Bab 4

MALAM ini, Qaiser beranikan diri untuk bersemuka bersama papa. Nampak kelibat Encik Qayyum di bilik bacaan, dia mengambil keputusan untuk minum bersama papa.

"Papa..."

Encik Qayyum angkat wajahnya. Cermin mata dibetulkan terlebih dahulu.

"Minum."

Hampir bertaut kening orang tua itu. Pertama kali Qaiser bawakan dia minuman hingga ke bilik bacaan. Sesuatu yang pelik.

Qaiser duduk di kerusi berhadapan papa. Mereka saling terdiam seketika.

"Papa tak sihat. Kenapa masih tak tidur lagi?" Qaiser memulakan bicara. Kalau dia tak bertanya, sampai esok pun mereka berdua masih membisu.

"Papa tak mengantuk." Pendek lelaki itu menjawab.

Qaiser duduk serba tak kena. Tak tahu apa yang perlu dibualkan bersama papa. Sejak dia mengambil keputusan tinggal di luar 10 tahun lalu, hubungan mereka tidak semesra lagi. Seperti orang asing.

"Qai nak cakap apa?"

Tersentak Qaiser apabila ditegur.

"Tiba-tiba datang jumpa papa. Ada sesuatu nak kongsi dengan papa ke?" Encik Qayyum tak lepas merenung wajah anaknya.

"Tak ada apalah. Saja nak berbual dengan papa." Qaiser meneguk air yang dibawa tadi.

Ternaik kening orang tua itu. Keluhan panjang terlepas dari bibir Encik Qayyum.

"Papa ingatkan, Qai dah bersedia nak berkahwin. Manalah tahu dalam diam dah ada calon."

Hampir tersedak Qaiser. Cepat-cepat dia kesat mulutnya dengan tisu yang ada di atas meja.

"Belum lagi."

Encik Qayyum tersenyum sinis.

"Kalau dah 24 jam bekerja, manalah nak ada."

Qaiser hela nafas panjang. Tak habis-habis isu ini juga yang dibangkit.

"Papa akan ikut saranan Qai. Qai cakap bagi masa setahun. Okey. Papa turutkan."

Tegak kepala Qaiser.

"Jangan cakap, apa yang Qai beritahu papa hari tu hanya satu gurauan. Papa serius dengan hal ni."

Habislah dia...

Mahu saja dia menampar mulut sendiri. Terlalu mudah memberikan harapan. Sekarang dia dah tak mampu nak tarik balik setiap kata-katanya.

"Qai nak kahwin dengan orang yang Qai cinta."

"So, Qai carilah."

"Itu tak mudah, papa. Qai tak pernah jatuh cinta. Mungkin sebab tu, hati Qai belum terbuka hati untuk bercinta."

Encik Qayyum tarik nafas panjang. Cawan yang sudah kosong diletakkan di atas meja. Cermin mata ditanggalkan.

"Papa dan mama, kami tak pernah bercinta. Kami kenal beberapa hari sebelum bernikah. Tapi kami masih bahagia sampai sekarang."

Qaiser hanya terus mendengar. Tak berani nak menyampuk.

"Try and error. Dalam kehidupan, kita perlu mencuba. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang tak pernah Qai rasa." Penuh makna Encik Qayyum berikan nasihat.

Qaiser masih berdiam diri. Perkara itulah yang dia tak nak lakukan. Takut perkahwinan yang dibina, musnah disebabkan sikapnya yang lebih suka hidup berdikari.

Tiba-tiba Encik Qayyum terbatuk kuat. Pantas Qaiser mendekati orang tua itu. Belakang tubuh papa, diusap lembut.

"Teruk juga ni. Papa tak nak ke hospital?"

Encik Qayyum bagi isyarat tangan tanda tidak mahu ke sana. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan.

"Umur papa dah lebih 60 tahun. Sakit tu, memang dah tentu ada."

Encik Qayyum toleh ke sebelah.

"Qai dah kenal dengan Rafiq tadi?"

"Dah. Tapi kami tak berbual sangat."

"Dia orang kepercayaan papa. Sejak lima tahun dia bekerja di syarikat papa, papa dah anggap dia sebagai anak."

Dahi Qaiser berkerut sedikit. Pelik dengan hala tuju perbualan mereka sekarang.

"Papa harap sangat, Qai boleh ambil alih syarikat kita. Papa pun dah tak larat nak usahakan."

Qaiser pejamkan mata. Ini yang dia lemah. Jujur dia tak suka bekerja dalam bidang korporat. Jiwanya lebih ke arah seni.

"Tapi papa tak akan paksa Qai untuk buat perkara yang Qai tak suka. Itu bukan papa."

Terpukul Qaiser dengan kata-kata papa. Sejak dari dulu lagi, papa sering mengalah. Cuma dia yang mudah mengambil kesempatan.

"Mungkin papa terpaksa serahkan syarikat kepada Rafiq untuk sementara bila papa tak sihat nanti."

Tergamam Qaiser. Menyerahkan syarikat sendiri kepada orang luar, itu bukan perkara yang bagus. Hendak diluah, lidahnya terasa berat.

"Bila papa nak serahkan?"

"Tak tahu lagi. Buat masa ni, papa masih mampu uruskan. Tengoklah dalam tempoh setahun lagi."

Encik Qayyum berdiri tegak di hadapan anaknya. Spontan Qaiser angkat wajahnya. Mereka saling berpandangan.

"Papa dah mengantuk. Tidurlah. Papa dengar, Qai nak keluar awal pagi esok. Kalau ada masa, baliklah jenguk mama. Mama tu sunyi."

Langkah diatur ke arah pintu bilik. Dia berpaling ke belakang sebelum memulas tombol pintu.

"Sedap air tu. Good job, boy."

Qaiser tersentuh dengan ayat terakhir itu. Sudah lama papa tak menyebut nama manjanya sejak hubungan mereka dingin.

Boy...

Wajah budak yang ditemui tempoh hari muncul dalam ingatannya. Kepalanya digeleng berkali-kali. Dia dah tak betul agaknya. Tiba-tiba dia teringat budak lelaki yang menerima wang darinya. Dah tentu wajah wanita sombong itu muncul sekali.


PENING kepala Matt dengan sikap majikannya. Hari ini Qaiser naik hantu apabila masih belum dapat lagi pengganti Kak Jah.

"Kau kenapa, dari tadi asyik merungut?"

"Pasal kerjalah. Ni aku dah cuba senaraikan ciri-ciri pekerja yang bos cari. Kalau dulu, senang nak cari pekerja am perempuan. Ini nak suruh tahu pasal studio. Kau ingat senang."

Edri angguk setuju. Ditambah pula gaji yang ditawarkan tak adalah tinggi. Dah tentu mereka bijak memilih pekerjaan.

"Bos kita tu nak cakap anti dengan perempuan, dia sayang aje dekat mama dia." Matt bersuara.

Tiba-tiba Edri ketawa kuat. Pelik pula Matt.

"Ini bukan sebab anti. Mungkin sebab ego agaknya. Hari tu, aku nampak ada seorang perempuan ni macam marahkan bos. Muka bos, mengalahkan cuka getah tau."

Matt tertarik mendengar cerita lelaki itu.

"Kenapa perempuan tu nak marah bos?"

"Entah. Yang pasti, perempuan tu bagi duit dekat bos." Itu yang dia tahu. Dan akhirnya, duit tu dia pula yang dapat.

"Pelik. Tak pernah pula aku dengar bos kena marah."

Edri angguk setuju. Terpandangkan skrin di komputer riba Matt, muncul idea untuk mengenakan bos mereka.

"Kau ke tepi. Aku nak tukar sikit memo ni."

Matt tarik kerusinya ke tepi. Dia hanya membiarkan lelaki itu menaip sesuatu di situ. Apabila selesai, mereka sama-sama membaca memo yang baru siap itu.

Bulat mata Matt. Laju dia menoleh ke sebelah.

"Kau biar betul!"

"Ya. Aku masih waras." Edri tersengih-sengih.

Matt rasa nak hempuk kepala Edri dengan tetikus di tangan. Kalau bos mereka tahu, dengan dia sekali terkena.

"Kau jangan nak delete. Ini aje cara kita nak cari pekerja yang boleh bertahan."

"Masalahnya, bos dah cakap nak cari pekerja yang ada pengalaman." Matt masih tak berani mengikut saranan Edri.

"Jangan risaulah. Benda tu, kita boleh ajar."

Selamba Edri menekan ENTER. Memo kerja yang ditawarkan tadi, sudah diletakkan di laman web galeri mereka.

Matt tepuk dahi sendiri. Memang cari pasal betullah si Edri ni.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top