BAB 20


KEGELISAHAN tidak mampu bersembunyi di sebalik riak wajah yang cuba kubiarkan tenang. Rina sudah acap kali menasihati diriku agar bersabar sedikit masa lagi dan memberikan aku sokongan moral, namun hati ni tak mampu untuk menipu. Bukan 10 minit Adif terlambat. Hampir menginjak pukul 11.00 pagi pun, dia belum lagi memunculkan diri sehingga tetamu yang datang sudah mulai bising.

Aku apatah lagi, memandang wajah ma dan pa pun dah tak boleh dah. Jiwa tak mampu berirama tenang sama sekali. Aku rasa muka aku yang dah bersolek ni pun jadi biru hijau menahan gelisah kerana akad yang dijadualkan berlangsung pukul 10.00 pagi tertunda sehingga saat ini. Kalau Adif tak datang, bagaimana kehidupan aku selepas ini? Tak tenteram hatiku apabila mengenangkan tindakan Adif yang tidak pernah terduga itu.

"Dia dah janji," gumamku kecil. Sedih yang menggigit hatiku hanya Allah yang tahu. Ada ke dalam dunia ni pengantin lelaki boleh lambat seperti Adif untuk datang ke majlis sendiri? Ada ke? Ada aje, agaknya. Aku pujuk diri sendiri, kononnya ada aje yang lebih teruk dan sedih berbanding aku pada hari perkahwinannya.

Rasa nak mengamuk juga tapi aku tahan diri sendiri. Nanti apa kata orang kalau tiba-tiba pengantin perempuan pergi halau tetamu-tetamu yang datang? Mungkin Rina 'mendengar' luahanku lantas dia menggenggam jari-jemariku dengan erat.

"Sabar, sekejap lagi Adif datanglah tu. Tok kadi pun relaks aje aku tengok, kau nak menggelabah, kenapa? Dah, jangan buat muka berkerut takut nanti kau tak cantik macam pengantin lain di dunia ni."

Aku mengetap bibir mendengar omelan Rina. Air mata yang hampir mengalir kutahan bersungguh-sungguh. Risau kalau-kalau terjatuh setitis ke pipi, terus riuh satu ruang tamu ni dan yang pasti bakal mengundang sejarah hitam buat ma dan pa.

Kalau tidak mengenangkan ma dan pa, aku rasa macam nak berlari naik ke tingkat atas dan bersembunyi untuk jauh daripada segala-galanya. Tapi aku tahu kalau aku buat macam tu mesti ma dan pa malu besar. Satu aje yang aku harapkan saat ini, Adif datang walau apa pun yang terjadi kepada dirinya. Adif berikan kata putus hitam dan putih agar kami di sini terang dan faham kehendak dia.

"Rian..."

Aku menoleh ke belakang sedikit dan tiba-tiba Nur mengunjukkan telefon bimbit kepadaku. Perlahan-lahan kusambut dengan debaran menggunung di dada.

Butang mesej aku tekan dengan tangan yang separuh terketar.

Awak okey ke? Sekejap lagi saya datang.

Dan saat ini hanya Allah sahaja yang tahu betapa leganya hatiku. Walau dalam hati teringin menyumpah Adif tapi jiwaku sudah pun disirami air beku yang mematikan bara. Berkali-kali ucapan syukur singgah di bibirku. Tangan Rina yang menggenggam tanganku segera kubalas erat dengan senyuman di bibir.

"Dia datang," ucapku sedikit teruja. Rina mengangguk dan tersenyum lebar. Dan, aku hanya mampu membalas mesejnya dengan dua huruf saja iaitu 'TQ'.

"Insya-Allah. Kau doa banyak-banyak ya," kata Mun pula.

Wajah ma aku lirik dan kelihatan dia tenang menanti di sisi pa tapi aku tahu hati ma bergolak saat ini. Tak mengapa ma, Rian percayakan Adif. Apa-apa pun yang terjadi Rian tahu Adif akan datang. Dia dah janji pun dengan Rian, bisik hati kecilku walaupun ma dan pa berada agak jauh dariku.

"Pengantin lelaki datang dah!" Jeritan dari luar menghamburkan sejuta rasa di hatiku. Kupandang satu per satu wajah kesayanganku dan aku lihat air muka mereka beransur lega. Alhamdulillah.

Saat Adif datang, duduk di atas kusyen yang tersedia dengan baju Melayu berwarna hijau cair bersamping songket emas dadaku semakin berdetak kuat.

Aku tidak sedar apa-apa yang berlaku sehinggalah tangan Adif bertaut dengan tangan tok kadi 15 minit kemudian. Apabila semua saksi menyatakan sah atas lafaz akad Adif, entah kenapa air mata jatuh serta-merta membanjiri pipi. Hanya mampu memanjatkan beribu-ribu ucapan kesyukuran kerana akhirnya majlis penting sudah berlangsung dan aku sudah sah menjadi seorang isteri.

Sewaktu aku memeluk ma, wajah ma juga sudah basah dengan air mata. Dan saat aku berada di pelukan pa buat kali yang pertama sejak bertahun-tahun yang lalu, air mataku jatuh berderai-derai. Perlahan-lahan bibirku meminta kemaafan daripada pa, lelaki yang bersusah-payah membesarkan aku hingga saat ini. Semoga hidupnya penuh keberkatan dengan ma di sisi. Amin...

Bersaksikan semua yang hadir, Adif menyarungkan gelang emas di tanganku dan mengucup dahiku buat kali yang pertamanya, menyempurnakan majlis kami yang ringkas, menandakan hilangnya segala tembok haram di antara kami berdua. Bermulanya kehidupan baharu Rian Aulia.

"Pengantin lelaki handsome, tak sia-sia pengantin perempuan menunggu dari tadi!" Suara-suara nakal di belakang sana membuatkan bibirku terherot tipis.

Hilang segala beban di hati sudahnya apabila diusik berkali-kali. Lebih-lebih lagi apabila Adif selamba sahaja meletakkan tangan kirinya ke atas lengan kiriku sepanjang duduk berhadapan dengan tetamu yang ada semasa makan beradab.

Aku sudah pinta pada ma dan pa, tiada majlis persandingan tetapi ma tetap menyediakan tempat persandingan. Jadi, suasana itu lah juga yang membuatkan majlis ini nampak meriah. Semua orang duk sibuk bergambar di atas sofa pengantin. Nur kata yang dara-dara tu mesti nak ambil berkat untuk berkahwin. Habis, yang kaum-kaum sudah berkahwin beranak pinak pun ikut sama bertenggek atas kerusi tu nak ambil berkat apa pula?

"KENAPA awak lambat tadi pagi?" soalku ketika aku mengemaskan pakaian yang akan kami bawa untuk berbulan madu esok hari ke Santubong Resort.

Ma kata Korea sedang musim salji dan kalau nak shopping barang-barang kat sana murah daripada Jepun. Beria-ia ma mahu sponsor kami berdua ke Korea tapi Adif kata dia tak boleh pergi jauh sangat buat masa ni atas urusan keluarga. Aku tahu ma kecewa sedikit tapi lepas tu dia beria-ia suruh kami ke bumi Sarawak sebab di sanalah tempat dia dulu berbulan madu dengan pa. Apalah ma ni... Kuat betul sentimental value dia.

Tapi sebenarnya aku tak kesah pun berbulan madu di mana-mana pun sebab apa yang penting masa itu akan aku pergunakan sebaik-baiknya untuk mengenal hati budi Ahmad Adif Rayqal. Lagi pula percutian ini ma dan pa yang uruskan semuanya. Jadi, aku tak nak demand lebih-lebih ke Paris dan Rusia walaupun itu yang menjadi impianku dari dulu, melancong ke kota paling romantis.

Teringat-ingat wajah Nur yang tergelak apabila mendengar impianku. Dia kata sekarang ni orang sedang demam Korea, mana ada orang pergi Paris lagi. Paris tu entah zaman bila, sekarang ni orang dah beralih arah ke negara yang popular dengan kisah Winter Sonatanya. Tapi Nur memang macam tu. Rina dulu kata dia nak pergi ke New Zealand untuk berbulan madu pun dia larang habis-habisan sebab Rina nak pergi ke sana semata-mata mahu merasa pengalaman memerah susu lembu. Okeylah tu daripada Nur, dia mahu pergi ke Jepun semata-mata nak tengok bunga Sakura, sama juga gilanya kan? Tapi, itu kisah bertahun yang lalu, ketika kami sama-sama belajar, belum berjumpa pilihan hati.

"Jammed," jawab Adif sepatah. Berkerut dahiku mendengar alasannya. Angan-angan ketika zaman persekolahan bersama Nur, Mun dan Rina melayang terbang.

"Lagipun adik saya sakit tiba-tiba, nak kena bawa dia ke hospital."

"Adik awak sakit? Okey ke sekarang ni dia? Kenapa tak cakap awal-awal pada saya?" Aku tunjukkan riak terkejut sambil menghentikan lipatan baju-baju yang hendak kumasukkan ke dalam beg. Tapi, kulihat Adif selamba aje.

"Patutlah awak tak kenalkan sesiapa kat saya sebagai adik awak. Jomlah saya temankan awak melawat dia sekarang," ucapku pula. Adif tersenyum kecil sambil menggelengkan kepalanya.

"Dia okey sekarang ni, jangan risau."

"Saya tak pernah jumpa dia lagi. Siapa nama dia, Adif? Adik awak pun adik saya juga."

Aku kesal sebenarnya. Dalam masa yang sesingkat usia perkenalan kami, masih belum cukup untuk aku mengenali keluarga dia dengan lebih dekat lagi. Teringin untuk aku mengenali mereka yang berada dekat dengan Adif. Adik dia, arwah mak dan ayah dia, mak cik dan pakcik dia, sepupu-sepupu Adif juga... Tapi sayangnya Adif tidak pernah mengungkit cerita tentang mereka.

Pagi tadi, yang mengiringi Adif cuma beberapa orang rakannya yang kukira staf pa juga dan Sha sekeluarga. Mungkin aku pun jarang bertemu dan bertanya dengannya tentang keluarga Adif menjadi penyebab mengapa dia jarang membuka mulut tentang keluarga dia sendiri. Tidak mengapalah Rian, masa masih panjang lagi. Lambat-laun aku pasti mengenali keluarga sebelah suami.

"Awak dah lupa ke?" soal Adif memandang wajahku lama.

"Apa dia?" Aku menaikkan keningku tanda tidak faham dengan apa yang cuba Adif sampaikan. Adif tersenyum kecil sebelum menggelengkan kepala.

"Tak ada apalah. Nama dia Nur Adelia."

"Nur Adelia...Cantik nama dia," pujiku ikhlas. Adelia, cantik sangat nama tu, mesti secantik pemilik namanya. Melihat wajah Adif pun aku dah tahu mesti adik dia cantik. Aku pandang wajah Adif lama, walaupun sepet sedikit tapi mata itulah yang menjadi penaik seri wajah lelaki itu. Kacaknya dia...

"Esok kita fly," keluhku kecil.

"Esok lusa bolehlah jumpa Adelia. Dia dah besar pun, tua sikit dia daripada awak. Jangan awak ingat dia baby sudah." Adif selamba merebahkan diri ke katil selepas mengemaskan bunga-bunga mawar yang sengaja ditaburkan di atas tilam aku tadi. Aku tersengih panjang. Dia ni macam boleh baca aje apa yang aku fikirkan.

"Kita tak nak ubah panggilan ke, Adif?" soalku memberanikan diri apabila melihat Adif sudah pun memejam mata. Baju-baju yang kukemas tadi sudah pun selesai dimasukkan ke dalam beg. Aku menarik zip untuk menutup beg roda dan meletakkannya di tepi dinding di sisi almari.

"Hmm?" Adif membuka matanya semula dan terus melontarkan renungannya kepadaku. Aku tertelan air liur sendiri jadinya. Malu dan segan menguasai diriku saat ini kerana terpaksa memulakan sesuatu yang patut dimulakan oleh Adif. Tapi Nur kata lelaki jenis 'kayu' ni, kita kena berani sikit. Kalau tak, lambatlah perkembangan hubungan kami nanti. Tahu-tahu pula Nur yang Adif ni jenis 'kayu'.

"Macam awak panggil saya, Rian. Saya panggil awak, a... abang..." ucapku teragak-agak.

"Awak nak panggil saya, abang?" Adif menyoal hairan. Lepas tu dia ketawa kecil.

"Awak panggil saya sayang pun boleh je, Adif." balasku sengaja mematikan tawanya. Orang sedang serius dia macam main-main pula. Kali ini dia pandang wajah aku dengan tajam.

"Awak serius ke?"

Aku mengangguk kecil. "Ke, awak nak saya panggil awak, err... sa... sayang?"

"Awak dah cukup sedia ke panggil saya macam tu?"

Aku terkulat-kulat mendengar pertanyaan selamba Adif. Bila dia kata 'macam tu', aku tahu maksud Adif ialah panggilan 'sayang' yang aku nak gunakan untuk dia. Memang betul pun, aku tak bersedia. Rasa kaku di hujung lidah untuk memanggil dia 'sayang'.

"Awak memang sayang saya ke, Rian?" soal Adif menduga.

Aku sengih aje bila dengar dia tanya macam tu. Dalam hati ni dah meraung sebab mulut sendiri gatal untuk memberikan cadangan yang agak melampaui batas lumrahku sendiri. Tapi kalau nak berlagak innocent gaya perempuan 60-an, malu-malu kucing macam tak patutlah pula. Aku rasa sampai bila-bila pun kami berdua berbahasa awak-saya melihat daripada perkembangan kami sejak siang tadi yang skemanya ala-ala orang baru berkenalan.

Melihat aku hanya membeku berdiri di tepi katil, Adif yang menyandar di kepala katil terus berdiri tegak sambil membetulkan gebar. Macamlah dia dah pernah tidur di katil tu bertahun-tahun je lagak dia. Selamba dan bersahaja.

"Kalau awak dah cukup sedia saya tak ada masalah, Rian. After all you are my wife. Tak salah kalau awak panggil saya macam tu." Lagi dia kata panggilan sayang-abang tu 'macam tu' aje. Agaknya Adif memang tak ada hati nak sebut perkataan tu kut. Yalah baru hari pertama kami menjadi suami isteri, yang aku ni dah terlebih advance berani sampai dia tak sanggup sebut perkataan tu.

"Jadi awak dah sedia ke sekarang ni?"Adif tanya lagi dengan nada selamba apabila aku masih lagi terpaku tanpa kata. Adif siap berpeluk tubuh menilik diriku dari atas ke bawah. Dia ni kenapa tengok aku sampai macam tu sekali? Tak cantik ke aku pakai baju macam ni?

"Saya memang dah bersedia lama dah. Sebelum jadi isteri awak lagi saya dah bersedia," ucapku teragak-agak. Melihat Adif mempamerkan wajah serius dia tu, spontan jari-jemariku menggaru rambut di tepi telinga. Kekok. Segan!

"Err... maksud saya, yalah... kitakan dah bertunang masa tu, jadi tak salahlah saya bersedia nak panggil awak 'macam tu' sebelum kita berkahwin. Untuk awak jugak, kan?"

Selesai aje aku cakap, aku rasa muka aku naik merah mendadak. Lagi sekali aku rasa macam nak cilikan mulut sendiri. Sebelum jadi isteri dia lagi dah bersedia ya, Rian? Kenapalah banyak-banyak ayat, ayat macam tu pula yang terkeluar dari mulut aku ni? Kenapa? Bertuah punya mulut buat khianat tuan dia sendiri. Hesy!

"Err... Awak tidurlah, saya offkan lampu, ya." Aku terus bergegas menuju ke tepi pintu bilik dan menutup suis lampu bilik tu. Tapi lepas lampu bilik dah malap, aku terus menyumpah diri sendiri. Apa fasal aku tutup lampu bilik ni? Kenapa? Aku terus pejamkan mata rapat-rapat. Tak boleh fikir apa lagi dah. Makin fikir makin mengarut-ngarut saja terasa.

Geram tak terkira dengan jari-jari yang tekan suis off lampu. Rasa nak ketuk-ketuk. Serba tak kena pula aku ni. Kut ya pun ternervous malam pertama, tak boleh ke cover diri tu sikit? Haila Rian... Haila...

"Nak berdiri kat sana sampai bila? Tidurlah. Saya tak usik awak malam ni," getus Adif tiba-tiba. Aku hela nafas akhirnya selepas lama menahan nafas sendiri. Faham sangat dah apa maksud 'usik' Adif tu.

Aircond, sengaja aku turunkan suhunya sebab nak sejukkan hati sendiri. Dalam diam aku kecewa kerana cadanganku tadi tentang abang-sayang, sikit pun Adif tak praktikkan.

Wahai Saudari Rian Aulia, inilah yang dinamakan, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong! Memang padan dengan muka aku, lagi nak berlagak berani, kan? Lepas ni sumpah aku tak nak ikut lagi cadangan Nur yang boleh membuat muka aku pijar sampai esok hari.

Aku angkat kaki ke sisi kanan katil dan tidur di sisi Adif. Jauh antara kami sampaikan boleh letak dua orang Rian lagi di tengah-tengah ni. Tapi memang taklah kalau aku yang pergi tidur peluk-peluk dia. Mahu nanti dia gelar aku perempuan gatal pula.

AWAL pagi aku terbangun dengan sendirinya, ma tak gerak pun. Kira ajaiblah sebab selama ni kalau ma atau orang gaji tak kejut, memang Rian Aulia tak akan terbangun punya. Waktu aku sedar tu pun rasa macam tak percaya hari masih gelap-gelita.

Apabila tersedar, betul-betul kejadian semalam yang aku ni dah jadi isteri orang menerpa ke kepala. Terus aku toleh ke tepi, tempat seorang suami beradu. Hampir-hampir aku terlompat melihat Adif sudah berada dekat di sisiku. Bukannya kami tidur berjauhan ke semalam? Melihat tangan Adif yang sudah melingkari pinggangku dengan selimut yang tertarik ke bawah kaki membuat aku tergamam.

Biar betul, Adif ni ganas juga dia tidur? Suhu aircond yang sengaja aku jatuhkan malam tadi sampai aku rasa nak menggigil, boleh pula Adif bertahan tidur mati. Cepat-cepat aku tolak tangan Adif dan terus bangun tapi masih duduk di atas katil. Aku gapai telefon bimbit di meja kecil sebelah katil dan menilik jam di skrin telefon. Pukul 5.00 pagi dah pun, kena bangun terus walau aku teringin sangat nak tidur balik.

Perlahan-lahan aku cecahkan kaki kanan untuk turun dari katil agar tidak mengejutkan Adif. Malam tadi boleh pula dia berguling ke tempat tidur aku, nasib baik aje aku tak tercampak ke bawah katil. Teringat balik kata-kata Mun yang lelaki ni kalau tidur memang menyakitkan hati. Berdengkur satu hal, timpa kita satu hal.

Aku tak boleh nak bayangkan 'kena timpa' pada mulanya. Sekarang dah faham maksud 'timpa' Mun tu apabila kaki sebelah kiri tak boleh nak gerak sebab kaki Adif timpa kaki aku. Aku cuba alihkan kaki Adif sedikit demi sedikit tapi lepas tu tangan aku tiba-tiba dia paut. Hampir-hampir terjerit apabila Adif tarik tubuh aku sehingga jatuh ke tilam. Aku terbaring semula di sisinya. Mukaku sudah tunjuk riak terkejut.

"Lepaslah, saya nak bangun," ucapku lekas-lekas apabila terpandang wajah kelat Adif merenung wajahku. Adif kemudiannya melepaskan tanganku sambil meraup wajahnya dua tiga kali.

"Terima kasih." Tergesa-gesa aku bangun dan melangkah ke bilik air. Hati ni rasanya sudah terlonjak tinggi, terkejut dan seriau apabila tangan Adif tadi menarik lenganku dengan kasar. Nasib baik tak mati terkejut aje tadi.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top