BAB 23
"MA!" Aku jerit bagai nak pecah anak tekak. Terkejut apabila bangun aje dah terbongkang atas katil Adif. Terkebil-kebil aku tengok katil aku yang kosong macam tu dan aku tak boleh fikir sama ada malam tadi aku tidur mengigau hingga ke katil Adif atau Adif yang tarik aku ke katil dia untuk tidur bersama. Tangan serta-merta jatuh ke kepala sebab pening-pening lalat.
"Bangun dah? Cepat mandi, kita subuh sama-sama." Suara Adif hampir-hampir membuat aku terjerit buat kali kedua. Sungguh! Terkejut yang amat melihat dia keluar dari bilik air dengan hanya bertuala sahaja.
"Ma... Mandi?" Aku sebut hampir-hampir nak tergolek dari katil. Selimut di dada cepat-cepat kutarik hingga ke dagu. Tak boleh, Rian. Jangan bayangkan. Tak boleh bayangkan!
"Cepat sikit, subuh nak habis dah ni."
"Kena mandi?" ucapku penuh tanda-tanya. Rian, bawa bertenang. Bawa bertenang! Aku masukkan kepala ke bawah selimut sedikit untuk melihat keadaanku. Tak mampu bertenang selagi tidak mengetahui keadaan diriku sendiri. Tak mungkin malam tadi aku tidur mati sampai suami sendiri usik pun tak sedar diri.
Adif tarik selimut yang membaluti tubuhku kasar sambil senyum sinis. "Orang suruh mandi bukan sebab benda tu. Tak usah mandi hadas, mandi biasa aje. Bukannya saya usik awak pun. Awak fikir apa ni, Rian?"
Merah wajahku mendengar kata-kata Adif yang maha berbisa.
"Mandilah dulu segarkan diri." Dia tarik tanganku sehingga aku akhirnya terduduk di atas katil. "Lah, lupa pula dah ambil air sembahyang tadi." Adif merungut kecil sambil melirik ke wajahku sedikit. Aku tertunduk tak boleh nak angkat muka lagi dah. Malu tertangkap oleh Adif akan pemikiranku yang agak sengal ni.
"Malam tadi saya angkat awak tidur kat sini sebab katil awak tu awak dah tidur masa balik dari mendaki. Mana tahu awak bawa debu-debu hutan balik, gatal pula badan awak nanti." Adif selamba mengambil T-shirt dia dan menyarungkan ke tubuh.
Aku yang sedang malu ni mencicit masuk ke dalam bilik air. Rasa nak hentak kepala sendiri kat tab mandi apabila terasa macam Adif sedang fikir yang aku ni memang sejenis manusia yang berotak kuning. Entah-entah dia ingat aku ni jenis yang kurang kasih sayang pula dah sekarang ni!
ESOK dah nak balik dah. Aku rindu kat ma dan pa sangat-sangat. Tinggal di Santubong Resort lima hari empat malam ni adalah kali pertama aku berjauhan dari ma dan pa dalam masa yang agak panjang. Aku harap sangat Adif tak terus angkut semua barangku untuk berpindah ke kondo dia.
Belum lagi berbincang fasal aku nak teruskan kerja walaupun selepas berkahwin dengan dia. Dia bagi ke tak agaknya? Dahlah kondo dia tu aku kena duduk seorang diri ketika dia bekerja, kan bosan tahap dewa tu? Adif kata sepupu dia dah tak kerja di rumah dia lagi dah sebab akan melanjutkan pelajarannya.
"Saya nak awak sign sesuatu." Adif menghampiriku dengan fail di tangannya. Aku agak terperanjat tetapi nasib baik mampu mengawal emosi sendiri.
Fail di tangannya dia letak di atas meja tempat aku sedang duduk santai. Entah dari mana dia tahu aku melepak di depan kolam renang ni sedangkan aku keluar pagi tadi pun senyap-senyap tak beritahu dia.
"Saya kena sign? Sign apa?" Hati aku mula tertanya-tanya. Sign serah harta ke? Aku mana ada harta. Atau sign borang cerai? Isy, awal sangat nak bercerai. Baru semalam dia beritahu yang dia baru nak kenal-kenal aku.
"Saya kena ulang balik ke kata-kata saya tadi, Rian?"
Aku yang tak mampu membalas kata-kata Adif terus membuka fail yang dia letakkan di atas meja tu. Terkebil-kebil aku baca satu per satu ayat di atas kertas.
"Benda ni betul-betul sah di sisi undang-undang, ke?"
Adif tarik senyuman dia dengan lebar. "Saya, kan peguam. Semua perkara wajiblah sah di sisi undang-undang, Rian."
"Dengan syarat macam ni awak nak suruh saya turunkan tandatangan?" Anak mataku mengecil ke arah Adif. Tak boleh aku fikir kenapa Adif tergamak beri aku perjanjian seperti ni.
"Ya. Ini cara saya, Rian. Lagipun apa yang berlaku pada masa hadapan kita tak akan tahu. Saya risau awak lari dari saya, itu aje. Tak salahkan awak turunkan tandatangan? Lagipun awak tak rugi apa-apa pun kalau awak turunkan tandatangan."
Aku tak faham kenapa dia perlu buat benda-benda pelik ni sedangkan antara kami sudah tergaris satu hubungan suci. Untuk apa sebuah perhubungan sekiranya berlandaskan perjanjian semata-mata? Adif selalu sangat buat aku jadi sangsi. Selalu sangat dia buat aku rasa tak sedap hati.
"Kenapa awak rasa saya akan lari dari awak? Kita kan baru kahwin?" Aku tak puas hati.
Adif terdiam sebentar mendengar suaraku mulai menaik.
"Sebab dalam kes kita, saya cintakan awak. Tapi awak tak cintakan saya."
Aku tergamam apabila dia cakap macam tu. Mana dia tahu aku tak cintakan dia? Dan lebih dari itu, aku terkelu mendengar pengakuan cintanya. Kalau betul dia cintakan aku, kenapa cara dia mencintai sangat-sangat aneh? Dengan perjanjian ni, dia dah buat kami semakin jauh.
"Awak tak pernah mengaku yang awak sayangkan saya." Adif menjawab pertanyaan di hatiku umpama dia mendengar suara hatiku.
"Adif..."
"Saya nak tandatangan awak, tu aje."
"Ahmad Adif..." Aku tenung anak mata lelaki itu, lelaki yang sudah sah menjadi suamiku kini sehingga nama Rayqal tertinggal jauh dari bibirku. Dia yang sepatutnya berkongsi segala-galanya denganku tanpa ada rasa sangsi di hati.
"Kenapa?" Adif kembali membalas renunganku dengan mata tajamnya itu. Kalaulah dulu aku boleh terpaku melihat tenungan dia, sekarang pun dia masih kekal membuat diriku terpaku tapi apabila membaca isi perjanjian yang dia telah serahkan kepadaku tadi, rasa sedih tidak mampu kusembunyikan dari riak wajahku.
"This is not right."
"Apa yang tak betulnya?" Dia tekan suaranya.
"Saya rasa perhubungan suami isteri perlu dilandaskan dengan kepercayaan dan keyakinan yang telus, bukan dengan perjanjian," ucapku perih apabila Adif sudah menghadiahkan senyuman sinisnya kepadaku.
"Hidup harus realistik, Rian. Awak kaya, awak ada segalanya. Dan saya tak mahu kemudian hari akan berlaku sesuatu yang tidak diingini. Awak perlu buktikan kepercayaan saya pada awak adalah perkara yang betul dan bukannya sia-sia. Saya peguam dan saya tahu apa yang perlu saya lakukan, Rian. Kalau awak tak lari, perjanjian ini takkan berguna sampai bila-bila. Do you understand what I mean, Rian?"
Aku terdiam sejenak, tidak mampu hendak menjawab kata-katanya.
"Awak ingat saya ni perempuan yang tak ada pendirian ke, Adif?"
"Bukan itu maksud saya. Tapi saya perlukan sesuatu untuk meyakinkan diri saya supaya saya tak akan kehilangan awak walau apa pun yang terjadi. Awak hanya dapat buktikan perkara tu bila awak tandatangani perjanjian ini. Kita baru kenal dan saya tak tahu lagi hati budi awak, dan cinta saja takkan mampu menjamin masa depan kita berdua."
Adif menolak kerusinya dan berdiri berhadapan denganku. Tangannya mengambil tanganku sambil meletakkan sebatang pen di atas tapak tanganku sambil merenung wajahku redup.
"Saya tak perlu buktikan apa-apa. Saya ikhlas menjadi isteri awak seperti dalam tuntutan syariah Islam yang mewajibkan seorang isteri untuk setia."
"Kalau betul, awak turunkan sahaja tandatangan. Dokumen ini tak bererti apa-apa sekiranya awak tetap bersama dengan saya. Stick with me and trust me."
"Saya tak nak..." Aku gelengkan kepala. Sedih apabila dia jadikan hubungan kami sebagai satu taruhan di atas kertas.
"Rian, surat ni bukan tentang kesetiaan sesiapa. Cuma saya perlukan tandatangan awak kerana saya yang tak yakin dengan hati saya sendiri. Saya tak mampu nak jelaskan apa-apa sebab saya bukannya orang yang mampu meluahkan perasaan begitu sahaja. Saya risau sebab saya jatuh cinta pada awak. Saya tak pernah tahu jatuh cinta. Sangat merunsingkan, Rian. Saya tak tahu perasaan awak bagaimana sedangkan dalam masa beberapa hari ini saya asyik terfikir, tak tahu terjebaknya cinta, mampu ke buat saya berundur semula? Perjanjian ini, lima puluh awak, lima puluh saya. Selagi kita stick with each other dokumen ini tak berguna pun. Kalau kesilapan itu bermula daripada saya, awak berhak untuk mendapatkan yang terbaik, Rian."
"Kalau kesilapan itu berpunca daripada saya?"
Adif menghela nafas.
"Awak fikirlah dalam-dalam. Malam ni awak serahkan dokumen ni pada saya, yang dah bertandatangan." Adif berlalu pergi. Aku genggam kedua-dua tanganku erat. Cuba mengawal perasaan yang kian berombak. Satu sahaja perjanjian yang Adif tuliskan di atas kertas ini. Satu sahaja yang membuat aku bagaikan terhenyak oleh ombak Laut China Selatan.
'Hak penjagaan anak akan diserahkan kepada Ahmad Adif Rayqal sekiranya Rian Aulia mahukan perpisahan. Sebaliknya, hak penjagaan anak akan diserahkan kepada Rian Aulia sekiranya Ahmad Adif Rayqal mahukan perpisahan.'
Aku hela nafas dalam, resahku seolah-olah hadir bersama tamparan angin laut ke pipi. Fail di tangan terasa ingin kulontar ke kolam renang. Perjanjian ini berpihak kepada diriku atau Adif sebenarnya?
Ah, Ahmad Adif Rayqal... Sukar untuk menebak apa yang termaktub di dalam hati dia. Jika Adif benar-benar ikhlas, apa perlunya surat perjanjian seperti ini?
Aku menggeleng kepala lambat-lambat. Nombor telefon ma kucari di skrin telefon, tetapi tanganku terhenti ketika ingin menyentuh ikon WhatsApp. Ada sesuatu yang menghalangku daripada berkongsi cerita dengan ma tentang soal ini. Mungkin kerana kini aku isteri lelaki itu atau mungkin kerana teguran ma untuk aku menyimpan rahsia rumah tangga kami agar Adif tidak terasa hati kepadaku.
Tenanglah Rian, mungkin betul kerana dia peguam maka dia mahu segala-galanya berasaskan undang-undang. Setiap orang, kan mempunyai kriteria masing-masing. Aku cuba memujuk diri sendiri walaupun beribu persoalan menyarangi minda.
Lama kelamaan suasana menarik di depan mata menjadi kelam padaku. Apa makna bulan madu sekiranya aku ditimpa pelbagai persoalan begini? Tersilap percaturankah sebenarnya? Kalau betul tersilap percaturan, aku tak mungkin undur ke belakang semula.
Tiba-tiba teringat kata-kata Adif dulu. Apabila bermain catur, perlu ada endingnya. Perlu ada penamat, siapa kalah dan siapa pemenang. Tapi perlu ke ada pemenang dan yang kalah sekiranya kami sudah sah bergelar suami isteri? Kenapa soal anak yang harus masuk di dalam perjanjian kami? Kenapa tidak yang lain sahaja? Harta misalnya...
Antara kami berdua, siapa yang bakal mengalah?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top