BAB 11

DARI pagi aku di rumah Mun. Tengah hari itu, aku menolongnya di dapur. Kebetulan suami Mun tak ada, maka aku bebaslah sikit di rumahnya ni. Kata Mun, Pian ke rumah abangnya, ada hal keluarga.

"Rian!"

Aku yang sedang mencuci dan memotong kobis sedikit terkejut apabila Mun menjerit seperti dirasuk jin.

"Rian!"

"Ya, aku kat sini!"

"Rian, ma kau telefon."

"Bak sini aku jawab."

Tak sampai 30 saat Mun sudah berdiri di hadapanku sambil menyuakan telefon bimbit.

"Ma kau cakap ada hal penting."

Aku jenguk telefon bimbit tu dah pun berjawab. Cepat-cepat aku mengambil telefon bimbit itu lalu meletakkan di telinga.

"Helo ma..."

Mun tercegat memerhati diriku lama.

"Helo Rian! Kenapa tak beritahu ma?"

Aku mengerut kening kehairanan. "Beritahu apa?"

"Fasal Adif!"

Makin berkerut dahiku apabila ma menyebut nama Adif tiba-tiba.

"Ma, Rian duduk rumah Mun sehari ni, mana ada berjumpa dengan Adif pun."

"Balik sekarang, Rian! Trouble maker betul budak ni."

"Lah... tiba-tiba gelar orang trouble maker kenapa? Rian tak buat salah apa-apa pun kan? Ma, Rian tengah masak ni, nanti petang Rian balik ya," pujukku lembut.

"Rian, ma suruh balik sekarang ni, bukan petang nanti. Family Adif datang merisik, kenapa tak beritahu ma?"

"Apa ma?"

"Family Adif datang melamar Rian kenapa tak beritahu ma dan pa? Kita tak ada persiapan pun. Rian sengaja nak kasi ma sakit jantung macam pa, ke?" Ma perli aku. Aku ternganga tanpa kata.

"Rian, balik cepat sekarang ni juga!"

"Apa ma cakap, Rian tak faham..."

"Ya Allah budak ni... Rian, ma kata balik sekarang ni juga. Keluarga Adif tengah menunggu Rian kat rumah kita!"

"Ma bergurau, ke?" Aku sudah mula keliru. Baru aje hari Jumaat minggu lepas Adif kata hendak melamar aku dan takkan dua hari terus jadi 'minggu depan' baginya? Kenapa tak maklumkan pada aku dahulu? Paling tidak pun mesej ke, sekurang-kurangnya.

"Buat apa ma bergurau, Rian? Balik cepat, sekarang!"

Aku kebingungan. Tidak pasti reaksi bagaimana harus aku tunjukkan sekarang ni. "Rian tak boleh, ma."

"Kenapa tak boleh?" Meninggi suara ma apabila aje aku menyudahkan ayat. Terpaku aku di sisi dapur menahan diri daripada jatuh terduduk.

"Rian setuju ke lamaran Adif?"

"Ha?"

"Rian setuju tak? Dia orang ada kat rumah ni menunggu jawapan Rian. Rian sudah berpunya atau belum?"

Aku menahan nafas. Bercelaru kepala otak tidak tahu jawapan apa yang terbaik bagi menjawab soalan ma itu.

"Rian, ma kau cakap apa?" Bisikan Mun mengejutkan aku daripada lamunan pendek. Aku memandang wajah Mun dengan mata yang berkaca.

"Dia lamar aku."

"Siapa?" Ternaik kening Mun.

"Adif melamar aku. Dia hantar family datang merisik..." Tak sempat aku menyambung kata-kataku, ma di hujung talian terlebih dahulu menyampuk.

"Rian, bagi ma bercakap dengan Mun sekarang ni. Now!" Tegas suara ma. Aku yang kebuntuan terus menyerahkan telefon ke tangan Mun.

"Ya aunty. Ha... dia tengah blur sangat ni... Oh ya ke? Aunty terima ke tak? Nanti Mun bawa dia balik ke rumah. Ya... ya. Waalaikumussalam."

Wajah Mun berubah-ubah sepanjang bercakap dengan ma. Aku tak tahu nak buat apa sekadar merenung kosong ke meja makan yang jauh dari kami.

"Kau tak tahu dia masuk merisik ke Rian?"

Aku menggelengkan kepala tidak tahu.

"Dah-dah... jom, cepat siap kita pergi sekarang ni."

Melihat aku yang masih tercegat kaku, Mun terus menarik tanganku. "Kentang gila Adif masuk merisik tak beritahu awal-awal. Dah Rian, bangun-bangun jangan buat muka macam tu," cetus Mun geram.

Tapi aku masih lagi terpinga-pinga. Otak sedaya upaya menghadam kata-kata ma tadi. Dan apabila aje terbayang muka Adif dengan senyum sinisnya, semangatku rasa melayang.

MELIHAT wajah tenang Adif membuat aku pening kepala. Biar betul dia ni? Dah fikir masak-masak ke sebelum masuk merisik tadi?

"Tanyalah kalau nak bertanya. Jangan pandang saya macam tu."

Aku telan air liur. Kelat. Malu apabila tertangkap merenung wajahnya lama.

"Kenapa tak beritahu nak merisik?"

"Awak tak suka?"

Aku mengeluh kecil. Dia selalu macam ni. Apa yang aku tanya dia jawab dengan soalan yang sama. Awak tak suka, awak tak suka, awak tak suka! Susah sangat ke nak jawab soalan aku ni? Jauh di sudut hati terasa panas juga apabila mengenangkan tindakan Adif yang tidak dijangka. Tidak berbincang terlebih dahulu tetapi terus merisik, apa dia ingat ini zaman 60-an ke datang merisik pihak perempuan macam tu aje?

Sebuah perhubungan yang dibina dengan membelakangkan kepentingan komunikasi sedangkan dari dulu aku berimpian untuk mendapatkan seorang lelaki yang rapat denganku dan berbincang serba-serbi bersamaku. Tetapi Adif lain, Adif tak sama.

"Kenapa tak beritahu nak merisik?" soalku masih lagi berdegil. Adif menyandar tenang merenung air kolam di hadapan rumah. Berdua begini membuatkan kami agak janggal apatah lagi aku tahu ada mata yang nakal masih mengintai gerak-geri kami berdua.

"Awak dah tahu saya akan datang, Rian. Saya pun dah beritahu awak yang saya akan datang merisik."

"Awak bercakap masa saya tengah marah. Saya tak dapat nak hadam ayat-ayat awak tu dan tiba-tiba tak mesej, tak call, awak datang ke rumah saya, merisik. Awak gila ke!"

Walaupun aku sedar kata-kataku sedikit kasar tetapi Adif masih lagi kelihatan tenang. "Awak marah ke waktu tu?" soal Adif bersahaja. Aku mengetap bibir.

"Habis awak ingat saya sukalah waktu tu? Kenapa merisik mendadak sangat, tak tanya saya sebelum datang ke sini?"

Adif diam sahaja sambil tersenyum kecil.

"Adif, awak dengar tak saya cakap ni?" tanyaku menekankan suara. Marah apabila dia tidak mengambil serius dengan kata-kataku.

"Merisik aje pun, bukannya terus bertunang atau berkahwin. Awak tak suka saya masuk merisik?"

Aku memicingkan anak mata melawan panahan matanya. "Awak ingat saya suka?"

Adif tersenyum lagi. Lucu sangat ke benda yang keluar dari mulut aku ni? Gumamku di dalam hati, bengang.

"Adif, saya tak pasti apa motif awak tiba-tiba buat macam ni tapi untuk pengetahuan awak saya tak suka membina perhubungan tanpa persetujuan daripada kedua-dua pihak."

"Tapi keluarga awak dah bersetuju tadi, kan? Make it simple Rian. Jangan serabutkan keadaan."

"Awak kata saya serabut?" Aku jadi tambah bengang.

Adif tergelak kecil. "Tak ke?"

"Saya rasa awak dah salah faham, Adif. Dalam satu ikatan perlu ada komunikasi antara dua pihak. Saya tahu awak dah beritahu saya tapi ada awak tanya pendapat saya dan ada awak beritahu tarikh awak datang? Masa awak nak datang? Tak ada, kan? Kat mana saya masa keluarga awak datang merisik ada awak tahu? Saya bukan saja-saja nak serabut, Adif."

"Kalau awak tak suka, saya minta maaf. Lain kali saya akan maklumkan kepada awak dulu."

Bila dia jawab macam tu baru aku rasa puas hati. Bukan senang nak kalahkan hujah peguam kepercayaan pa ni. "Make sure you keep your promise."

"Saya baru tahu awak tegas seperti papa awak," ulas Adif agak berhati-hati. Aku diam aje.

"Marah lagi ke?"

"Awak rasa saya marah ke?"

Tiba-tiba dia mendekatkan tubuhnya ke arahku.

"Awak dah mirip seperti saya, Rian."

Aku memandang dia dengan wajah yang penuh tanda tanya. "Maksud awak?"

"Awak jawab soalan dengan soalan lain. Sampai saya pun tak tahu nak jawab apa." Adif tersenyum lagi. Apabila lihat dia tersenyum-senyum kat aku macam ni dari tadi, baru aku sedar senyuman dia tu macam nak ambil hati aku.

"Awak ingat awak seorang je yang pandai reverse psychology?" perliku kepadanya. Adif mengangkat keningnya, mungkin terkejut dengan kata-kataku tadi.

"Rian, saya minta maaf atas apa yang terjadi hari tu. Saya tahu awak masih marah pada saya. Tak boleh ke awak maafkan saya?"

"Sebenarnya saya tak marah dalam erti kata sebenar, Adif. Saya kecil hati sebab tu saya termarah awak. Tapi saya memang tak pernah marah kat orang pun selama ni."

"Jadi saya orang pertama yang awak marahlah ni?" duga Adif. Aku menggelengkan kepala.

"Saya tak marah awak, cuma berjauh hati."

"Berbelit-belit juga awak ni ya." Adif senyum. Aku pun turut senyum kerana memahami maksud kata-katanya tadi.

"Saya minta maaf untuk luka di hati awak. Saya tak pernah berkawan dengan perempuan, jadi saya tak tahu bagaimana caranya untuk mengambil hati awak."

Mendengar kata-kata dia, tiba-tiba buat aku rasa bangga. Tapi boleh percaya ke kata-kata lelaki ni? Melihat wajah Adif yang kacak dan berpenampilan segak, agak mustahil dia tak pernah berkawan dengan perempuan.

"Saya maknakan kata-kata saya bila saya kata saya sayangkan awak. Saya harap awak tak rasa terpaksa menerima saya."

"Dan minggu depan bertunang, awak tak rasa cepat sangat ke?" soalku merendahkan suara. Keningku bertaut rapat cuba untuk membuat dia faham apa yang aku rasa.

"Saya nak awak tahu sesuatu."

Aku menunggu kata-kata seterusnya daripada Adif. Dia tiba-tiba berdiri dengan memasukkan tangannya ke poket seluar. Aku mengikut langkahnya dengan ekor mata sehingga dia benar-benar berada berdiri di hadapan diriku dan merendahkan dirinya untuk memandang tepat ke mataku.

"Saya betul-betul serius dengan perhubungan kita. Saya nak kita sampai ke jenjang pelamin, Rian. Saya tahu awak tak akan percaya kalau saya kata saya cintakan awak tapi itulah yang saya rasa, Rian. Bila berjumpa dengan awak, saya rasa bukan diri saya lagi. Saya risau, saya cemburu, saya nak perhatian awak, dan saya nak memiliki awak dengan segera yang mungkin."

Aku bulatkan mata memandang wajahnya. Apabila aje dia benar-benar meletakkan tangannya di atas pegangan kerusiku, aku jadi tak tentu arah. Blushing teruk! Pertama kali ada lelaki yang mengamati wajahku dekat sebegini, rasa debar mula bertamu di dalam hati.

"Saya tahu saya kurang serba-serbi. Dibandingkan dengan kedudukan awak. Saya bukanlah orang yang setaraf. Semakin saya bandingkan diri saya dengan awak, semakin tu kita jadi tak sepadan. Saya tak nak fikir panjang, sebab tu saya ambil langkah masuk merisik. Dalam hati saya ni, kalau awak menolak saya, tak ada sebab lagi untuk saya mendekati awak. Tapi, bila awak dan keluarga awak terima, saya sedar saya perlu bertanggungjawab dengan tindakan saya."

Aku terpana mendengar kata-katanya. Jiwaku melayang-layang tidak terkejar. Adif sedang meluahkan perasaannya kepadaku, ke?

"Awak tak ada motif lain?" soalku apabila merasakan Adif semakin mendekatiku. Risau kalau-kalau dia bertindak di luar dugaan. Sebelah tangannya memegang tangan kerusi yang aku duduki dan sebelah lagi jatuh ke meja bersebelahan denganku, mengambil telefon bimbitnya yang terletak di sana. Aku jadi serba salah apabila dia seakan-akan menduga rasa hatiku dengan pandangannya yang redup sehingga mampu menggetarkan seluruh jiwaku.

"Don't think too much, Rian. Things will never change. You just have to trust me," ucap Adif dengan begitu yakin. Aku yang tidak pernah diperlakukan sebegini romantis oleh seorang lelaki hampir-hampir terkesima.

"Nanti saya hubungi awak lagi. Untuk hari ini terima kasih, Rian. Saya pergi dulu."

Belum sempat aku berkata apa-apa, Adif terus berdiri. Tiba-tiba dia menunduk kembali dan mendekati wajahku sehingga spontan sahaja tubuhku menyandar di kerusi mengelak daripada wajah lelaki itu.

"Awak memang cantik, Rian," ucap Adif tersenyum nakal dan melangkah berlalu pergi seusai itu.

Dengan perasaan yang masih terkejut dan keliru, aku terus-terusan memandang tubuh Adif yang menghilang di sebalik pintu kereta. Tangan kulurutkan ke dada. Terasa darah mengalir ke arteri muka. Dia memang player, kan? Aku terkebil-kebil mencari rasional yang hilang dalam sekelip mata tadi. Rasa macam Adif tu berpengalaman besar dalam membuat perasaan wanita dilanda ribut dan gerhana.

"Dah habis bincang dengan dia?"

Tiba-tiba pa menyapa sewaktu aku masih lagi termenung. Pa menepuk bahu kiriku.

"Ah!" Aku terperanjat. Pa sekadar tersenyum melihat aku menggelabah atas kehadirannya.

"Rian suka dia?"

Aku tidak yakin untuk mengiyakan, apatah lagi menidakkan.

"Pa suka ke?"

Pa tergelak sambil mengambil tempat duduk di sisiku, tempat Adif duduk tadi.

"Pa memang suka dia, Rian tak usah risau. Dari awal lagi pa suka dia."

"Pa rasa dia dapat bahagiakan Rian?"

Pa memandang wajahku redup. Terpancar rasa kasihnya kepadaku. "Hidup ni anugerah yang kita tak mampu nak kawal. Kita tak akan mampu untuk terus bersembunyi daripada kenyataan. We have to move on, apa pun yang bakal terjadi kita kena belajar menerima untuk bertindak lebih tenang. Rian pun tahu dalam bisnes, kita harus bersedia mengambil risiko, kan? Macam tu juga bila kita hidup dalam dunia ni, kita kena berani untuk melangkah. Kalau tak, kita akan berada ditakuk yang lama."

"Tak kira benda tu mungkin memberi impak seumur hidup kita?" soalku merenung wajah pa dalam.

"Tak kira benda tu mungkin memberi impak seumur hidup kita." Pa ulang kata-kataku dengan senyuman yang lebar. Wajah tua itu kelihatan senang hari ini. Kalau pa gembira dengan keputusanku tadi, aku pun kena gembira juga. Senyumanku sedikit demi sedikit terukir di bibir.

Betul tu. Nak hidup kena ambil risiko. Kemudian menerima takdir untuk bertindak lebih tenang. Rian tak akan jadi penakut lagi pa... 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top