik mengurut mana-mana orang. Bila dah tak nak tu seribu alasan kita akan beri pada orang lain, kan?

Dia sekadar mengangguk kecil. "Betul tak nak pergi klinik?"

"Tak apa, awak hantar aje ke rumah saya," balasku lambat-lambat. Banyak betul 'tak apa' yang muncul hari ni semata-mata tak nak pergi ke klinik. Harap sangat dia tak paksa aku ke klinik macam pa dan ma.

Tapi aku hairan macam mana dia boleh tahu alamat rumahku padahal selama ni tak pernah pun nampak dia ketika kita orang ada rumah terbuka atau parti apa-apa.

Apabila bila aku lihat muka dia dari tepi macam ni, baru aku teringat seorang mamat yang duk tenung aku semasa di rumah Tija ketika majlis abang dia kahwin. Dialah orangnya! Di Restoran Ayam Penyet tempoh hari pun dia. Agaknya selama ni dia ada, hanya aku aje yang tak perasan kewujudan Adif agaknya.

Sampai aje di pekarangan rumahku, aku terus melepaskan seat belt dan menarik blazer yang tersangkut kemas di bahuku.

"Nama awak..." sengaja aku leretkan suaraku. Dia pun pandang wajahku sambil tersenyum segaris.

"Adif, Ahmad Adif Rayqal."

Oh! Bukan Wan Adif lah ya. Kalau Wan Adif mestilah si Tija awal-awal dah beritahu aku masa kita orang tengok dia masa kat majlis nikah Syakirul Hafiz hari tu. Banyak Adif rupanya dalam dunia ni. Walaupun aku teruja nak berkenalan dengan dia, tapi aku sedar yang dia berkemungkinan tidak berminat dengan perempuan macam aku ni. Aku ni biasa-biasa aje, dia pula dalam kategori kacak dan berkebolehan. Bayangkan aje lelaki ni adalah calon yang pa pilih, mesti dalam kalangan orang-orang hebat juga kan?

"Terima kasih sebab sanggup hantar saya balik ke rumah." Aku hulurkan blazer kepada dia. Adif sambut dan campak ke seat belakang dengan selamba. Sebenarnya aku nak tanya nombor telefon dia tapi malu punya fasal, baik batalkan niat tu aje. Tak fasal-fasal kena cop perempuan gatal pula kang, buat malu empat keturunan pula.

"Hal kecil. Lagipun awak sakit tadi."

"Saya masuk dulu. Lain kali jumpa lagi," ucapku lembut. Ayat selamat supaya ada peluang untuk kita orang berjumpa balik tapi lepas aku cakap macam tu tiba-tiba terasa menyesal pula. Dia beriak tenang sambil mengangguk. Nasib baik juga dia tak hairan dengan perangai aku yang agak menggelabah ni.

"Jaga diri baik-baik," pesannya sebelum aku menutup pintu. "Nanti kalau ada masa kita jumpa lagi. Janji temu hari ini tak dikira sebab awak tengah sakit," ucap Adif sebelum keretanya meluncur pergi.

Aku tutup mulut dengan kedua-dua tapak tangan. Dia tak reject aku bulat-bulat, kan? Mukaku yang blur terus berubah senyum tak ingat dunia.

Walau pertemuan kali pertama kami tak berjalan, tapi cukup membuat hatiku sedikit berbunga.

"KENAPA balik awal?" soal ma tiba-tiba. Aku ingatkan ma tak ada di rumah tapi rupa-rupanya dia tak pergi mana-mana untuk hari ini. Aku sekadar geleng kepala sebab tak berminat nak menjawab.

"Rian sakit ke?" soal ma hairan.

"Taklah ma... Rian okey je. Rian naik atas dulu ma." Aku meminta diri nak berehat kat dalam bilik. Ma pun angguk kecil.

"Ada jumpa Adif tak tadi?" soal ma sebelum aku melangkah ke anak tangga.

"Ada sekejap."

"Okey tak dia?" Ma dah mula excited dah...

Aku menghentikan langkah sambil berpusing menghadap ma semula. "Belum tahu lagi ma, jumpa sekejap aje sebab Rian kena terus balik rumah, sakit perut. Tapi dia good looking..." akuiku.

"Rian sakit perut? Tadi kata okey?" Ma kerutkan dahinya sambil mengamati wajahku.

"Sakit perut sikit, salah makan kut."

"Rian makan kat mana sampai sakit perut? Nanti ma suruh bibik hantar air suam untuk Rian. Rehatlah dulu takut melarat pula nanti. Dah pergi klinik ke belum?" soal ma lembut.

Alamak! Ma dah tanya fasal klinik pula... "Sakit sikit je ma bukannya parah pun. Nanti kalau Rian rasa tak selesa kita pergi klinik ya. Ma jangan risau. Minta bibik beri ubat sakit perut sekali ma, ya."

"Hmm...Yalah. Hati-hati naik tangga tu." Ma pandang wajah aku dengan riak yang agak bimbang.

Ma memang begitu. Dari kecil sampai aku dah besar panjang ni pun dia tatang bagai minyak yang penuh. Mana boleh orang lain nak melukakan perasaan dan hati satu-satunya anak dia ni. Apabila fikir macam ni baru aku terasa sikit yang aku ni anak orang kaya manja seperti yang selalu ditayangkan di dalam drama TV.

Sewaktu merebahkan diri di atas katil, aku terus mencium sedikit baju kurungku. Masih berperisa bauan milik Adif tadi. Seumur hidup inilah kali pertama aku terasa begitu dekat dengan seorang lelaki asing, walaupun sebenarnya bukanlah yang pertama kalinya aku berdekatan dengan kaum Adam. Cuma di hati tak pernah timbul sebarang getaran. Aduhai menyesalnya sebab tak bagi tahu ke dia nama sebenar aku.

Atau... memang dia dah tahu namaku siapa? Tak mustahil sebab dia pun dah tahu tempat kerja aku dan dia tahu di mana letaknya rumah aku ni. Dia boleh tanya terus kepada pa. Dia kan pekerja pa yang paling berkaliber. Mestilah rapat dengan pa. Kalau Adif jenis yang busuk-busuk, tak mungkin dia jadi calon menantu pa... Kan? 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top