BAB 12


TANGAN terjatuh dari dagu dengan spontan. Lambat-lambat aku merenung skrin telefon yang bergegar meminta disambut. Err... Ini dah sebulan. Tak! Dah lebih dari sebulan. Sudah sebulan lima hari kami tidak berhubung, kenapa baru sekarang dia telefon aku? Nak minta tundakan tarikh pertunangan lagi ke apa, tiba-tiba telefon secara mengejut?

Aku menongkat dagu kembali sambil merenung skrin telefon tu sehingga ia beransur bertukar menjadi gelap. Ringtone pun dah hilang lepas tu.

"You sengaja ke Rian? Main tarik tali?" Soalan Khai aku jawab dengan jelingan tajam. Gilalah, buat apa aku main tarik tali dengan mamat yang stone cold macam Adif tu?

"Bukan I tak tahu perempuan bad style untuk memikat hati lelaki." Khairi sambung bercakap dengan sengihan nakalnya. Aku mencemik muka, malas melayan perangai tak masuk akal Khairi. Aku, dia kata bad style?

"Okay girl. I will not disturb you," ucap Khairi, menyerah saat tersedar renungan tajam daripadaku. Melihat Khairi sudah mula tekun dengan kerja-kerjanya, aku menghela nafas lega. Sebulan lebih sejak daripada tarikh merisik, kami tidak pernah bertemu dan bersembang. Aneh, kan? Kalau orang lain berasa pelik, aneh, aku pula rasa nak gila memikir perihal antara kami ni.

Bukan aku tak cuba hubungi dia, tapi panggilanku dibiarkan sepi oleh Adif. Mahu bertanya pa, aku segan. Nasib baik kesibukan di butik ma banyak membantu rasa 'gila' aku ni.

"Jangan nakal-nakal ya Cik Rian, sesak nafas cik abang kat sana tu karang."

"You nak berhenti kerja ke?" getusku geram.

Khairi tersengih panjang apabila mendengar ugutanku. Tak sampai habis Khairi mengusik, sekali lagi bunyi gegaran telefon bimbit di atas meja membuat dadaku berkocak semula. Adif...

"Jawablah Rian. Kesian dia."

"Sejak bila you reti kesian orang lain ni?"

"Sebab I lelaki, I fahamlah. Mesti dia tengah stress kena ghosting kekasih hati."

Aku dah tergelak. Tau-tau aje Adif stress. Kalau Khairi tahu Adif dulu yang ghosting aku, agaknya dia bakal menyebelahi aku. Tapi tak apalah, tak semua perkara aku perlu ceritakan pada dia. Yang kelakarnya apabila Khairi terlebih menyelami perasaan lelaki hati kering seperti Adif. Siap buat muka serius pula tu. Dalam banyak masa kami bersama, waktu ni sahaja yang aku nampak aura kelelakian Khairi terserlah.

"Jangan ketawa. Cepat jawab," gesa Khairi merenung tepat wajahku. Aku terus mengangkat bahu sambil meletakkan telefon pintar ke dalam laci.

"Nantilah..."

"Isy, cepatlah! Hargai effort kaum lelaki. Jangan tak tahu kami ni banyak kali frust sebab sikap perempuan."

Aku menjuih bibir. Effort apa? Aku tak nampak pun effort Adif. Nak tak nak aku ceritakan juga pasal ni kepada Khairi. Manalah tahu kut-kut dia ada nasihat yang lebih baik untuk aku.

"Penatlah Khai. You tak tahu apa yang I rasa. Kalau dia tak contact seminggu dua tak apa, tapi dah lebih sebulan tak dengar berita. Rasanya dia saja nak dera perasaan I. Biar kali ni I pula yang beri pengajaran pada dia."

"Selama sebulan ni pernah ke you call dia? Salah dia ke kalau tak contact you?" soal Khairi tergelak kecil.

Biarpun seperti main-main cara Khairi bercakap tapi apabila diteliti betul-betul, ada benarnya juga. Selama sebulan ni hanya sekali aku cuba contact dia. Setelah gagal, aku malas dah nak mencuba. Pendek kata aku tak ada usaha sebenarnya. Setakat pegang telefon tenung nama Adif beratus kali di atas skrin telefon tu memang selalulah.

"Tak naklah. I malas nak jawab. Tak tahu nak cakap apa."

Khairi meletakkan baju pengantin yang tergantung di hanger ke atas mejaku.

"You dah nak bertunang dengan dia tapi you masih tak tahu bercakap dengan dia? What a poor relationship."

Aku tercebik kecil. Tu lah aku cakap kat dia tadi dia buat derk saja. Si Adif tu mana pernah telefon aku sejak kejadian merisik jadi salah ke kalau aku tak menjawab panggilan dia sekarang ni?

"Ha, telefon dah bergegar balik kat laci tu." Khairi memuncungkan bibir ke arah mejaku. Aku terkebil-kebil melihat Khairi menjauhiku.

"Ke mana?"

Khairi menoleh kembali kepadaku. "Just in case you segan bercakap dengan bakal tunang depan I, kan..." Khairi sengih lagi sebelum menghilang di sebalik lambakan baju-baju di belakang sana. Aku tarik nafas dan tarik laci meja sekali gus.

Betullah Adif. Dia tak putus asa ke aku tak jawab call dia dekat enam kali ni? Lambat-lambat aku menekan butang ikon gagang telefon berwarna hijau di telefon.

"Assalamualaikum."

Aku telan air liur satu per satu. "Waalaikumussalam."

"Busy?"

"A bit."

Sepi lagi. Aku tergaru-garu dahi sebab dah mati akal nak berbual topik apa. Takkanlah tiba-tiba marah kat dia kenapa tak contact sejak sebulan lepas walaupun ikut logik memang patut untuk aku marah.

"Masih marah?"

"Marah untuk apa?" sanggahku kehairanan.

"Sebab saya masuk merisik," jawabnya ringkas. Aku simpan rasa lucu di hati. Nak tergelak pula bila memikirkan sikap kebudak-budakanku tempoh hari.

"Oh..." Itu aje yang mampu aku balas. Pelik betul Adif ni. Ingatkan nak cakap fasal apa, rupanya hal risik yang dah lama berlalu.

Senyap lagi. Ni, kalau ada kudrat nak aje aku matikan talian. Tapi apabila mengenangkan aku dan Adif sama-sama sudah dewasa, biarlah kami menghadapi apa yang bakal terjadi.

"Kalau tak busy, boleh saya ajak awak keluar?"

Dahiku sudah mula berkerut. "Keluar?"

"Sibuk ke?"

"Tak."

"Jomlah keluar. Saya belanja makan. Lagipun kita dah lama tak berjumpa, kan?"

Aku menongkat dahi dengan tapak tangan. Tertunduk menekur meja sambil mengurut pelipis kening. "Awak ada benda nak cakap ke?"

"Tak."

"Ajak saya keluar tapi tak ada benda nak cakap?"

"Salah ke?" Datang balik penyakit 'salah ke tak' dia tu. Aku dah tarik senyuman ke tepi bibir.

"Tak." Aku mengendurkan suara. Kedengaran di hujung sana dia menghela nafas dalam.

"Kita keluar sekarang nak? Saya jemput awak di butik."

"Saya masih kerja lagi," dalihku. Sebenarnya tak ada sebab pun untuk kami bertemu empat mata. Aku tak boleh bayangkan keadaan kami, pasti janggal dan kekok semula. Tak pun 'bergaduh' seperti tempoh hari. Dan aku tak suka sikap sinis lelaki itu. Sangat-sangat tak suka.

Adif senyap. Nyaris aku matikan panggilan.

"Awak kerja sampai pukul berapa?"

Aku menala mata ke arah jam dinding yang terlekat di belakang sana. Terus aku tepuk dahi setelah menilik waktu yang sudah beranjak ke pukul 5.30 petang. Patutlah Adif terdiam tadi.

"Dah habis dah..." jawabku lemah. Kedengaran Adif berdesis dan ketawa. Apa yang kelakarnya?

"Saya jemput awak. Kita makan malam bersama."

"Tak-tak..." Cepat-cepat aku membalas. Tak naklah dia jemput dalam keadaan aku yang separa baru keluar dari hospital gila. Serabut!

"Awak tak nak keluar, ke?"

"Saya pergi sendiri dengan kereta saya. Awak cakaplah tempatnya."

"Sungguh?"

Aku mengangguk macamlah dia boleh melihat diriku.

"Kalau macam tu tak apalah. Saya mesej awak, ya."

Dia tutup talian sebelum sempat aku menjawab. Tak sampai seminit text message sampai. Dia kasi alamat dan nama restoran kepadaku. Lah, apa tempat ni? Tak pernah pun aku pergi ke area ni? Tak apa nanti guna GPS, senang je.

Selesai aku dan Khairi mengemas butik, aku pun bersiap-siap seadanya. Cuci muka, solat asar dan bersolek. Sempat juga hantar mesej kepada ma kenapa aku lambat balik ke rumah. Tak mahu la, ma bising dan risau tentang anak gadis tunggalnya ni.

Aku segera memandu menuju kawasan yang dia maksudkan. Oleh sebab sesak gila waktu ni, jadi lebih banyak masa untuk aku mempersiapkan diri. Bila aku fikir-fikir memanglah aku ni, asal berjumpa dengan Adif je aku rasa macam pergi bertempur di medan perang. Tempur perasaan!

Sampai di sana aku lihat Adif sudah berdiri di tepi keretanya. Aku parkirkan keretaku bersebelahan dengan keretanya.

"Kenapa tak tunggu kat dalam?" soalku sambil membetulkan beg tangan di atas bahu. Dia tak menjawab. Selamba memeluk tubuh menyoroti wajahku. Tak apa. Dia memang berat mulut nak menjawab soalan, dah biasa pun.

Alarm kereta aku tekan sebelum mengikut langkahnya menuju ke dalam restoran Chinese. Dia ni... tahulah mata sepet takkan selera Cina juga kut?

"Dah nak maghrib. Dekat-dekat sini tak ada surau ke?"

"Dalam ni ada tempat solat."

Oh? Aku mula memerhatikan reka bentuk restoran yang diliputi warna merah di depan mata. Ada banyak tanglung tergantung di atasnya dan kelihatan beberapa keluarga muslim sedang menjamu selera. Tak pernah lagi aku ke restoran yang menyediakan ruang solat untuk pelanggannya. Terbetik perasaan kagum dalam diri.

Selesai solat aku pun mengambil tempat di tempat duduk yang telah ditempah oleh Adif tadi. Usai 10 minit kemudian, dia muncul dari belakang dengan senyuman di bibir.

"Dah order?"

Aku menggeleng. Dia orderkan makanan untukku dan kami makan tanpa berbual. Sesekali dia berdeham untuk menarik perhatianku. Agaknya la...

"Sibuk ke sejak akhir-akhir ni?" Dia tanya.

"Ha?" Aku buat muka tak faham.

"Awak tak pernah call saya."

Bukan patutnya aku ke yang menyoalnya begitu?

"Awak tak pernah call saya juga, Adif."

Adif meletakkan chopstik di sisi pinggan. Melihat dia makan menggunakan chopstik tadi, kalau aku tak kenal dia memang aku ingat dia orang Cina yang sedang makan di restoran Cina. Dia macam biasa dengan sut bekerja formal, masih melekat blazer di tubuhnya.

"Saya tak pernah call awak. Tapi saya selalu aje jumpa dengan awak."

"Bila?" Aku jadi terkebil-kebil memandangnya. Bila masanya dia jumpa dengan aku selepas dia datang merisik hari tu? Kut ya pun aku berada di alam fantasi ke apa, tapi dalam mimpi pun tak pernah langsung aku tengok muka Ahmad Adif Rayqal.

Adif meletakkan tangannya di atas meja. Dia tersenyum kecil, agak smirk. Aku berani cakap memang ramai wanita jatuh tertiarap dengan senyum sinis dia ni.

"Awak selalu tak perasan kehadiran saya, Rian."

Aku terdiam lepas tu. Lambat-lambat aku mengangkat muka menyoroti renungan dalamnya. "Mungkin juga," jawabku sambil menganggukkan kepala. Adif selalu datang masa aku tak sedar dan mungkin waktu tu dia selalu tengok aku tanpa memberitahu aku dia ada di situ.

"Tadi saya ada di luar butik awak, tapi awak tak perasan."

"Apa dia?" Keningku terus ternaik.

"Awak letak telefon awak di laci meja semata-mata tak nak jawab call saya, Rian."

Kantoi lagi! Malunya aku.

Berkerut mukaku mencari alasan yang terbaik tapi waktu ni otak memang jammed, jadi aku biarkan soalan itu tidak berjawab. Kalau jawab pun mesti menyakitkan hati Adif semata-mata.

"Kenapa awak tak masuk terus?"

Adif kembali mengambil chopstiknya. Senyuman masih lagi terukir di hujung bibir. "Awak nak saya masuk terus masa tu ke, Rian?"

Naya je kalau dia masuk masa tu. Mahu biru hijau muka aku terkantoi masa tu juga.

"Lepas ni kita tengok wayang nak?"

"Tengok wayang?"

Dia mengangguk. Kali ini senyuman yang terlempar lebih ikhlas daripada biasa sehingga membuat diriku terpana beberapa saat.

"Awak layan ke wayang?" Aku tanya kat dia lagi. Adif mengangguk kecil.

"Kalau saya bosan... Dulu selalu pergi dengan adik saya."

"Oh, awak ada adik ke?"

Adif tidak menjawab. Senyuman dia terus mati dari bibir. Ada riak tidak senang terpancar dari wajahnya.

"Bila awak cerita fasal adik awak ni, tiba-tiba aje saya sedar sesuatu. Kita saling tak kenal ahli keluarga masing-masing, kan?"

"Saya kenal. Awak yang tak kenal."

Aku terkebil-kebil merenung wajah beku Adif. Dia salahkan aku ke sebab aku tak kenal family dia? Dah Adif sendiri tak pernah cerita fasal keluarga dia kepada aku, takkan la dia mengharap aku yang pergi korek cerita kut?

"Keluarga awak ada berapa orang?"

"Empat." Adif mengambil sapu tangan lalu mengelap hujung bibirnya.

Ni jawab ikhlas ke tak ni? Dahiku berkerut sedikit melihat tindak-balas Adif yang seperti kurang berminat.

"Awak... adik... mak dan ayah? Adik awak perempuan ke lelaki?"

"Perempuan."

"Umur awak?"

Dia merenung wajahku tepat. Ada riak terkejut tertera pada air mukanya "Awak tak tahu umur saya? Saya fikir awak akan tanya umur adik saya, tapi awak tak tahu umur saya, Rian?" soal Adif seolah-olah tidak percaya.

Aku terus tersengih. Nampak sangat yang aku tak berapa kesah pasal dia. "Saya tahu awak peguam, Adif." Aku membela diri, kononnya.

Adif menghela nafas dalam. "At least awak tahu sesuatu."

Aku tergelak kecil menyedari yang dia menyindir diriku.

"Jadi adik awak?"

"Dia okey."

"Tu aje jawapan awak? Betullah agaknya awak nak saya jadi detektif, terpaksa menyiasat fasal latar belakang bakal tunang sendiri." Aku menyandarkan tubuh di kerusi.

"Awak kaya. Awak boleh je buat benda-benda macam tu, ya tak?"

"Apa kaitan kaya dengan terpaksa jadi detektif?" Aneh mendengar ayat yang keluar dari bibirnya.

"Boleh aje kalau awak nak upah penyiasat persendirian lagipun awak tak banyak tahu tentang saya, kan Rian?"

Aku terangguk-angguk kecil. Anak matanya kutatap lama. "Kalau saya buat macam tu, awak suka ke?" Aku bertanya jujur. Adif mengangkat bahu sambil berdeham kecil.

"Mesti awak tak suka, kan? Kalau boleh saya nak tahu tentang awak dan keluarga awak dari mulut awak sendiri. Saya pun tak suka kalau awak tahu pasal saya dari penyiasat upahan. Awak boleh tanya terus dekat saya. Satu lagi, saya tak suka awak kata saya kaya. Saya ni biasa-biasa aje."

Adif gelak. "Tak ada orang biasa-biasa yang depan rumah dia ada empat buah kereta, yang paling murah tiga ratus ribu ke atas."

Berubah wajahku mendengar komen Adif. "Saya tak pernah rasa saya lebih daripada orang lain, Adif. Selama ni ma dan pa ajar saya untuk hidup sederhana. Saya macam orang lain juga. Ada kawan-kawan, ada kerja, dan semua yang orang buat saya pun buat juga. Tak ada bezanya, kan?"

"Sebab awak tak fikir orang seperti saya yang tak ada orang gaji tiga empat orang di rumah, kolam renang dan kereta mewah. Kena belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat pekerjaan yang menjamin masa depan. Orang macam saya ni terpaksa fikir esok lusa nak makan apa sedangkan awak benda-benda macam tu simple aje. Buang masa dan tenaga kalau awak fikir."

"Adif..." Dia tentu tahu yang kenyataannya itu sedikit melampaui batas.

"Sejak zaman remaja saya mengharungi saat-saat sukar, Rian."

Atau, itu permulaan Adif untuk bercerita tentang sesuatu? Nada dia yang kedengaran serius mengundang rasa ingin tahuku. Tentu zaman sebelum bekerja, dia melalui saat-saat yang sukar dalam hidup.

Aku diam mengamati air mukanya.

"Kadang-kadang saya cemburu dengan awak," luah Adif perlahan.

Aku dah faham. Sejarah hidup dia lalui tidak begitu indah. Tentu ada luka yang dia cuba sembunyikan dari semua orang.

Aku mencuri pandang ke tangannya di atas meja. Tidak berani hendak bertentangan mata dengan Adif saat ini walaupun aku tak buat apa-apa kesalahan terhadap dia. 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top