BAB 6

ALMA betulkan pakaian Adam sebelum masuk ke rumah Kak Indah. Dia duduk melutut di hadapan anaknya. Kedua pipi Adam diapit dengan tapak tangannya.

"Hari ni ibu nak pergi temuduga. Adam doakan untuk ibu dapat kerja ya."

"Kenapa Adam kena doakan untuk ibu?"

Alma tersenyum mendengar soalan itu.

"Sebab Adam anak yang baik. Suci tanpa dosa. Macam kain putih tu. Manalah tahu doa Adam makbul. Ibu dah tak ada keluarga untuk doakan ibu."

Sebak dada Alma. Kini hanya mereka berdua bergantung hidup. Tiada sesiapa yang akan membantu mereka. Perkara yang dia paling takut, jika Allah mencabut nyawanya terlebih dahulu. Dia risaukan Adam. Adam tiada sesiapa selain dia sebagai keluarga.

"Okey. Adam doakan semoga Allah bagi ibu kerja. Nanti ibu boleh beli buku dan kertas lukisan banyak-banyak untuk Adam."

Tergelak Alma. Suka betul anaknya melukis.

"Boleh sayang. Ibu pergi dulu. Jangan nakal-nakal dengan anak Mak Indah. Tengah hari nanti, ibu ambil."

Sudah empat tahun Kak Indah bekerja sebagai pengasuh Adam. Hubungan mereka juga sangat baik. Malah wanita itu tak pernah berkira dengannya jika Adam diambil lewat dari masa yang diberi.

Setelah dia memastikan Adam selamat masuk ke dalam rumah, Alma bergegas pergi ke tempat temuduga. Kereta sewa yang ditempah tiba tepat pada masanya. Jantung Alma berdebar sepanjang dia dalam perjalanan ke sana.

Alma akui ini pengalaman yang pertama untuk dia mencuba pekerjaan ini. Besar harapan Alma, dia diterima bekerja di sana. Lebih-lebih lagi, masa kerja agak fleksibel berbanding kerja di kilang. Malah jarak dari rumah ke sana, tidak terlalu jauh.

"Ya Allah. Semoga ada rezeki untuk anak aku."

Hampir 10 minit, barulah dia tiba di hadapan bangunan itu. Lama dia berdiri untuk menenangkan diri. Tudung bawal dikepalanya dibetulkan sedikit.

"Cik..."

Terperanjat Alma. Dia pandang lelaki cina di sebelahnya.

"Cik nak tempah lukisan ke?"

Berkerut dahi Alma. Fasih pula lelaki ini berbahasa melayu.

"Saya nak temuduga. Ini..." Memo yang dicetak dari internet disua kepada lelaki itu.

Wajah Matt jelas kelihatan terkejut.

"Ooo... cik nak minta kerja di sini."

Laju Alma mengangguk.

"Masih ada lagi ke jawatan tu?"

"Ada. Tapi kita kena interview dulu melalui bos besar kami. Cik masuklah ke dalam."

"Alma. Tak payah panggil saya cik."

Jujurnya dia kurang senang lelaki itu memanggilnya dengan gelaran cik. Lagipun dia masih sedar diri.

Matt hadiahkan senyuman sambil mengangguk faham. Alma disuruh duduk dahulu di kerusi sementara lelaki itu masuk ke bilik seseorang. Ketika itu ada seorang lelaki muda datang kepadanya.

"Kita pernah jumpa ke?" Edri merenung wanita itu dengan lama.

Alma menggeleng. Ini kali pertama dia datang ke sini. Mustahil mereka pernah berjumpa.

"Muka awak ni, familiar. Saya rasa macam pernah nampak tadi dekat mana ya?"

"Encik salah orang agaknya. Saya tak pernah jumpa encik." Alma terpaksa melayan. Ikutkan hati, malas dia nak berbual dengan lelaki ini.

Mungkin ini taktik lelaki itu untuk berbual dengannya.

"Mungkin juga. Saya Edri. Boleh panggil saya Ed."

"Alma." Pendek Alma membalas.

"Awak dah baca ke memo jawatan kerja kosong tu?" soal Edri sambil menjeling ke arah bilik Qaiser.

"Dah."

"Awak sanggup buat semua kerja tu?"

Alma mengangguk.

"Zaman sekarang ni, hidup semakin keras. Selagi ada peluang untuk bekerja, saya nak cuba. Harap ada rezeki saya di sini."

Edri garu kepalanya tidak gatal. Wanita ini nampak polos. Dia pula yang rasa bersalah disebabkan memo tersebut. Harap-harap, Qaiser pejamkan mata dan mengambil wanita ini bekerja.

"Alma."

Alma terus berdiri tegak.

"Bos saya nak jumpa. Awak boleh masuk ke dalam bilik tu."

Makin berdebar jantung Alma. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Dadanya disentuh dengan tapak tangannya.

"Jangan takut. Bos kami tu baik." Matt cuba menenangkan wanita itu.

Edri rasa nak termuntah dengar pujian Matt. Setelah Alma masuk ke bilik itu, lengan Matt di siku.

"Bos kami tu baik." Ajuk Edri.

"Kau ni... tak nampak ke tadi muka dia pucat." Matt cuba membela diri.

"Habis tu, kau yakin lepas ni muka dia akan ceria 24 jam dekat sini."

Matt hembus nafas panjang. Betul juga kata Edri. Buatnya angin Qaiser tak okey, boleh menangis perempuan tadi.

"Kau rasalah kan, kalau budak tadi diterima bekerja di sini, berapa lama dia bertahan?"

"Kalau aku jawab betul, kau nak belanja aku makan sebulan ke?"

Bahu Matt ditepuk kuat.

"Aku ni Islam. Dosa kalau betting."

"Tahu pula dosa. Yang kau pergi ubah semua memo pasal jawatan kosong tu, tak rasa bersalah."

Edri berdeham kecil sambil pandang ke arah lain.

"Dua bulan. Aku jangka dia kerja sini dua bulan." Edri berikan jawapan untuk mengubah topik perbualan mereka.

"Kau?" soal Edri.

Matt pandang ke arah bilik.

"Aku rasa, dia kerja sini lama."

"Seriuslah..." Tak percaya pula Edri yang lelaki itu akan berikan jawapan begitu.

"Kali ni aku yakin. Dia akan kekal lama di sini."

Edri tayang wajah keliru. Yakin betul kawan dia seorang ni. Kita tengoklah nanti siapa yang betul.


ALMA masuk ke dalam bilik sebaik saja terdengar arahan masuk. Ketika dia masuk ke dalam, lelaki itu sedang berdiri membelakanginya sambil mengambil sesuatu di rak. Tapi yang buat dia rasa tak sedap hati, gaya rambut lelaki itu mengingatkan dia kepada seseorang.

"Awak duduk dulu."

Dup!

Hampir terhenti jantung Alma. Air liur ditelan terasa payah. Sah, lelaki ini ialah orang yang sama. Pantas dia tundukkan wajahnya ke bawah.

Qaiser berpaling ke belakang. Keningnya terangkat sedikit melihat wanita itu masih berdiri di pintu.

"Awak tak dengar ke saya suruh duduk dulu?"

Bergegas Alma duduk di kerusi yang disediakan di bilik itu. Wajahnya masih menunduk. Tak berani dia nak pandang wajah lelaki itu.

Habislah dia...

Kali ini dia reda jika tempat ini bukan rezekinya. Dia pun tak sanggup bekerja di sini.

"Alma Nafeesa... awak ada pengalaman ke kerja di studio lukisan."

Alma menggeleng tanpa memandang wajah Qaiser. Melihat reaksi gadis itu, hati Qaiser panas. Fail peribadi Alma dibaca sekali.

Tiba-tiba dia terpandang gambar yang ada fail tersebut. Dari dia duduk bersilang kaki, kakinya dijatuhkan. Dia pandang ke hadapan.

Alma yang sedar dengan reaksi lelaki itu, makin menunduk. Risau lelaki itu dapat mengecamnya.

"Saya ada depan awak. Bukan dekat lantai."

Alma pejamkan mata. Sedar sikapnya agak biadap jika terus begini. Akhirnya, dia terpaksa beranikan diri untuk memandang wajah lelaki itu.

"Kita pernah jumpa ke sebelum ni?"

"Tak." Laju Alma menjawab. Wajahnya masih kekal tenang.

Qaiser tersenyum senget. Fail di tangannya dibaca berulang kali.

Berstatus ibu tunggal. Jadi fahamlah Qaiser yang babah Adam sudah pergi. Ada pengalam kerja di kilang selama empat tahun. Pandai memasak dan mengemas dengan lebih baik.

Berdesir lidah Qaiser. Dia bukannya mencari isteri. Sampai pandai memasak pun nak letakkan ke dalam resume.

"Ada pengalaman kerja di studio lukisan?" Sekali lagi dia aju soalan yang sama.

"Tak."

"Nampaknya awak tak baca betul ciri-ciri yang kami cari untuk jawatan ni. Saya mencari pekerja yang ada pengalaman di galeri tapi dari resume awak..."

"Saya faham. Saya sekadar mencuba nasib. Terima kasih sudi luangkan masa untuk interview saya. Saya pergi dulu." Cepat-cepat dia capai fail peribadi miliknya.

Baru beberapa langkah, suara lelaki itu mematikan langkahnya.

"Ada saya cakap awak boleh keluar?"

Alma gigit bibirnya menahan debar. Kali ini dia rasa dah masuk ke sarang harimau. Janganlah lelaki ini mengecam wajahnya.

"Pandang saya bila saya sedang bercakap."

Nafas dihela panjang. Terpaksalah dia beranikan diri menghadap wajah lelaki itu sekali lagi.

"Awak diterima bekerja."

"Ha?"

"Tapi sebagai pembantu peribadi saya."

Lidah Alma kelu untuk membalas. Sekarang pun dia dah rasa sesak nafas berada di ruang yang sama dengan lelaki itu. Tak dapat dia bayangkan jika terpaksa bekerja seharian bersama lelaki itu.

Qaiser berikan senyuman sinis. Ini kali ketiga mereka berjumpa. Mustahil dia boleh lupa apa yang dilakukan oleh wanita itu setiap kali mereka berjumpa.

Kali pertama, dia akui dirinya yang salah kerana menganggap budak kecil tempoh hari sebagai peminta sedekah. Untuk kali kedua, sudah terang wanita itu yang bersalah tapi disebabkan ego, perkataan maaf terlalu mahal untuk dilafazkan oleh wanita itu.

Jadi tak salah dia gunakan peluang ini untuk 'mengajar' wanita itu untuk kesilapan yang lepas.

'Let the war begin.'

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top