#3
Waktu aku bangun Subuh, aku masih tak nampak kelibat Sarah di katil dia. Aku pun tak tahu di mana dia bermalam. Takkan lah dia marah sangat dengan aku hanya sebab Hakimi? Sampai tak mahu tengok muka aku langsung? Entahlah.
Selesai solat dan berdoa, aku lipat sejadah dan telekung, aku capai phone dekat atas meja. Aku duduk atas katil.
"Assalamualaikum Sarah. Kau kat mana?" Aku taip mesej di aplikasi Whatsapp dan sentuh butang send. Dalam kolej ni bolehlah aku pinjam wi-fi. Aku risaukan dia. Sebelum ni kalau ke mana-mana mesti dia akan beritahu.
20 minit berlalu, mesej tadi masih tak berbalas. Aku renung saja phone di tangan. Phone ni selalu buat aku teringatkan dia. Bukan Sarah, tapi pemberi phone ni. Kawan rapat aku di kampung, Elias. Dia bagi phone ni sebelum aku masuk ke universiti, sebagai hadiah dari dia. Banyak aku terhutang budi dengan Elias dan mak dia. Mak dialah yang mengajar aku bahasa isyarat sejak aku kecil. Sekolah di kampung aku tak ada kelas khas untuk orang macam aku. Balik dari belajar bahasa isyarat, aku akan ajarkan pula kepada ibu. Adik aku tak nak pula belajar. Susah juga apabila aku nak berkomunikasi dengan dia. Kenalah menulis.
Ingatan aku mula memainkan saat itu. Saat yang pada sangkaan aku akan jadi memori terindah aku dengan dia. Ya, separuh dari kenangan itu indah, separuh lagi...
"Nah, untuk Tia." Elias menghulurkan beg plastik berisi sesuatu yang nampaknya seperti sebuah kotak. Aku pandang beg plastik itu kemudian memandang wajah dia.
"Ambik la..jangan malu-malu. Hadiah sempena Tia nak masuk U nanti. Tia kan takde phone jadi Elias belikanlah phone. Siap dengan simcard apa semua kat dalam tu." Elias tersenyum memandang aku yang masih beriak tidak percaya.
Aku tahu Elias dah bekerja, dah berduit. Tapi aku tak sangka dia akan belikan aku phone. Perlahan-lahan, beg plastik itu bertukar tangan. Dia suruh aku buka kotak tu. Aku menurut saja. Sebaik terpandang phone itu, mata aku mula berkaca-kaca. Phone ni mahal!
"Ehh..tak mau la nangis, Tia."
Cepat-cepat aku kesat air mata yang hampir mengalir bila dengar Elias cakap macam itu. Aku letak sekejap phone di atas kerusi batu di sebelah kami. Aku pegang lengan Elias yang berlapik itu, cuba meminta perhatian. Aku pandang tepat ke mata dia.
"Elias, Tia nak cakap sesuatu."
"Ye, Tia. Cakaplah."
Aku letak tangan di dada. Aku ingin meluahkan tapi baru aku tahu, walaupun aku tidak meluahkannya melalui bibir, ia tetap sukar.
"Tia sayang Elias." Aku nampak senyuman yang cukup manis dari Elias. Aku juga tersenyum.
"Elias pun sayang Tia. Sayang sangat. Macam adik kandung Elias."
Aku menggeleng laju, cuba membuang kenangan itu dari terus terlayar di ruang fikiran. Awal-awal macam ni baik aku call ibu. Rasa rindu dekat ibu walaupun baru dua hari lepas aku menelefon dan mendengar suara ibu. Hari tu ibu cakap ibu demam. Aku harap demam ibu sudah sembuh. Sebelum menelefon, aku taip dahulu apa-apa saja yang aku ingin tanya. Ibu tahu membaca mesej tapi tak tahu nak membalasnya semula. Lepas beberapa minit barulah aku akan menelefon ibu.
"Assalamualaikum Tia." Aku dengar suara ibu dari dalam talian. Aku ketuk perlahan skrin phone sebanyak dua kali, tanda aku sedang mendengar. Salam ibu aku jawab dalam hati.
"Ibu demam lagi ni, Tia. Tapi Tia janganlah risau. Ibu dah makan Panadol dah. Esok-esok baiklah ni. Ibu lagi risau pasal ayah kamu ni. Makin menjadi-jadi pulak nyanyuk dia. Mengidam macam-macam pulak tu. Jenuh jugaklah ibu nak melayan semalam, dengan nak jaga gerai lagi. Tapi takpelah, suami ibu juga kan..." Aku dengar ibu ketawa kecil.
"Tia jangan lupa sarapan tau. Kamu ni selalu je tak sarapan kan? Emm..Tia, ibu harap..kalau umur ibu tak panjang..Tia boleh jaga ayah baik-baik. Ibu tau..macam-macam ayah kamu pernah buat dulu. Ibu tau kamu susah nak lupakan. Tapi macam mana pun dia tetap ayah kamu dan Fazreena. Hah, Reena ni entah ke manalah. Dari semalam tak balik-balik. Ibu telefon dia tak jawab pulak. Risau juga ibu. Harap-harap takde la dia buat yang bukan-bukan. Ibu nak masak ni, Tia. Hari ni nak tambah lauk sambal ikan bilis petai. Ramai pulak yang mintak. Ibu letak ni. Assalamualaikum." Ibu putuskan panggilan lepas aku ketuk perlahan skrin phone.
Selalunya macam itulah bila aku menelefon ibu. Hanya ibu saja yang akan bercakap. Sesekali aku akan mengetuk perlahan skrin phone. Dapat dengar suara ibu pun jadilah, buat lepas rindu. Tak sabar nak tunggu cuti pertengahan semester. Dua minggu lagi.
Aku bangun dari duduk dan berjalan ke loker. Aku ambil baju, seluar dan tudung. Semuanya aku bawa ke ironing board di ruang depan rumah kolej. Hakimi janji nak pergi event tu pukul sembilan pagi.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top