BAB 2


APABILA aku belek stok baju pengantin yang baru datang sebentar tadi, rasa macam ada yang tidak kena. Jadi aku panggil Khairi untuk minta dia periksa baju pengantin sebelum disangkut ke ruang atas Butik Puteri. Khairi cakap mungkin aku mimpi sebab dia check, tak ada pula yang tak kena. Nak aje aku pergi ketuk-ketuk kepala dia.

Sebenarnya bekerja dengan baju pengantin bagi perempuan yang belum berkahwin macam aku ni, perasaan tu agak tak menyeronokkan. Asyik tengok pasangan kekasih keluar masuk sambil pilih baju dengan muka teruja nak kahwin tu buat aku cemburu. Tapi nak buat macam mana, dah jodoh aku tak datang lagi. Bila nampak ada baju kahwin yang cantik, mulalah pasang angan-angan nak pakai untuk kahwin.

Tiba-tiba aje teringat kata-kata ma minggu lepas fasal blind date. Sampai sekarang pun tak ada khabar berita tentang itu walhal dalam diam aku mengharap juga. Agaknya ma lupa nak cakap kat pa kut?

"Rian! I rasa baju nikah ni kurang sepasang la. Baru I sedar tadi." Khairi jerit kecil. Aku terkejut mendengar kata-kata dia.

"Betul ke?" Aku soal dalam nada menggelabah. Aku pun terus berjalan laju ke arah Khairi yang sedang menyangkut baju-baju kahwin tu dengan muka separuh gelisah.

"Sepatutnya dua puluh pasang tapi ada sepasang tu tak ada kainnya." Khairi tunjuk kat aku sehelai baju cantik bersulam tapi bahagian atas aje yang ada. Tadi masa aku kira baju-baju tu, tak nampak pula kain bawahnya tak ada sebab aku fikir baju ni gaya jubah tapi setelah digantung macam ni, tak mungkin pula baju ni tak ada kain sebab bawahnya diperbuat daripada kain jarang.

"Contact balik Husni, tanya kat dia kalau memang tak ada kain bawah, balikkan aje ke kilang. Nasib baik you gantung baju ni dulu. Yang lain check jugak takut ada yang tak kena pula."

Pertama kali kejadian ini berlaku. Melihat Khairi yang buat muka blur, aku pun mengeluh kecil.

"Biar I aje yang buat. You teruskan kerja."

Tak fasal-fasal hari ni aku kena call Husni dan minta ganti rugi balik. Takkan nak jual baju kahwin tak ada kain pula. Tapi nasib baik juga dia cakap kain bawah ada tertinggal di kilang jahitan cuma masalahnya dia kata lagi, aku kena ambil sendiri sebab tak ada orang yang boleh hantarkan. Bertuah punya kawan! Nasib baik dia kawan aku jadi walaupun aku ni pelanggan tetap tapi aku juga yang kena bertolak ansur dengan dia.

"Khai! I ke kilang kejap, you jaga kedai ya!" Aku jerit sebab dia agak jauh dan Khairi pun jerit juga, jawab 'okey' kat aku. Kemudian, baru dia datang hampir ke tempat aku berdiri sambil membuat kerjanya.

"Sebelum lunch I balik." Aku beritahu Khairi sambil sangkut beg tangan ke bahu dan bergegas menuju ke pintu butik yang bertutup. Harap-harap Khairi dapat urus seorang diri. Pekerja aku sebenarnya ada empat orang tapi dua orang diserap ke cawangan baharu, jadi tinggal aku dan Khairi aje di sini sambil tunggu ma ambil pekerja baharu.

"Okey. Pergi ajelah, jangan risau. I tak keluar butik punya sebab I ada bawa bekal."

Aku tak mampu menahan senyum. Tiba-tiba rasa Khairi ni jenis old school sebab bawa bekal ke tempat kerja. Rajin isteri dia nak masak pagi-pagi. Kalau tak pun mesti Khairi sendiri yang kerah tenaga untuk bangun pagi semata-mata nak masak dan bawa bekal. Esok aku ingat nak suruh bibik sediakan bekal untuk aku sekali la. Tiba-tiba teringin juga nak bawa bekal.

Aku buka pintu butik, sambil-sambil tu pusingkan papan di pintu jadi 'open'. "I dah buka ni." Aku tunjuk papan kecil yang tersangkut di pintu lutsinar tu kepada Khairi yang sedang naik atas kerusi, menyangkut baju. Dia pun tunjuk ibu jari kat aku tanda bagus.

Apabila aku jalan di sepanjang deretan kedai, aku nampak kedai-kedai lain dah muka dibuka. Tiga tahun aku bekerja di sini jadi aku cukup maklum dengan keadaan suasana di dalam bangunan ini. Aku turun ke tingkat bawah untuk melihat Restoran Ayam Penyet paling popular dalam bangunan ini.

Aku melingas pandangan mencari kelibat Sufiah, owner restoran ini untuk memesan makanan kegemaranku seperti selalu. Aku rasa dia sedang sibuk di dapur sebab aku tak nampak bayang dia. Ada empat lima orang pelanggan yang menunggu di meja masing-masing. Waktu aku nak pusingkan badan, tiba-tiba aje mata aku terarah ke wajah seorang lelaki yang sedang duduk bersendirian.

Seperti magnet, mataku tidak lepas dari mencuri pandang ke arah lelaki itu. Macam pernah aje jumpa dia tapi aku tak tahu di mana. Lupa! Dia ada iras Cina tapi kulit tak berapa putih, agaknya Cina half blood kut? Rambut dia kemas rapi dengan mata sepet dan tubuh yang tegap.

Sekali pandang seperti orang berada. Tak pun kerja korporat. Tapi manalah kut-kut dia model? Dia pun pandang aku, mungkin tersedar ada orang sedang perhatikan dia. Aku pun cepat-cepat melangkah pergi. Kenapalah aku gatal sangat perhati dia? Erm... Janganlah lelaki tu ingat aku ni terpesona dengan kekacakan dia sampai tertoleh-toleh. Kalau ya dia anggap macam tu memang aku ni jenis yang buat malu kaum Hawa aje. Tapi, memang dia good looking apa? Aku yakin bukan pertama kali dia mendapat perhatian seperti itu dari kaum Hawa.

BEG tangan aku campak ke atas sofa rumah Mun, teman baik aku. Kita orang dari sekolah menengah dah berkawan. Ada tiga orang yang rapat dengan aku, dan Munira aje satu-satunya teman rapat yang sudah kahwin. Rina bertunang bulan lepas dan akan berkahwin pada tahun hadapan. Yang tinggal single tu hanya aku dan Nur Fikri.

Aku tak hairan apabila Nur kata dia nak kahwin ketika umur 30 pun sebab dia jenis yang berdikari. Nak kumpul duit dan nak bina kerjaya sendiri, katanya. Kadang-kadang kagum juga aku lihat Nur, walaupun dia workaholic tapi peminat sibuk beratur. Kata cantik tu tak, tapi mungkin dia ada communication skill yang tinggi, jadi tak susah untuk dia memikat mana-mana hati lelaki berbanding aku yang agak low-profile ni.

"Kenapa dah buat muka macam tu?" Mun letak balang berisi keropok di atas meja dan terus mendekatiku. Nur dan Rina sibuk di dapur, memasak. Aku hanya mampu mengangkat bahu sambil mengeluh kecil.

"Dah datang sini aku tak nak tengok muka masam mencuka, okey? Tak suka!"

Aku dah gelak bila dia tekan suara untuk perkataan 'tak suka' tu.

"Pian mana?" Aku tanya sambil mencapai balang di atas meja. Laju aje tanganku membuka penutup balang dan mengambil keropok yang baru digoreng oleh dia orang tadi.

"Outstation, hari Ahad dia balik. Rina teman aku tidur malam ni. Kau ni la datang pun lambat," rungut Mun, kembali berdiri sebelum terus masuk ke dapur. Aku tutup semula balang keropok setelah mengambil sedikit isinya dan bergegas mengikut langkah Mun. Haraplah dia orang tak marah sebab aku janji pukul 7.00 sampai tapi dekat pukul 8.00 baru aku datang.

"Kau rupanya yang datang, aku ingatkan orang jual minyak wangi!" Selamba aje Rina tepuk bahu aku kasar.

Err... Wangi sangat ke?

"Sorry lambat, jammed pula tadi. Dah la kena pergi kilang sebab dia orang kasi baju pengantin tak ada kain. Eh Rina, kau kahwin tempah aje baju nikah kat aku tahu. Aku kasi special harga punya..." Wah... aku beralasan sambil promosi butik ma sekali.

Apabila aje aku duduk, terus Nur buat isyarat kat aku supaya angkat ikan dalam kuali tu. Hampeh betul punya kawan, langsung tak boleh tengok orang duduk senang!

"Kau dah cukup kaya Rian, lagi nak perah poket aku..."

Pecah perut kita orang gelak dengar Rina mengadu. Apalah sangat yang kaya sedangkan semua tu harta pa. Elaun pun pa terus potong lepas aku dah kerja di butik ma, jadi tak ada harapan nak bergantung dengan duit pa lagi dah. Jauh lagi nak berangan jadi puteri yang kaya raya macam dalam cerita telenovela yang sibuk shopping tak ingat dunia dan melancong ke luar negara tak kira masa. Hidup kena realistik, tu pa cakap kat aku masa dia potong elaun sara hidup sebanyak RM2,000 sebulan tu. Mula-mula sedih juga tapi nasib baik ma beri gaji. Nasib baik juga benda yang aku makan hari-hari tu masih duit ma dan pa. Kereta pun dah free, hadiah daripada pa. Sebenarnya bila difikir-fikir aku ni tak senonoh juga la sebab dah besar panjang pun tapi masih bergantung nak isi perut dengan duit orang tua.

"Garing tak?" Nur menjenguk ketika aku mengangkat ikan ke dalam pinggan. Aku angguk kecil pandang kat dia waktu dia matikan api dapur.

"Sedap ni..." Mun ambil pinggan dari tanganku sambil tersengih-sengih.

"Rian tak tahu lagi tu, kau cerita balik topik kita tadi Rina." Nur angkat-angkat kening.

"Kenapa? Kecoh hal apa ni?" soalku blur.

"Entah dia orang ni." Rina angkat bahu sambil mengambil tempat duduk di kerusi yang paling tepi. Aku pun cepat-cepat ambil tempat sebab perut tiba-tiba aje terasa lapar tengok makanan yang terhidang di atas meja.

"Kenapa ni?" Aku kerut kening sebab dah mula rasa hairan. Mencurigakan je gaya dia orang macam sembunyikan sesuatu daripada aku. Mun sengih lebar sambil petik-petik jari kat meja.

"Makan dulu, karang kita cerita!" Nur tepuk bahu aku sambil gelak. Ni yang buat aku makin nak tahu. Suspens betul.

Kita orang atas meja makan tu bercerita fasal kerja, fasal sepupu Mun yang handsome dan pernah kita orang minat beramai-ramai kat sekolah dulu, sudah selamat mendapat PhD nya dari luar negara. Nur pula ada peminat, tapi masalah besar lelaki itu adalah seorang tan sri yang dah tua bangka. Mujurlah Nur menolak cinta tan sri itu.

Macam-macam cerita kami kongsi bersama. Dan yang paling aku terkejut, Rina kata Fuad minta diawalkan pernikahan. Maknanya tinggal sebulan aje lagi majlis mereka. Punya la terkejut sampai aku tak boleh nak komen apa. Patut pun dia orang duk buat muka suspens dari tadi.

Tapi tak sangka Rina nak jadi isteri orang macam Mun juga. Nampak cerah aje muka Rina. Berseri sebab badi nak kahwin kut? Nak kata sedih tu jauh tapi di sudut hati adalah rasa cemburu kerana rakan-rakanku yang lain seperti senang aje mendapat jodoh tapi aku ni tak melekat-lekat jugak.

Apabila umur menginjak 20-an isu jodoh ni automatik jadi bahan utama perempuan kena fikir lagi-lagi bila mana orang kiri dan kanan sibuk bertanya 'bila jadinya?'. Agak-agak bilalah ma nak buat blind date tu? Aku nak cerita kat dia orang fasal ma dah janji nak buat blind date tapi aku tak tercakap kat dia orang sebab risau malu benda tak jadi.

"Tapi aku cakap kat Fuad aku tak sedia lagi. Dalam enam bulan lebih kut baru jadi betul. Dua bulan tu rushing sangat risau nanti-nanti orang kata kita orang ni ada apa-apa."

"La!" Serentak aje kami bertiga mengeluh beramai-ramai. "Buat apa nak kesah dengan kata orang, Rina!" sambung Nur mendesak. Rina angkat bahu sambil tersengih kecil.

"Poin utamanya sebab aku tak sedia lagi. Nak kena menuntut ilmu macam-macam, masak pun aku tak pas lagi. Kalau Rian lainlah dia anak orang kaya, orang gaji merata-rata."

Aku pula jadi sebab dia kahwin lambat. "Aku pun kena belajar masak kut..."

"Masak tu nanti bila dah kahwin automatik terus hebat. Macam akulah," ucap Mun bersungguh-sungguh. Aku mencemik muka dan Nur serta Rina masing-masing sudah mencebik.

"Kau, aku masak lagi sedap, Mun," sampuk Rina.

"Kalau dah tahu sedap dah bolehlah kahwin," ucap Mun laju. Aku tak tahu dah nak percayakan siapa lagi. Sekejap Rina kata dia kena tuntut ilmu memasak tapi sekejap kemudian dia kata dia lagi hebat skill memasak berbanding daripada Mun. Jadi kesimpulan sebenarnya Rina tunda perkahwinan dia sebab apa?

"Tak bolehlah Mun, serius aku takut..."

"Takut tu sekejap aje, aku dulu pun rasa takut tapi okey tak jadi apa-apa yang teruk pun. Ala, paling teruk pun perut aku ni buncit tak memasal."

Kita orang terus gelak dengan kata-kata selamba Mun, tetapi tidak Rina yang bermuka serius. Jadi, ketawa aku dan Nur mati dengan tiba-tiba.

"Yang penting aku tak sedia lagi."

"Yalah-yalah, asal kau bahagia pun dah cukup baik Rina..." Akhirnya Mun mengalah dan aku rasa Rina pun dah puas hati apabila Mun cakap macam tu.

"Jom-jom!" Nur angkat gelas berisi air limau kasturi ke tengah meja. Rina dan Mun termasuk aku turut buat perbuatan yang sama, siap laga-laga gelas walaupun aku sedikit teragak-agak. Sebenarnya di awal dulu tak reti juga kenapa gelas perlu dilaga apabila nak meraikan sesuatu. Mula-mula sebelum ni aku fikir dia orang ni nak ikut stail orang Korea minum alkohol tapi Mun kata, buat tu main-main je bukan nak tiru sesiapa. Apa-apa ajelah janji dia orang seronok.

Tapi, setahu aku ketika zaman Napoleon Bonaparte, perbuatan itu sudah bermula saat beliau meraikan kejayaan menakluki jajahannya. Kiranya, orang Korea meniru orang Eropah dan kami berempat terikut-ikut gaya orang Korea gara-gara gila menonton drama Korea!

Tapi, baru-baru ini juga aku terbaca, orang barat melagakan gelas adalah berdasarkan kepercayaan mereka kononnya bunyi laga gelas seperti bunyi loceng di gereja. Minuman alkohol itu memabukkan, kononnya melagakan gelas untuk menghalau setan di dalam minuman tersebut.

Dan baru-baru ini juga aku mendengar seorang ustaz berkata, barang siapa meniru budaya sesuatu kaum, mereka juga tergolong dalam kaum tersebut. Jadi, hukumnya apabila kami melakukan? Sesegera yang mungkin aku akan beritahu dia orang supaya Mun, Nur dan Rina boleh mendengar cakapku tanpa bantahan. Jauh di hati aku ni, aku tidak mahu dia orang terikut-ikut lagi gaya itu walaupun sekadar untuk suka-suka. Kalau aku sorang yang menentang dengan tiba-tiba, aku bimbang diboikot pula oleh dia orang tu. Nampaknya perlu berhati-hati dan perlahan-lahan.

"Kita raikan hari penuh debaran buat Cik Sabrina!" Nur terjerit kecil. Masing-masing terus telan air ke dalam mulut. Nasib baik Mun buatkan air limau kasturi sebab dah lama aku tak minum air ni. Limau kasturi tu bagus untuk menyejukkan badan.

"Kita doakan Nur dan Rian pula lepas ni ya, Rina?" Mun dah kenyit-kenyit mata kat Nur. Aku pandang Nur spontan. Dia pandang aku sambil tersengih. Mentang-mentang dia tu banyak calon, tinggal pilih aje tapi aku ni masih solo lagi. Sabar ajelah kena bahan usikan oleh dia orang ni...

"Amin!" Aku tadah tangan ke langit dan usap ke muka. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top