BAB 19


"KAU buat apa sampai ke sana, Rian?" Soalan Nur mematikan lamunan pendekku lagi.

"Jalan-jalan."

"Esok kau nikah tahu tak?" Rina pula yang bersuara. Aku menghela nafas dalam.

"Kau orang, jomlah kita lepak kat Sate Kajang. Aku belanja."

"Kau gila!" Serentak dia orang bertiga menjerit. Aku tersenyum akhirnya walaupun senyum itu belum mampu menghentikan parah di hati ini. Namun, inilah yang seronok jika berlakunya perbualan tele conference antara kami. Perbualan antara empat orang yang berada di kawasan berbeza mengguna telefon pintar masing-masing.

"Jomlah. Aku tengah tension ni."

"Rumah aku kat Putrajaya lah. Kau ingat best ke drive jauh malam-malam buta ni? Esok pagi-pagi aku dah kena ke rumah kau untuk majlis kau. Lagipun husband aku tak bagi jalan malam-malam dah," jelas Rina panjang lebar.

"Tak apalah kalau macam tu," balasku lemah.

"Kenapa ni Rian? Esokkan nikah, kenapa sedih aje aku dengar suara kau ni?" soal Rina gelisah.

"Entah jadi ke tak," gumamku kecil.

"Rian... bawa-bawalah bersabar. Dugaan orang nak kahwin memang macam ni. Kau akan rasa sangsi, apa... semua tu normallah. Aku pun rasa macam tu waktu nak kahwin dulu. Tapi tu pun adalah satu pengajaran buat kita sebab alam rumah tangga lagi dahsyat ujiannya."

Hatiku terdetik mendengar nasihat Rina. Sedikit demi sedikit rasa lega mula membanjiri hati.

"Kau ni mulut tu tak ada tol jalan je... tiba-tiba cakap benda macam tu, tak baik tahu!" tegur Mun. Aku tahu dia menegurku, tidak mungkin menegur Rina yang memberi nasihat kepadaku.

"Yalah-yalah my mistake my bad. Kau orang tak nak teman aku lepak ke? Hari ni je, esok lusa aku dah jadi bini orang kut."

"Esok lusa boleh lepak pun, pergi balik cepat!"

"Sampai hati kau Mun. Lepak esok lusa lain feel dia."

"Banyaklah kau punya feel. Kejap aku tanya husband aku, dapat tak lepak dengan kau malam-malam buta ni!"

Aku tersenyum lagi. Kali ini senyuman senang hati kerana Mun memahamiku akhirnya. Suami Mun tak payah katalah sebab suami dia tu jenis sporting dan aku memang positif Mun akan datang juga ke sini.

"Aku sekejap lagi sampai, rumah aku pun tak jauh dari sana." Nur pula bersuara. Senyumanku semakin lebar terukir di bibir.

"Aku tak bolehlah, Rian. Aku dah kasi tahu awal tadi, kan? Husband aku tak berapa nak sporting macam Pian." Rina mengeluh kecil.

"Tak apa Rina, Nur dengan Mun ada."

"Aku minta maaf Rian, masa macam ni pula tak dapat temankan kau. Aku tahu kau tengah sedih."

"Tak apa Rina. Kau tu kira pengantin baharu lagi, aku faham. Aku ni pun dah kira menyusahkan Mun dan Nur. Kalau kau orang semua sibuk tak apa la, aku boleh je lepak sorang-sorang."

"Jangan nak mengada!" Ketiga-tiga mereka terjerit serentak. Aku gelak je. Rasanya mereka bertigalah sahabatku sehingga akhirat nanti, insya-Allah. Hati yang tak tenteram tadi sudah disapa sedikit rasa lega, alhamdulillah.

Tidak lama kemudian, Mun dan Nur sampai juga ke Sate Kajang. Selepas berpelukan seketika, kami mengambil tempat duduk masing-masing. Order sate juga ditambah.

"Nur kata ada pakwe mengurat dia kat pejabat. Tapi laki orang. Katanya laki orang tu nampak macam baik-baik je dan isteri dia curang di belakang," ucap Mun sambil menggigit sate daging dia.

"Sure ke?" Soalanku disambut dengan bahu Nur terangkat sedikit tanda tidak tahu. "No comment," balas Nur selamba.

"Suruh kau cari satu kau asyik kata tak menepati selera." Mun mengusik. Nur sudah mencebik kecil. "Ingat senang nak cari ke yang betul-betul baik, Mun? Kau lainlah kau dah ada." Nur mengeluh kecil.

"Apa mimpi kau malam-malam lepak ke sini? Jauh pula tu." Mun meletakkan kuah sate ke mangkuk kecil dan menghulurkannya kepadaku.

"Aku saja je."

"Rian, kita orang tahu kau ada masalah." Mata Nur menala ke wajahku seakan-akan cuba membaca perasaanku. Aku mengangkat bahu sedikit sebelum mengeluh kecil.

"Kalau bakal suami tiba-tiba tak jawab call dan mesej, kau rasa macam mana?" Bukan nak burukkan dia tapi setakat nak tahu apa yang tersarang di hati orang lain sekiranya mengalami situasiku ini.

Mun dan Nur berpandangan spontan. Aku perasan ada kerutan di dahi Mun tapi lepas tu Nur cepat-cepat cakap...

"Biasalah lelaki, dia orang ni memang batu ais sikit. Nanti lepas kahwin baru okey."

"Tapi aku call dia berpuluh kali." Aku mengeluh kecil. Nur tepuk bahuku lembut seakan-akan cuba melegakan perasaanku. Sekurang-kurangnya aku ada teman untuk berkongsi masalah. "Dan esok pula aku kahwin," sambungku lemah.

"Lelaki tak suka dikongkong, Rian," ucap Mun tiba-tiba. Aku gelengkan kepala beberapa kali tanda menidakkan kata-kata Mun yang satu itu. Mana pernah aku mengongkong hidup Adif. Mengongkong pada aku kalau perempuan tu 24 jam asyik tanya lelaki tu tengah buat apa, ada dengan siapa, nak pergi mana, aku ni boleh kira dengan jari tanya benda-benda tu semua sepanjang kenal dengan Adif. Boleh kira dengan jari sejak dua bulan lepas berapa kali aje aku jumpa dengan Adif. Nak tanya barang hantaran pun kena ghosting. Inikan pula nak mengongkong hidup dia.

"Baru je sebut nama dia. Ha, dia dah call." Nur cakap sambil menunjukkan telefonku di atas meja yang sengaja aku letak dalam mode senyap, risau kalau ma dan pa yang menelefon suruh balik. Nama Adif tertera kat sana. Dah empat kali ada 'miss calls' daripada dia.

Waktu macam ni baru dia telefon aku? Nak pujuk ke? Dalam mimpi je kut Adif nak memujuk. Malas aku menjawab telefon dia sebab tak tahu nak cakap pasal apa. Benda yang aku memang nak cakap kat dia pun aku rasa macam dah sia-sia je kalau beritahu dia sekarang ni. Hilang mood.

"Sepuluh kali dia call baru aku angkat," beritahuku selamba. Nur dan Mun serentak membulatkan mata.

"Melampaulah kau, Rian!" Nur tergelak kuat. Aku mencemikkan muka tanda hatiku masih lagi terluka dengan tindakan Adif. Lagipun mustahil Adif telefon aku sehingga 10 kali. Mungkin kali yang ke lima nanti dia putus asalah tu. Malas aku peduli lagi dah. Siapa suruh kejam sangat kat aku? Kalau aku telefon dia, boleh pula dia matikan telefon tu. Macam dia seorang je yang hebat, kan? Hatiku berbisik geram.

"Dia telefon lagi tu," kata Mun setelah kami menyepi. Aku memandang sepi ke arah telefon tu sambil mengerutkan dahi. Apa yang dia nak sebenarnya daripada aku? Nak cakap yang perkahwinan ini tak perlu diteruskan ke? Kalau dia cakap macam tu memang aku jadi gila malam ni. Aku pergi kondo dia, aku simbah minyak masak dan bakar terus. Nak tabur minyak diesel risau aku pula yang terbakar.

Tiba-tiba hati dimamah perasaan bimbang. Kalau betul Adif menelefon sekadar untuk memutuskan tali pertunangan ini bagaimana aku nanti? Aku tak apa. Kecewa itu tidak mengapa. Tapi ma dan pa aku bagaimana? Mereka dah jemput rakan-rakan dia orang, dah hebahkan pernikahan ini dan bersungguh-sungguh menyediakan perkahwinan aku ni supaya berlangsung dengan baik.

"Mana pernah dibuat orang esok menikah, sekarang lepak kat Sate Kajang," usik Nur tergelak kecil. Aku tersenyum kecil menutupi rasa yang kian tak tentu arah.

"Orang menikah esok, hari ni gaduh dengan bakal suami lagi la tak pernah dibuat orang," Mun sudah menyengih sendiri. Aku ketawa kecil.

"Ada aje, kita je yang tak tahu. Erm, aku ni teruk, kan?"

Mun dan Nur masing-masing sudah menggeleng kepala. Kemudian, Mun hulur sepotong ayam yang sudah dimasukkan kuah ke mulutku. Nak bermanjalah tu.

"Jawab je Rian. Kalau ada apa-apa kang susah pula kau nanti."

Riakku berubah apabila Mun kata begitu. Rasa bimbang yang terselit di hati semakin kuat menyentak jiwa. Kalau betul Adif buat hal nanti apa yang perlu aku buat? Takkan kut cari kambing hitam untuk dijadikan ganti suami aku macam dalam novel-novel Melayu? Lepas tu dibenci suami sendiri. Dah terluka seluka-lukanya, baru diambil balik oleh suami. Nauzubillah benda macam tu sepatutnya tidak terjadi dalam hidup Rian Aulia. Aku tak harapkan cinta setinggi Everest atau sesakti persemadian cinta Taj Mahal. Cukuplah seorang Rian Aulia boleh tersenyum sudah memadai bagiku.

"Tak naklah aku, tak sedia lagi."

"Tunggu esok ke baru bersedia?" Soal Mun lambat-lambat.

Nur mencapai telefon bimbitku dan diletakkannya di depanku. "Rian, dengar sini. Apa-apa yang terjadi kau mesti juga jawab telefon Adif ni. Mana tahu dia minta maaf ke, apa ke. Mungkin ada sebab dia buat kau macam ni. Kau kena minta penjelasan. Hal-hal lain lepas ni boleh bincang tapi tak elok kau diamkan aje macam ni. Nanti teruk jadinya."

Aku meraup wajah berkali-kali cuba menenangkan diri sendiri.

"Jawablah... dia dah telefon lagi tu." Mun menolak bahuku sedikit.

"Nantilah... Tak selera aku nak makan ni," jawabku lirih. Mun mengeluh kecil.

"Aku rasa dia telefon lebih daripada sepuluh kali lah Rian. Angkatlah, kesian Adif."

Aku mencerlung ke wajah Mun yang sedang tersengih kecil. Dia yang kasihan kat Adif pula dah. Aku ni macam mana?

"Jawablah, nanti dia merajuk betul baru padan muka kau. Mahu esok tergolek-golek minta ampun dengan suami," ucap Nur selamba sambil menyedut jus tembikainya.

"Kau ni..." Aku dah buat muka. Sampai hati betul Nur sumpah aku macam tu sekali.

"Ha, tak nak jadi macam tu sila jawab telefon Saudara Adif awak tu, Rian. Tak fasal-fasal lepas kahwin kena dera baru padan muka," ucap Mun berbaur usikan. Aku buat muka bengang sambil mengambil telefon bimbit yang terletak di atas meja agak kasar. Mun dan Nur masing-masing tergelak. Nak perli akulah tu.

"Helo!"

"Rian..."

"Ha. Saya ni." Langsung tak mesra alam jawapanku.

"Tak angkat telefon saya sebab marah?"

Dia tanya dengan nada lembut sehingga membuat hatiku berkocak sedikit. Tapi cepat-cepat aku buat muka semula bila melihat wajah Mun yang sudah tersengih-sengih memandang diriku.

"Kenapa nak marah awak?" Reverse psychology question. Adif juga yang ajar, jadi tak rugi pun kalau aku praktikkan.

"I'm sorry." Lembut aje suara dia menyapa telingaku.

Aku diam tidak menjawab, mahu dia tahu bahawa hatiku sudah ditoreh luka olehnya.

"Awak kat mana ni?"

"Kat sinilah."

"Kat sini tu kat mana? Saya di depan rumah awak ni, nak saya masuk, ke?"

Aku sedikit terkejut. Kalau dia masuk ke dalam rumah nanti habislah aku kena marah dengan ma.

"Tak payah... tak payah. Awak balik ajelah dulu."

"Rian, saya perlu jumpa awak."

"Untuk apa?" Aku membentak sedikit.

"Nak minta maaf kat awak."

Lega sedikit hati kerana tujuan dia telefon adalah untuk meminta maaf, bukan sebab tak jadi kahwin esok. "Itu aje?"

"Hmm..."

"Okey, saya maafkan awak. Dah sudah kan? Balik lah ke rumah, dah malam sangat ni." Aku menghela nafas lega setelah dia cakap macam tu. Nasib baik dia tak cakap nak putuskan tali pertunangan. Kalau tak, mahu aku menangis di sini juga, di hadapan Mun dan Nur.

"Nak jumpa awak sekejap aje. Saya tak lega selagi saya tak pandang awak, Rian."

"Saya tak ada kat rumah."

"Awak kat mana?" Suara Adif berbaur risau dapat kutangkap. Senyumanku sedikit terbit di hujung bibir sehingga membuatkan Nur dan Mun turut tersenyum sama.

"Saya kat Sate Kajang dengan kawan-kawan saya."

"Awak buat apa malam-malam pergi sana?" Adif terkejut. Kalau aku jadi dia, bakal isteri pergi makan sate kat Sate Kajang malam-malam buta mesti terkejut juga. Tak payah kata bakal isteri, kalau Adif sendiri pergi makan ikan bakar kat Bangi sedangkan esok nak menikah, mahu aku terjerit tak ingat dunia.

"Lepak dengan kawan."

"Marah kat saya sampai ke Kajang?"

"Layak ke saya marah awak?" Aku menyindir. Teman-temanku terus menatap wajahku serentak. Pakat terkejut dan cemas bersama.

"Saya ke sana sekarang."

"Tak payahlah..."

"Saya nak jumpa awak, nak minta maaf." Dia tekankan suara.

Dahiku terus berkerut. Berdetik juga hatiku mendengar kata-kata dia. Adif betul ke bersalah dalam hal ini? "Kenapa awak tak jawab telefon saya selama ni?"

"Saya minta maaf."

"Adif, awak tak perlu ke sini. Saya dah nak balik."

"Tunggu saya kat sana. Saya dah gerak ni, assalamualaikum."

Adif letak telefon tanpa menunggu kata-kata aku satu pun. Aku terkebil-kebil tanpa kata. Biar betul dia ni nak datang ke sini sebab minta maaf aje?

"Kenapa? Dia datang ke sini?" Soalan Mun aku jawab dengan anggukan.

"Gila! I mean, like seriously!" Mun membulatkan mata. Nur tersengih aje. "Biasalah tu bakal isteri dia pergi jauh-jauh malam-malam mesti dia risau."

Aku pandang wajah Nur sebentar sebelum kembali mengambil secucuk sate di pinggan. Aku tak rasapun Adif risaukan aku...

Dan setengah jam selepas itu Adif sampai ke tempat duduk aku. Nur dah balik, Mun pun dah balik sebab dah hampir pukul 11.00 malam. Aku terpaksa menunggu Adif walaupun dalam hati memang meronta-ronta nak balik ke rumah, nak biarkan aje Adif datang ke sini sia-sia.

"Lama tunggu?" Dia soal sambil mengambil tempat duduk di hadapanku. Dia senyum kecil walaupun jelas di wajahnya, dia keletihan.

"Tak pun. Saya nak balik dah ni. Nanti ma risau," Sengaja aku cakap awal-awal lagi macam tu kerana takut kalau-kalau Adif minta aku temankan dia makan di sini pula.

"Awak merajuk sampai lari ke sini?" Dia tanya berbaur usikan. Aku dah pandang muka dia pelik. Kenapa tiba-tiba jadi mesra alam dengan aku ni? Bukan dia dah naik menyampah kat aku sampai jawab call pun tak mahu tadi?

"Kenapa awak tak angkat telefon saya?" Aku soal dengan nada serius. Tak mahu lepas ni dia main-mainkan aku lagi.

"Awak ke rumah saya semata-mata nak tahu kenapa saya tak jawab telefon awak ke?"

Aku termalu sendiri dengan soalan yang dilemparkan oleh Adif. Sungguhkah begitu apa yang aku rasa?

"Salah ke saya buat macam tu?"

Keputusan aku ke rumah dia tadi memang satu kesilapan. Terasa nak marah diri sendiri pun ada waktu ni tapi kenangkan Adif ada di hadapanku jadi aku tahan juga diri yang sudah bercelaru saat ini.

Adif menggelengkan kepalanya sambil tersenyum kecil memandang wajahku dalam-dalam. "Saya tak kata salah, Rian," balas Adif.

"Awak tak suka saya ke Adif?" Aku tanya dia lambat-lambat, risau kalau-kalau dia jawab memang dia tak pernah sukakan aku. Haru pula aku menangis depan dia.

Adif merenung wajahku dalam dengan riak yang serius.

"Saya cintakan awak, Rian. Kan saya dah kata sebelum ni."

"Cinta?" Tiba-tiba dia cakap fasal cinta pula. Tapi tiba-tiba pula aku jadi tak faham apa maksud cinta yang sebenarnya. Bukan kalau kita cinta kat orang tu kita akan jawab telefon orang tu walaupun kita letih tahap petala lapan ke? Ke... memang cara cinta Adif lain daripada yang lain. Atau aku ni yang lain macam sebenarnya gara-gara nak kahwin esok?

"Sekarang awak dah tak percayakan saya pula dah." Adif menarik muka.

"Saya tak faham kenapa awak susah sangat nak jawab panggilan saya. Bukannya saya nak tuntut hutang 12 juta pun." Aku ungkit balik benda yang aku nak tanya tadi.

"Saya ada sebab-sebab tertentu, Rian. Saya pun ada hati, ada perasaan dan ada pemikiran saya sendiri. Saya pun menghadapi sedikit masalah apabila menghadapi perkara yang melibatkan masa depan. Maksud saya bukan saya tak suka, tapi saya keliru sedikit aje. Saya risau tak dapat bahagiakan awak, saya risau bila kita dah kahwin nanti awak tak berjaya membiasakan hidup awak bersama orang miskin seperti saya ni. Macam-macam lagi saya fikir, Rian. Saya harap awak tak salah faham dengan saya sebab hal tu. Sebenarnya saya fikir buat sementara waktu ni lebih baik saya mendiamkan diri tapi ternyata saya silap." Adif meletakkan telefon bimbitnya di atas meja bersebelahan dengan telefon bimbitku.

"Lepas ni kalau awak nak telefon saya hari-hari pun tak mengapa," sambung Adif perlahan. Aku memicing mata ke arahnya.

"Bukan sebab awak dah tak suka saya atau awak dah menyampah kat saya?" Lagi aku soal kepada dia. Soalan yang berbaur rajuk tersembunyi walaupun dalam bentuk pertanyaan.

Adif diam tidak menjawab. Aku faham kalau dia tak suka dengan pertanyaanku yang sedikit menghentamnya tadi. Keluhan kecil meniti di bibir. Terlupa fitrah lelaki yang tidak gemar tindak-tanduknya dipersoalkan.

"Saya tak mengapa. Dah tak marah pun kat awak. Saya nak balik ke rumah ni. Esok jumpa lagi." Aku mengambil beg tanganku yang berada di tempat duduk sebelah. Adif merenung wajahku galak.

"Awak telefon saya sebelum ni sebab apa?"

Aku melemparkan pandangan ke wajahnya sejenak sebelum mengambil telefon bimbit yang terletak di atas meja.

"Saya nak tahu kenapa awak tak jawab telefon."

"Itu aje?"

Aku diam. Langkah kaki baru saja kubuka tetapi aku rasa tak salah kalau aku beritahu dia apa yang aku rasa. "Saya nak tahu awak datang ke tak masa akad tu nanti. Jangan tiba-tiba tak datang, kesian kat ma dan pa. Kalau awak tak nak datang pun awak kena datang. Kalau awak tak suka saya sekali pun awak kena terima akad nikah saya. Lepas dah nikah, terpulang pada awak nak buat apa kat saya." Aku cakap tanpa memandang Adif. Memang itu pun yang aku fikirkan sebelum ni bahawa Adif akan tinggalkan aku sewaktu hari akad esok.

"Saya teragak-agak, Rian." Adif menggumam kecil.

"Apa dia?" Aku pandang wajahnya tajam. Aku tak dapat dengar dengan jelas tapi aku tahu dia ada sebut fasal teragak-agak.

"Apa dia?" jawab Adif pula.

"Awak ada cakap sesuatu tadi, kan?"

"Tak adalah... Mana ada apa-apa."

Aku menggigit bibir menahan rasa. Teringin aje bibir ni berkata, 'saya tak pekak dan tolong jangan tipu', tapi aku tak ada kekuatan nak bergaduh lagi dah. Hari sudah malam dan saat ini bukan aku dan dia saja di restoran ini.

"Saya sayang awak, Rian." Dia cakap sekali lagi. Aku menggigit bibir kuat.

"Saya tak harap sayang awak, Adif. Saya cuma nak tanggungjawab awak. Itu aje." Aku membalas renungan redup Adif, meminta dia untuk memahami situasi aku sekarang ni. Melihat aku sudah berdiri, Adif turut serta berdiri.

"Rian..." Dia memanggil namaku dengan suara yang agak tenggelam. Lunak di pendengaranku sehingga memagut rantaian perasaanku.

"Saya datang."

Aku menghela nafas dalam. Di dalam hati masih lagi sangsi dengan kesungguhan dia tapi aku harap kali ini dia benar-benar memaknakan kata-katanya.

"Terima kasih," ucapku tidak bernada, lebih kepada meluahkan rasa hati yang masih lagi tidak tenteram.

"Saya kenal siapa diri saya. Saya pegang janji." Adif merenung tunak mataku dengan matanya yang bening. Entah kenapa kata-katanya kali ini sangat pahit untuk kutelan. Senyuman kecil terukir di bibir sebelum aku berpaling daripada lelaki itu.

"Saya datang..." Dia ulang lagi. Aku terus melangkah pergi. Membiarkan Adif seorang diri di situ walaupun sebenarnya teringin sangat untuk lebih mengenalinya. Mustahil tiada rasa yang mencuit apabila dia katakan dia sayang dan cintakan aku tapi tak wajar rasanya untuk aku hanyut dalam perasaan itu sedangkan Adif masih lagi begitu. Masih lagi kaku. Masih bukan hak aku.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top