BAB 17


MAJLIS nikah Rina selesai dengan lancar. Kawan tu asyik tersengih memanjang walhal malam tadi beria-ia dia menangis, katanya cuak sangat sampai dia jadi keliru betul ke keputusan yang dia ambil tu. Jenuh juga kita orang pujuk Rina agar bersabar sedikit masa lagi.

Mun kata selepas dah akad nanti Rina akan jadi lebih lega. Sedikit-sebanyak, aku perhatikan Rina begitu, aku simpan untuk ingatanku pada masa hariku nanti. Mana tahu esok lusa aku pula jadi seperti Rina, taklah tertekan sangat sebab aku tahu setiap wanita akan melalui perasaan seperti itu apabila hampir pernikahannya.

Melihat Rina bahagia bersama Fuad, membuatkan aku jadi tak sabar pula menunggu hariku tiba. Seronok melihat mereka berdua duduk rapat-rapat sambil tersenyum-senyum begitu, terasa tempias kebahagiaan mereka di majlis ini.

"Jom Rian, kita gambar sama. Ajak Adif sekali."

Aku tersentak kejap apabila Mun panggil aku dan sebut nama Adif tiba-tiba. Bila aku menoleh ke tepi, aku nampak Adif dengan baju Melayu warna biru muda tersenyum ke arahku. Sedetik itu aku rasa masa seolah-olah membeku. Ya Allah, kenapa kacak sangat seorang insan itu?

"Awak datang?"

"Saya datang. Pa kata awak ke sini," balas Adif perlahan, berbisik ke telingaku.

"Jom, kita ambil gambar kenangan sama-sama," ajak Pian, suami Mun dengan mesra. Macamlah dah kenal lama. Aku berpaling semula ke arah Adif.

"Macam tak percaya je," gumamku perlahan.

"Jomlah. Orang dah tunggu kita tu." Nur mengajakku sambil mengomel. Kulihat, Pian dan Mun sudah ke arah Rina dan Fuad di atas pelamin untuk bergambar.

Adif senyum kecil. Dia tersenyum kerana omelan Nur atau memang mahu memperlihatkan senyuman manisnya untukku. Misteri Adif buatku tidak boleh menebaknya dengan tepat.

"Jom, kawan awak dah panggil."

Dan gambar kenangan itu adalah gambar kedua kami selepas hari pertunangan yang lalu. Gambar yang tercatat di dalamnya, rahsia degup jantung Rian Aulia sudah menjadi hak milik Ahmad Adif Rayqal sepenuhnya. Hanya Allah yang tahu betapa aku benar-benar jatuh cinta kepada lelaki itu.

AKU ingat dah 10 kali aku call Adif tapi satu pun dia tak angkat. Pedih juga hati mengenang daripada semalam menelefon tapi dia tak angkat-angkat. Bukan saja-saja pun aku call, tapi sebab ma dan pa yang minta aku call Adif untuk confirmkan majlis pada hari esok. Takkan sehari suntuk bateri handphone dia kong kut? Tak pun telefon jatuh ke dalam toilet lalu rosak, sebab tu tak berjaya untuk dihubungi? Ke... dia sengaja tak nak jawab panggilan aku?

Sehari suntuk aku duduk di rumah menyiapkan serba sedikit persediaan yang belum siap termasuklah tempat untuk aku dan Adif diakadkan esok pagi. Tapi kerja-kerja macam tu tak susah sangat pun sebab ada wedding planner yang ma dah tempah, jadi aku hanya tinggal buat permintaan dan mereka yang uruskan.

Aku duduk di tepi kolam serupa macam orang sedang memancing ikan, senyap tak bercakap. Susah hati sebab esok aku akan jadi isteri kepada lelaki misteri. Atau orang yang nak kahwin ni memang akan berasa seram sejuk satu badan sehari sebelum nikah?

Masa ma membantu Rohayu menguruskan pelamin tadi pun, aku hampir menitis air mata. Tak pernah tengok ma bersungguh-sungguh begitu. Mungkin sebab aku seorang anak dia, jadi ma mahukan majlis esok dibuat selancar yang mungkin.

"Rian, dah call Adif tak?" Suara ma muncul semasa aku sedang sedih mengelamun mengenangkan bakal suami yang tak ambil peduli walhal pernikahan kami tak kurang dari 24 jam ini.

Aku menoleh ke arah ma yang sedang berjalan menghampiriku dengan dulang di tangannya. Biasanya orang gaji yang membawakan minuman petang ke tepi kolam setiap kali kami melepak di sini. Tiba-tiba ma yang membawakan minuman petang untukku. Semakin aku kenang semakin rasa nak menangis. Terharu ya, sedih pun ya.

Agaknya kalau aku ada anak perempuan nanti, mesti aku jadi macam ma. Anak nak menikah, aku yang bersusah-payah menyiapkan segala keperluan sebelum memberi hak sepenuhnya untuk si suami. Aku belum buta hati melihat kesungguhan ma dan aku tahu ma pun sedih sebab hari ini merupakan hari terakhir dia menjaga diriku sebagai anak yang menjadi hak penuh orang tuanya sebelum menyerahkan separuh hak itu kepada bakal suamiku nanti.

"Ma, Rian nak keluar kejap petang ni, boleh tak?" soalku kepada ma. Ma mengangkat keningnya sambil tersenyum penuh makna.

"Jumpa Adif, ya?"

Aku diam sahaja. Mengeyakan tidak, menidakkan pun tidak. Risau ma tahu yang Adif tidak berjaya untuk kuhubungi.

"Jangan balik lambat sangat, Rian. Tak manis pengantin berjalan sehingga malam-malam buta ni. Takut apa-apa terjadi," nasihat ma kepadaku. Aku mengangguk kecil.

"Ma jangan risaulah, Rian dah besar panjang, dah nak jadi isteri orang pun," pujukku sambil tersengih panjang. Ma sekadar menggeleng kepala setelah aku cakap macam tu.

"Nak jadi isteri oranglah, ma risau ni. Rian dah bersedia?"

Aku mengangguk.

"Adif tu baik ke melayan Rian?"

Angguk lagi.

"Rian bahagia dengan dia? Rian sayang dia?"

Angguk lagi dan lagi.

Ma mengeluh kecil akhirnya apabila sepatah pun aku tak jawab soalan dia. Aku hulurkan senyuman lebar untuk membalut keresahan hati ma.

"Ma tak usah risau. Ma juga yang kata perkahwinan adalah salah satu cabaran kehidupan. Sama ada kita berjaya atau tak dalam perkahwinan adalah bergantung kepada panjang dan pendeknya jodoh. Insya-Allah kalau hari-hari kita minta jodoh kita dipanjangkan, Allah akan perkenankan."

"Ma sayang Rian."

"Rian pun." Aku jawab sambil menggenggam kedua-dua belah tangan ma yang berada di atas meja. "Rian sentiasa sayangkan ma. Lebih daripada sesiapa pun di dunia ni."

Senyuman ma yang terukir membawa kelegaan di hatiku.

"Rian nak ke atas dulu ya ma."

"Eh! Kan ma baru bawakan Rian minum petang? Duduklah lama sikit berbual dengan ma."

Aku menggeleng kepala lambat-lambat. Tapi kemudian, kucicip jua air yang ma hidang untukku. "Rian bersiap keluar dulu, ma. Dua hari terperap aje dalam rumah ni rasa tak sedap badan pula ma."

"Jangan balik lambat sangat. Esok majlis Rian."

"Ma janganlah risau. Selagi Rian tak jumpa dengan Adif, selagi tu Rian rasa ada benda yang belum settle down." Aku memujuk ma.

"Jaga diri, Rian. Jangan melencong ke mana-mana pula lepas tu."

Aku mengangguk kecil sambil tersenyum meyakinkan ma. "Rian balik awal," ucapku sebelum menghantar langkah menuju ke dalam rumah.

BERDIRI di hadapan rumah Adif ni buat aku macam orang bodoh aje. Dalam hati dah nak marah pada diri sendiri. Kenapalah aku sibuk-sibuk menunggu dia sedangkan dia mengangkat call aku pun tak sudi? Tapi mengenangkan kemungkinan bahawa Adif mempunyai kesulitan sendiri, maka dengan muka tak malu aku menunggu Adif pulang ke kondonya.

Sebenarnya boleh saja aku masuk ke rumah ini sementelah Adif sudah memberikan kata laluan rumah kepadaku. Tapi, aku tahu kalau aku masuk begitu sahaja nampaklah ketidaksopanan seorang Hawa. Belum jadi isteri lagi, kan? Kalau dah jadi isteri nanti lainlah, maruah aku adalah maruah dia dan begitu juga sebaliknya.

Apabila sehingga pukul 6.30 petang dia masih belum muncul-muncul, aku mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Lagi pula aku sudah berjanji dengan ma yang aku akan balik awal hari ini. Sampai saja ke tingkat bawah kondominium milik Adif, aku pun bergegas melangkah ke tapak tempat aku meletakkan kereta tadi. Belum pun aku menghidupkan enjin kereta, aku lihat kereta Adif memasuki laluan hadapan keretaku dan dia letakkan keretanya berhadapan dengan keretaku.

Mungkin dia tak perasan yang aku ada di sini ataupun memang dia tak kenal kereta aku, jadi dia pun buat muka batu mengambil barang-barangnya keluar dari kereta tanpa menoleh kiri dan kanan. Melihat dia begitu membuatkan hatiku sedikit tertanya-tanya. Kenapa serius sangat muka dia ya? Kenapa dia macam tak happy dengan hidup dia? Bosan sangat ke sehingga di wajah Adif hanya tertera kekosongan tanpa apa-apa emosi?

Aku keluar dari kereta ingin menyapanya tapi melihat dia sudah berada jauh dariku jadi aku batalkan niat untuk menegurnya. Cepat-cepat aku mendail nombor telefonnya melalui telefon bimbitku. Adif menghentikan langkah apabila aje telefon bimbitnya berbunyi. Dia menarik telefon bimbit dari poket seluarnya. Aku nampak pergerakannya walaupun dia membelakangiku.

Berdebar dadaku, pasti dia menilik skrin telefon bimbitnya. Tetapi debaran itu mati sesaat apabila melihat Adif selamba menolak panggilanku dan terus memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam poket. Aku terpempan melihat dia begitu. Tak tahu apa yang kena aku buat tapi sungguh aku rasa tak dihargai langsung. Beberapa minggu lalu aku rasa dia benar-benar menyayangiku tapi apa yang aku lihat hari ini seakan-akan sukar untuk aku percayai. Adifkah itu? Retak hatiku melihat Adif langsung tidak mengendahkan panggilanku tadi.

Apabila kejadian sudah terang berlaku di hadapan mata, akhirnya jawapan untuk segala persoalan yang berlegar di kepala sejak malam semalam terjawab juga. Adif memang sengaja tidak mahu menjawab panggilan bakal isterinya ini! Bakal isteri? Aku rasa bagai nak tergelak dengan gelaran itu.

Hati ini mula goyah dengan kesungguhan Adif. Bagaimana kalau esok tiba-tiba dia melarikan diri daripadaku dan majlis kami? Bagaimana untuk aku menghadapi segala kemungkinan yang terjadi kepada majlis esok? Dia sanggup menolak panggilanku dan tidak sukar untuk dia menolak terus diriku daripada hidupnya. Kalau sekali dua dia tolak, mungkin aku faham. Tapi setelah apa yang berlaku di hadapan mata dengan miss calls yang hampir aku lakukan setiap sejam itu membuatkan firasatku semakin kuat tentang Adif. Dia tidak serius dengan hubungan kami berdua!

Tapi, kalau tak serius kenapa masuk melamar dan meminang? Mengapa tidak terus menjauhkan dirinya daripadaku sejak awal lagi? Kenapa mengaku mencintai diriku sedangkan aku tidak penting baginya? Antara sedar dan tidak aku jadi hampir hilang pertimbangan. Kalau difikir secara logik nak aje aku menghadapi dia sekarang ni dan memarahi dia kerana memperlakukan aku sebegitu. Nak aje aku pinta kata putus daripada Adif tetapi apabila memikirkan yang aku sedang berada di tempatnya dengan maruahku yang hampir tercalar, mungkin Adif tertawa besar.

Jangan Rian, jangan malukan ma dan pa. Jangan minta batalkan perkahwinan gara-gara perasaan kebudak-budakan kau tu. Aku pujuk hati yang semakin parah. Cepat-cepat aku melangkah berpatah kembali ke kereta sebaik sahaja air mata jatuh setitis ke pipi.

Nantilah baru fikir. Jangan fikir masa tengah kusut-kusut ni.

"Rian..."

Suara Adif yang menyapa menghentikan langkahku sesaat. Tetapi teringatkan hati ini sudah tercalar dengan sikapnya membuat aku nekad untuk membuka pintu kereta. Kereta kupandu tanpa berfikir panjang. Langsung aku tak pandang wajahnya. Orang tu dah jadi hati beku tak mahu menjawab telefon kita yang entah kali ke berapa. Kalau aku toleh sekarang ni dengan muka tersenyum nampak sangatlah yang aku ni terlalu bodoh. Aku tak mahu jadi manusia yang hilang harga diri apabila orang lain tidak menghargai.

Orang tak nak, Rian... Tapi kalau tak nak pun, esok kena kahwin juga. Kalau tak nakkan aku, dia tak boleh lari daripada perkahwinan ni. Aku pula tak tergamak nak batalkan perkahwinan yang ma dan pa persiapkan dengan sempurna untuk satu-satunya anak perempuan mereka ni. Aku mengeluh. Sedihnya di hati ni hanya Allah yang tahu. Kalau tahu lebih awal, kan bagus. Aku bukannya orang yang jenis memaksa sesiapa untuk memberikan hati mereka kepadaku.

Dan jika Adif tidak mampu memberikan hati dia kepadaku, aku sama sekali tidak akan merayu. Cuma apabila aje dia sudah sah menjadi milikku, segala-galanya akan berbeza. Kalau dia tak cinta maknanya aku kena memikat Adif sehingga dia menyayangiku. Tapi perkataan memikat itu membuat hatiku terlambung jatuh. Aku benci. Benci pada dia, benci pada diri sendiri. Benci pada keadaan yang menghambatku kini. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top