BAB 14
"KAU dah buat persiapan semua sekali ke untuk esok?" Suara Mun berbaur rasa bimbang. Aku tersenyum kecil walaupun aku tahu yang Mun tidak akan dapat melihat senyumanku ini. Entah kenapa tiba-tiba dia menelefonku lewat malam semata-mata kerana persiapan untuk pertunanganku esok.
"Dah."
"Aku minta maaf sebab tak dapat tolong-tolong kau."
"Apa pula nak minta maaf, ma aku dah upah orang sediakan semuanya. Kau ingat aku ni macam kau ke kena kerah tenaga nak buat majlis?" soalku sambil tergelak dengan nada ingin bergurau. Mun pun ikut ketawa juga selepas itu.
"Tahulah kau nyonya besar. Anak orang kaya. Petik jari semua jadi asal poket penuh."
"Aku tak macam tulah Mun. Berapa kali aku kena cakap kat kau orang?"
"Okey okey sorry ya madam. Mulut ni nakal sikit tak pakai tol jalan. Ops, bakal madam." Usikan selamba Mun mengundang rasa geli hati kepada diriku. Mungkin betul yang ma nyatakan sejak semalam. Aku bertambah ceria sebab dah dekat nak bertunang. Tapi macam biasalah sejak malam kejadian aku dah Adif keluar sampai tengah malam baru balik tu, Adif tak pernah telefon aku atau mesej sekurang-kurangnya. Betullah bila berpakwekan dengan orang macam Adif, kena tahan hati aje. Bukan boleh bercinta lebih-lebih pun.
Cik Rian, bukan kau ke dulu yang beria-ia berpegang prinsip tak nak bercinta sebelum berkahwin? Wah, prinsip makan tuan. Aku tersengih kecil menahan tawa yang hendak terlepas.
"Good luck untuk esok, jangan nakal-nakal. Insya-Allah semuanya selamat."
"Terima kasih, Mun."
"Jangan menggelabah bila cik abang sarung cincin kat jari."
"Aku tahulah. Err... dia ke yang sarung cincin? Aku bertunang, bukan nikah tahu."
Berderai tawa kami berdua. Seorang di sana dan seorang di sini.
"Aku ucapkan semoga berbahagia dan jodoh kau dengan mamat Cina tu berpanjangan."
Keningku bertaut rapat dan cepat-cepat aku mengetap bibir menahan ketawa yang hampir pecah sekali lagi. "Dia bukan mamat Cinalah."
"Untunglah kau dapat bakal suami mata sepet. Dulu aku yang teringin sangat cari suami orang Jepun, kau duk perli-perli. Bakal suami kau tu tak lebih tak kurang kaum suku sakat penduduk Jepun jugalah tu."
Tawaku pecah jua akhirnya. "Dia tak macam Cina bila kau jumpa face to face nanti..."
"Dia macam apa?"
"Lama-lama kau tengok dia macam orang Melayu biasa."
"Kalau dia bukan orang Cina pun, mungkin nenek dia ke, mak dia ke... Kau bukan tak tahu sekarang ni melambak orang kahwin campur."
Aku menggaru dahi lambat-lambat. Bangsa apa dia, itu tak penting. Cuma setelah mendengar kata-kata Mun, aku mula tersedar sesuatu. Aku tak pernah kenal baik dengan keluarga Adif. Masa merisik tempoh hari, aku belum sempat bertegur sapa dengan mereka secara peribadi. Hanya sempat bertukar senyuman sahaja.
"Aku tak kenal lagi saudara-mara dia."
"Kau tak kenal lagi ke Rian? Kan dah nak bertunang?" soal Mun kehairanan. Aku hela nafas.
"Lepas bertunang nantilah baru aku kenal-kenal dengan dia orang."
"Maknanya hubungan kau ni kira bercinta selepas ada ikatanlah ni?"
Tawaku pecah sekali lagi.
"Kira macam tulah mak cik oi. Okeylah, dah lewat sangat ni. Nanti aku jadi panda kalau borak tak berhenti. Sudahlah aku esok bertunang, buat malu je bertunang dengan mata lebam-lebam."
"Yalah, jaga diri Rian. Jangan nakal-nakal. Bertunang elok-elok biar sampai akhir nyawa jodoh kau dengan dia." Sempat Mun menitipkan pesanan. Walau kedengaran agak tidak serius, aku tahu dia ikhlas.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam wa rahmatullah," balas Mun sebelum dia sendiri yang mematikan talian. Aku menggaru keningku berkali-kali sambil tersenyum lebar. Agak berdebar menunggu hari esok walhal bertunang aje pun, belum lagi berkahwin.
Agaknya pada hari perkahwinan nanti, aku langsung tak dapat tidur seperti sekarang? Teruja sangat sampai tak mampu nak melelapkan mata. Aku menggeleng kepala sendiri. Rian... Rian... Jauh sangat imaginasi tu. Nasib baik Adif tiada kuasa ajaib yang memampukan dirinya untuk membaca apa yang tersirat di dalam fikiran Rian Aulia. Kalau tak, memang sah-sah aku dituduh perempuan miang!
Aku membelek-belek telefon pintar sehingga tertekan nama Adif di skrin. Lama aku menatap nama itu dan nombor yang tertera. Berkali-kali aku cuba meyakinkan diri untuk menelefonnya.
"Telefon ajelah nanti baru fikir apa yang nak dibualkan," gumamku sendirian.
Baru sahaja jari hantu hendak menekan ikon tersebut tiba-tiba hatiku jadi galau. Janganlah Rian. Dia pun tak call kau, buat apa kau call dia? Tak fasal-fasal dia fikir aku desperate karang? Tapi kalau tak call nanti dia cakap macam malam tu, 'awak tak call saya'...
Tak pelah! Tak perlu call orang malam-malam buta ni. Aku mencampakkan telefon di sebelah bantal dan terus memejamkan mata rapat-rapat. Tidur tidur! Esok kena bangun awal. Ma kata, nanti esok baru florist datang. Ingatkan hari ni ma nak set up tempat pertunangan tapi ma kata dia nak guna bunga hidup jadi tak boleh sediakan awal-awal, karang nampak tak segar walaupun bunga hidup tu dah diberikan penjagaan untuk tahan lebih lama.
"Helo!"
Helo? Siapa yang sebut helo tu? Aku rasa dah terlebih mimpi pula walaupun belum lena. Mata kubulatkan semula sebelum mengeluh kecil. Tutup lampulah...
"Helo Rian!"
Hampir terloncat aku mendengar suara itu datang sayup-sayup di tepi telinga. Allah... Janganlah.. Janganlah... Serta-merta mataku jatuh ke arah telefon yang terletak di sisi bantal. Aku tercall dia ke tadi? Tangan ni tertekan ikon kecil puaka tu ke tadi? Rasa nak hantuk kepala di kepala katil pun ada sekarang ni.
"Rian, awak telefon saya, kan?" Suara dia kedengaran lebih jelas apabila aje telefon bimbit melekap di telinga. Aku menggigit bibir sambil mengerutkan dahi berkali-kali. Kenapa boleh tercall dia pula tadi? Tangan ni mengkhianat tuan sendiri ke apa?
"Helo Adif..."
"Rian... What are you doing?"
"Sekarang ke? Tengah nak tidur."
"Oh, I thought you called to talk about something."
Lagi sekali aku gigit bibir. Kali ini lebih kuat kerana menyesali kebodohan diri sendiri. Kan dah kata, Adif bukan lelaki romantik yang akan telefon bakal tunang malam-malam buta tanpa perkara penting! Tak macam aku yang otak asyik terpengaruh dengan cerita-cerita cinta Korea.
"Tak, tak... Tak tahu kenapa tiba-tiba tercall awak."
Suasana sepi beberapa saat sebelum kedengaran Adif tergelak kecil.
"Memang selalu pun macam tu. Kawan-kawan saya pun selalu tertelefon saya sebab nama saya initial huruf A jadi paling atas dalam carta contact number."
Kawan-kawan dia... Maknanya dia ramai kawan yang aku tak kenal seorang pun antara mereka.
"I'm so sorry, Adif. Tak sengaja mengganggu awak malam-malam buta ni."
"Tak adalah malam sangat. Awak busy ke buat persiapan?"
"Tak!" Cepat-cepat aku menjawab. "Saya tengah nak tidur ni..." Suaraku mula mengendur dan meleret.
"Oh... Tadi awak dah cakap dengan saya yang awak nak tidur. Saya ni jenis yang pelupa sedikit." Dia gelak. Aku terkebil-kebil merenung siling bilik tidur.
"Awak dah siap ke?" Aku mahu bertanya tiba-tiba.
"Siap apa?"
Kalau Adif di depan aku masa ni mesti muka dia sudah berkerut-kerut mendengar soalan aku tadi.
"Siap persiapan untuk esok." Aku jawab.
"Siap untuk menjadi tunang awak?" Dia soal balik.
"Tak-tak! Maksud saya persiapan hantaran," ucapku teragak-agak.
Hancur betullah Adif, ada ke patut dia fikir aku bertanya fasal persiapan dia menjadi tunang aku. Aku ni tak rasa Adif akan jadi cuak seperti aku ni. Setahu aku Adif jenis manusia yang tak ada perasaan, menggelabah ke, cuak ke, nervous ke... Muka dia selama ni tenang kalah musim sejuk di Antartika. Tapi aku rasa mesti dia fikir yang aku sangat excited fasal esok hari. Alamak malunya...
"Dah, jangan risau. Saya takkan pergi sehelai sepinggang cuma."
Aku sepi lagi. Tak tahu nak cakap apa dengan Adif ni.
"Awak okey ke?"
Soalan Adif membuat aku tergamam. "Okey? Maksud awak?"
"Yalah, kena bertunang dengan saya walaupun awak tak ada perasaan pada saya."
Keningku bertaut serta-merta. Dia belum tahu apa yang ada di hatiku jadi kira selamatlah ni kan? Kalau dia tahu mesti haru jadinya. Tapi Mun kata, Nur kata, Rina kata, buat apa nak malu dengan perasaan sendiri. Cinta tu datang dari hati kita, semua orang pun akan ada perasaan tu.
"Awak baru persoalkan sekarang?" Aku menjawab kata-kata dia dengan soalan untuk mengaburi perasaanku yang satu itu.
"Saya minta maaf sebab tak tanya awak lebih awal."
Aku terkedu bila dia cakap macam tu. Aku tak bermaksud untuk membuat dia rasa bersalah kerana soalanku tadi hanya sekadar bercanda sahaja. "Adif, saya okey aje. Tak ada sebab pun awak nak minta maaf pada saya. Don't get me wrong," ucapku gelisah. Kedengaran Adif menghela nafas dalam di hujung talian.
"Saya tak kesah bertunang dengan awak sebab saya tahu awak boleh tolong pa dan saya juga masih lagi keseorangan, tak ada salahnya untuk saya menerima awak, Adif," sambungku berhati-hati, risau kalau-kalau ayatku ini boleh melukakan hati sesiapa sahaja.
"Boleh tolong papa?"
"Awak orang kepercayaan pa. Tentu ada sebab kenapa pa saya pilih awak."
Adif tergelak kecil tetapi kedengaran hambar.
"Sekarang ni awak nak cakap yang awak terima saya sebab saya boleh tolong papa awak dalam bisnes dia, ke?"
Aku terdiam apabila dia cakap macam tu.
"Awak terima saya untuk papa awak ke Rian?" Adif tanya lagi.
"Saya tahu pilihan pa pilihan yang terbaik."
"Jangan yakin sangat, Rian. Saya risau esok atau lusa saya tak mampu memenuhi hajat awak tu."
Aku tercengang-cengang sendirian. Lain suasana ingin ditimbulkan lain pula suasana yang datang di antara kami berdua.
"Satu hari awak akan jatuh cinta pada saya juga, Rian."
Kata-kata Adif lebih kepada bercakap kepada dirinya sendiri. Perlahan tetapi masih jelas di pendengaranku.
"Awak percaya perkahwinan tanpa cinta?" Tiba-tiba Adif menyoal lagi.
Aku menguis rambut ke tepi telinga. Sedikit gementar dengan persoalannya.
"Dalam Islam, orang berkahwin lepas tu bercinta baru betul, kan?" balasku berhati-hati. Biarlah Adif tidak mengetahui perasaanku saat ini kerana jika jodoh itu ada, lambat-laun dia pasti sedar perasaanku kepadanya. Islam itu indah. Jadi bukan silap aku menyembunyikan perasaan kerana itulah jihadku, melindungi perasaanku daripada dibaca oleh lelaki ajnabi.
"Awak tak menyesal?"
Aku memangku wajah dengan kedua-dua lututku. Tertunduk sambil mengeluh kecil. "Hidup ni sering kali perjudian, Adif. Saya tak pernah menyesal dengan apa yang saya ada."
"Awak yakin tak menyesal?" Adif menyoal lagi.
Aku tak sangka seorang lelaki boleh ada rasa insecurity yang cukup tinggi, lebih-lebih lagi seorang peguam. Pa ada cerita, Adif merupakan peguam hartanah yang sangat diyakini kerana tugasnya yang teliti dan terbaik yang pernah dia jumpa setakat ni.
"Ya encik peguam, saya takkan menyesal," ulangku separa bergurau.
"Awak orang kaya, sebab tu awak tak pernah menyesal."
"Adif..."
Satu perkara yang aku kurang suka tentang dia, persepsinya terhadap orang berharta agak kurang baik. Tapi tak kisahlah. Aku dan dia masih dalam proses transisi menerima antara satu sama lain. Pasti ada sesuatu tentang aku yang dia tak suka. Jadi kami perlu menerima dan bertolak ansur kekurangan itu untuk mencari keserasian.
"Suatu hari nanti, awak akan rasa apa itu penyesalan. Masa tu awak akan ingat balik apa yang kita pernah bincangkan sekarang ni..."
"Apa maksud awak? Kenapa saya akan menyesal?"
Walaupun dia cakap dengan nada yang jelas, tetapi aku tidak mampu untuk memahami setiap butir bicaranya. Aku buta untuk melihat di sebalik apa yang dia ucapkan.
"Tapi saya harap perkara itu tak akan berlaku." Senyuman kecil tersungging di bibir nipisnya.
Kenapa aku rasa tak sedap hati bila dia kata begitu?
"Saya nak tanya satu aje..." Aku tahan nafas mengawal debaran. "Awak ikhlas ke dengan saya ni?"
Dia diam tak menjawab. Sedikit rasa menyesal kerana bertanyakan soalan itu kepada Adif.
"Adif... Saya tak silap pilih orang, kan?" Aku cuba menghalau rasa cemas. Adakah Adif seorang kaki pukul? Atau dia kaki perempuan? Atau mungkin dia berkahwin dengan aku kerana permintaan orang tuaku semata-mata? Atau...
"Saya... Ikhlas, Rian. Awak adalah masa depan saya. Saya harap awak tak menyesal dengan pilihan awak. Dan saya yakin saya tidak akan menyesali keputusan saya. Kalau awak nak, kita boleh bahagia."
Aku usap dada sendiri. Segala tanggapan buruk yang membanjiri fikiranku selama ini lebur sekelip mata.
"Awak dah takutkan saya..."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top