#4

"Kawan aku cakap ada jual piza murah, Tia. Aku beli sebiji kita kongsi eh?"

     
Aku mengangguk. Makanan, siapa saja yang mahu menolak?

 
"Aku belanja air." Aku bagitahu Hakimi.

     
Segan juga kalau tak menyumbang apa-apa. Takkan lah semuanya nak guna duit dia saja. Aku tak berapa setuju dengan sikap sesetengah perempuan yang hanya minta lelaki saja yang membelanja mereka. Apatah lagi pasangan kekasih. Selalu aku tengok lelaki saja yang keluar duit. Yang perempuan hanya menunggu dan menerima saja. Aku rasa sikap itu perlu diubah. Masing-masing perlu sama-sama memahami, sama-sama menyumbang. Kena faham, duit bukan mudah dicari. Tak kiralah di pihak lelaki atau di pihak perempuan. Lagi pula aku bukan kekasih Hakimi. Lagilah segan.

     
Kami berjalan di sekitar padang kawad, mencari-cari booth yang menjual piza murah tu. Setelah jumpa booth itu, Hakimi memesan sebiji piza daging campur sosej. Sementara menunggu pizza siap, aku jadi agak rambang mata apabila melihat makanan yang terpamer di meja booth itu. Selain beberapa jenis piza, ada cheesy French fries dan juga chicken wrap. Sabar sajalah. Duit aku tak berapa banyak. Kalau diikutkan hati, semuanya aku nak beli.

 
"Cheesy French fries sekali bang! Satu." Aku dengar Hakimi bersuara membuat pesanan. Aku pandang dia. Dia tunjuk sengih kemudian kata, "Teringin..nampak sedap."

     
Lepas beli air lemon pudina dua bekas, kami berjalan ke tepi gelanggang futsal. Ada beberapa buah bangku batu dekat situ. Bolehlah duduk sambil makan. Awal juga kami makan hari ni. Baru pukul 9.45 pagi. Kira sekali dengan makan tengah harilah kot. Punyalah semangat datang awal. Pukul 9.10 kami dah sampai di padang kawad ni tadi, tapi duduk sekejap dekat pondok tepi padang kawad. Menunggu peniaga habis set up booth.

 
"Makan, makan.." Hakimi mempelawa aku sebaik dia buka kotak piza dan bungkusan cheesy French fries. Semerbak bau makanan menerpa rongga hidung. Serta-merta perut terasa lapar. Aku capai French fries satu-persatu dan sua ke mulut. Lepas itu piza pula menjadi sasaran.

     
Sedang kami enak menikmati makanan, aku ternampak kelibat Sarah dari jauh, sedang berjalan menuju ke tapak event. Ada dua orang pelajar perempuan di kiri dan kanan dia, sedang bersembang dengan Sarah sambil mereka berjalan. Terhenti kunyahan. Aku letak semula piza di atas kotak dan kesat tangan guna tisu yang aku bawa. Aku bangun dan berjalan menghampiri Sarah. Sarah masih tak perasan akan aku. Rancak betul dia bersembang. Kawan di sebelah kiri dia yang perasan akan aku, mencuit lengan Sarah.

 
"Kau pergi mana semalam? Kenapa tak balik? Aku risau."

     
Sarah tak menjawab apa-apa. Aku dapat lihat matanya dilirikkan ke arah Hakimi yang sedang memandang ke arah kami. Lepas itu dia pandang aku. Senyuman sinis terpamer di wajah dia.

 
"Risau konon. Risau-risau pun still boleh dating?" Sarah terus berlalu lepas dia ucapkan kata-kata itu. Dia berpaling sebelum menyambung, "Kau tak payah la nak fake sangat. Aku dah tak nak tengok muka kau. Tadi aku dah pack semua barang aku, aku nak duduk rumah diorang ni je kat luar. Aku dah tak nak sebilik dengan kau. Menyemak je. Kau..boleh pergi mampos!"

     
Kata-kata terakhir dia benar-benar buat aku tersentap. Kawan yang selama ini ada di sisi aku, tinggalkan aku hanya kerana satu salah faham. Aku tak ada perasaan pun dengan Hakimi. Dia cuma kawan rapat aku sama seperti kau, Sarah. Kenapa buat aku macam ni?

     
Sarah, kalau tengah marah memang tak boleh dibawa berbincang. Lihat saja pada ayat yang dia tuturkan tadi. Sekarang aku perlu tenang. Benda ini biasa. Sejak sekolah rendah dulu pun siapa saja yang mahu berkawan lama-lama dengan aku? Hanya Elias. Itupun bukan di sekolah. Dia sekolah lain, apatah lagi dia tua empat tahun dari aku. Aku harap aku boleh ajak Sarah untuk duduk semeja dan berbincang. Aku harap sangat. Aku sayangkan dia sebagai kawan. Perlahan-lahan aku kembali semula ke tempat tadi, duduk semula di bangku batu.

 
"Fatia..." Aku berpaling memandang Hakimi sebaik saja mendengar dia panggil nama aku. "Ada sesuatu yang patut aku tau ke? Apa maksud Sarah dengan...dating?"

     
Aku tunduk semula. Aku diam saja. Beberapa ketika, aku capai semula piza dan sambung makan. Aku tahu Hakimi mahu aku ceritakan semuanya. Tapi aku rasa itu mungkin akan memalukan Sarah.

 
"Tia..please? Kita kawan dah lama kan? Okey..takde la lama sangat, tiga sem je. Tapi lama jugak tu. Cerita dekat aku. Jangan la berahsia macam ni."

     
Aku buka kasut dan mula bersila. Aku mengunyah sambil berfikir. Sekejap-sekejap, aku toleh pandang Hakimi. Dia masih menunggu jawapan aku.

 
"Lepas habis makan aku cerita dekat kau." Macam mana pun aku perlu ceritakan juga.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top