BAB 15


Pertunangan kami tengah hari tadi berjalan dengan lancar. Melihat senyuman yang tidak lekang dari bibir ma, pa, dan teman-teman rapatku yang tiga orang tu, hatiku terasa ringan. Mereka bahagia dan aku pun bahagia.

Dalam hidup ni cukuplah dengan rasa bahagia yang kekal selama-lamanya. Tak perlu harta bertimbun-timbun, popular melimpah-ruah. Sekadar ada orang tua dan kawan-kawan yang memahami, sudah cukup membuat senyumanku kekal sehingga ke tidur dan keesokan hari.

Teman-teman Adif juga ada yang datang. Salah seorang daripada mereka memperkenalkan dirinya sebagai Jawdan. Aku perasan Adif paling rapat dengan Jawdan. Seperti Adif, aura Jawdan juga misteri.

Aku kurang pasti tentang wanita yang menjadi wakil Adif untuk menyarungkan cincin kepadaku. Sama ada ibunya atau ibu saudara. Mungkin juga saudara mara jauh kerana aku perasan wanita itu tidak begitu rapat dengan Adif. Kami sempat berbual semasa wanita itu menyarungkan cincin ke jari manisku. Orangnya pendiam dan lembut. Sempat menyatakan bahawa dia segan bermenantukan aku yang dilahirkan dalam golongan berada. Aku cepat-cepat mengatakan bahawa harta dan pangkat sifatnya sementara dan hanya pinjaman semata-mata. Di sisi Allah, semua makhluk itu sama. Yang membezakan hanya iman dan ketakwaan. Wanita tu sempat berpesan, "Adif beruntung dapat Rian sebagai calon isteri. Bahagia selalu, ya?"

Beruntungkah? Aku harap Adif menyukaiku, jika tidak segalanya akan menjadi sia-sia.

Gambar pertama aku dan Adif ditangkap bersama membuatkan jiwaku berdebar-debar.

"Dah bincang tarikh nikah ke tak?" Suara ma mematikan lamunanku. Mata kularikan ke arah Adif yang setia duduk di sofa berhadapan dengan pa.

"Belum lagi ma." Adif menjawab. Aku menyembunyikan senyuman riang di bibir. Aduhai, cara dia panggil 'ma' tadi membuat dadaku berderau.

"Adif nak bila berlangsungnya majlis? Kita ikut Adif aje ni."

Adif tersenyum apabila pa beri kuasa pada dia untuk memilih. Wajahku merah padam jadinya. Wah! Pa ni... Macam nak jual anak aje gayanya.

"Adif kena tanya dengan Rian dulu."

Mata ma dan pa terus tercatu di wajahku. Aku pula ke yang kena jawab soalan tu? Adif ni memanglah...

"Err... Rian tak tahu."

"Tiga bulan. Selalunya tiga bulan, kan bang?" Ma soal pa. Pa mengangguk kecil tapi aku perasan wajah Adif sudah berkerut seribu.

"Dua bulan boleh tak ma, pa?"

Soalan Adif yang satu itu membuat jantungku terasa bagai tercabut. Aku terbatuk kecil sebelum terus melambai kedua-dua tanganku mengisyaratkan aku tidak bersetuju.

"Tiga bulanlah..."

Pa mencerlung memandang ke wajahku. "Adif nak dua bulan, Rian..."

"Tiga bulan la. Rian tak sedia lagi," ucapku. Bukan tak nak kahwin, tapi aku agak terkejut dengan kehendak Adif. Apabila mendengarnya, aku terasa dua bulan itu terlalu pendek untuk membuat persediaan mental dan fizikal.

"Sebulan." Tiba-tiba Adif bersuara lagi. Kali ini lebih yakin berbanding tadi. Membulat mataku kerana terkejut buat kali yang kedua.

"Tiga bulan, Adif. Saya..."

"Dua minggu dari sekarang!"

Aku perasan ma dan pa sudah mula tersengih lucu melihat kami berdua berbalah pendapat. Seronok ke sedangkan aku ni dah separuh cuak kerana keliru dengan gurauan lelaki itu. Adakah dia sekadar mengusikku atau betul-betul memaknakan kata-katanya? Siapa aje kahwin dalam dua minggu? Gila apa? Dia ingat aku ni lembu yang nak disembelih dalam masa dua minggu lagi?

"Okey, dua bulan!"

Aku mengalah. Adif tersenyum kecil. Senyumannya kelihatan sinis seperti berbangga memenangi perbezaan pendapat kami tadi. Terpaksa mengalah juga walaupun dalam hati sudah berperang sesama sendiri. Dua bulan ni sempat je nak buat persediaan...

"Pa lagi suka dua minggu ikut cadangan Adif." Pa tergelak. Cepat-cepat aku menggelengkan kepala dengan kening yang dah bertaut rapat.

"Tak boleh pa... Rian tak sedia lagi."

"Bilanya nak bersedia, orang perempuan ni takut je lebih, tapi lepas nikah bukan main nak perhatian. Macam ma dulu siap nak tempoh dua tahun baru nikah, hampir beruban pa fikir cara untuk kahwin awal dari tarikh yang ditetapkan. Lepas kahwin, terus jadi manja."

Kali ni ma pula yang menyeringai kecil. Malu agaknya kisah silam mereka berdua diungkit-ungkit di hadapan aku dan Adif. Aku tersenyum sebelum mencuri pandang ke arah Adif. Senyuman lelaki itu sudah mati dari bibir. Air mukanya kelihatan berat seperti ada masalah. Mendung aje wajah dia. Dia nampak macam tak happy je. Atau firasat aku ni terlalu melampaui garisan perasaan Adif yang sebenarnya?

Cukup Rian, jangan fikir banyak. Kau takkan kenal seseorang dalam jangka masa yang singkat. Lambat laun apa yang di hati Adif akan menjadi lutsinar untukku tafsirkan.

"Dua bulan..." Kedengaran Adif menggumam kecil seakan-akan cuba menegaskan tarikh perkahwinan kami. Ma dan pa mengangguk senang. Kalau dia sendiri yang dah buat keputusan, aku ikut aje. Memang lebih elok mempercepatkan hari baik untuk kami. Semoga keputusan Adif itu bukan kerana tindakan impulsif semata-mata. Harap-harap dia ikhlas menyunting diriku sebagai isterinya.

Setelah perbincangan tarikh perkahwinan kami, Adif membawaku ke luar rumah untuk berbicara secara peribadi. Dia tanya jika aku ada masalah dengan rancangan tu dan aku mengaku aku sedikit terkejut dengan keputusannya. Tapi aku akur dengan kehendaknya.

"Tapi Adif, saya tak pernah jenguk keluarga awak selama ini. Saya nak juga berkenalan dengan mereka," luahku ketika kami sama-sama tidak punya topik perbincangan untuk diutarakan. Adif menghela nafasnya dalam.

"Awak nak jumpa mereka?"

Aku mengerutkan dahi. Bunyi dia bercakap ni seperti pertemuan aku dengan keluarga dia langsung tak penting sangat.

"Mestilah nak. Mereka keluarga awak, dan mereka adalah keluarga saya juga. Saya nak berkenalan dengan keluarga awak sebelum kita nikah..."

Adif diam saja sambil tangannya menyeluk poket. Dia keluarkan beg duit dan tarik sekeping kad sebelum dia beri kepadaku.

"Apa ni?"

"Mana tahu awak perlukan, ini kad nak ke rumah saya."

Aku kerut kening selepas itu. Logiknya, Adif beri sebab aku ni tunang dia tapi yang tak logik kami berdua tak pernah rapat sehingga dia berkongsi kunci rumahnya kepadaku.

"Kad untuk naik lif aje, bukan kad untuk masuk rumah saya." Adif seperti faham dengan fikiranku apabila melihat air mukaku yang diselubungi tanda tanya.

"Simpanlah." Adif masukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar setelah aku mengambil sekeping kad itu. Dan tiba-tiba aku rasa dia terima aku sebagai tunangnya dalam erti kata yang sebenar. Rasa nak senyum lebar tapi aku tahan kerana tak nak Adif tahu aku happy sangat sebab dapat kad lif dia.  

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top