BAB 21
KAMI sampai juga ke destinasi bulan madu kami. Terbuka je pintu bilik resort...
"Adif," seruku perlahan. Kalau boleh aku tak mahu dia dengar aku sebut nama dia tapi mulut ni terpanggil juga nama lelaki itu.
"Kenapa?" Soalan Adif membawa maksud dia memang dengar jelas-jelas nama dia dipanggil. Aku tunjuk riak selamba sambil mengangkat bahu. Beg tangan kukemaskan di bahu tanda tiada apa yang hendak aku cakapkan sebenarnya.
"Saya sengaja pilih bilik ni. Ke awak dah sedia sebenarnya?" Adif meletakkan beg di atas tilam bersaiz queen.
"Awak dah bersedia ke, Rian?"
Aku tertunduk sambil melangkah ke katil bersebelahan dengan katil yang Adif sedang duduk sekarang ni. Ada ke pengantin baharu tidur asing-asing katil macam ni? Ini dah bukan bulan madu namanya...
"Kalau awak dah bersedia tak apa, malam ni kita boleh tidur di katil ni sama-sama." Dia menepuk tilamnya beberapa kali sambil tersengih. Aku kerutkan wajah sebab sakit hati, terasa diri dipermainkan oleh mamat mata sepet ni.
"Saya tak sedia lagi!" Aku ucap tanpa memandang wajah lelaki itu. Boleh sakit jiwa bermain kata dengan Adif.
Biarlah Adif tak perli-perli aku dengan perkataan 'sedia tak sedia' lagi. Asyik benda tu aje jadi bahan dia nak perli aku. Adif yang sedang tersenyum sinis tidak lagi aku pedulikan. Sengaja aku keluarkan baju tidur di dalam beg bagasi yang aku letakkan di tepi katilku untuk mandi malam.
Sampai di airport pun hampir pukul 7.00 malam, campur solat yang awal gila di Sarawak ni, singgah makan sekejap di McD, lepas tu baru gerak ke Santubong Resort. Akhirnya kami sampai ke lobby Santubong Resort ni tepat pada pukul 10.00 malam. Mandi dan tidur lagi baik daripada melayan Adif yang dari pagi tadi buat layan tak layan je kat aku ni.
Sedang aku menahan rasa, aku lihat Adif bergerak menuju ke balkoni. Dia buka pintu, lepas tu keluar ke balkoni. Termenunglah dia di situ.
Aku tak endahkan dia lagi. Tumpuanku kembali kepada beg baju-bajuku. Baju tidur yang aku beli dengan Mun dan Nur tempoh hari aku sembunyikan di bawah baju-baju yang lain. Sumpah aku tak kan pakai depan Adif. Tak naklah jadi bahan gelak lelaki itu apabila nanti dia fikir aku nak menggoda dengan baju jarang-jarang ni. Aku masuk ke bilik air dengan perasaan bengang. Adif tu memang tak terjangka. Kata cinta, kata sayang, tapi kenapa bila dah kahwin macam aku je yang syok kat dia. Dia sikit pun tak hairan aku ada. Ke, memang dia saja nak main-mainkan perasaan aku sebenarnya?
Selesai mandi dan menukar pakaian tidur, aku terus merebahkan tubuh ke katil. Menguap berkali-kali walau sebenarnya tak penat mana pun. Tapi apabila tengok langsir di balkoni ditiup angin dengan pintu terbuka luas aku jadi tertanya-tanya, apa yang Adif buat di luar sana.
Aku turun dari katil dan terus menuju ke balkoni. Aku singkap langsir dari dalam dan perhatikan tubuh Adif yang membelakangiku. Dia nampak gelisah aje.
Belum sempat aku menegur dia, Adif bawa tangan kanannya ke muka. Aku buntangkan mata sebab tak percaya.
Adif merokok? Kenapa selama ni aku tak tahu? Aku gigit bibir bawah dengan pelbagai rasa yang mengetuk. Sudahlah aku memang anti perokok, sampai hati dia merokok tanpa pengetahuan aku. Apalah salahnya dia beritahu aku sewaktu kami bertunangan dulu?
Dia tiba-tiba buang rokok dia tu ke luar dan membalikkan tubuhnya menghadapku. Nampak macam dia sedikit terkejut tapi lepas tu dia buat riak wajah bersahaja. Konon tak terkesan setelah aku kantoikan sifat buruk dia tu. Rambutku yang sudah menampar wajah dek angin laut yang kuat cepat-cepat kuselitkan di telinga.
"Awak merokok, Adif?" soalku perlahan.
"Awak tak suka?"
Memang selama ni aku sendiri maklum yang Adif kalau disoal akan menyoal balik tapi tak tahu kenapa tiba-tiba malam ni aku jadi berbara. Sakit melihat dia seperti mengambil ringan tentang hal-hal yang aku benci selama ni walaupun dia sebenarnya langsung tak tahu kebencianku kepada perokok macam dia.
Melihat aku membekukan diri, Adif mendekatiku. Dan aku tanpa menunggu terus berundur selangkah menjauhinya, berdiri benar-benar di pintu balkoni. Adif tidak mengalah terus memegang kedua-dua bahuku kejap.
"Saya bukan perokok tegar. Kalau awak tak suka, saya tak akan merokok lagi," ucapnya.
"Tangan kanan tu patut buat kerja-kerja elok, bekerja, beri sedekah, akad nikah pun awak kena guna tangan kanan, kan? Kenapa nak buat kerja-kerja tak elok dengan tangan kanan awak tu?" perli aku. Rasanya dikumpul-kumpul perasaan bengangku sejak semalam, fasal tu juga aku jadi sesinis ini. Biar padan dengan muka dia! Getus hatiku geram. Lupa sejenak yang dia sudah pun sah menjadi suamiku.
Adif tergelak kecil memerhati wajah masamku. "Awak pun reti marah suami, ya." Lembut aje dia bercakap, seakan-akan cuba memujuk diriku. Aku tolak tangan dia ke tepi, tak mahu terpedaya dengan pujukan dia yang julung-julung kalinya.
"Rian, awak tak menyesal saya jadi suami awak?" Tiba-tiba dia tanya sambil merenung wajahku tunak. Aku menggigit bibir lagi. Takkanlah sebab merokok aje aku terus menyesal dia jadi suami aku? Dia ni pun cakap tak ikut logik ke apa? Dah dia sendiri yang janji tak akan merokok lagi, takkanlah aku marahkan dia terus-terusan. Aku pun ada kelemahan sendiri yang dia kena terima, macam aku yang sedang cuba menerima segala-galanya tentang dia.
"Saya tak menyesal sekalipun awak bekas penagih dadah," ucapku spontan. Sengaja menyakitkan hati dia.
"Maksud saya bukan itu. Saya nak awak janji dengan saya yang awak tak akan pernah menyesal berkahwin dengan saya, Rian. Seburuk-buruk saya, awak tetap akan berada di sisi saya walaupun awak terpaksa dibuang keluarga. Awak boleh janji pada saya?"
Berkerut dahiku mendengar dia cakap macam tu. Apa yang Adif merepek ni? Tak mungkin ma dan pa buang aku daripada hidup mereka.
"Ma kata kita kena terima buruk baik suami sebab syurga perempuan sudah beralih arah bila dah bersuami. Lagipun tak mungkin ma dan pa buang saya. Kita kahwin depan mereka, bukan kita kahwin sorok-sorok. Awak kan menantu pilihan dia orang?" Sambil itu, aku menyelak rambut yang jatuh ke pipi.
Adif senyum nipis.
"Awak dah janji, awak tak boleh ingkar." Adif memasukkan tangannya ke dalam poket seluar.
Aku mencemik muka. Dia ingat aku budak umur lima tahun agaknya.
"Saya nak tidur."
"Awak janji dulu pada saya." Adif menarik pergelangan tanganku. Aku tergamam apabila dia buat macam tu. Terasa darah naik ke muka. Rasa marahku tadi hilang serta-merta apabila dia bercakap dengan nada lembut memujuk.
"Kenapa?" Aku tanya sambil memalingkan wajah kepadanya.
"Sebab saya dah mula suka awak."
"Ha?" Aku kecilkan anak mata. Acap kali aku mendengar dia meluahkan cinta, sayang dan suka dia tapi semakin banyak kali aku dengar semakin tu aku rasa dia main-mainkan aku.
"Saya tak suka awak cakap macam tu," luahku berterus-terang.
"Lah, kan saya mengaku cinta. Kenapa tak suka pula?"
"Saya tak suka awak main-mainkan saya, Adif."
"Bila masa pula saya main-mainkan awak?"
Aku mengeluh kecil, kalah dengan persoalan lelaki itu kali ini. "Yalah, saya yang rasa saya dipermainkan. Sebenarnya awak serius, saya je yang tak reti menilai," perliku secara halus.
"Awak tak suka saya macam ni ke?"
"Bukan tak suka. Cuma kalau boleh saya tak nak awak berteka-teki dengan saya. Saya malas nak menyerabutkan otak saya ni. Kalau boleh saya nak awak straight to the point je, tak perlu jadi misteri."
Adif mengangkat keningnya. Senyuman di bibirnya juga semakin melebar. "Mana ada saya misteri, Rian. Saya memang begini dari dulu. Lagipun buat apa saya nak main-mainkan awak? Awak dah lupa agaknya yang awak tu isteri saya."
Memang taklah untuk percaya bulat-bulat kata-kata Adif tu. Tengok dia senyum pun aku dah tahu dia sengaja nak main-mainkan aku sebenarnya.
"Saya malas nak layan awak. Nak tidur. Lepas tangan boleh tak?"
"Tak boleh."
"Nanti ada orang nampak saya kat sini, Adif."
"Kita di bilik kita, bukan di tempat terbuka. Lagipun, tak ada siapa boleh nampak. Semua orang dah tidur waktu ni, Rian."
Aku mengetap bibir geram dengannya.
"Saya ikhlas sayangkan awak," ucapnya dan menarik tubuhku menghampirinya.
"Awak tak konsisten, Adif. Macam mana saya nak percaya?"
Adif nampak terjeda apabila aku cakap macam tu. Seboleh-bolehnya aku tak mahu cepat hanyut akan cinta Adif yang aku masih tak boleh nak gapai tu.
"Nampak gaya saya kena guna cara lain untuk buat awak percaya." Adif mengenyit mata. Aku memandang wajahnya penuh tanda tanya. "Maksud awak?" Aku bertanya.
Tiba-tiba Adif menarik aku masuk ke dalam. Dia tutup pintu balkoni dan terus tarik aku mendekati katil. Aku terkebil-kebil cuak. Apabila aku menarik tanganku, Adif terus memegang bahuku dan mendudukkan aku di sisi birai katil. Belum sempat aku cakap apa-apa, Adif mengambil kerusi yang terletak di meja rias dan duduk di hadapanku.
"Saya tak akan pindah ke rumah awak dengan keluarga awak tu."
Tiba-tiba dia cakap dan aku jadi tak faham. Masuk bab lain ke sudahnya? "Kenapa?"
"Saya tak akan tinggal di rumah keluarga awak sebab saya ada rumah sendiri."
"Saya kena tinggal dengan awak, ke?" Di kondo tu ke? Ayat yang seterusnya tak mampu keluar dari tekak, risau Adif kecil hati pula.
"Awak tak nak?"
Aku pandang wajah dia dalam-dalam. "Adif.."
"Saya tak kata kita kena tinggal bersama kalau awak tak nak tinggal di kondo saya." Senyuman sinis beriak di hujung bibir Adif.
Sah, dia nak kami tinggal di kondonya tempoh hari. Dalam diam sebenarnya aku mengharap kami tinggal di rumah sendiri selain kondominium. Walaupun tak besar, tak mengapa asalkan rumah. Aku tahulah yang seorang isteri kena ikut ke mana aje suami dia pergi tapi serius aku tak biasa tinggal di kondo. Aku lebih selesa rumah jenis teres, kalau pun Adif tak mampu menyediakan banglo seperti rumah pa dan ma.
"Tapi kalau awak rasa awak isteri saya, awak kena pindah ke kondo saya." Dia sambung kata-kata dia tadi.
"Kenapa? Banglo ma dan pa cukup besar untuk kita berdua, kan?" Aku tak kesah kalau Adif nak cakap aku ni anak manja orang kaya ke apa ke, tapi aku memang tak mahu duduk di kondo dia tu. Walaupun rumah dia cantik dan kemas, tapi lif kondo, persekitaran kondo, aku memang tak boleh!
"Sebab tu rumah saya."
Ya Allah, kenapalah susah sangat mendalami apa yang tersirat di hati dia? Ke... selama ni dia memang tak pernah buka ruang hati dia untukku? Aku tak faham kenapa dia mesti tunjuk muka serius macam tu. Bukannya ada orang hina dia pun kalau dia tinggal di rumah ma dan pa.
"Saya... saya nak tinggal dengan ma."
"Are you sure about that?" Adif menyoal. Mataku dia tenung tajam.
Aku terpaku tidak menjawab. Tidak tahu lagi harus menyatakan bagaimana sedangkan aku mengharap dia yang faham apa yang aku rasa. Silapku juga tidak berbincang tentang tinggal di rumah siapa sebelum kahwin.
"Awak nak saya tinggal kat kondo awak tu?" Aku soal dengan nada tertekan. Rasa bersalah dan serba salah menjadi satu.
"You are my wife. Dah memang tempat awak di sisi saya."
Ya, aku isteri dia. Berdosa sekiranya aku menidakkan hak dia ke atas diriku.
"Saya bukan tak nak tinggal dengan awak..." Tak sempat aku hendak meluahkan kata-kata, Adif terus menyampuk.
"Awak nak tinggal dengan ma dan pa awak?"
"Adif, tu bukan maksud saya. Maksud saya awak dan saya tinggal di rumah ma dan pa. Ma dan pa pun sukakan awak, jadi tak ada masalah, kan..."
"Macam yang saya kata, kalau awak nak tinggal di sana boleh aje. Saya tak halang tapi saya akan tinggal di kondo saya."
Aku kemam bibir. Salah ke kalau aku mengharap untuk dia menerima keluarga aku dengan hati yang terbuka? Aku ni isteri dia tapi aku pun ada ma dan pa. Aku anak tunggal tapi dia beria-ia nak bawa aku tinggal jauh daripada keluargaku sendiri.
"Adif... Do you..." Air liur kutelan satu per satu. Terasa biji mata sudah berair menanti masa untuk membanjiri pipi.
"...hate me?" soalku sebak. Terbayang-bayang wajah tua ma dan pa yang benar-benar mengharapkan diriku dan Adif. Sampai hati Adif mengingkari kehendak mereka berdua. Bukannya Adif kena menghadap muka ma dan pa 24 jam pun.
"Saya tak pernah kata saya bencikan awak, Rian. Saya cuma nak awak sedar hidup awak dah ada saya. Awak isteri jadi awak kena ikut ke mana saya pergi. Susah senang saya, awak kena kongsi sama." Suara Adif sedikit menekan.
"Tapi kenapa setiap tingkah awak saya dapat merasakan bahang benci tu? Kenapa? Ke, awak memang bencikan keluarga saya?" soalku tanpa berfikir panjang. Adif serba salah memandang wajahku.
"Rian..." Namaku dia sebut. Matanya redup memandang wajahku lama.
"I'm sorry."
"Kenapa minta maaf? Awak ada buat salah pada saya?" Aku bertanya sebak. Jujur sebenarnya aku lemparkan tuduhan dia benci keluargaku tadi bukan atas sebab aku benar-benar merasakan perkara itu. Cuma aku masih tak faham kenapa dia beria-ia nak tinggal di kondonya walhal kami boleh saja tinggal bersama ma dan pa.
"Ke, awak ada inferiority complex?" Aku menyindir tanpa sengaja. Adif mengeluh panjang.
"Sebab awak kena tinggal dengan saya walau apa pun yang terjadi. Ini arahan dari suami awak, Rian! Keluarga awak dah jatuh nombor dua bila saya sah menjadi suami awak. Awak tak boleh tamak untuk memilih kedua-duanya. Awak faham arahan saya, kan?"
Adif terus berlalu menuju ke katilnya. Membiarkan aku terkedu, terlontar ke dalam gaung perasaan yang tiada noktahnya. Tidak menyangka ayat yang bakal keluar dari bibir Adif cukup berbisa.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top