BAB 22
SEMALAMAN aku tak boleh tidur lena. Pagi esoknya, awal-awal lagi aku telefon ma, beritahu ma yang Adif ajak aku tinggal di kondo dia. Tapi ma kata itulah yang sepatutnya. Seorang gadis, apabila sudah berkahwin memang wajib ikut suami. Aku telan air liur aje apabila ma dengan mudah menyokong permintaan Adif.
Apabila ma kata aku kena belajar jadi isteri yang taat. Terkena batang hidung sebab ma kata selama ni aku anak yang baik, jadi setelah bergelar isteri orang pun, wajib jadi isteri yang baik juga. Tapi aku tak boleh terima apabila Adif kata ma dan pa jatuh nombor dua. Ma jawab sambil gelak-gelak, memang dah jatuh nombor dua apabila dah serahkanku kepada Adif. Aku mati kata nak membalas hujah ma. Satu lagi ma pesan, kalau boleh hal rumah tangga aku, simpan sendiri takut timbul tak senang hati dalam diri Adif. Aku pun gigit bibir sebab rasa berdosa yang amat. Sebetulnya Adif di pihak yang mendapat sokongan ma tapi aku ni berjuang perasaan sorang-sorang.
"Rian kena biasakan diri, bukan lagi ma dan pa jadi keutamaan Rian sekarang ni."
"Kenapa ma tak lahirkan seorang lagi anak lelaki untuk jaga ma dan pa?" ucapku sendu. Ma gelak kecil.
"Rian lahirkanlah untuk ma dan pa seorang cucu lelaki untuk menjaga kami berdua, boleh?"
Aku terpinga-pinga bila ma kata begitu. Malu terasa menyapa jiwa.
"Adif dah habis mandi. Nanti Rian telefon ma lagi, ya?"
"Rindukan ma lah tu. Dah sudah, layan Adif pula nanti dia kecil hati kalau Rian asyik bertelefon aje."
Nak aje aku jawab, ma tak kecil hati pun bila Rian layan Adif, kenapa dia mesti kecil hati? Tapi melihat Adif yang sudah keluar dari bilik air sambil melemparkan tenungannya kepadaku cepat-cepat aku memberi salam kepada ma.
"Dah habis mengadu?"
Terasa pelempang hinggap di pipi. Aku tiba-tiba sahaja tak berani membalas renungan Adif. Apabila difikir-fikir tingkahku kini memang seperti budak-budak kecil. Dah jadi isteri orang tapi masih lagi bergantung pada ma dan pa. Memang padan dengan muka aku kena perli oleh suami sendiri.
"Saya boleh jenguk ma dan pa hari-hari kan, Adif?" soalku berani dalam cemas. Dibuatnya Adif jawab 'tidak', mahu aku menangis tiap-tiap malam. Adif mengerling ke arahku sambil mengeluarkan baju-bajunya dari dalam beg rodanya. Aku gigit bibir. Sepatutnya aku yang kena sediakan baju-baju dia tapi dah terlalu leka berbual dengan ma sampaikan terlupa tanggungjawabku sebagai isteri. Selama ni aku dimanja tapi mulai daripada saat aku dan Adif bersatu seharusnya aku mula belajar berdikari. Nasihat ma tadi masih lagi terngiang-ngiang di kepala.
"Awak nak bermalam kat sana tiap-tiap minggu pun saya tak halang."
Wajahku berubah ceria. "Saya minta maaf sebab semalam degil pada awak."
"Tahu tak apa."
"Adif, janganlah macam ni." Aku sedaya upaya memujuknya. Adif menyarungkan T-shirt di tubuhnya. Seluar track yang berada di atas tilam dia ambil dan sarungkan di kaki.
Sedaya upaya pula aku tidak memandang perlakuan dia yang seumpama menggoda tu. Kalau badan macam papan tak apalah nak tunjuk kat aku tapi badan dia dah serupa dengan model tu, tidak dapat tidak, mataku tetap juga nakal melirik ke arah Adif.
Adif seakan-akan faham dengan lirikan mataku, terus mendekat. Selamba saja dia cium pipiku. Walaupun hanya sesaat terasa jiwaku melayang entah ke mana. Seriau sehingga aku tak terpijak bumi rasanya.
Aku terus tolak kepala ke belakang untuk mengelak sentuhan dia seterusnya. Mataku terkebil-kebil pandang wajah Adif yang begitu dekat denganku. Dia tersenyum lebar. Tak pernah lagi aku tengok dia senyum macam tu. Tangan dia masih lagi memaut belakangku tanpa dia lepaskan walaupun aku tolak.
"Jangan risau, saya tak usik lebih-lebih..." ucapnya sebelum dia pergi keluar dari bilik. Tak usik lebih-lebih? Aku kecilkan anak mata merenung pintu bilik. Saja je nak buat aku sakit jantung, kan? Aku mengeluh nafas dalam.
"TERUKNYA!" getus Adif tiba-tiba. Aku dah tegak berdiri apabila dia sepak pasir ke arah istana yang sedang aku buat.
"Adif, how dare you!" marahku kepadanya. Suka-suka hati dia aje. Padahal dari tadi dia bukan nak layan aku. Aku buat hal sendiri, dia kacau pula.
"How old are you, lady? Buat istana pasir ni budak-budak kecil aje yang buat," perli Adif sambil memeluk tubuh. T-shirt di badan dia entah hilang ke mana sampai aku dah sakit mata tengok dia berpeluk tubuh dengan seluar pendek paras lutut. Ingatkan dia mandi aje, rupa-rupanya dia sengaja tunjuk body kepada satu Sarawak ni!
"Suka hati sayalah, yang awak nak sepak-sepak pasir ni, kenapa? Kan dah jadi macam ni dah..." Aku tenung istana pasir tak menjadi tu dengan pandangan sedih. Sampai hati betul Adif ni tak kasi chance orang lain hendak bersuka-ria. Dia aje yang boleh berfoya-foya agaknya.
"Tulah, saya ajak awak main air laut tak nak." Adif mencebik kecil sebelum dia sedap-sedap duduk di sisi istana pasirku. Lepas tu selamba dia ayun tangan dia mencantas istana pasir aku dengan senyuman senget. Aku tercengang tanpa kata, dan sakitnya hati tak terkata lagi. Tak terasa Adif mahu bergurau.
"Awak mainlah sendiri. Bak sini kunci! Saya nak duduk dalam bilik aje hari ni," ucapku sedikit merajuk.
"Budak kecil sikit-sikit nak merajuk." Dia perli lagi. Aku gigit bibir menahan sabar yang hampir-hampir terbang. Dahlah dia tunjuk badan dia tu, tak tahu ke di sini ada ramai orang tengok? Tahulah badan macam model tapi tak perlulah nak menunjuk sangat. Kalau aku yang menunjuk body, mahu dia pengsan kat sini juga.
"Saya tak merajuk, Encik Adif. Bak sini kunci, saya penat, nak rehat je dalam bilik tu."
"Merajuklah tu..." Adif senyum nakal. Aku mencemik muka, makin dilayan makin buat orang sakit hati aje.
"Jom mandi air laut." Dia tarik tanganku apabila aku hanya terkaku berdiri di hadapan istana pasir yang dah tak serupa istana.
"Tak naklah. Jangan paksa-paksa, boleh tak?" Aku elak pegangan tangannya tapi dia lebih pantas berpaut pada lenganku. Dia tarik sampai aku duduk di sebelahnya.
"Kenapa tak nak? Rugilah pergi sini tak nak mandi air laut."
"Banyak orang, lagipun saya tak bawa baju spare."
Mata Adif jatuh ke bajuku. Lepas tu dia tersengih aje. Memang patut pun kalau dia nak tersengih satu hari sebab aku pakai baju warna putih berlengan panjang, kain labuh bunga-bunga kecil dengan tudung dua tona warna putih kelabu. Kalau mandi ni memang sah nampak dari luar ke dalam.
"Sorry dah rosakkan istana pasir awak."
Aku cebik lagi. Sakit hati apabila teringat tangan dia yang melibas istana aku tadi.
"Awak marah ke, Rian?"
Aku diam aje. Setiap kali dia buat 'jahat', dia akan tanya macam tu. Agaknya jawapan apa yang patut aku balas supaya dia hentikan sikap kejamnya terhadapku? Nak membentak, nanti Adif menuduh aku mengada-ada.
"Dah, jangan tarik muncung tu. Esok kita daki gunung nak?"
"Saya ikut je," balasku pendek. Eloklah tu, saja nak mendera mental dan fizikal isterinya. Aku nak tengok sejauh mana akal Adif nak kenakan diriku.
"Jangan menangis minta papah turun ke bawah kalau tak larat," pesan lelaki itu.
"Awak ingat saya ni lembik ke?" Kening sudah bertaut. Adif sengih lagi. Barisan giginya yang teratur kian menyerlahkan wajahnya yang sengaja dibiarkan begitu sahaja. Selalu tengok rambut dia kemas tapi hari ni nampak semak dengan bulu-bulu halus sudah bersepah-sepah di muka.
"Saya baru nak kenal isteri saya ni." Adif menggumam kecil, tapi cukup jelas meniti di telingaku. Hati berdetak lagi untuk kesekian kalinya.
"Awak dah bosan dengan saya?" dugaku.
Adif senyum cuma apabila aku tanya macam tu. "Rian Aulia suka buat tanggapan yang bukan-bukan, perangai macam budak-budak walaupun kelihatan matang, konon berani tapi tak larat saya tengok muka awak bila dah naik merah saat diusik sedikit. Suka merajuk. Rian Aulia juga seorang..."
"Cukup-cukup. Saya tahulah saya buruk tapi janganlah cakap terus-terang," ucapku dengan nada tenggelam timbul. Sungguh aku tak bersorak pun saat Adif cakap macam tu. Ke... motif dia memang nak buat aku menangis di antara puluhan orang yang sedang melepak di tepi pantai ni?
"Perangai awak mirip Adelia, Rian."
Aku jeda. Wajah ceria Adif tadi berubah sedikit demi sedikit. "Saya rindukan Adelia yang dulu."
Aku pandang wajah Adif penuh tanda-tanya. Tapi aku tak berani bertanya tatkala nampak riak mendung di wajah Adif. Sedihkah dia? Kalau betul sedih, aku sudi menjadi tempat dia berkongsi rasa sedih itu. Tapi, kenapa asal Adif menyentuh perihal Adelia, riak Adif sering kali bertukar menjadi muram?
PENAT. Canggih betul bulan madu macam ni sampai aku rasa tak boleh langsung mengangkat tubuh sendiri. Oleh sebab aku tak nak tempat tidur berbau peluh, jadi aku ambil keputusan untuk merebahkan diri di lantai bilik resort ini.
Penat! Mendaki Gunung Santubong, aku fikir tidaklah sepenat ini tetapi ternyata aku tersilap. Gila tinggi sampai aku tak boleh nak gambarkan betapa aku teringin sangat sampai ke puncak tapi tetap juga tak sampai-sampai. Geram pun ada tengok Adif selamba aje berlagak dialah yang paling perkasa duk merentas hutan belantara gunung sedangkan aku ni duk termengah-mengah menahan gigil kaki yang hampir-hampir menyerah di separuh perjalanan. Nasib baiklah Adif temankan aku rehat 15 minit. Tapi apalah erti 15 minit kalau lepas tu aku kena berhempas-pulas jugak naik ke atas sebab tak ada orang yang turun ke bawah dalam rombongan yang kami sertai.
"Rian..."
Panggilan Adif yang baru sahaja selesai mandi tidak aku pedulikan. Kalau boleh cabut kaki ni teringin juga aku nak cabut untuk menghilangkan rasa penat yang amat.
"Rian, wake up. Kenapa baring di bawah?"
"Kejap aje, nak maghrib nanti saya bangunlah..." Aku cakap dengan nada malas. Tak larat nak buka mata dah. Kepala pun terbang melayang-layang entah pergi ke mana.
"Mandilah dulu baru tidur."
Aku dengar Adif menegur tapi mulut aku terasa bagai digam untuk menjawab.
"Baringlah kat atas katil." Kali ini dia menyentuh tanganku dengan tangan dinginnya yang masih terasa lembap. Aku mengelak apabila ada air menitik ke dahiku.
"Jauhlah. Saya bau ni... masam."
"Tahu bau, mandilah. Yang awak baring macam ni bukannya dapat hilangkan bau pun."
"Kejap aje, please..." Aku merayu apabila Adif mula menarik tanganku. Lepas tu aku baring semula setelah Adif melepaskan pegangannya. "Kejap aje, kejap aje," racauku separuh sedar.
"Rian... Rian... Bangun..."
Terasa tangannya menyentuh pipiku tapi aku tak peduli. Terus nyenyak melepaskan penat yang masih menghenyak tubuh.
"Nak saya mandikan ke, baru bangun?"
"Hmm... hmm..." Aku menolak tangannya apabila dia menarik tanganku lagi. Nak cakap jangan kacau tapi otak aku dah melayang-layang. High gila, kalah orang makan pil khayal aku rasa.
"Betul nak saya mandikan?"
Lepas aje Adif cakap macam tu, aku dah tak sedar apa-apa sampai entah berapa lama aku berbaring di karpet. Terasa ada tangan yang membuka tudungku. Mata tak mampu nak terbuka tapi aku mampu jelas mendengar suara Adif menegurku.
"Dah nak maghrib, bangunlah."
Alamak dah nak maghrib, ke? Sedaya upaya aku membuka mata tapi tak boleh. Akhirnya aku tidur balik walaupun terasa tangan seseorang mengangkatku entah ke mana. Tak lama kemudian bibirku pula yang disentuhnya. Dalam susah payah aku buka juga mata sedikit dan ternampak wajah Adif benar-benar hampir denganku. Dia tengah cium aku ke ni? Ah, Rian... Mimpi pun tak boleh ke mimpi benda yang elok sikit. Ni mimpi kena cium suami sendiri. Dah tidur balik sana! Sempat hatiku berbisik marah.
Apabila aku tersedar dari tidur, hari dah beransur malam. Cepat-cepat aku bangun dengan perasaan terkejut badak. Dah terlepas maghrib ke ni? Serius dah malam ke? Aku tilik jam di tangan, dah dekat pukul 7.20. Tak lama lagi isyak sebab apa yang aku tahu di Sarawak ni awal sangat waktu solatnya berbanding di semenanjung.
Terkocoh-kocoh aku bangun mencapai tuala. Apabila aje aku sampai ke pintu bilik air, katilku yang telah terusik tadi kupandang lagi dengan kening yang hampir bertaut. Kenapa aku boleh tertidur kat atas tu masa tengah berpeluh-peluh tadi? Isk... Aku mengetuk dahi sendiri.
Adif! Adif mana? Mataku liar mencari kelibat Adif namun tiada. Mungkin ambil angin di luar, agaknya. Keluar dari bilik air, Adif kulihat ada duduk di depan laptopnya. Kemudian, dia ajak aku makan malam.
Selepas makan malam aku lihat Adif masih busy dengan laptop dia. Hairan aku sebab setahu aku pa taklah kejam sangat sampai minta Adif bawa kerja waktu sedang honeymoon. Aku yang tak berani nak tegur dia sebab muka serius dia tu, terus layan telefon bersembang dengan Rina, Nur dan Mun. Dia orang sibuk minta kirimkan beli kek batik Sarawak macamlah aku tahu di mana benda tu ada. Hari Raya pun jauh lagi ni. Kalau Hari Raya, confirm tepi-tepi jalan tu banyak dijual. Tapi tak tahulah kalau di airport nanti ada dijual, insya-Allah aku bawakan untuk dia orang.
Dekat pukul 9.45, aku tertidur kepenatan. Tak sempat pun bercakap dengan Adif, barang sepatah sejak bangun dan solat jamak maghrib dan solat isyak tadi. Di meja makan pun kita orang duduk diam-diam. Aku memang jenis yang tak berani tegur orang kalau orang tu tunjuk muka ketat. Kut-kut dia marah sebab aku tidur petang tadi...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top